Kembali
Pendirian Kesatuan Eropah (EU) dalam Isu Palestin
Muhammad Faiz Fazle
Nov 19, 2026

Kesatuan Eropah (EU) sering memposisikan dirinya sebagai jaguh hak asasi manusia dan keadilan sejagat di pentas global. Dari dewan persidangan antarabangsa hinggalah kenyataan rasmi di Brussels, blok 27 negara ini sentiasa mengulangi komitmen teguh mereka terhadap undang-undang antarabangsa, terutamanya dalam isu penjajahan Israel ke atas Palestin. Tulisan ini menelusuri dasar rasmi EU terhadap Palestin dan menilai jurang antara kelantangan diplomasi EU dengan realiti penindasan di Palestin.
Penyelesaian Dua Negara
Dasar rasmi EU sejak berdekad lamanya meletakkan penyelesaian dua negara sebagai satu-satunya jalan keluar untuk mencapai keamanan di Asia Barat. EU menegaskan bahawa sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat perlu wujud bersebelahan dengan Israel, dengan Baitulmaqdis diiktiraf sebagai ibu kota bersama bagi kedua-dua pihak. Bagi mempertahankan agenda ini, wakil diplomasi EU sering mendesak rakan antarabangsa mereka (AS) agar memberikan laluan visa kepada delegasi Palestin untuk hadir ke perhimpunan PBB dan persidangan antarabangsa.
Walau bagaimanapun, ilusi perpaduan Eropah ini hanyalah sekadar bayangan apabila melihat kepada realiti pengiktirafan di peringkat negara anggota. Hakikatnya, EU secara asasnya terbelah kepada dua blok utama.
Blok progresif seperti Sepanyol, Ireland, Slovenia, dan Sweden memilih untuk mengiktiraf kedaulatan Palestin secara rasmi demi menjamin kelangsungan politiknya di peringkat antarabangsa. Sebaliknya, blok bersyarat seperti Jerman, Itali, Austria, dan Republik Czech menolak pengiktirafan unilateral dan berkeras menuntut rundingan terus. Pendirian bersyarat ini bukan sahaja tidak realistik memandangkan keengganan berterusan pihak Israel untuk berunding, bahkan ia secara praktikal memberikan kuasa veto kepada rejim penjajah untuk menentukan sama ada Palestin berhak wujud sebagai sebuah negara atau sebaliknya.

Dinamika dan perpecahan kesatuan ini turut terpamer secara terbuka dalam pengundian resolusi Perhimpunan Agung PBB berhubung penyelesaian dua negara [A/DEC/80/506] pada September 2025. Walaupun majoriti besar iaitu 25 buah negara anggota EU menyokong resolusi tersebut selari dengan dasar rasmi mereka, kesepakatan mutlak tetap gagal dicapai apabila Hungary memilih untuk mengundi menentang resolusi itu, manakala Republik Czech mengambil pendirian berkecuali. Keputusan ini mencerminkan bagaimana konsensus EU sentiasa goyah akibat kecenderungan politik segelintir negara anggotanya.
Integriti Wilayah dan Penempatan Haram
Dari sudut undang-undang, EU konsisten menolak sebarang perubahan sempadan wilayah di Gaza serta menegaskan bahawa penempatan haram Israel di Tebing Barat mencabuli Konvensyen Geneva Keempat.
Namun, pendirian tegas tersebut kelihatan tidak bermakna langsung di hadapan realiti penjajahan yang berlaku setiap hari. Contohnya apabila berlakunya rampasan 654,000 meter persegi tanah pertanian di timur Qalqilya—bagi pembinaan jalan penempatan haram Kedumim (1.8 kilometer) yang merobohkan struktur bangunan dan menyekat punca rezeki ratusan petani tempatan—, EU hanya mengeluarkan amaran dan melabelnya sebagai penempatan haram kepada Israel atas tindakannya yang melanggar undang-undang antarabangsa serta memberi impak terhadap penyelesaian dua negara. Selain itu, EU tidak mengeluarkan sebarang ancaman sekatan yang spesifik terhadap peluasan projek Kedumim tersebut, sebaliknya selesa dengan pendekatan berhati-hati yang sekadar merekodkan insiden itu tanpa tindakan susulan yang mengikat di sisi undang-undang atas sebab gagal untuk mencapai kata sepakat dalam kalangan 27 negara anggotanya.
Di sebalik pencabulan yang jelas ini, tindak balas EU kekal terhad kepada kenyataan media serta langkah kosmetik seperti pelabelan punca barangan dan sekatan ke atas produk yang dihasilkan dari penempatan haram di Tebing Barat. Pendekatan ini terbukti gagal membendung perluasan penjajahan selagi sekatan perdagangan menyeluruh enggan dikuatkuasakan terutamanya syarikat-syarikat yang terlibat dan hubungan diplomatik terus berjalan seperti biasa.
Bantuan Kewangan
Memandangkan pelbagai kecaman dan gesaan EU terus diabaikan oleh Israel tanpa menjejaskan langsung hubungan diplomatik atau perdagangan antara kedua-dua pihak, pengaruh geopolitik EU di Asia Barat kelihatan semakin lemah dan tidak dihormati. Bagi mengimbangi kelemahan pengaruh diplomasinya, EU mengambil jalan selamat dengan bertindak sebagai penderma kewangan terbesar melalui instrumen PEGASE (€310 juta) untuk menyokong pentadbiran Pihak Berkuasa Palestin (PA) serta menggerakkan inisiatif "Team Gaza" bernilai lebih €1.0 billion bagi memulihkan infrastruktur asas, membiayai operasi hospital awam, membayar sebahagian gaji penjawat awam dan doktor, serta menyediakan bantuan kebajikan kepada keluarga miskin bersama agensi PBB.


Walaupun jumlah dana yang disalurkan amat besar, keberkesanannya sering kali terbantut akibat tindakan Israel menutup pintu sempadan dan menyekat kemasukan jentera mahupun bahan binaan.
Di sinilah terletaknya ironi terbesar dasar Eropah: EU bertindak sebagai penanggung kos kemusnahan, manakala pihak yang merobohkan fasiliti tersebut langsung tidak dipertanggungjawabkan. Pendekatan ini meletakkan EU dalam kedudukan yang janggal, iaitu secara tidak langsung menanggung beban kewangan akibat penjajahan berterusan tanpa berani menuntut ganti rugi daripada pihak rejim Israel.
Perangkap Undian Sebulat Suara
Kelemahan dasar luar EU semakin terserlah apabila desakan untuk menegakkan Undang-Undang Kemanusiaan Antarabangsa (IHL), mematuhi arahan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), dan menggantung Perjanjian Perkongsian EU-Israel di bawah Perkara 2 (klausa hak asasi manusia) sentiasa menemui jalan buntu.

Sebarang tindakan punitif mahupun sekatan ekonomi lumpuh akibat peraturan undian sebulat suara (unanimity rule) di bawah Dasar Luar dan Keselamatan Bersama (CFSP)—sebarang keputusan dasar luar yang penting memerlukan sokongan sebulat suara daripada kesemua 27 negara anggota—yang membolehkan sekutu rapat Israel seperti Jerman, Austria, Hungary, dan Republik Czech memveto usul embargo senjata atau sekatan perdagangan.

Perpecahan parah ini turut terpamer di pentas PBB. Sebagai contoh, dalam pengundian resolusi menuntut gencatan senjata segera di Gaza [A/ES-10/L.34/Rev.1] pada Jun 2025, negara-negara EU gagal mencapai kata sepakat. Walaupun 23 negara anggota mengundi “menyokong”, Hungary mengambil langkah drastik dengan mengundi “menentang” bersama-sama Israel dan Amerika Syarikat, manakala tiga negara lain iaitu Republik Czech, Romania, dan Slovakia memilih untuk “berkecuali”.

Kredibiliti EU menjadi lebih mengecewakan dalam pengundian resolusi menyokong Jawatankuasa Khas menyiasat tindakan Israel yang menjejaskan hak asasi rakyat Palestin [A/RES/80/80] pada Disember 2025. Dalam resolusi kritikal ini, tiada satu pun negara anggota EU yang berani mengundi untuk “menyokong”. Sebaliknya, 23 buah negara mengambil jalan selamat dengan memilih untuk berkecuali, manakala 4 negara—Jerman, Austria, Hungary, dan Republik Czech—mengundi “menentang” secara terus bagi melindungi tindakan Israel daripada disiasat. Corak perpecahan undian ini membuktikan dengan jelas bahawa EU gagal bertindak sebagai sebuah blok geopolitik yang berprinsip apabila berdepan dengan krisis kemanusiaan dan tuntutan undang-undang yang paling mendesak pada abad ini.
Kredibiliti Moral yang Terhakis
Secara keseluruhannya, dasar EU terhadap isu Palestin mencerminkan satu kegagalan moral dan kepincangan geopolitik yang besar. EU sangat cekap merangka kenyataan media yang dipenuhi dengan istilah undang-undang antarabangsa dan keadilan sejagat, namun lumpuh sepenuhnya apabila dituntut menterjemahkan prinsip-prinsip tersebut kepada tindakan yang berani.
Selagi EU terus membiarkan dasar luar mereka disekat oleh kepentingan segelintir negara anggota dan selagi mereka hanya berpuas hati menjadi penaja dana kemanusiaan semata-mata, setiap kenyataan simpati yang keluar dari Brussels akan terus dipandang sebagai retorik kosong. Keadilan untuk rakyat Palestin tidak akan tercapai melalui bantuan kewangan atau kecaman di atas kertas, sebaliknya memerlukan keberanian politik untuk menentang kekebalan Israel dan menegakkan undang-undang tanpa pilih kasih.
MUHAMMAD FAIZ FAZLE