Kembali

Strategi 'False-flag' Israel

Nadia Amira Shamsul

Dec 17, 2025

Baru-baru ini, dunia dikejutkan dengan insiden tembakan rambang yang berlaku di Pantai Bondi, Australia. Serangan tersebut dilaporkan mensasarkan komuniti Yahudi di negara itu dan telah mengakibatkan sekurang-kurangnya 15 kematian dan 42 orang cedera (Al Jazeera 2025).

Rakaman video yang tersebar menunjukkan pelaku, Naveed Akram, memiliki kecekapan luar biasa mengisi peluru yang mana merupakan ciri yang lazimnya dikaitkan dengan individu yang mempunyai latihan ketenteraan atau keselamatan.

Namun, sebelum siasatan menyeluruh dijalankan, masyarakat dunia terutamanya di media sosial dengan pantas membentuk kesimpulan bahawa pelaku adalah seorang Muslim. Naratif ini kemudian digunakan untuk mengukuhkan stereotaip bahawa Islam merupakan agama yang radikal dan ganas.



Laporan awal media Barat turut menyebutkan penemuan bendera Islamic State (ISIS) di dalam kenderaan yang dikaitkan dengan suspek insiden tersebut (CNN 2025) walaupun kes-kese sebelum ini menunjukkan simbol tersebut sering disalahguna bagi membentuk persepsi tertentu sebelum fakta lengkap diperolehi. Usahawan dan aktivis, Lennie Moreno dalam videonya motif serangan itu dilakukan oleh seorang Muslim kerana pada akhirnya siapa yang sebenarnya mendapat manfaat? Sudah semestinya bukan dunia Islam (Lennieboy 2025). 

Dalam waktu yang sama, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, mengeluarkan kenyataan mengaitkan serangan tersebut dengan peningkatan sentimen antisemitik susulan pengiktirafan Australia terhadap negara Palestin. Beliau menyifatkan pengiktirafan itu sebagai satu bentuk “hadiah” kepada Hamas atas serangan 7 Oktober. Kenyataan ini sekali gus mengalihkan tumpuan perbincangan daripada sebuah insiden tempatan kepada insiden geopolitik yang lebih luas.

Bagi pemerhati yang mengikuti perkembangan genosid Israel ke atas Gaza, insiden di Pantai Bondi ini dilihat sebagai ‘false flag’, iaitu tindakan yang dimanipulasi bagi mencetuskan ketakutan, meraih simpati antarabangsa dan mengukuhkan legitimasi politik tertentu. Tindakan Netanyahu yang pantas mengambil ruang media untuk menekankan naratif penindasan terhadap komuniti Yahudi serta mengaitkannya dengan sokongan terhadap Palestin dilihat sebagai usaha membentuk persepsi awam secara strategik.

Dalam konteks Israel, walaupun tidak semua dakwaan dapat dibuktikan secara muktamad, terdapat beberapa peristiwa sejarah yang menunjukkan penggunaan strategi yang sama. Antara kes paling signifikan ialah Operation Susannah pada tahun 1954, yang juga dikenali sebagai The Lavon Affair. Operasi ini melibatkan ejen Israel di Mesir yang mensasarkan institusi awam milik Barat dengan tujuan mewujudkan persepsi bahawa nasionalis Mesir bertanggungjawab terhadap keganasan tersebut. Matlamatnya adalah untuk merosakkan hubungan Mesir dengan Amerika Syarikat dan Britain. Kegagalan operasi ini, selepas penangkapan ejen-ejen terlibat, telah membawa kepada pengakuan rasmi Israel, menjadikannya antara contoh paling jelas operasi ‘false flag’ dalam sejarah moden (Encyclopedia 2025).

Seiring perkembangan teknologi, strategi ini turut berevolusi dengan penglibatan operasi siber dan kempen penyebaran maklumat palsu. Antara tahun 2007 hingga 2008, memo dalaman CIA sendiri melaporkan tindakan ejen Mossad menyamar sebagai pegawai CIA untuk merekrut kumpulan Jundallah yang berpangkalan di Pakistan bagi melancarkan serangan di Iran bersama tawaran pasport dan ganjaran kewangan (Perry 2012).

Dalam konteks semasa, Israel juga dilihat secara konsisten menekankan naratif ancaman nuklear sebagai justifikasi kepada tekanan diplomatik dan tindakan ketenteraannya terhadap Iran. Ironinya, Israel sendiri tidak pernah menandatangani Perjanjian Non-Proliferasi Nuklear (NPT)  walaupun secara meluas dipercayai memiliki senjata nuklear (Geranmayeh 2025). Ketidakseimbangan naratif ini menimbulkan persoalan sama ada ancaman Iran digunakan sebagai ‘false flag’ secara strategik untuk mengalihkan perhatian dunia daripada genosid Israel di Palestin serta menormalisasikan tindakan cegah rintang ketenteraan dengan sokongan kuasa besar seperti Amerika Syarikat (Rahman 2025).

Selain itu, insiden pembunuhan Charlie Kirk, seorang pempengaruh konservatif Kristian terkenal di Amerika Syarikat, turut mencetuskan perbincangan dan tanda tanya. Walaupun Israel tidak secara langsung dikaitkan dalam siasatan awam, penafian berulang dan kenyataan awal daripada pihak Israel dilihat oleh sesetengah pihak sebagai satu bentuk kawalan naratif awal. Pendekatan ini bertujuan menutup ruang kepada persepsi negatif sebelum ia berkembang, namun pada masa sama menimbulkan persoalan dalam kalangan masyarakat yang semakin kritikal dan sedar terhadap permainan geopolitik.



Strategi ‘false flag’ dan manipulasi naratif bukanlah fenomena baharu dalam politik antarabangsa. Apa yang membimbangkan ialah kecenderungan umat Islam untuk terus dijadikan kambing hitam dalam insiden keganasan global, sementara faktor geopolitik yang lebih kompleks diketepikan. Justeru, kewaspadaan masyarakat, literasi media dan penilaian kritis terhadap sumber maklumat menjadi elemen penting bagi memastikan permainan persepsi ini tidak terus diambil kesempatan oleh pihak berkepentingan yang semestinya mahu menutup segala jenis jenayah perang dan komplot mereka terhadap rakyat Palestin. 

Nadia Amira Shamsul

Penyelidik Aqsa Syarif