Kembali
Serangan Mengejut Iran: Isyarat Permulaan Perang atau Sekadar Amaran?
Ustaz Megat Aiman Hakim bin Megat Shariffudin
Jun 8, 2026

Malam semalam, tanpa sebarang amaran, Iran telah melancarkan beberapa gelombang serangan terhadap negara haram penindas. Laporan menunjukkan serangan berlaku di utara, sekitar Al-Galil, namun Haifa (barat) dan wilayah tengah turut disasarkan.
Jutaan penduduk Yahudi di negara haram penindas bermalam di dalam kubu pertahanan bawah tanah. Ada yang tidak sempat menyelamatkan diri. Pihak rejim penindas melaporkan semua serangan berjaya ditangkis, namun rakaman penduduk awam menunjukkan hal yang berbeza. Banyak serangan berjaya melepasi semua lapisan pertahanan udara dan sampai ke sasaran.
Serangan kali ini merupakan amaran kepada rejim penindas agar menghormati gencatan senjata. Salah satu perjanjian yang dipersetujui ialah operasi tentera rejim penindas mesti dihentikan di Lubnan. Namun, hal itu tidak dipedulikan. Wilayah di selatan Lubnan terus dicerobohi, lebih sejuta penduduk awam menjadi pelarian di negara sendiri dan pembedilan berlaku setiap hari sehingga menyebabkan ramai terbunuh termasuk penduduk beragama Kristian.
Bukan itu sahaja, provokasi terhadap agama Kristian turut dilakukan. Patung yang dipercayai oleh penganut Kristian sebagai Nabi Isa diruntuhkan, patung yang dipercayai sebagai Virgin Mary diletakkan putung rokok, gereja dimusnahkan dan banyak lagi.
Semua ini termasuk dalam bentuk pelanggaran perjanjian gencatan senjata yang dipersetujui bersama Iran selama hampir empat bulan. Tidak dinafikan Amerika ada melakukan sesuatu untuk menghentikan pelanggaran tersebut, namun hanya melalui perbualan telefon. Jelas bahawa mereka tidak bersungguh-sungguh untuk memastikan rejim penindas menghormati perjanjian gencatan senjata.
Sebagai hukuman terhadap rejim penindas kerana gagal menghormati perjanjian gencatan senjata, Iran telah melancarkan serangan roket secara bertubi-tubi selepas pengeboman terbaharu dilakukan oleh rejim penindas terhadap Lubnan.
Namun, serangan Iran tersebut bukanlah serangan yang bertujuan untuk memulakan peperangan. Ia lebih bersifat amaran kepada Amerika dan rejim penindas. Roket-roket yang digunakan merupakan roket lama dan tidak berteknologi tinggi serta tidak mempunyai kadar letupan yang tinggi. Hal ini menunjukkan bahawa Iran tidak mahu menyebabkan kerosakan yang lebih besar, tetapi cukup sekadar menyampaikan amaran.
Trump memahami hal tersebut dan meminta rejim penindas supaya tidak membalas serangan. Walaupun begitu, seperti biasa, sama ada permintaan tersebut sememangnya sekadar simbolik ataupun tidak dipenuhi oleh rejim penindas, Iran diserang semula. Serangan berlaku di pelbagai wilayah termasuk loji petrokimia.
Penganalisis juga berpendapat bahawa serangan kali ini menunjukkan Iran tidak lagi sama seperti dahulu. Iran kali ini lebih bersedia untuk menyerang musuh dan memasuki tempoh peperangan secara aktif dalam jangka masa yang lebih panjang. Laporan menyatakan Iran telah mengembalikan 90% kekuatannya selepas menerima belasan ribu serangan daripada Amerika dan rejim penindas.
Serangan semalam juga bertujuan menyamakan Iran dan Lubnan sebagai medan yang sama. Sekiranya Amerika boleh memastikan serangan tidak berlaku ke atas Iran, perkara yang sama sepatutnya berlaku di Lubnan. Meletakkan Lubnan di luar perjanjian gencatan senjata bermaksud Iran berhak untuk bertindak balas termasuk dengan menggunakan kekerasan.
Sehubungan itu, kemungkinan besar peperangan akan berterusan seperti pada bulan Februari hingga Mac yang lalu. Hal ini kerana selatan Lubnan akan terus dijajah. Jika operasi di sana terhenti dan berlaku pengunduran tentera dari wilayah yang dijajah, ia merupakan satu bentuk kekalahan yang memalukan bagi rejim penindas dan kemenangan bagi Iran.
Bukan itu sahaja, pengosongan semula wilayah selatan Lubnan juga memberikan kelebihan kepada pasukan Hizbullah untuk membina semula kekuatan bagi menyerang rejim penindas dengan lebih kuat. Atas pertimbangan ini, kemungkinan pelanggaran gencatan senjata akan terus berlaku dan hal inilah yang menyumbang kepada tercetusnya peperangan.
Di manakah Iran dalam isu Gaza?
Kedudukan Iran dalam isu Gaza sering dipersoalkan kerana mereka tidak bersama Gaza seperti pasukan Hizbullah di Lubnan. Namun, persoalan yang lebih jelas daripada itu ialah kedudukan negara-negara Islam yang bukan sahaja tidak bersama Gaza, malah membantu rejim penindas membunuh umat Islam dan menjajah lebih banyak tanah umat Islam di sana.
Tanpa menafikan dosa Iran di Syria, Iraq dan Yaman sekitar tiga dekad yang lalu, Iran telah memberikan bantuan perlindungan politik kepada pemimpin Hamas, latihan ketenteraan dan persenjataan kepada tentera al-Qassam serta membenarkan sokongan rakyat untuk menyuarakan isu Palestin.
Dalam peperangan yang berlaku pada tahun lalu dan sekarang, puluhan ribu roket dan dron telah dihantar bagi menyasarkan negara penindas yang boleh melemahkan negara itu dari sudut politik, sosial, keamanan dan kepercayaan dunia terhadapnya. Serangan Iran ini juga melegakan hati umat Islam yang tersakiti. Paling kurang, terbalas juga pengeboman dan pembedilan yang mereka lakukan terhadap umat Islam di Gaza.
Iran juga membayar harga yang tinggi untuk sampai ke tahap ini. Puluhan pemimpin utama dan ratusan saintis nuklear terbunuh. Ribuan rakyat awam sama ada mengalami kecederaan atau terbunuh. Antaranya ialah kejadian yang berlaku di Sekolah Menap pada awal peperangan yang menyebabkan sekitar 170 kanak-kanak perempuan terbunuh. Kerugian infrastruktur termasuk kemudahan awam, rumah penduduk, sekolah dan hospital turut berlaku sehingga mencapai nilai berbilion dolar Amerika Syarikat.
Bayangkan, untuk Iran mempertahankan dirinya sendiri pun tidak mudah dan masih berdepan dengan ancaman besar daripada Amerika dan rejim penindas. Jadi, apakah pula jaminan bahawa Iran mampu membela Gaza yang dikepung oleh rejim penindas hasil bantuan negara-negara Islam juga?
Amatlah rugi sekiranya melihat konflik Iran dan Amerika hanya dari sudut kegagalan mereka membela Gaza, sedangkan umat yang berjumlah sekitar dua bilion manusia di hampir 60 buah negara mampu melakukan lebih daripada itu.
Ustaz Megat Aiman Hakim bin Megat Shariffudin
Pegawai Penyelidik Aqsa Syarif