Kembali
๐๐ฎ๐ ๐๐๐ก๐ฎ๐ง ๐๐๐ฎ๐๐๐ง ๐๐ฅ-๐๐ช๐ฌ๐: ๐๐ข๐ค๐ฆ๐๐ก, ๐๐๐ญ๐๐๐๐ก๐๐ง (๐๐ฎ๐ฆ๐ฎ๐) ๐๐๐ง ๐๐๐๐๐ง๐ ๐ค๐ข๐ญ๐๐ง ๐๐ฆ๐ฆ๐๐ก
Megat Aiman Hakim bin Megat Shariffudin
Oct 10, 2025

Ummah seluruhnya wajib mengucapkan terima kasih setinggi-tingginya kepada warga Gaza atas kesabaran dan ketabahan mereka. Gaza yang kecil dan dikepung ini telah membebaskan dunia daripada keangkuhan dan kesombongan rejim Zionis.
Siapa sangka jutaan penduduk dapat berhimpun menunjukkan solidariti sepanjang dua tahun ini di bandar-bandar besar di Eropah, Amerika Syarikat, Asia dan lain-lain? Siapa sangka dengan kesabaran Gaza, United Kingdom, Perancis, Belgium dan banyak negara lagi mula mengiktiraf kedaulatan negara Palestin? Siapa sangka Colombia memutuskan hubungan perdagangan dengan Israel, dan Sepanyol melakukan hal yang sama dengan memutuskan hubungan perdagangan berkaitan ketenteraan dengan rejim Zionis?
Siapa sangka cubaan terakhir untuk memecahkan kepungan ke atas Gaza mampu mengumpulkan sekitar 600 orang peserta daripada kira-kira 70 negara dalam misi Global Sumud Flotilla, yang kemudiannya disusuli misi Freedom Flotilla Coalition dan Thousand Madleens to Gaza? Terlalu banyak keindahan, kemanisan dan pengorbanan yang telah diberikan seluruh penduduk dunia untuk Gaza. Ada yang sanggup kehilangan pekerjaan, kehilangan penajaan melanjutkan pelajaran, dan mengorbankan nyawa demi pelayaran ke bumi Gaza.
Bukan sekadar sokongan untuk Palestin meningkat, tetapi ramai masuk Islam
Lebih indah lagi, berapa ramai penduduk dunia mula mengenali agama Islam yang sebenar? Bahkan ada yang memeluk Islam setelah menyaksikan susuk tubuh yang mengucapkan โWahai roh kepada rohโ kepada cucunya, Rim, yang telah syahid. Ramai yang memeluk Islam selepas melihat kesabaran dan keteguhan penduduk Islam di Gaza. Terkini, seorang kapten kapal Itali bernama Tommaso Bortolazzi, dalam misi Global Sumud Flotilla, memeluk Islam ketika dalam tahanan Israel kerana terkesan dengan keindahan agama ini.
Pada masa yang sama, rejim Zionis semakin terpinggir di pentas dunia. Sama ada perang telah terhenti atau belum, Netanyahu telah disabitkan dengan tuduhan oleh mahkamah jenayah antarabangsa atas kesalahannya terhadap penduduk Gaza. Oleh itu, sekiranya beliau pergi ke United Kingdom, Perancis atau mana-mana negara yang terikat dengan Statut Rom, beliau boleh ditangkap. Selain itu, lebih 60,000 syarikat telah menarik diri daripada beroperasi di Israel; lebih USD 88 bilion dibelanjakan hanya untuk ketenteraan; dan terdapat pelbagai petunjuk krisis ekonomi yang sedang dialami oleh rejim Zionis.
Penderitaan Gaza tidak berjaya melumpuhkan semangat juang
Sehubungan itu, ummah sepatutnya berbangga dengan ketabahan Gaza. Setelah dua tahun diserang dengan lebih 200,000 tan bahan letupan, dikepung sepenuhnya sehingga terpaksa memakan rumput, mengikat perut dengan batu untuk mengurangkan rasa lapar, ramai gugur syahid akibat kelaparan; ratusan ribu terkena tembakan peluru dan artileri โ namun Gaza tetap tidak dapat dikalahkan.
Benarlah seperti yang disebutkan oleh al-Marhum Ismail Haniyeh, โNakbah tidak akan berulangโ.
Pihak rejim Zionis telah gagal sepenuhnya mencapai semua objektif mereka. Penghijrahan penduduk secara paksa daripada utara Gaza ke selatan gagal. Memaksa rakyat Gaza mengangkat bendera putih dan menyerahkan para pejuangnya gagal. Cubaan untuk menawan tebusan dari penguasaan para pejuang gagal. Memaksa para pejuang meletakkan senjata dan mengaku kalah gagal. Rekrutmen penduduk menjadi tali barut kepada penjajah juga gagal.
Kalaulah bukan ini makna ketabahan dan sumud, apa lagi?
Bukan itu sahaja; akhirnya wakil Amerika, Turki, Mesir, Qatar dan pihak penjajah sendiri berjumpa dengan wakil-wakil Hamas yang baru sahaja disasarkan untuk dibunuh 30 hari lalu. Ya, 30 hari yang lalu mereka disasarkan untuk dibunuh oleh rejim Zionis; kini mereka muncul di hadapan para pembunuh tersebut untuk berunding dengan penuh kehormatan dan kemuliaan. Ini adalah kemuliaan yang Allah berikan kepada mereka โ sesuatu yang tidak siapa sangka boleh berlaku. Dengan terjadinya rundingan, kewujudan mereka diiktiraf, suara mereka didengari dan keputusan mereka dihormati oleh pemimpin-pemimpin dunia.
Dunia hari ini sedang menyaksikan gencatan senjata kali ketiga sepanjang dua tahun genosid ke atas Gaza. Namun roh gencatan senjata kali ini berbeza: ia membawa maksud penamatan perang secara penuh โ bukan 60 hari atau 90 hari, tetapi penamatan sehingga bila-bila. Lebih manis lagi, ia berlaku pada hari Jumaat yang mulia, Sayyidul Ayyam. Setelah dua tahun dihalang menunaikan solat berjemaah, hari ini mereka menunaikan solat Jumaat secara berjemaah sebagai pembuka hari-hari pertama suasana gencatan senjata.
Bagaimana jika Netanyahu masih menipu?
Penulis yakin ramai yang masih risau akan tipu muslihat yang mungkin dimainkan oleh Netanyahu untuk menipu rundingan penamatan perang yang telah dipersetujui. Jika kita di Malaysia rasa risau, bagaimana pula dengan penduduk Gaza sendiri? Namun kita meyakini inilah peluang yang Allah berikan untuk menghentikan perang. Sekiranya peluang ini ditolak, Donald Trump dan rejim Zionis akan terus menjadikan ia alasan untuk meneruskan genosid, melaparkan dua juta penduduk di Gaza dan melakukan pelbagai jenayah kemanusiaan.
Berkenaan jaminan bahawa perang benar-benar akan dihentikan sekiranya tiada lagi tebusan di Gaza, kita perlu faham beberapa perkara. Perang ini boleh terhenti kerana kesatuan dan keteguhan warga Gaza; rejim Zionis kehabisan idea dan kehilangan sumber yang besar hanya untuk cuba mengalahkan penduduk Gaza. Selain itu, kebangkitan luas daripada rakyat Malaysia, Amerika dan Eropah sepanjang dua tahun menjadi faktor kedua yang menjadi jaminan agar peperangan benar-benar berakhir.
Perlu difahami bahawa rejim Zionis secara terbuka menganggap penduduk Gaza seperti haiwan; mereka tidak pernah memberikan sedikit pun penghormatan kepada penduduk Gaza. Projek untuk merampas Semenanjung Gaza, Tebing Barat dan Masjid al-Aqsa sentiasa ada dalam fikiran mereka selagi mereka wujud di muka bumi ini.
Tidak mustahil mereka akan memulakan semula peperangan dan melaparkan semula dua juta penduduk Palestin di Gaza. Tidak mustahil juga mereka akan menggabungkan Tebing Barat ke dalam negara mereka secara rasmi dan merampas Masjid al-Aqsa untuk dijadikan kuil Yahudi. Ini semua sebahagian daripada perancangan mereka. Tetapi kerana adanya orang Palestin yang kuat dan bersabar selama 77 tahun penjajahan, sokongan penduduk dunia dan bantuan daripada beberapa negara, projek Zionisme yang dirancang tidak mudah untuk dilaksanakan.
Apa seterusnya?
Sekarang adalah era kelemahan rejim Zionis โ dari segi ekonomi, sosial dan diplomatik. Tanpa Amerika Syarikat, mereka sebenarnya telah lama hilang dari peta. Momentum sokongan dan solidariti untuk Palestin harus dipertingkatkan walaupun perang di Gaza telah diumumkan tamat.
Selama 731 hari, 67,194 nyawa telah syahid dan sekitar 20,000 daripadanya adalah kanak-kanak. Sebahagian daripada mereka gugur akibat pembedilan, tembakan dan kelaparan. Hargailah pengorbanan setiap nyawa yang telah syahid ini dengan meneruskan perjuangan ummah untuk Palestin.
Rejim Zionis masih mengepung Gaza dengan tentera mereka dan menjajah Tebing Barat serta Masjid al-Aqsa. Kewujudan mereka di bumi ini mesti ditentang. Jangan meletakkan isu Palestin hanya pada Gaza.
Semoga ini menjadi asbab kita mendapat pertolongan daripada Allah SWT, diampunkan dosa dan dimasukkan ke dalam syurga Allah SWT.
Ustaz Megat Aiman Hakim bin Megat Shariffudin
Pegawai Penyelidik Aqsa Syarif