Kembali
Zionis telah menguasai 64% dari peta Gaza
Megat Aiman Hakim bin Megat Shariffudin
May 11, 2026

Lebih 850 Orang Telah Syahid Sejak Bermulanya Gencatan Senjata Enam Bulan Lalu
Walaupun media antarabangsa mahupun tempatan kurang mendedahkan keadaan terkini di Gaza, umat Islam di sana masih menjadi mangsa keganasan rejim Zionis. Selepas 200 hari berlalunya gencatan senjata, rejim Zionis telah mencabuli sebanyak 2,300 perjanjian termasuk meluaskan tanah jajahan, pembunuhan secara harian, sekatan bantuan kemanusiaan dan sebagainya.
Satu pun daripada pencabulan perjanjian ini tidak diiktiraf oleh Amerika mahupun pihak antarabangsa. Bukan itu sahaja, Amerika dan banyak negara Eropah serta negara Islam masih meneruskan perdagangan ekonomi dan persenjataan. Walaupun telah jelas Netanyahu dituntut di mahkamah antarabangsa atas jenayah kemanusiaan dan pentadbirannya bertanggungjawab mengorbankan lebih 75 ribu penduduk termasuk lebih 20 ribu daripadanya ialah kanak-kanak.
Sepanjang tempoh enam bulan gencatan senjata, lebih 850 orang telah syahid dan 2,345 orang mengalami kecederaan akibat pengeboman secara harian. Setiap hari dianggarkan seramai lima orang syahid dan jumlah yang mengalami kecederaan adalah lebih ramai.
Dari segi kesihatan, penduduk Gaza tidak mendapat rawatan dan perkhidmatan yang sepatutnya. Kebanyakan hospital mengalami kerosakan teruk dan tidak mempunyai kapasiti untuk dibaiki semula kerana bantuan pembinaan tidak dibenarkan masuk.
Dalam masa yang sama, sektor kesihatan juga menghadapi kekurangan kakitangan, alatan, bekalan elektrik dan ubat-ubatan. Bagi penduduk Gaza yang perlu keluar dari Gaza untuk mendapatkan rawatan kesihatan segera, jumlahnya sekitar 18,000 orang, namun yang dibenarkan keluar hanyalah 30 orang sahaja. Ramai yang syahid akibat tidak mendapat rawatan segera.
Manakala sistem bekalan air, jalan awam, sistem pelupusan sampah dan sisa buangan langsung tidak dapat dibaiki. Hal ini menyebabkan tikus, lipas dan seumpamanya mudah membiak lalu menyebarkan penyakit. Laporan turut menyebutkan bahawa tentera IDF sengaja melepaskan anjing berpenyakit untuk memasuki Gaza. Semua ini bertujuan memastikan penduduk Gaza terus terseksa dengan jangkitan penyakit dan wabak berbahaya.
Bekalan elektrik sudah menjadi satu kemewahan bagi penduduk di sana. Penduduk perlu membayar sekitar lima syekel untuk mengecas telefon kepada individu yang mempunyai peranti tertentu. Ramai dalam kalangan penduduk menggunakan generator lama untuk mendapatkan bekalan elektrik. Namun, disebabkan diesel tidak masuk pada kadar yang sepatutnya, hospital, kilang dan kegunaan harian di rumah terjejas akibat ketiadaan bekalan elektrik.
Sehubungan dengan itu, pelbagai lagi kesukaran dan kesusahan yang dihadapi oleh penduduk Gaza seakan-akan menunjukkan mereka masih berada dalam suasana perang. Walaupun telah diadakan sebuah pertemuan besar-besaran di Sharm el-Sheikh, Mesir oleh para pemimpin dunia dan Donald Trump berada di barisan hadapan sebagai simbol bahawa perang telah tamat, rupanya itu semua hanyalah simbolik semata-mata. Pembunuhan, sekatan bantuan asas dan halangan untuk membina semula Gaza masih berlaku.
Penjajah Menguasai 64% daripada Peta Gaza
Terakhir, dari sudut geografi, wilayah Gaza semakin mengecil. Sebelum gencatan senjata pada 10 Oktober 2025, sebanyak 48% daripada peta Gaza telah dijajah. Ia merangkumi hampir keseluruhan Rafah, satu-satunya sempadan Gaza dengan Mesir, timur Gaza termasuk sebahagian Khan Younis, Jabalia, Syujaiah serta kawasan utara termasuk Beit Hanun dan Beit Lahia.
Semua kawasan yang dijajah ini merupakan tempat tinggal bagi hampir satu juta penduduk. Kini, ia telah menjadi zon kuning yang dikuasai oleh lima kumpulan penjenayah bersenjata yang akan dikongsikan dalam artikel akan datang serta kubu-kubu tentera IDF.
Lebih buruk daripada itu, zon kuning ini meningkat sedikit demi sedikit. Beberapa bulan lalu, keluasan zon kuning meningkat kepada 53%. Terbaharu, Al Jazeera mendedahkan keluasan terkini yang telah dikuasai oleh penjajah ialah 64%, iaitu pertambahan sebanyak 11%.
Pihak kumpulan pejuang seperti al-Qassam tidak mampu menghalang kemaraan tentera musuh disebabkan tiga perkara. Pertama, untuk mengekalkan status gencatan senjata yang sedang berlaku sekarang. Walaupun gencatan senjata kali ini banyak dicabuli dan langsung tidak dihormati, keadaan ini masih lebih baik daripada situasi perang dan genosid sebelum ini.
Seterusnya, tentera IDF dan bantuan kumpulan penjenayah bersenjata ini mara dalam baki kawasan Gaza dengan kelengkapan senjata yang jauh lebih kuat. Pasukan pejuang sememangnya bertempur dengan kumpulan penjenayah bersenjata ini dan ramai dalam kalangan mereka tumpas di tangan pejuang. Namun, kehadiran dron penyerang dan jet pejuang memaksa kumpulan pejuang berundur serta menggagalkan usaha mereka untuk menyelamatkan kawasan yang diceroboh.
Terakhir, pasukan pejuang juga terdiri daripada penduduk awam. Mereka mempunyai tanggungjawab untuk menjaga kebajikan keluarga seperti orang lain. Tambahan pula, kesan daripada genosid dan 200,000 tan bahan letupan yang dijatuhkan oleh pihak penjajah ke atas Gaza menyukarkan segala-galanya. Oleh itu, para pejuang tidak mempunyai kekuatan yang sama untuk menyekat kemaraan musuh daripada terus menguasai Gaza.
Isyarat Niat Sebenar Rejim Zionis dan Amerika
Antara yang terkorban baru-baru ini ialah Azzam al-Hayyah, anak kepada ketua gerakan Hamas, Dr Khalil al-Hayyah. Beliau merupakan anak keempat yang telah gugur. Beliau dan rakan-rakan pimpinan utama Hamas juga pernah hampir menjadi sasaran serangan udara di Doha pada 9 September tahun lalu. Dalam serangan tersebut, anak ketiga beliau yang bernama Hammam al-Hayyah telah syahid.
Apabila pihak yang sedang berunding sendiri diberikan tekanan sedemikian rupa, hal ini menandakan bahawa pihak Zionis dan Amerika sememangnya tidak berniat untuk meneruskan gencatan senjata. Tambahan pula dengan sekatan sehingga 70% terhadap jumlah kemasukan bantuan kemanusiaan, pembunuhan setiap hari, sekatan sepenuhnya terhadap kemasukan bahan dan alatan berkaitan pembinaan bangunan serta peningkatan 11% penguasaan ke atas geografi Gaza.
Dunia seharusnya menyedari perkara ini. Gencatan senjata yang berlaku ketika ini hanyalah meringankan sedikit beban penduduk Gaza berbanding sebelum ini. Namun, peperangan dan genosid masih berlaku. Seharusnya tekanan, demonstrasi dan segala usaha untuk menekan pihak penjajah diteruskan.
Ustaz Megat Aiman Hakim bin Megat Shariffudin
Pegawai Penyelidik Aqsa Syarif