Kembali
Sejarah Palestin: Tanah Para Nabi, Rebutan Dunia
Suri
Aug 4, 2025

Palestin pada asalnya dikenali sebagai Tanah Kanaan, didiami oleh kaum Kanaan yang datang dari Semenanjung Tanah Arab sekitar alaf ke-3 sm. Sekitar abad ke-12 sm, kaum laut dari Asia Kecil dan Laut Aegean turut menetap di pesisir dan dikenali dalam inskripsi Mesir sebagai “PLST”, yang kemudian berkembang menjadi nama “Palestin”. Mereka berasimilasi dengan penduduk tempatan dan membentuk identiti wilayah ini.
Sepanjang sejarah, Palestin menjadi rebutan banyak kuasa besar dunia kerana menjadi penghubung antara dua benua iaitu Asia dan Afrika dan sebagai titik pertemuan bagi dua sayap dunia Islam. Sempadan Palestin moden hanya ditentukan secara rasmi pada zaman British antara tahun 1920-1923. Namun dalam sejarahnya, wilayah ini kekal sebagai sebahagian daripada Syam meskipun sempadannya sering berubah mengikut zaman.
Pada zaman Byzantine (kira-kira 330-636) dan sejak pertengahan abad ke-4 masihi, Palestin dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu Palestin I, II dan III:
Palestin I: kawasan dari selatan Jabal Al-Karmal hingga selatan Rafah dan ke timur Laut Mati, termasuk sebahagian wilayah Timur Jordan. Pusat pentadbirannya di Qaisariyyah, dengan bandar utama seperti Baitulmaqdis, Nablus, Yafa, Gaza dan ‘Asqalan.
Palestin II: Pergunungan al-Jalil, Lembah Ibni ’Amir, dan dataran tinggi di timur Tasik Tiberias, termasuk kawasan dari Timur Jordan dan Syria pada masa kini.
Palestin III: Kawasan dari selatan garisan Rafa, Laut Mati hingga Teluk ’Aqabah, dengan pusatnya di Bandar Petra di Timur Jordan.
Apabila Islam datang di bawah pimpinan Khalifah Umar al-Khattab RA (636-661), Palestin dibuka secara aman dan dimasukkan dalam wilayah Syam. Ia dibahagikan kepada unit-unit ketenteraan yang juga berperanan sebagai unit pentadbiran iaitu Jund Filastin dan Jund Urdun. Ini adalah sistem pentadbiran Islam yang teratur dan seimbang.
Pada zaman Umawiyyah (661-750), Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik telah membina bandar baru bernama al-Ramlah untuk menggantikan Ludd sebagai pusat pentadbiran Palestin. Di zaman ini juga, wujud unit ketenteraan baru yang menunjukkan perkembangan pentadbiran yang lebih luas.
Seterusnya, pada zaman Abbasiyyah (750-969), Palestin kekal sebagai wilayah penting yang mempunyai pentadbiran sendiri. Bandar al-Ramlah terus menjadi pusat utama, dan wilayah ini dipecahkan kepada dua belas daerah seperti Baitulmaqdis, Gaza, Nablus, Yafa, dan Qaysariyyah, hingga ke kawasan selatan seperti Teluk Aqabah.
Pada zaman Mamluk (1250-1517) pula, Palestin dibahagikan kepada tiga kawasan besar yang dipanggil niyabat, iaitu Safad di utara, Baitulmaqdis di tengah, dan Gaza di selatan. Walaupun pemerintahan bertukar, kedudukan Palestin sebagai tanah suci Islam tidak pernah berubah, terutama kerana adanya Baitulmaqdis.
Pada zaman Uthmaniyyah (1516-1918), Palestin termasuk dalam wilayah Syam dan dibahagikan kepada beberapa eyalat seperti Damsyik dan Saida, yang mengandungi unit-unit kecil seperti Nablus, Gaza, Baitulmaqdis, dan Safad. Pentadbiran wilayah terus berubah mengikut masa, antaranya dengan pewujudan Wilayah Syria dan Beirut.
Pada tahun 1874, Mutasarrifiyyah Baitulmaqdis diwujudkan sebagai daerah khas yang terus dihubungkan dengan kerajaan pusat Uthmaniyyah kerana kebimbangan terhadap Zionis dan campur tangan asing. Ia meliputi bandar penting seperti Baitulmaqdis, Yafa, Gaza, al-Khalil, dan Bir al-Sabi’. Wilayah ini berkembang dari semasa ke semasa dan kekal wujud sehingga kejatuhan Uthmaniyyah. Selepas penjajahan British, Palestin masih dianggap sebahagian dari Syam dan dikenali sebagai “Syria Selatan”, sebelum istilah itu tidak lagi digunakan selepas 1920. Sempadannya kemudian ditetapkan secara rasmi sekitar tahun 1922-1923.
Kesimpulannya, Palestin bukan sekadar satu tempat yang bersejarah, tapi ia adalah simbol keteguhan, keberkatan, dan perjuangan. Walaupun sempadan dan pentadbirannya sering berubah, Palestin tetap kekal sebagai tanah yang istimewa di hati umat Islam di seluruh dunia.
Suri
Pembantu Pegawai Penyelidik Aqsa Syarif