Kembali

Pandangan Rakyat Palestin Terhadap 7 Oktober & Pelucutan Senjata Hamas

Khalid Jimat

Aug 22, 2025

Mei baru-baru ini Palestinian Center for Policy and Survey Research (PSR) menerbitkan dapatan pungutan suara terkini tentang tahap sokongan rakyat Palestin terhadap Operasi Taufan al-Aqsa yang Hamas lancarkan pada 7 Oktober 2023.

Dapatan terbaru mereka menunjukkan wujud aliran penurunan tahap sokongan rakyat terhadap operasi ini sama ada di Gaza mahu pun di Tebing Barat.

Di Gaza, sokongan rakyat terhadap operasi tersebut menurun sebanyak 2% - daripada 39% pada September 2024 kepada 37% pada Mei 2025. Sebelumnya sokongan terhadap operasi ini pernah mencecah 71% pada Mac 2024 yang mana merupakan angka tertinggi yang dicatatkan sejak 7 Oktober 2023.

Di Tebing Barat, sokongan rakyat terhadap operasi tersebut juga mencatatkan penurunan 5% - daripada 64% pada September 2024 kepada 59% pada Mei 2025. Sebelumnya sokongan terhadap operasi ini pernah mencecah 82% pada Disember 2023; yang tertinggi sejak 7 Oktober 2023.

Namun, secara keseluruhan 50% rakyat Palestin masih menyifatkan operasi tersebut sebagai tindakan yang betul. Penurunan tahap sokongan ini boleh difahami berikutan keadaan kemanusiaan yang semakin memburuk di Palestin ekoran kegagalan komuniti antarabangsa mengekang wewenang rejim Netanyahu.

Malangnya wujud cubaan sebahagian pihak menggunakan data ini untuk mengabsahkan kritikan mereka terhadap operasi ini dan gesaan mereka supaya Hamas meletak senjata tanpa mendedahkan dapatan-dapatan lain bagi memberikan gambaran yang lebih menyeluruh terhadap suara sebenar rakyat Palestin.

Sokongan Terhadap Pelucutan Senjata Hamas

Tinjauan sama sebenarnya turut mendapati 77% rakyat Palestin menolak pelucutan senjata daripada Hamas. Mereka tidak percaya tindakan ini akan menyebabkan rejim Zionis menghentikan genosidnya dan berundur dari Gaza.

Pada waktu yang sama, 65% rakyat Palestin menolak pengusiran pemimpin Hamas dari Gaza hatta sebagai syarat untuk menghentikan perang.

Tinjauan juga mendapati 41% rakyat Palestin percaya penentangan bersenjata adalah langkah terbaik untuk menamatkan penjajahan rejim Zionis dan membentuk negara Palestin berbanding melalui rundingan (33%) dan gerakan popular rakyat (20%).

Ketika ditanya tentang tahap kepuasan penduduk Gaza terhadap prestasi pemimpin mereka, 43% berpuas hati dengan Hamas berbanding Fatah (31%), Pihak Berkuasa Palestin, PA (28%) dan Presiden Mahmoud Abbas (19%).

Dapatan-dapatan ini seharusnya menimbulkan kebimbangan besar terhadap rancangan pakatan negara-negara Arab dan Eropah melalui Deklarasi New York yang mahu melucutkan senjata Hamas dan memaksa kumpulan pejuang itu menyerahkan tampuk kuasa di Gaza kepada PA walaupun jelas badan itu tidak popular di kalangan penduduk Gaza.

Saya yakin ramai yang akan bersetuju bahawa penyelesaian yang dipaksakan tidak akan membuahkan keadilan dan kestabilan yang diharapkan. Ia hanya akan mengulangi kesilapan lampau yang memberi kelebihan kepada rejim Zionis untuk meneruskan agenda penjajahannya.

Keadilan hanya dapat dicapai dengan meletakkan beban utama untuk mengakhiri genosid ini ke atas rejim Zionis. Sekiranya rejim itu enggan menamatkan genosidnya dan berhenti menjadikan kebuluran sebagai senjata perang, tekanan perlu ditingkatkan termasuklah menerusi sekatan ekonomi, pemutusan hubungan diplomatik dan penggantungan keahliannya dalam PBB. Ini langkah yang lebih wajar daripada langkah melucutkan senjata Hamas.

Oh ya, tinjauan juga ada bertanyakan kepada rakyat Palestin pandangan mereka terhadap Iran. Percaya atau tidak, 54% rakyat Palestin berpandangan Iran memberi impak negatif kepada operasi ini. Qatar lebih diterima baik oleh rakyat Palestin dengan tahap kepuasan mencecah 45%.

Justeru, sekiranya operasi ini adalah ‘scheme’ besar di bawah agenda Iran, jelas ia gagal memancing hati rakyat Palestin.

Laporan penuh tinjauan tersebut boleh dibaca di sini > https://www.pcpsr.org/en/node/997