Kembali

Risiko Baru Ketegangan AS-Iran

Khalid Jimat

May 26, 2026

Sejak Perang Amerika Syarikat-Iran tercetus pada 28 Februari lalu, Asia Barat telah terperangkap dalam pusaran ketegangan yang tidak berkesudahan. 

Walaupun gencatan senjata telah dipersetujui pada 8 April, hantaran-hantaran provokatif Donald Trump di platform media sosial yang mengancam Iran dengan kemusnahan luar biasa sekiranya perjanjian yang lebih tuntas gagal dicapai, telah menyebabkan dunia sentiasa menahan nafas menanti letusan konfrontasi yang seterusnya.

Dalam keributan ini timbul satu persoalan: adakah ancaman-ancaman tersebut sekadar lakonan politik yang penuh muslihat (theatrical brinkmanship) untuk memaksa Iran tunduk kepada tuntutan maksimalis Amerika Syarikat (AS) atau kita sedang menyaksikan kegagalan fatal Washington dalam dasar luarnya di Asia Barat.

Perang Sebagai Patologi Dasar Luar AS

Menurut penganalisis geopolitik Trita Parsi, krisis ini bukan insiden terpencil sebaliknya merupakan manifestasi kepada kegagalan kronik dalam strategi AS terhadap Iran.

Beliau menyifatkan pendekatan Washington sebagai sebuah tangga eskalasi yang berfungsi untuk menutup kegagalan sedia ada. Setiap langkah eskalasi sebenarnya adalah pengakuan terhadap kegagalan langkah sebelumnya. Ancaman perang yang gagal membawa kepada sekatan dan apabila sekatan tersebut juga gagal, ia melaksanakan "sekatan ke atas sekatan". 

"Kesemua langkah eskalasi ini bukanlah sesuatu yang unik kepada pentadbiran Trump semata-mata. Sebaliknya, ia adalah satu patologi dalam dasar luar Amerika terhadap Iran sejak beberapa dekad lalu; satu usaha berterusan untuk memaksa Iran menyerah kalah tanpa memerlukan Amerika Syarikat bersetuju dengan sebarang kompromi," jelas Parsi.

Strategi ini mencerminkan kegagalan diplomasi yang mendalam yang menyebabkan Washington terjebak dalam delusi untuk mencapai kemenangan mutlak tanpa perlu membuat sebarang konsesi strategik.

Iran Dedah Had Keupayaan Tentera AS

Trump melancarkan Operasi Epic Fury dengan penuh keyakinan bahawa Iran boleh ditundukkan oleh tentera AS dan teknologi yang mereka miliki dalam tempoh yang singkat. Namun, realiti di medan membuktikan sebaliknya.

Keupayaan Iran menyerap tekanan melalui perang asimetri dan kawalan strategik ke atas Selat Hormuz telah menghantar isyarat jelas kepada Washington bahawa Tehran jauh lebih ampuh daripada yang Trump jangkakan. Akibatnya, Iran kini berasa lebih berani dan yakin untuk mempertahankan hak mereka.

Keadaan ini walau bagaimanapun berisiko menyebabkan kedua-dua pihak terjebak dalam perkiraan yang lebih bahaya sekiranya mereka percaya bahawa satu lagi pusingan peperangan boleh memberikan kelebihan yang lebih besar dalam proses rundingan yang seterusnya. Sebab itulah kita melihat retorik perang masih berterusan sehingga hari ini.

Sasaran Strategik Iran Yang Seterusnya

Pusingan perang yang seterusnya menunjukkan kemungkinan Iran mensasarkan empayar perniagaan Trump di Asia Barat. 

Berdasarkan logik Tehran, Trump mungkin tidak sensitif terhadap kerugian strategik AS sebagai sebuah negara, tetapi beliau belum tentu mempunyai sikap yang sama sekiranya serangan Iran mengancam empayar perniagaan peribadinya atau pelaburan strategik ahli keluarganya di rantau itu.

Dengan mensasarkan aset-aset yang mempunyai kaitan dengan kepentingan peribadi Trump, Iran berusaha untuk mengenakan tekanan psikologi dan ekonomi secara langsung ke atas pembuat keputusan tertinggi di White House tersebut, melampaui batas diplomasi tradisional.

Selain daripada itu, Iran juga dijangka akan menyerang pusat-pusat data dan kecerdasan buatan (AI) Amerika Syarikat di Emiriah Arab Bersatu (UAE). Iran melihat syarikat gergasi teknologi AS bukan lagi sebagai entiti komersial semata-mata tetapi sebagai komponen penting dalam jentera perang Pentagon.

Pada waktu yang sama serangan ini juga bertujuan menghukum UAE ekoran sokongan kepada tindakan ketenteraan Trump terhadap Iran dan hubungan strategik yang semakin terbuka antara UAE dengan Israel.

Dalam konteks yang lebih besar, ini merupakan langkah strategik Iran untuk menjejaskan kedudukan Amerika Syarikat dalam perlumbaan teknologi AI denga China, sekali gus memperluaskan medan konflik ke dimensi teknologi tinggi.

Dalam rangka meluaskan konflik secara mendatar (horizontal escalation), Iran telah mengenal pasti satu lagi aset kritikal serantau yang boleh dijadikan sasaran iaitu kabel gentian optik di dasar laut Teluk Parsi. 

Digelar sebagai "Selat Hormuz Kedua", kabel gentian optik ini merupakan infrastruktur yang mengawal aliran trafik internet dan transaksi kewangan bernilai berbilion-bilion dolar setiap hari untuk negara-negara GCC. 

Jika Iran bertindak mensabotaj kabel ini, natijah terhadap ekonomi global sudah pasti lebih dahsyat. Ia bukan sahaja mampu melumpuhkan sistem komunikasi serantau, malah akan mencetuskan kejutan ekonomi dunia yang setara dengan gangguan bekalan minyak di Laut Merah. Ini tidak mustahil sekiranya Iran mendapati ada negara-negara jirannya yang membenarkan ruang udara mereka digunakan untuk menyerang Iran.

Graviti Menuju Konflik

Walaupun perang bukan jalan keluar kepada konflik yang sedang berlaku, tarikan graviti ke arahnya dilihat semakin kuat. Rundingan melalui diplomasi ulang-alik (shuttle diplomacy) oleh Pakistan sejak 10 April lalu masih menemui jalan buntu. Trump pula percaya perang adalah jalan pintas untuk mencapai kemenangan di meja rundingan.

Terbaru, muafakat negara-negara serantau termasuk Qatar, Arab Saudi, UAE, Bahrain, Jordan, Mesir, dan Turkiye berjaya menghasilkan memorandum persefahaman (MoU) untuk pertimbangan kedua-dua pihak. 

Trump menyifatkan MoU ini sebagai kemenangan di pihaknya sekaligus menyeru negara-negara ini untuk turut menyertai Perjanjian Abraham. Iran menyambut baik muafakat serantau tersebut tetapi menolak tafsiran unilateral Trump. 

MoU tersebut menyentuh perkara-perkara umum yang telah disepakati. Namun, pertikaian tentang pengurusan Selat Hormuz dan tenaga nuklear Iran hanya akan dimuktamadkan masing-masing dalam fasa rundingan 30 hari dan 60 hari yang seterusnya.

Mampukah MoU ini mengatasi daya tarikan graviti perang yang kian menghimpit? Atau dunia akan diheret sekali lagi ke dalam kancah peperangan yang merugikan semua pihak.