Kembali

Squid Game Dunia Nyata: Gaza Dalam Pentas 'Dystopia'

Nadia Amira Shamsul

Jul 6, 2025

Siri drama Korea Selatan Squid Game yang ditayangkan menerusi platform Netflix telah berjaya mencetuskan fenomena global. Drama tersebut tidak hanya menawarkan hiburan semata-mata. Sebaliknya, jika dilihat dari sudut yang berbeza, siri popular ini mengangkat isu dan persoalan sosial yang berlegar-legar di dalam masyarakat mutakhir ini. Berdasarkan latar naratif yang bersifat distopia, siri ini memaparkan jurang ketara yang wujud di antara golongan elit dan masyarakat bawahan serta ketidakadilan sistem sosial yang terhasil akibat kapitalisme.


Secara tersurat, Squid Game mengisahkan tentang individu-individu yang dibelenggu dengan kesempitan hidup dan akhirnya terpaksa menyertai satu siri permainan maut yang menjanjikan ganjaran wang yang lumayan. Namun secara tersirat, siri ini memperlihatkan bagaimana jurang ekonomi mendorong sesetengah manusia untuk melakukan tindakan yang luar daripada kebiasaan demi kelangsungan hidup. Permainan yang dikendalikan oleh golongan atasan sebagai satu bentuk hiburan pula memperlihatkan realiti sebenar sistem kapitalis yang bersifat menindas, berpaksikan keuntungan dan kuasa. 


Konsep “pilihan” yang dipaparkan di dalam siri ini juga sebenarnya merupakan sebuah ilusi. Watak-watak dalam Squid Game dilihat seolah-olah secara sukarela memilih untuk menyertai permainan tersebut walhal penganjur permainan ini telah memerhati dan mempelajari latar belakang mereka terlebih dahulu sebelum ‘memilih’ mereka. Mereka yang terpilih adalah dari kalangan individu yang dibelenggu masalah hutang dan kemiskinan yang menjadikan keputusan yang mereka ambil bukan lagi sebuah pilihan yang bebas tetapi merupakan satu bentuk keterpaksaan (Tran 2025).


Dalam konteks ini, Squid Game boleh ditafsirkan sebagai perumpamaan kepada pertembungan antara kapitalisme dan prinsip demokrasi. Walaupun demokrasi menjanjikan kesamarataan dan hak kebebasan, namun realiti dunia hari ini menunjukkan bahawa sistem tersebut seringkali dikuasai dan dimanipulasi oleh segelintir pihak yang berkepentingan (Tran 2025).


Tapi, apa kaitan Squid Game dengan apa yang sedang berlaku di Gaza? 


Pada 27 Jun yang lalu, akhbar Israel, Haaretz telah menerbitkan satu laporan yang membongkar kewujudan arahan rasmi kepada tentera rejim Zionis untuk melepaskan tembakan ke arah orang awam yang berkumpul di pusat-pusat agihan bantuan makanan yang dikelola oleh Gaza Humanitarian Foundation (GHF), agensi yang ditubuhkan oleh rejim Zionis sendiri. Tindakan ini dikatakan sebagai sebahagian daripada "strategi untuk mengawal orang ramai". Dengan kata lain, tentera rejim Zionis menggunakan tembakan peluru hidup untuk mengarahkan orang awam supaya bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain untuk mendapatkan bantuan (Damon 2025).


Seorang tentera Zionis yang ditemubual oleh Haaretz mendedahkan bahawa operasi agihan makanan itu diberi nama “Operasi Ikan Masin” (Operation Salted Fish). Ia merupakan rujukan sinis kepada permainan kanak-kanak “Lampu Merah, Lampu Hijau” yang dipopularkan oleh Squid Game. Dalam siri tersebut, peserta yang didapati bergerak sebelum diberikan isyarat untuk bergerak atau masih bergerak selepas diberikan isyarat untuk berhenti akan ditembak mati. Inilah realiti ngeri yang sedang dihadapi oleh rakyat Palestin di Gaza pada hari ini (Damon 2025). 


Setiap hari sejak GHF mulai beroperasi, puluhan ribu penduduk Gaza yang kelaparan akan beratur di pusat-pusat agihan sejak awal-awal pagi lagi ataupun lewat malam. Operasi agihan GHF berlangsung dalam tempoh hanya satu jam. Dalam tempoh tersebut, penduduk yang hadir untuk mendapatkan bantuan perlu ‘berlumba’ mendapatkan bekalan yang diperlukan. GHF tidak memiliki sebarang mekanisme kawalan yang tersusun selain melepaskan tembakan. Sekiranya terdapat penduduk awam yang menghampiri lokasi bantuan terlebih awal atau melebihi had masa yang ditetapkan, mereka akan ditembak tanpa mengira sama ada mereka adalah wanita mahupun kanak-kanak (Graves 2025).


Seorang lagi tentera Zionis merujuk pusat-pusat agihan bantuan GHF sebagai medan pembunuhan. Satu daripada lima orang awam akan terbunuh pada setiap hari. Penduduk awam yang datang untuk mendapatkan bantuan dilayan seperti musuh yang bersenjata. Tidak ada penggunaan gas pemedih mata atau tembakan amaran. Apa yang ada hanyalah peluru hidup, mesingan berat, pelancar bom tangan dan mortar. Bahkan ada tentera Zionis yang mengaku telah melancarkan tembakan dari kereta kebal yang mereka pandu (Damon 2025). 


Dalam satu temubual Middle East Eyes (MEE) bersama seorang lelaki Gaza, Yousef al-Ajouri, beliau menggambarkan pengalaman ngerinya bersama penduduk Gaza yang lain di pusat agihan bantuan GHF. Beliau menyaksikan bagaimana nyawa rakyat Palestin seolah-olah dijadikan bahan tontonan dan hiburan oleh tentera rejim Zionis. Tentera Zionis yang berkawal tidak jauh daripada lokasi agihan bantuan bukan sahaja mengacukan muncung senjata ke arah orang awam bahkan turut merakam situasi yang mengaibkan ini dengan gelak ketawa. Keadaan tersebut mengingatkan Yousef kepada babak dalam Squid Game ketika kematian dan penderitaan manusia dipertontonkan seolah-olah satu permainan oleh pihak yang lebih berkuasa daripada mereka (Dreamly 2025).


Selesai agihan, bom asap berwarna merah akan dilepaskan ke udara sebagai isyarat untuk mengosongkan kawasan. Ini akan disusuli dengan tembakan secara rambang ke arah orang awam yang masih berada di tempat kejadian. Akibatnya, banyak penduduk yang cedera. Bahkan ada yang terkorban dalam keadaan bahan bantuan berada di dalam pelukan mereka (MEE 2025). 


Pendedahan Haaretz ini mengabsahkan kebimbangan yang telah lama dilontarkan oleh agensi kemanusiaan antarabangsa seperti Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Untuk Pelarian Palestin (UNRWA) dan Doctors Without Borders (MSF) bahawa GHF hanyalah sebahagian daripada operasi pembersihan etnik di Gaza oleh rejim Zionis. MSF menyelar operasi ini sebagai “penyembelihan yang berselindung di sebalik topeng bantuan kemanusiaan” (Damon 2025). 


Terbaru, lebih daripada 130 organisasi bantuan kemanusiaan termasuk Oxfam, Save The Children dan Amnesty International telah mengesa kepada penutupan operasi GHF ekoran jumlah kematian orang awam yang begitu tinggi (MEE, 2025). Setakat 1 Julai 2025, Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan seramai 600 orang penduduk Gaza telah terkorban dan lebih 4,278 orang cedera dalam cubaan mendapatkan bekalan makanan di pusat-pusat agihan GHF.


Mandat pengagihan bantuan kemanusiaan perlu dikembalikan semula kepada agensi PBB dan antarabangsa yang berpengalaman. Agensi-agensi ini mempunyai jalinan kerjasama yang baik dengan persatuan penduduk dan kabilah-kabilah tempatan di Gaza. Kejayaan agensi ini menyalurkan bantuan ke utara Gaza baru-baru ini, wilayah yang tidak berjaya diakses oleh GHF, adalah testimoni kepada kemampuan sebenar mereka. Malangnya kejayaan ini hanya menimbulkan kemarahan rejim Zionis yang masih enggan mengakui kegagalan operasi GHF (Aladam 2025).


Apa yang berlaku di Gaza adalah cerminan kepada sistem penindasan yang telah disusun secara sistematik. Ratusan ribu nyawa manusia dijadikan taruhan. Penderitaan mereka menjadi hiburan kepada para Zionis sadistik. Pada waktu yang sama para kapitalis bergembira dengan wang berbilion-bilion yang bertukar tangan hasil penjualan senjata dan aset ketenteraan. 


Penjajah Zionis dan kapitalis yang mendokong mereka mendakwa penduduk Gaza mempunyai pilihan. Bantuan ada tapi perlu bertaruh nyawa untuk mendapatkannya dan perlu melalui GHF. Perang boleh berhenti bila-bila masa asalkan penduduk Gaza memilih untuk menyerah diri dan memilih jalan damai. Gaza boleh bebas asalkan bukan Hamas yang memerintah! Walhal semua pilihan yang mereka tawarkan hanyalah ilusi. Ia bukan pilihan, ia adalah keterpaksaan dan eksploitasi ke atas penderitaan manusia tanpa kompromi.