Kembali

'Supply and Demand' : Corak Manifesto Zalim Israel

Nadia Shamsul

Sep 25, 2026

‘Supply and Demand’ Corak Manisfesto Zalim Israel

 

Bahang Kempen Pilihan Raya Legislatif ke-26 bagi memilih 120 ahli Knesset kini kian terasa. Pilihan raya kali ini bakal menentukan landskap pentadbiran baharu yang bakal menggantikan kerajaan yang ke-37 di bawah pimpinan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu (Anadolu 2026).

 

Justeru, seperti negara-negara yang lain yang memasuki fasa berkempen, ahli-ahli politik yang bertanding sudah pun mula berlumba-lumba menghamparkan pelbagai manifesto dan janji manis demi meraih sokongan pengundi. Namun, sebaik sahaja tirai kempen ini dibuka, maka tersingkaplah realiti yang cukup memualkan dalam sejarah kempen pilihan raya sepanjang zaman.

 

Kita mengambil contoh seperti di Malaysia, dalam sistem demokrasi yang di amalkan secara sihat, manifesto ini secara umumnya akan menjadi satu komitmen bertulis sesebuah pihak yang menawarkan hala tuju sosioekonomi. Fokus utamanya adalah untuk memacu kesejahteraan rakyat ke arah yang lebih baik menerusi pemerkasaan fasiliti kesihatan, penambahbaikan mutu pendidikan, penyediaan peluang pekerjaan, serta pengukuhan ekonomi negara (Britannica 2026).

 

Ironinya di Israel, naratif tersebut sepertinya tidak berlaku. Janji-janji kempen yang dijaja langsung tidak memberikan penumpuan kepada usaha membina kebajikan rakyat atau memulihkan imej negara yang sudah pun busuk di persada antarabangsa akibat genosid dan pencerobohan di Gaza. Sebaliknya, tawaran politik yang dilaburkan dalam pemikiran pengundi adalah manifesto yang berpaksikan kesengsaraan, penindasan dan pembantai ke atas rakyat Palestin.  

 

Sejarawan dan figura terkemuka, Ilan Pappe dalam satu siaran ‘podcast’ bersama Jay Shapiro pada Februari 2026 yang lalu pernah menyebutkan bahawa struktur politik Israel kini memasuki fasa di mana dukungan kepada pentadbiran hanya mampu bertahan dengan menjadikan rakyat Palestin sebagai ‘kambing hitam’ dan musuh utama.

 

Kata-kata Pappe ini terbukti 8 bulan kemudian menerusi dua figura yang tidak asing lagi dalam sayap ekstrem kanan Israel pada hari ini iaitu Menteri Kewangan, Bezalel Smotrich dan Menteri Keselamatan Nasional, Itamar Ben-Gvir.

 

Jika di negara lain, menteri kewangan pastinya akan berbicara mengenai kadar inflasi dan harga barang, namun tidak bagi Smotrich kerana beliau kini lebih ghairah mempromosikan rancangan untuk mermperluaskan projek ‘Yahudidasi’ di kawasan Galilee dan Negev di Tebing Barat. Beliau turut berikrar untuk membawa masuk 1 juta pendatang haram menerusi rancangan yang diberi nama ‘revolusi penempatan’ di Tebing Barat yang pasti akan mengancam hak penduduk tempatan dari kalangan Arab Palestin. Statistik menunjukkan penduduk Palestin merangkumi 53% populasi di utara Israel, manakala Arab Badwi merangkumi sehingga 30% di kawasan Negev (Al Jazeera 2026).

 

Ben-Gvir menawarkan manifesto yang lebih provokatif. Beliau secara terbuka menggunakan kecerdasan buatan (AI) dan media sosial untuk mempersendakan tahanan Palestin, beliau turut memuatnaik video beliau mencerca tahahan wanita Palestin di penjara dan mengemukakan pelan pembersihan etnik dibawah rancangan "Disengagement 710". Rancangan tersebut bertujuan mengusir 1.86 juta rakyat Palestin keluar dari Gaza secara berperingkat dalam tempoh tujuh tahun atas nama "penghijrahan sukarela". Walaupun laporan akhbar tempatan seperti Yedioth Ahronoth mengesahkan tiada sebarang negara yang bersetuju menerima kemasukan rakyat Palestin dalam jumlah tersebut, pelan ini kekal dijaja sebagai tawaran utama kempen beliau (Arnaout & Kouachi 2026).

 

Fenomena ‘Ethnic Outbidding’ dan ‘Dehumanization’

 

Kecenderungan persaingan inilah yang disebutkan sebagai fenomena ‘ethnic outbidding’ atau persaingan berasaskan etnik. Berdasarkan takrifan ini, ia merujuk kepada keadaan di mana parti-parti politik bersaing sesama sendiri untuk membuktikan siapa yang paling tegar, ekstrem dan tidak akan bertolak ansur terhadap musuh (Tarkhani 2026).

 

Oleh yang demikian, mana-mana ahli politik yang cuba mengetengahkan wacana kedamaian atau diplomasi akan serta-merta digelar sebagai lemah atau pengkhianat. Pembentangan manifesto ini akhirnya menjadikan persaingan politik bertukar menjadi persaingan menaikkan taruhan keganasan terhadap penduduk Palestin. Sebagai contoh, sekiranya ada ahli politik berjanji untuk menyekat bekalan asas ke atas Gaza, pesaingnya pula akan berjanji untuk mengebom dengan lebih dahsyat demi memperlihatkan diri mereka sebagai ‘pelindung tegar’ Israel.

 

Persoalan, mengapa manifesto keganasan ini laku keras dalam kalangan rakyat Israel? Jawapannya terletak pada strategi memanipulasi ketakutan (politics of fear) dan proses penafian sifat kemanusiaan (dehumanization). Seperti yang diulas oleh Pappé (2024), elit politik telah berjaya menanam doktrin bahawa kewujudan fizikal rakyat Palestin itu sendiri adalah ancaman kepada nyawa masyarakat Israel. Malah, apabila sesebuah bangsa itu digambarkan bukan sebagai manusia tetapi sebagai ancaman keselamatan semata-mata, sebarang bentuk penindasan tidak lagi dianggap sebagai jenayah moral, sebaliknya diraikan sebagai tindakan mempertahankan diri.

 

Aspek paling kritis yang wajib dibedah bukanlah sekadar ketagihan kuasa mereka yamg berkempen, tetapi keruntuhan moral masyarakat pengundi itu sendiri. Dalam dinamik pilihan raya, wujud hubungan penawaran dan permintaan. Ahli politik hanyalah pembekal (supplier), manakala pengundi ialah peminta (demander) (Lemieux 2004). Seseorang ahli politik tidak akan menjual naratif yang tidak digemari pasaran pengundinya.

 

Oleh itu, sekiranya manifesto yang merestui pencerobohan, penyiksaan dan pembersihan etnik mampu menyapu jutaan undi, ia menandakan kerosakan moral yang amat parah dalam kalangan mereka. Penindasan bukan lagi dasar ketenteraan yang terpaksa dilakukan, sebaliknya menjadi syarat mutlak meraih sokongan.

 

Hakikatnya, kita tidak boleh salahkan ahli politik di sana sahaja kerana jika mengikut amalan demokrasi, mereka sudah pun menawarkan kepimpinan daripada rakyat, oleh rakyat, untuk rakyat seperti yang pernah disebutkan oleh Abraham Lincoln pada tahun 1863, namun dalam konteks Israel hari ini, demokrasi yang mereka bawakan bercampur dengan acuan zalim yang tersendiri. Apa yang kita saksikan di pentas politik Israel hari ini sebenarnya ialah cerminan tulen daripada kehendak akar umbi yang mahukan kesengsaraan rakyat Palestin.

 

Nadia Amira Shamsul

Penyelidik Aqsa Syarif