Kembali

Tiada Istilah Menyerah Kalah dalam Kamus Briged al-Qassam

Megat Aiman Hakim bin Megat Shariffudin

Nov 18, 2025

Sehingga kini, Amerika Syarikat dan rejim penjajah masih belum mempunyai kata putus berhubung kira-kira 200 pejuang yang berada di dalam terowong di Rafah. Menurut laporan Al Jazeera, 200 pejuang ini telah bertempur dengan tentera Zionis yang cuba mengancam nyawa mereka—pertama pada 19 Oktober dan kali kedua pada 29 Oktober.

Kedua-dua pertempuran tersebut mengakibatkan tiga orang tentera Zionis terbunuh. Akibat daripada itu, rejim Zionis telah melancarkan serangan terhadap penduduk awam di seluruh Gaza sehingga menyebabkan lebih 100 orang syahid, dan lebih satu pertiga daripadanya ialah kanak-kanak. Tindakan yang tidak munasabah ini tetap menerima kelulusan Amerika Syarikat kononnya sebagai tindak balas terhadap kematian tiga tentera Yahudi di Rafah.

Pihak penjajah kemudian menawarkan dua pilihan kepada para pejuang di Rafah: sama ada dibunuh atau ditangkap. Namun Amerika menolak pilihan tersebut. Cadangan kedua ialah membenarkan para pejuang keluar dengan selamat dari terowong di Rafah sebelum dihantar menetap di negara lain. Inilah cadangan terakhir yang dipersetujui oleh Amerika dan Netanyahu 24 jam yang lalu.

Kedua-dua pilihan ini ditolak oleh pimpinan para pejuang. Mereka memberikan kenyataan bermaruah yang mengajar dunia tentang erti perjuangan, pengorbanan, dan keyakinan penuh kepada Tuhan Yang Maha Berkuasa.

المسؤولية الكاملة عن الالتحام مع مجاهدينا في رفح الذين يدافعون عن أنفسهم داخل منطقة خاضعة لسيطرته

"Tanggungjawab penuh (rejim Zionis) atas pertempuran dengan para mujahidin kami di Rafah yang hanya mempertahankan diri mereka di dalam kawasan yang berada di bawah kawalan musuh."

Mereka turut menegaskan:

ليعلم العدو أنه لا يوجد في قاموس كتائب القسام مبدأ الاستسلام وتسليم النفس للعدو

"Agar musuh tahu bahawa dalam kamus Briged al-Qassam, tidak wujud prinsip menyerah kalah atau memberikan diri kepada musuh.”

Ini adalah kenyataan berani, bukan sahaja terhadap musuh utama mereka, rejim Zionis, tetapi juga terhadap Amerika Syarikat dan negara-negara sekutunya yang menentang perjuangan Islam di bumi suci Palestin.

Kenyataan ini memberi isyarat jelas bahawa para pejuang di Rafah—termasuk di Timur Khan Younis dan utara Jabalia yang berada di dalam terowong—tidak akan menyerah diri. Mereka akan terus berada dalam keadaan bersiap siaga untuk melawan dan mempertahankan diri daripada serangan musuh sehingga Allah mencabut nyawa mereka sebagai syuhada.

Mereka mempertahankan tanah air dan maruah agama Islam melebihi nyawa sendiri. Inilah sunnah perjuangan para rasul dalam menegakkan agama ini dengan segala kekuatan yang dimiliki hingga ke akhir hayat.

Ia adalah amalan soleh yang direkodkan dalam al-Quran dan dijanjikan ganjaran syurga kepada mereka yang gugur di jalan Allah.

Allah SWT berfirman:

وَمِنَ النَّاسِ مَن يَشْرِي نَفْسَهُ ابْتِغَاءَ مَرْضَاتِ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ رَءُوفٌ بِالْعِبَادِ
"Dan antara manusia ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan Allah semata-mata; dan Allah Maha Belas Kasihan terhadap hamba-hamba-Nya." (al-Baqarah: 207)

Tanda Kegagalan Strategi, Ketenteraan dan Teknologi

Dari sudut ketenteraan, kewujudan 200 pejuang yang dikenal pasti berada di Rafah menunjukkan kelemahan ketenteraan rejim Zionis. Seluruh wilayah Rafah telah musnah; tiada rumah yang terselamat daripada serangan dan runtuhan. Bahkan tentera Zionis telah membina kubu ketenteraan mereka di sana.

Namun dalam keadaan sebegitu sekalipun, tentera Zionis masih gagal menjejaki para pejuang di dalam terowong Rafah. Malah tiga tentera mereka terbunuh akibat serangan balas para pejuang. Senjata para pejuang bukanlah senjata moden, sebaliknya hanyalah bahan letupan buatan sendiri dan senjata ringan, sedangkan musuh memiliki dron serangan dan intipan, senjata berteknologi tinggi, serta perisai yang kukuh.

Ini menunjukkan bahawa Rafah sebenarnya tidak pernah dikuasai sepenuhnya oleh pihak musuh. Ketiadaan penduduk awam menghalang mereka daripada mendapatkan maklumat pergerakan para pejuang. Runtuhan bangunan dan kerosakan jalan turut menyukarkan pergerakan tentera Zionis tetapi memberi kelebihan kepada para pejuang yang lebih mengenali kawasan itu.

Para pejuang memanfaatkan jaringan terowong mereka yang sangat berbahaya kepada musuh. Ia melindungi mereka, membolehkan mereka membuat intipan, serta merancang strategi serangan. Selagi mereka bersabar, berjuang dan bertawakal kepada Allah SWT, jaringan ini mustahil dapat ditumpaskan.

Bagaimana Mereka Hidup?

Satu perkara besar yang sering kita terlepas pandang:
Bagaimana mereka hidup? Dari mana mereka mendapat makanan dan minuman? Mereka sedang dikepung sepenuhnya—bukan sekadar dalam Gaza yang terkepung, tetapi berada di kawasan kubu musuh yang dipantau 24 jam dari udara.

Semua ini hanya berlaku dengan izin Allah Yang Esa. Dialah yang menjaga mereka di hadapan ancaman rejim Zionis, Amerika dan sekutunya. Betapa kuat pun musuh, kekuatan Allah jauh melampaui segalanya.

Selagi Allah tidak mengizinkan mereka kalah, mereka tidak akan kalah.

Keadaan para pejuang ini menggambarkan kebenaran hadis Rasulullah SAW:

وَلَوْ اجْتَمَعُوا عَلَى أَنْ يَضُرُّوكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَضُرُّوكَ إِلَّا بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللَّهُ عَلَيْكَ، رُفِعَتِ الأَقْلَامُ وَجَفَّتْ الصُّحُفُ

"Sekiranya mereka semua berkumpul untuk memudaratkan kamu dengan sesuatu, mereka tidak akan mampu melakukannya kecuali dengan sesuatu yang telah Allah tetapkan ke atasmu. Pena-pena telah diangkat dan lembaran takdir telah kering."

Allah tidak menakdirkan kewujudan 200 pejuang di Rafah secara sia-sia. Wakil Amerika Syarikat, Jared Kushner dan Steven Witkoff, datang sendiri ke Tel Aviv dari Amerika bagi membincangkan nasib mereka. Begitu besar ancaman mereka pada pandangan musuh.

Moga kita juga mengambil iktibar dan berjuang semampu mungkin sehingga Palestin merdeka.

Ustaz Megat Aiman Hakim bin Megat Shariffudin
Pegawai Penyelidik Aqsa Syarif