Kembali
Yahya Al-Sinwar yang Ditakuti, Hidup Mahupun Mati
Ustaz Megat Aiman Hakim bin Megat Shariffudin
Oct 16, 2026

Al-Sinwar yang Ditakuti, Hidup Mahupun Mati
Sebagaimana musuh Islam tidak dapat melupakan kehebatan Solahuddin al-Ayyubi mengalahkan musuh melalui kekuatan ketenteraan, kesatuan politik, keberanian dan moral, hari ini rejim Zionis juga seakan-akan tidak dapat melupakan Yahya al-Sinwar walaupun sudah dua tahun beliau syahid, bertarikh 16 Oktober 2026.
Bahkan, kematiannya juga dijadikan kisah keberanian dan kejayaan mereka. Mereka menceritakan kepada dunia bahawa mereka telah membunuh al-Sinwar dengan keupayaan ketenteraan dan perisikan mereka. Sedangkan, rakaman pada tubuh tentera IDF dan laporan awal sendiri memberikan isyarat bahawa mereka berperang dengan al-Sinwar selama berjam-jam dengan menggunakan kekuatan tentera darat, kereta kebal dan penembak tepat, tanpa mengetahui siapa yang sedang mereka hadapi.
Detik perjuangan terakhir al-Sinwar boleh dibaca dalam buku Taufan al-Aqsa dan Legasi Yahya al-Sinwar, yang menceritakan bagaimana lelaki berusia 61 tahun ini berperang seorang diri sehingga ke akhir hayatnya (pautan di bawah). Kisah pertempuran al-Sinwar telah menaikkan semangat perjuangan pencinta Palestin di seluruh dunia, termasuk dalam kalangan orang bukan Islam.

Peninggalan al-Sinwar Ditayangkan dalam Pameran
Sehubungan itu, selepas syahidnya al-Sinwar, bagi membuktikan bahawa kesyahidan al-Sinwar, jarinya dipotong dan dibawa pulang ke jabatan forensik untuk menjalani ujian DNA. Hal ini dilakukan bagi memastikan bahawa sasaran yang terbunuh itu benar-benar al-Sinwar, bukannya orang lain.
Setelah identitinya dipastikan dan diumumkan, jasad al-Sinwar langsung tidak dibincangkan untuk diserahkan semula kepada penduduk Gaza agar dapat dikebumikan secara bermaruah. Barang-barang peninggalan beliau juga dipamerkan di sebuah pameran di Intelligence Heritage and Commemoration Center (IICC) di Ramat Hasharon, Israel.
Antara tujuannya adalah untuk membuktikan kejayaan perisikan dan ketenteraan IDF dalam menumbangkan al-Sinwar serta mengetengahkan perkara-perkara lain dalam usaha menerapkan naratif Zionis dalam kalangan pelawat.
Antara barangan yang dipamerkan (boleh dilihat di laman sesawang 7Oktober.net) ialah:
1. Dokumen tulisan tangan

Dokumen yang dikaitkan dengan Sinwar, termasuk arahan bertarikh Ogos 2022 berkaitan dengan perancangan serangan 7 Oktober 2023. Dokumen ini dikatakan ditemukan oleh tentera Israel di Gaza.
2. Barangan peribadi

Vest tentera, senapang, peluru, kad pengenalan, buku zikir, sarung tangan dan kepala, serta barangan lain. Semua ini dipamerkan sebagai sebahagian daripada koleksi barangan peribadinya.
3. Senjata dan gambar pejuang lain

Antara yang turut dipamerkan ialah RPG Yasin, senarai gambar para pejuang yang telah syahid, lokasi pertempuran pada 7 Oktober dan lain-lain.
Naratif Palsu dan Kebenaran
Antara naratif palsu yang cuba dimainkan oleh musuh ialah bahawa al-Sinwar merupakan punca kehancuran yang sedang berlaku di Gaza. Beliau dikatakan bertanggungjawab terhadap operasi 7 Oktober 2023 dan segala kesannya yang masih dirasai sehingga kini.

Hakikatnya, pimpinan para pejuang telah menggunakan segala ruang untuk mendapatkan keadilan. Dalam keadaan itu, mereka masih dikepung dari udara, darat dan laut, dengan tembok, kawalan tentera dan senjata api tanpa sebarang sebab yang sah dari segi undang-undang. Mereka juga dihujani bom dan bahan letupan secara bertubi-tubi, sekitar lima kali. Pelbagai usaha yang dilakukan oleh masyarakat antarabangsa juga disia-siakan oleh rejim ini dengan bantuan Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah.
Justeru, tindakan pada 7 Oktober 2023 adalah sah dari segi undang-undang yang memberikan kebebasan untuk melakukan penentangan bersenjata terhadap pihak penjajah. Hal yang sama sedang dilakukan oleh Zelensky bagi membebaskan Ukraine daripada penjajahan Rusia. Namun, bezanya, Zelensky diberikan bantuan ketenteraan, persenjataan, sokongan politik serta perlindungan ekonomi dan sosial, manakala al-Sinwar dipersalahkan atas tujuan dan tindakan yang sama.
Seterusnya, pihak yang menjatuhkan lebih 250,000 tan bahan letupan ke atas Gaza ialah pentadbiran kerajaan Benjamin Netanyahu sendiri. Pembunuhan lebih 20,000 kanak-kanak dan 50,000 orang pula disebabkan oleh serangan udara dan darat tentera IDF sendiri, dengan bantuan daripada Amerika Syarikat, negara-negara Eropah dan negara-negara Arab. Semua pembunuhan ini merupakan jenayah yang telah berlaku sejak 1948 sehingga hari ini. Bezanya, dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini, semuanya dirakam dan disiarkan secara langsung dalam era perkembangan teknologi maklumat dan media sosial.
Seterusnya, dakwaan yang menyatakan bahawa al-Sinwar bersembunyi di dalam terowong bersama tebusan warga Israel juga adalah palsu. Pertama, tentera IDF sendiri tidak mempunyai kemampuan untuk mengetahui keadaan, kedudukan dan sifat terowong di dalam Gaza. Justeru, bagaimana mereka boleh mendakwa bahawa al-Sinwar berada di dalam terowong?
Seterusnya, rakaman yang disiarkan oleh pihak al-Qassam seakan-akan menjawab naratif Zionis yang menyatakan bahawa al-Sinwar seorang yang pengecut. Beliau sebenarnya dilihat berada di medan tempur sambil berjalan dan meletakkan selimut di belakangnya sebagai helah untuk mengelirukan penglihatan dron peninjau. Rakaman tersebut juga menunjukkan al-Sinwar bersama rakan-rakan pejuangnya merancang dan beroperasi di dalam bangunan di atas tanah, bukannya di dalam terowong.



Bukti terakhir yang jelas dan boleh dikongsikan tentang keberanian al-Sinwar ialah keadaan ketika beliau terbunuh di Rafah. Ketika itu, Rafah sedang giat dimusnahkan oleh tentera darat IDF. Kalaulah benar al-Sinwar seorang yang pengecut, beliau tidak akan berada di sana. Sebaliknya, beliau berada di barisan paling hadapan, bertempur dengan tentera IDF sehingga ke akhir hayatnya akibat terkena tembakan meriam dan peluru penembak tepat.
Dalam salah satu video yang ditayangkan oleh al-Qassam, ketika berada di Rafah bersama para pejuang yang lain, beliau berkongsi sebuah syair yang menjadi slogan para pejuang pembebasan sejak 100 tahun dahulu:
وَلِلْحُرِّيَّةِ الْحَمْرَاءِ بَابٌ بِكُلِّ يَدٍ مُضَرَّجَةٍ يُدَقُّ
(Wa lil-ḥurriyyatil-ḥamrā'i bābun, bikulli yadin muḍarrajatin yudaqqu)
"Dan bagi kebebasan yang merah itu ada pintu, yang diketuk dengan setiap tangan yang berlumuran darah."

Ben Gvir Mahu Membakar Jasadnya, al-Sinwar Telah Membakar Impian Negara Zionis untuk Bergenerasi Lamanya
Terakhir, betapa takutnya rejim Zionis ini terhadap al-Sinwar sehingga Menteri Ben Gvir berazam untuk membakar jenazah al-Marhum sebagai simbolik keberaniannya dalam membela idea Zionisme sekiranya memenangi pilihan raya akan datang.
Walhal, al-Marhum telah pun syahid. Bukan beliau sahaja yang telah syahid, malah abangnya, seorang alim agama bernama Zakaria al-Sinwar, dan adiknya, Muhammad al-Sinwar, yang juga merupakan seorang komander yang berani dan berada di barisan hadapan, turut terkorban. Begitu juga puluhan ahli keluarganya.
Akan tetapi, roh dan legasi al-Sinwar akan terus menghantui rejim ini. Inilah pendapat Ruvik Rosenthal, salah seorang panel dalam akhbar Haaretz, yang menyebut:
“Yahya Sinwar won, defeated Israeli society, and not for a year or for the next three years, but for generations. (Yahya Sinwar telah menang, mengalahkan masyarakat Israel, dan bukan untuk tempoh setahun atau tiga tahun akan datang, tetapi untuk beberapa generasi).”
Antara hujah beliau ialah perjuangan dan pengorbanan al-Sinwar telah menyebabkan masyarakat Israel berubah menjadi sebuah entiti pengganas yang diiktiraf oleh dunia. Perkara ini berkemungkinan akan kekal untuk tempoh yang lama.
Hal ini telah menghancurkan usaha selama puluhan tahun untuk menjadikan dunia menerima negara penjajah ini sebagai sebuah negara yang normal, aman dan mesra. Namun, apa yang berlaku ialah negara ini semakin dipulaukan, ditinggalkan dan dimalukan di seluruh dunia. Bahkan, Benjamin Netanyahu sendiri telah disabitkan kesalahannya di peringkat antarabangsa.
Keadaan ini sebenarnya telah disebutkan oleh al-Marhum dan, dengan izin Allah, perkara itu telah pun terjadi!
Kata al-Sinwar:
إمّا أن نضع إسرائيل المحتلّة في حالة من الفوضى والمواجهة مع العالم، وتصبح معزولةً إلى أقصى حدّ، وتنتهي دولتهم بالانهيار
“Atau kami akan meletakkan penjajah Israel dalam keadaan kacau-bilau dan berhadapan dengan dunia antarabangsa. Mereka akan terasing secara ekstrem, dan negara mereka akhirnya akan runtuh.”
Harapan
Menjadi kewajipan umat Islam untuk menggunakan saat ini bagi memastikan isu Palestin terus menjadi sebutan. Isu ini mesti diperjuangkan dari segenap sudut: kemanusiaan, keagamaan, ekonomi, geopolitik dan ketenteraan, serta dengan meneladani keberanian para pejuang.
Semoga kembalinya al-Marhum memberikan kesan yang lebih besar kepada kita semua untuk meneruskan perjuangan demi mendapatkan reda Allah SWT.