Kembali

Propaganda baru IDF dalam sebuah sekolah di Gaza

Ustaz Megat Aiman Hakim bin Megat Shariffudin

Nov 24, 2025

“Try Hard” Propaganda IDF Kali Ini, Rupanya Anggota Tentera Yasir Abu Syabab Turut Terlibat

Terbaru, pihak penjajah telah menyebarkan sebuah video propaganda yang kononnya menunjukkan para pejuang menggunakan sebuah sekolah sebagai tempat menyimpan senjata sebelum memindahkannya ke dalam terowong yang berada di kawasan sama. [Link di ruangan komen video berkaitan]. Propaganda itu mendakwa sekolah tersebut terletak di Beit Hanun (utara Gaza) dan merupakan salah sebuah sekolah UNRWA.

Tujuannya jelas, untuk menuduh pejuang menyimpan senjata di sekolah, seolah-olah tindakan tersebut tidak sepatutnya berlaku kerana sekolah adalah tempat belajar dan tidak sepatutnya digabungkan dengan aktiviti ketenteraan atau pembinaan terowong.

𝐌𝐞𝐧𝐚𝐧𝐠𝐤𝐢𝐬 𝐏𝐫𝐨𝐩𝐚𝐠𝐚𝐧𝐝𝐚 𝐌𝐮𝐬𝐮𝐡

Pertama sekali, ini merupakan propaganda paling murah yang pernah disiarkan oleh pihak penjajah. Mereka mendakwa para pejuang menggunakan sekolah sebagai tempat menyimpan senjata sedangkan mereka sendiri telah memusnahkan hampir keseluruhan sekolah di Gaza. Mereka juga menyasarkan serangan terhadap guru, pensyarah dan pelajar sehingga menyebabkan pengajian terhenti lebih setahun.

Atas sebab itulah, keadaan pendidikan di Gaza boleh dikategorikan sebagai “educide”, iaitu pemusnahan sistematik terhadap pendidikan semasa berlakunya genosid. Ini merupakan satu bidang kajian penting yang perlu diperhalusi oleh para pengkaji berkaitan bagi membuktikan kepada dunia betapa jahatnya penjajah Zionis dari aspek Pendidikan.

Seterusnya, berdasarkan peta Gaza yang terkini selepas gencatan senjata, Beit Hanun berada dalam zon merah—bukan zon biru, bahkan bukan zon kuning. Kawasan itu telah musnah sepenuhnya akibat pembedilan tanpa henti. Satu-satunya sekolah UNRWA di kawasan itu juga sudah hancur. Maka dakwaan lokasi tersebut berada di Beit Hanun tidak benar sama sekali.

Selain itu, modus operandi para pejuang juga jauh berbeza. Mereka tidak akan menyiarkan video sewenang-wenangnya tanpa tujuan, apatah lagi menunjukkan wajah, anggota tentera, lokasi strategik atau persenjataan. Para pejuang sangat berhati-hati dalam perkara ini. Hampir semua video mereka bertujuan menakutkan musuh dengan mempamerkan kejayaan operasi—bukan untuk mendedahkan kelemahan sehingga boleh digunakan sebagai propaganda IDF.

Penganalisis Nidal Abu Zaid turut mendedahkan bahawa rakaman video tersebut jelas merupakan lakonan. Pergerakan individu-individu dalam video kelihatan tidak asli dan mengikut skrip.

Penulis juga sependapat apabila melihat sudut rakaman yang terlalu “try hard” dalam usaha membuktikan kononnya para pejuang beroperasi di dalam sekolah. Kehadiran dekorasi kartun di dinding, kelas kanak-kanak dan unsur-unsur lain turut membuktikan ia sebuah set lakonan.

Nidal Abu Zaid turut mengenal pasti bahawa salah seorang individu dalam video tersebut sebenarnya adalah anggota tentera yang pernah kelihatan bersama Yasir Abu Syabab. Maka besar kemungkinan video propaganda ini dirakam di Rafah, kubu operasi Yasir Abu Syabab sendiri.

Mengapa Rakaman Ini Disiarkan Sekarang?

Tujuan penyiaran video ini adalah untuk memalukan, menyalahkan dan merendahkan para pejuang dengan apa jua cara. Sasaran utama mereka ialah penduduk Gaza yang mungkin lemah iman dan berpotensi menjadi pengkhianat.

Penduduk Gaza kini hidup dalam keadaan lapar, dikepung, kesejukan dan kekurangan segala keperluan asas. Keadaan yang terdesak ini dijadikan peluang oleh penjajah untuk merekrut pengkhianat seperti Yasir Abu Syabab, Asyraf al-Mansi, Husam al-Astal dan Rami al-Halas sebagai “pembantu” dalam usaha melawan pasukan pejuang.

Malangnya bagi penjajah, nama-nama pengkhianat yang disebutkan di atas tidak diiktiraf pun oleh kabilah mereka sendiri. Walhal, Yasir Abu Syabab mendapat akses terhampir kepada bantuan yang masuk melalui Karem Abu Salem di Rafah. Husam al-Astal pula menerima bantuan kemanusiaan dalam jumlah besar daripada pihak penjajah. Bahkan mereka dijamin tidak menjadi sasaran serangan.

Namun penduduk Gaza adalah masyarakat bermaruah. Mereka tidak boleh dibeli dengan bantuan, jaminan keselamatan atau sogokan wang. Semoga Allah terus menguatkan dan meneguhkan hati mereka.

Video propaganda ini juga bertujuan menggambarkan para pejuang sebagai kumpulan pengganas kerana kononnya menjadikan sekolah sebagai lokasi simpanan senjata. Tetapi propaganda ini juga pasti gagal.

Dunia tidak akan lupa bahawa pengganas sebenar adalah Netanyahu dan pentadbirannya yang sedang melakukan genosid ke atas penduduk Gaza. Sedang, bukan telah, kerana pembedilan masih diteruskan sehingga menyebabkan lebih ramai syahid setiap hari walaupun gencatan senjata dipersetujui pada 10 Oktober yang lalu.

Mengapa hal itu berlaku? Insya-Allah, akan dikongsikan esok.

Ustaz Megat Aiman Hakim bin Megat Shariffudin

Pegawai Penyelidik Aqsa Syarif