Kembali
Sekitar 100 tentera IDF gugur di tangan al-Syahid Yusuf al-Basyiti
Megat Aiman Hakim bin Megat Shariffudin
Apr 15, 2026

Minggu lalu dilaporkan salah seorang pejuang al-Qassam telah pun syahid akibat pembelotan para pengkhianat dan serangan udara tentera Zionis. Pemuda tersebut, yang dikenali sebagai Yusuf al-Basyiti, merupakan pejuang yang bertanggungjawab membunuh 21 orang tentera IDF pada 22 Januari 2024.
Ia merupakan hasil sebuah operasi yang memerlukan kesabaran yang tinggi dan kemahiran bertempur dengan musuh yang mempunyai kekuatan ketenteraan yang jauh lebih hebat.
Tambahan daripada itu, menurut penganalisis ketenteraan Faiz al-Duwairi, jumlah sebenar yang terkorban daripada operasi ini dijangka lebih 100 orang tentera IDF. Ini termasuk jumlah tentera pengawal, tentera daripada briged jurutera, pasukan tentera penyelamat dan pasukan tentera yang berada dalam kereta kebal yang turut disasarkan.
Saluran rasmi al-Qassam memaklumkan bahawa apabila kereta kebal yang disasarkan tidak dapat diselamatkan kerana dihalang oleh para pejuang, tentera udara musuh membedil kawasan pertempuran bagi mengelakkan tentera yang masih terperangkap menjadi tawanan hidup.
Bagi musuh, tentera yang telah terkorban lebih baik daripada menjadi tawanan hidup. Bagi yang ingin membaca operasi ini daripada sudut kronologi, jenis senjata yang digunakan, dan punca kematian tinggi dalam kalangan tentera IDF, boleh baca buku Taufan al-Aqsa dan Legasi Yahya al-Sinwar pada muka surat 56.
Bagi yang belum beli, boleh beli pada pautan di sini:
https://shopee.com.my/Buku-Taufan-Al-Aqsa-dan-Legasi-Yahya-Sinwar-i.1002901631.27289577077
Namun, terdapat sedikit pengajaran penting daripada berita kesyahidan pemuda Yusuf al-Basyiti. Hasil kesabaran dan kemahiran di medan perang, Yusuf menumpaskan seramai 21 tentera musuh (angka rasmi), yang merupakan satu bentuk kecemerlangan luar biasa. Namun, setelah 810 hari dan diketahui beliau telah syahid, barulah diketahui nama dan kejayaan beliau.
Kenapa beliau tidak dikenali sebelum ini?
Pertama, ini adalah akhlak para pejuang yang bertempur di jalan Allah dengan penuh keikhlasan. Sebelum mereka turun ke medan, mereka adalah para imam, hafiz al-Quran, contoh kepada masyarakat dan hamba yang soleh. Mereka tidak membesar-besarkan diri mereka sebagai pejuang, walaupun sememangnya mereka adalah pejuang berani, untuk mengekalkan keikhlasan mereka.
Kemungkinan ini disebabkan peringatan daripada Rasulullah SAW berkaitan orang yang berjihad di jalan Allah memasuki neraka. Sebabnya, amalan jihad itu dilakukan bukan kerana Allah, tetapi untuk menunjuk-nunjuk dan mendapat perhatian khalayak ramai sehingga digelar orang yang berani:
إنَّ أوَّلَ الناسِ يُقْضَى يومَ القيامةِ عليه رجلٌ اسْتُشْهِدَ ، فأُتِيَ بهِ ، فعَرَّفَهُ نِعَمَهُ ، فعَرَفَها ، قال : فما عمِلْتَ فيها ؟ قال : قاتَلْتُ فِيكَ حتى اسْتُشْهِدْتُ، قال : كذبْتَ ، ولكنَّكَ قاتَلْتَ لِيُقالَ جِريءٌ ، فقدْ قِيلَ ، ثمَّ أُمِرَ بهِ فسُحِبَ على وجْهِهِ حتَّى أُلْقِيَ في النارِ
“Sabda Rasulullah SAW: ‘Sesungguhnya manusia yang pertama diadili pada hari kiamat ialah seorang lelaki yang mati syahid. Dia dibawa (ke hadapan Allah), lalu diperlihatkan kepadanya nikmat-nikmat yang telah diberikan, dan dia mengakuinya. Allah berfirman: “Apakah yang kamu lakukan dengan nikmat itu?” Dia menjawab: “Aku berperang kerana-Mu sehingga aku mati syahid.”
Allah berfirman: “Kamu berdusta! Tetapi kamu berperang supaya dikatakan berani, dan itu telah pun dikatakan.” Kemudian diperintahkan agar dia diseret dengan wajahnya sehingga dicampakkan ke dalam neraka’.” (Sahih Muslim)
Keduanya adalah disebabkan faktor keselamatan. Keadaan mendesak akibat penjajahan, pembedilan tanpa henti, ketiadaan kerja dan seumpamanya menyebabkan sebilangan kecil penduduk memilih untuk menjadi pembelot. Oleh itu, Yusuf al-Basyiti lebih mudah terdedah kepada bahaya sekiranya maklumat tentang beliau tersebar.
Terakhir, operasi cemerlang tersebut berlaku pada awal pencerobohan ke atas Gaza. Sudah pastinya tiada masa untuk membesar-besarkan kejayaan seperti itu. Selepas 810 hari, pencerobohan bertukar menjadi penjajahan.
Bukan itu sahaja, musuh turut bertukar, daripada tentera IDF, tentera upahan dan sukarelawan dari seluruh dunia, kepada penduduk Gaza sendiri yang sanggup menjadi pembelot seperti Kumpulan Yasir Abu Syabab.
Yusuf al-Basyiti dilaporkan syahid ketika bertempur dengan kumpulan pembelot di Khan Younis. Seperti biasa, apabila keadaan pertempuran tidak memberikan natijah yang dimahukan musuh, mereka menggunakan serangan udara untuk membantu kumpulan pembelot. Serangan tersebut menyebabkan 10 orang syahid, antaranya Yusuf al-Basyiti sendiri.
Sekali lagi, baca lebih banyak kisah-kisah cemerlang para pejuang dalam buku Taufan al-Aqsa dan Legasi Yahya al-Sinwar.
Ustaz Megat Aiman Hakim bin Megat Shariffudin
Pegawai Penyelidik Aqsa Syarif