Kembali
Pelucutan Senjata Hamas: Cubaan Memandulkan Perjuangan Palestin
Khalid Jimat
Aug 5, 2025

Pelucutan senjata Hamas dan pengecualiannya dari kerajaan yang akan dibentuk di Gaza pasca genosid dipersetujui sendiri oleh Mahmoud Abbas, Presiden Pihak Berkuasa Palestin (PA).
Ia bukan sesuatu yang rahsia. Bahkan itulah yang beliau idam-idamkan selama ini sejak Hamas mula membuktikan kemampuannya untuk membina kekuatan ketenteraan, memenangi pilihan raya dan memimpin kerajaan.

Abbas yang juga Presiden Fatah merangkap Pengerusi Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), iaitu wakil rasmi Palestin di PBB sudah lama meletakkan senjata dan mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara sebagai galang ganti kepada penubuhan negara Palestin melalui Perjanjian Oslo (1993).
Perjanjian inilah yang memangkin penubuhan PA sebagai kerajaan interim kepada negara Palestin yang bakal dibentuk. Namun, sehingga hari ini PA kekal sebagai kerajaan interim dan perjanjian tersebut masih gagal dimuktamadkan.
Mengapa?
Kerana Zionisme takkan pernah membenarkan negara Palestin dibentuk di Tebing Barat yang mereka sebut sebagai Judea dan Samaria.
Wilayah ini sebenarnya wilayah yang paling berharga buat mereka berbanding Israel sendiri. Di sinilah tertegaknya dua kerajaan kuno mereka sebelum ini - Kingdom of Israel (1047-930 BC) dan Kingdom of Judea (930-587 BC).
Perjanjian Oslo bukan penghalang kepada agenda Zionisme. Bahkan ia dilihat sebagai peluang kepada perampasan lebih banyak wilayah Palestin.
Perjanjian Oslolah yang memangkin pembahagian Tebing Barat kepada Zon A, B dan C. Awalnya sebagai proses penyerahan kuasa kepada PA secara bertahap. Tetapi terbukti ia adalah rancangan untuk memecahkan lagi Tebing Barat supaya lebih mudah dikuasai.

Natijahnya, penempatan haram Yahudi meningkat lebih satu kali ganda sepanjang tempoh rundingan untuk menamatkan perjanjian (1993-2000). Bagaimana negara Palestin boleh terbentuk sekiranya penempatan haram Yahudi terus-menerus dibina di atas wilayah yang akan menjadi negara Palestin?
Jawapan Zionis mudah. Melalui pertukaran wilayah (land swap)! Wilayah yang mempunyai populasi majoriti Arab di Israel seperti Nazareth, Umm Fahm, Rahat, dan Wadi Ara mahu ditukar dengan penempatan-penempatan haram Yahudi di Tebing Barat.
Inilah salah satu sebab yang menggagalkan Perjanjian Oslo. Yaser Arafat, Presiden PLO pada ketika itu tidak bersetuju dengan pertukaran wilayah yang mahu dilaksanakan. Lebih-lebih lagi pertukaran yang mahu dibuat tidak setara (bukan 1:1).
Rejim Zionis mahu lebih banyak wilayah. Walhal Arafat sudah pun menggugurkan tuntutan terhadap 78% tanah asal Palestin yang kini telah diiktiraf sebagai negara Israel.
Jika anda ditempat Arafat, apa yang akan anda lakukan?
Penolakan Arafat menyebabkan beliau akhirnya mati diracun. Peranan beliau kemudian disandang oleh Abbas yang terus-menerus mempertahankan Perjanjian Oslo yang mana beliau sendiri adalah perunding utamanya di pihak Palestin.
Kegagalan Oslo telah melonjakkan populariti Hamas yang masih mempertahankan hak rakyat Palestin untuk berjuang dengan senjata. Lagi pun, penjajah mana yang sedia melepaskan wilayah yang dijajahnya secara sukarela tanpa paksaan daripada penduduk asal?
Tuntutan supaya Hamas menyerahkan senjata kepada PA adalah resepi untuk memandulkan perjuangan rakyat Palestin dan meneruskan legasi kegagalan Oslo selama lebih 3 dekad.
PA adalah produk Oslo. PA didanai oleh negara-negara Arab, Amerika Syarikat dan EU. Sebab itu mereka mahu PA terus berperanan walaupun ia kini ibarat hidup segan mati tak mahu.

*PEGASE ialah Palestino-européen de Gestion de l’Aide Socio-économique, program bantuan kewangan untuk PA oleh Kesatuan Eropah
Jadi, tak hairanlah negara-negara ini mahu PA melaksanakan pilihan raya untuk memulihkan legitimasinya. Tapi bagi menjamin kemenangan parti Abbas - Fatah, mereka isytihar siap-siap bahawa Hamas tidak boleh berperanan dalam kerajaan baharu Palestin yang bakal terbentuk. Dengan kata lain, Hamas tak boleh menyertai pilihan raya.
Jika negara-negara ini mahu belajar dari sejarah, pelucutan senjata Hamas tidak akan menatijahkan negara Palestin seperti yang berlaku terhadap Fatah dan PLO. Yang menjadi penghalang kepada penubuhan negara Palestin ialah Zionisme.
Justeru, jika negara-negara ini benar-benar mahu merealisasikan penubuhan negara Palestin, yang sepatutnya dilakukan ialah mengenakan semua tekanan yang diperlukan - politik, diplomatik, ekonomi, undang-undang dan sekiranya perlu ketenteraan, supaya Israel berundur sepenuhnya dari Tebing Barat dan menamatkan sekatannya ke atas Gaza seperti yang disarankan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
Selain daripada itu hanyalah omong kosong dan retorik politik untuk memanjangkan hayat rejim Zionis.