Kembali
Ucapan Abu Ubaidah diajukan kepada negara penjamin dan seluruh umat Islam
Ust Megat Aiman Hakim bin Megat Shariffudin
Jun 3, 2026

Teguran Abu Ubaidah semalam cukup tajam. Teguran tersebut ditujukan kepada negara-negara penjamin yang sepatutnya berperanan membela nasib Gaza.
“أنتم اليوم أولياء الدم، ولم يعد مقبولا منكم الصمت، وأملنا بكم لا ينقطع”
"Kalian pada hari ini adalah pembantu kepada pihak yang menumpahkan darah para syuhada, dan tidak lagi dapat diterima daripada kalian untuk terus berdiam diri. Harapan kami terhadap kalian tidak pernah terputus."
Abu Ubaidah memulakan ucapannya berkenaan kesyahidan dua pimpinan besar dalam struktur Briged Izzudin al-Qassam. Pertama, Syaikh Izzudin al-Haddad. Beliau merupakan komander Briged Izzudin al-Qassam di Gaza (utara), dan beliau jugalah yang menyandang jawatan Ketua Turus Briged Izzudin al-Qassam, menggantikan Yahya al-Sinwar dan Muhammad al-Deif.
Kedua, Muhammad Odah. Beliau merupakan komander Briged Izzudin al-Qassam di wilayah selatan, selain menyandang tugas mengetuai jabatan perisikan. Kedua-dua ketua yang telah dibunuh ini dimuliakan oleh Allah dengan kesyahidan setelah menginfakkan seluruh nyawa mereka untuk berjuang di jalan Allah.
Mengingat hadis Rasulullah SAW:
رِبَاطُ يَوْمٍ وَلَيْلَةٍ خَيْرٌ مِنْ صِيَامِ شَهْرٍ وَقِيَامِهِ
"Berjaga (ribat: berjuang di jalan Allah) selama sehari semalam (di jalan Allah) lebih baik daripada berpuasa dan mendirikan qiyamullail selama sebulan." (Hadis disahihkan oleh al-Imam al-Albani)
Begitu jugalah dengan pembunuhan yang berlaku setiap hari. Kanak-kanak, wanita dan orang awam gugur sebagai syuhada sekitar lima orang setiap hari, termasuk pada Hari Raya Aidiladha.
Hal ini menimbulkan persoalan tentang kewujudan negara-negara penjamin seperti Mesir, Qatar dan Turkiye. Di manakah tekanan terhadap pihak penindas, dan apakah usaha yang boleh dilakukan untuk menghentikan genosid terhadap penduduk Gaza?
Abu Ubaidah tidak bertanyakan tentang Amerika.
إن المقاومة لا تخاطب الولايات المتحدة الأمريكية وإنما تخاطب "أبناء أمتها ألا يساووا بين الضحية والجلاد" وأن "يقفوا موقف شرف يسجله لهم التاريخ".
“Sesungguhnya pihak pejuang tidak sedang berbicara kepada Amerika Syarikat. Sebaliknya, mereka menyeru anak-anak umatnya (umat Islam) agar tidak menyamakan antara mangsa (Gaza) dan penindas (Zionis), serta agar mereka mengambil pendirian yang bermaruah yang akan dicatat oleh sejarah untuk mereka.”
Hal ini sudah tentu kerana Amerika merupakan penaja utama pihak penindas sejak awal berlakunya genosid sehingga ke saat ini. Penaja kewangan, persenjataan, ketenteraan, politik dan sebagainya.
Abu Ubaidah mengajukan soalan yang amat jelas kepada negara-negara penjamin:
"فأين أنتم وأين ضمانتكم وأين التزامكم؟"
"Jadi, di manakah pendirian kalian? Di manakah jaminan yang kalian berikan? Dan di manakah komitmen yang kalian janjikan?"
"جرائم الاغتيال وكل ما يشهده قطاع غزة من جرائم تضع الوسطاء والضامنين أمام لحظة الحقيقة"
"Jenayah pembunuhan serta segala bentuk jenayah yang berlaku di Gaza hari ini meletakkan negara-negara penjamin berhadapan dengan saat penentuan yang sebenar."
Saat penentuan sama ada benar-benar wujud gencatan senjata atau kewujudan mereka hanya sekadar simbolik, atau sekadar untuk meredakan kemarahan global.
Sehubungan dengan itu, gesaan untuk memperjuangkan isu Palestin juga terletak pada bahu umat Islam seluruhnya, bukan hanya pada negara-negara penjamin seperti Qatar dan Mesir.
Sehingga hari ini, masih banyak negara Islam yang terlibat dalam hubungan perdagangan dengan negara penindas, menyekat suara rakyat daripada bercakap tentang isu Palestin, serta menyekat saluran yang ada untuk menyumbang kepada rakyat Palestin.
Jenayah genosid yang berlaku bukan hanya disebabkan kejahatan Netanyahu dan Trump semata-mata, tetapi juga kerana seluruh dunia yang sama ada berdiam diri atau bersama-sama dalam jenayah tersebut.
Sebagai peringatan, ketika Allah menyebut tentang kejahatan Firaun, Allah tidak hanya menyebut tentang dirinya, tetapi juga kaumnya yang turut bersama-sama dalam kezaliman.
Turut bersama bagaimana?
Teliti firman Allah SWT:
فَاسْتَخَفَّ قَوْمَهُ فَأَطَاعُوهُ ۚ إِنَّهُمْ كَانُوا قَوْمًا فَاسِقِينَ
“(Dengan yang demikian), maka Firaun memperbodohkan kaumnya, lalu mereka mematuhinya; sesungguhnya mereka itu ialah kaum yang fasik lagi derhaka.”
Maksud “memperbodohkan” menurut Imam al-Sa’di:
"Dia (Firaun) mempermainkan akal fikiran mereka (kaumnya) dengan hujah-hujah syubhah yang dikemukakannya; hujah-hujah yang tidak memberi manfaat sedikit pun dan tidak menghilangkan kelaparan, tidak mempunyai hakikat yang kukuh di sebaliknya, bukan dalil yang membuktikan kebenaran mahupun kebatilan, dan hanya laku dalam kalangan mereka yang lemah akal.
Apakah dalil yang menunjukkan bahawa Firaun berada di pihak yang benar hanya kerana kerajaan Mesir berada dalam kekuasaannya dan sungai-sungainya mengalir di bawah pemerintahannya?
Dan apakah dalil yang menunjukkan bahawa apa yang dibawa oleh Musa adalah batil hanya kerana pengikutnya sedikit, lidahnya kurang fasih, dan Allah tidak menghiasinya dengan perhiasan dunia?
Akan tetapi, Firaun berhadapan dengan golongan pembesar yang tidak menggunakan akal mereka. Maka apa sahaja yang diperkatakannya, sama ada benar atau batil, mereka tetap mengikutinya."
Sambung Imam al-Sa’di berkenaan firman Allah bahawa “mereka itu ialah kaum yang fasik lagi derhaka”:
"Maka disebabkan kefasikan mereka, Allah membiarkan Firaun menguasai mereka, lalu dia memperindahkan syirik dan kejahatan di mata mereka."
Walaupun pemimpin-pemimpin dunia hari ini tidaklah sama seperti kaum Firaun, ketaatan yang diberikan oleh sebahagian negara, termasuk Trump kepada Netanyahu, adalah lebih kurang sama dan merupakan sesuatu yang menghairankan.
Terang-terang Netanyahu dikehendaki oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa disebabkan jenayah genosid. Tangannya bertanggungjawab membunuh lebih 100,000 manusia, termasuk 20,000 daripadanya kanak-kanak, serta mencederakan lebih 200,000 manusia.
Dalam keadaan ini pun, Amerika dan banyak negara Eropah serta negara Islam masih mentaatinya dan tidak berani untuk mencabarnya.
Semoga usaha perjuangan di peringkat rakyat awam tidak berkurangan. Teruskan bercakap tentang isu Palestin. Setiap daripada kita mempunyai tanggungjawab yang perlu ditunaikan demi pembelaan Palestin.
Ust Megat Aiman Hakim bin Megat Shariffudin
Pegawai Penyelidik Aqsa Syarif