Kembali

Yasir Abu Syabab, Dibelasah Sehingga Maut oleh Anggotanya Sendiri

Megat Aiman Hakim bin Megat Shariffudin

Dec 6, 2025

Sekitar tengah hari semalam, penduduk Gaza mengedarkan manisan sebagai tanda kegembiraan atas kematian seorang pembelot termasyhur dari Rafah, iaitu Yasir Abu Syabab.

Beliau merupakan bekas banduan di penjara Gaza atas kesalahan jalinan hubungan (atas dasar pembelotan) dengan entiti penjajah. Namun, kemusnahan bangunan penjara dan lumpuhnya sistem keselamatan akibat pembedilan tanpa henti telah memberikan beliau kebebasan sepenuhnya daripada tahanan.

Sejak kemunculan semula Yasir Abu Syabab pada Jun lalu, penduduk Gaza secara umum, termasuk kabilahnya sendiri, kabilah Tarabin, langsung tidak menyukainya. Pembelot ini mengetuai sebuah militia bersenjata di Rafah yang merompak bantuan kemanusiaan, melakukan jenayah tidak bermoral, menyeludup bahan terlarang dan menembak penduduk awam.

Mereka turut berkhidmat sebagai tentera upahan kepada IDF, antaranya dengan menculik golongan profesional, menjadi pengintip terhadap gerakan pejuang, menjalankan operasi pembersihan (memburu anggota pejuang) di Rafah, dan bertempur dengan pasukan pejuang sendiri di Khan Younis. Sebagai balasan, mereka menerima pelbagai kemudahan: senjata yang banyak, perlindungan udara melalui dron, bantuan logistik seperti kenderaan jeep (yang dipercayai disumbangkan oleh UAE), akses bantuan kemanusiaan dan jaminan keselamatan daripada bedilan udara.

Keterlibatan Yasir Abu Syabab dalam membantu IDF bukan lagi rahsia. Ia diakui sendiri oleh Netanyahu pada Jun lalu:

“Atas nasihat pegawai keselamatan, kami mengaktifkan puak-puak di Gaza yang menentang Hamas, apa salahnya?” kata Netanyahu dalam video pendek yang dimuat naik di media sosial. “Ia hanya menyelamatkan nyawa askar Israel...”

Tujuan IDF menggunakan orang Palestin sebagai tentera barisan hadapan ialah untuk menyelamatkan nyawa tentera Israel dan mengurangkan risiko kecederaan atau kematian dalam kalangan anggotanya. Mereka menjadi harapan IDF untuk terus bertempur dengan para pejuang dan menguasai Rafah sepenuhnya.

Kedudukan kumpulan Yasir Syabab ialah proksi IDF di Rafah. Manakala di Khan Younis (wilayah bersebelahan Rafah), proksi IDF ialah kumpulan pimpinan Husam al-Astal, seorang bekas anggota polis PA yang pernah bekerjasama dengan Mossad dalam operasi pembunuhan Imam Fadi al-Batsh pada tahun 2018 di Kuala Lumpur. Di utara Gaza pula, proksi IDF dikaitkan dengan sebahagian keluarga Doghmush dan kumpulan Asyraf al-Mansi.

Perlu difahami bahawa Yasir Abu Syabab dan para pembelot lain bukan sahaja dimusuhi oleh para pejuang, tetapi oleh seluruh masyarakat dan kabilah di Gaza. Bahkan Lembaga Tertinggi Kabilah Gaza menyatakan persetujuan terhadap tindakan Hamas memburu dan menghukum mereka selepas bermulanya tempoh gencatan senjata.

Selepas 50 Hari Gencatan Senjata

Pasukan pejuang telah membuktikan sesuatu yang tidak dijangkakan: mereka berjaya menjaga keamanan masyarakat dari utara hingga selatan Gaza (dalam peta berwarna biru). Tidak sampai 24 jam selepas gencatan senjata bermula, pasukan pejuang telah memobilisasi anggotanya sebagai pasukan polis untuk mengawal kesesakan jalan, menjaga keamanan bandar, mengatur logistik bantuan kemanusiaan dan barangan komersial, serta melaksanakan tugas-tugas keselamatan lain.

Mereka turut meneruskan usaha memburu dan menghukum para pembelot seperti Husam al-Astal dan Asyraf al-Mansi. Pengikut penganalisis ketenteraan Nidal Bik Abu Zaid menyebut bahawa seluruh kumpulan pembelot telah berjaya dilumpuhkan. Mereka kini berada dalam kawasan peta berwarna kuning dan merah, berlindung di belakang kubu tentera IDF.

Ada cubaan untuk mengejar mereka di kawasan berkenaan, namun kebanyakannya berakhir dengan serangan udara oleh entiti penjajah — mengakibatkan kerosakan besar tanpa mencapai hasil yang diingini. Sepatutnya, tempoh gencatan senjata digunakan oleh para pembelot untuk mengukuhkan kedudukan, merekrut lebih ramai anggota, dan menyusun strategi untuk pusingan seterusnya. Di belakang mereka ada IDF, Amerika Syarikat dan UAE, namun perancangan Allah lebih sempurna dan tidak mampu dikalahkan sesiapa.

Meninggal Akibat Dibelasah atau Sebab Lain?

Perkataan meninggal mungkin terlalu lembut, namun cukuplah untuk mengelakkan tindakan tatatertib daripada pihak pemilik media sosial.

Terdapat beberapa versi yang disebarkan mengenai pengakhiran Yasir Abu Syabab.

Pertama, ada dakwaan bahawa beliau diserang melalui serangan gerila oleh para pejuang di Rafah. Namun, tiada laporan atau bukti yang menyokong dakwaan ini. Jika benar pun dakwaan ini, ia akan menunjukkan kedudukan IDF dan militia proksinya berada dalam keadaan sangat terancam, kerana ia membuktikan kemampuan luar biasa para pejuang walaupun terkepung, lapar dan dahaga.

Versi lain pula mendakwa beberapa anggota Yasir Abu Syabab telah direkrut oleh pasukan pejuang, dan merekalah yang melepaskan tembakan ke atas beliau. Ada juga kisah bahawa individu yang tidak berkaitan dengan mana-mana kumpulan pejuang telah menyelinap masuk ke milisia tersebut dan menembaknya.

Namun, menurut radio tentera penjajah dan akhbar Yedioth Ahronoth, serta laporan yang dikongsikan oleh Pengurus Aljazeera di Ramallah, Yasir Abu Syabab meninggal selepas dipukul dengan kuat oleh anggotanya sendiri, akibat pertelingkahan dalaman berhubung kerjasama dengan pihak penjajah. Beliau meninggal dunia ketika dibawa ke Hospital Soroka dan telah disolatkan oleh pengikutnya di Rafah.

Saluran 12 Israel turut melaporkan:

“Abu Shabab meninggal dunia di Hospital Soroka akibat kecederaan yang dialami hasil pertikaian dalaman keluarga.”

Reaksi Penjajah

Berita kematian ini sememangnya merugikan penjajah. Yasir Abu Syabab sepatutnya menjadi proksi kuat mereka di Rafah, namun kini telah gugur.

Yedioth Ahronoth melaporkan:

“Pihak keselamatan Israel bimbang pembunuhan Abu Shabab akan menguatkan Hamas di Gaza dan melemahkan projek Israel yang bertujuan menggunakan militia sebagai alternatif autoritarian-ketenteraan dalam rancangan ‘Hari Seterusnya / Day After’.”

Akhbar tersebut turut melaporkan:

“Fenomena pembersihan dalaman dalam kalangan militia tempatan di Gaza semakin meningkat.”

Penjajah pasti akan meneruskan usaha merekrut lebih ramai pembelot seperti Yasir Abu Syabab melalui tawaran habuan duniawi. Namun, jika habuan dunia itu mudah membeli kesetiaan rakyat Gaza, sudah lama Hamas dan pasukan pejuang lumpuh. Penduduk Gaza telah membuktikan kepada dunia bahawa kesetiaan tidak dapat dibeli dengan wang, senjata atau jaminan keselamatan.

Mereka yakin bahawa Allah-lah sumber kekuatan perjuangan demi maruah agama dan tanah air. Yasir Abu Syabab, meskipun memiliki segala kemewahan dan perlindungan, akhirnya gugur di tangan anggotanya sendiri.

Sebagaimana kata Adham Syarqawi:

"من علق قلبه بالأسباب، تركه الله إليها! ومن علق قلبه بالله، هيأ له الأسباب"

“Barang siapa yang meletakkan hatinya pada sebab-sebab dunia, Allah akan membiarkan dirinya kepada sebab itu. Barang siapa yang meletakkan hatinya kepada Allah, Allah akan menyediakan baginya segala jalan.”

Ustaz Megat Aiman Hakim bin Megat Shariffudin

Pegawai Penyelidik Aqsa Syarif