Kembali

Operasi Kumpulan Pembelot Syauqi Abu Nasira membunuh salah seorang pemimpin al-Qassam

Megat Aiman Hakim

Feb 11, 2026

Terbaru, Al Jazeera mendedahkan sebuah rakaman operasi pembunuhan terhadap salah seorang pimpinan kumpulan pejuang di Gaza. Operasi tersebut dilaksanakan oleh dua orang anggota dengan kerjasama sebuah kumpulan penjenayah bersenjata. Kumpulan ini merupakan pembelot yang ditaja oleh rejim Zionis untuk membantu melumpuhkan Gaza.

Rakaman ini bukan sahaja mendedahkan operasi keji tersebut, malah memperlihatkan segala-galanya — lokasi mereka direkrut, tempat mereka menerima latihan, serta bekalan senjata dan kenderaan untuk melaksanakan operasi. Segalanya bermula apabila seorang pemuda dihubungi oleh wakil tentera rejim Zionis untuk menyertai kumpulan mereka.

Pemuda tersebut bersetuju dan bertemu dengan mereka di wilayah kuning dalam peta baharu Gaza. Wilayah itu dianggap selamat daripada ancaman pasukan pejuang kerana dikawal oleh rejim Zionis. Di sana, beliau diberikan makanan, minuman dan rokok sambil menerima pendedahan awal berkaitan operasi yang bakal dilaksanakan.

Beliau juga mengaku bahawa kumpulan penjenayah yang dipimpin oleh Syauqi Abu Nasira bertanggungjawab merekrut penduduk serta melaksanakan operasi seperti yang diperintahkan oleh rejim Zionis. Kumpulan ini dilaporkan memiliki kira-kira 50 orang anggota bersenjata.

Antara tugas utama mereka ialah:

1.     Mendedahkan terowong para pejuang

2.     Membunuh individu sasaran

3.     Mencuri barangan bantuan kemanusiaan

4.     Mengumpan individu yang dikehendaki dan menyerahkannya kepada musuh

5.     Menculik mayat para syuhada

Latihan operasi di wilayah rejim Zionis

Sebelum dilepaskan untuk memulakan operasi, pemuda ini diberikan latihan sehingga mendapat kepercayaan penuh daripada jurulatih.

Beliau dibawa oleh seorang pegawai tentera Zionis yang dikenali sebagai “Abu Omar” ke kem tentera Kissufim. Hal ini menunjukkan bahawa operasi tersebut bukanlah sesuatu yang remeh kerana mendapat perhatian penuh pihak musuh.

Di pusat latihan, beliau dilatih menembak, menggunakan basikal elektrik dan diberikan pendedahan maklumat berkaitan sasaran seperti gambar wajah, rumah dan kenderaan secara terperinci.

Bagi menjayakan operasi, beliau dibekalkan dengan:

1.     Sepucuk pistol Glock bersama peredam bunyi (silencer)

2.     Alat komunikasi

3.     Basikal elektrik

4.     Kamera kecil untuk membantu pergerakan semasa operasi


Siapa sasaran?

Sasaran operasi bukanlah individu biasa. Nama beliau Ahmad Abdul Bari Zam-Zam, atau digelar Abu al-Majd Zam-Zam. Beliau memegang peranan penting dalam menjaga keselamatan Gaza dan dianggap mengancam keselamatan rejim Zionis. Hal ini kerana tugas beliau adalah menjejaki dan memburu kumpulan pembelot sebelum dan selepas peperangan di Gaza.


Laporan mendedahkan bahawa Abu al-Majd berjaya menembusi kubu-kubu kumpulan pembelot bersenjata dan meyakinkan beberapa anggota pembelot untuk menyerah diri. Sudah pasti beliau menjadi sasaran utama rejim Zionis, khususnya di wilayah tengah Gaza (al-Wusta).

Dron dan talian langsung mengiringi

Operasi bermula pada 10 Disember 2025. Pemuda ini terlebih dahulu ditemui oleh pegawai perisikan rejim Zionis secara bersemuka untuk memastikan kesediaannya melaksanakan operasi. Setelah mendapat kepastian, barulah maklumat susulan diberikan.

Rakaman kamera pada tubuhnya menunjukkan bahawa dia sebenarnya ditemani oleh seorang lagi pelaksana operasi.

Pada hari kejadian, mereka menaiki basikal elektrik dengan pistol yang telah sedia diisi, kamera yang berfungsi sebagai “mata” musuh dari jauh, serta beberapa dron yang terbang di atas laluan mereka. Dua jenis dron digunakan, iaitu dron kuadkopter yang sering digunakan untuk menembak penduduk Gaza, dan dron MQ-9 Reaper yang banyak digunakan untuk mengintip dari udara.

Setelah memasuki wilayah Palestin yang tidak dikuasai oleh rejim Zionis, hanya kamera dan komunikasi langsung dengan pegawai Israel yang membantu mereka.

Lokasi operasi ini berlaku di kawasan tengah Gaza yang bernama Mukhayyam al-Maghazi. Kawasan ini agak padat dengan penduduk dan sibuk dengan aktiviti harian. Rakaman pada tubuh mereka menunjukkan pergerakan kereta dan orang awam di sekitarnya.

Lekas, jangan lambat

Apabila sampai berhampiran lokasi sasaran, pegawai rejim Zionis menghubungi pelaksana operasi dan memaklumkan bahawa sasaran akan tiba di rumah dalam masa 10 minit. Setibanya mereka di hadapan rumah sasaran, mereka menunggu sebentar sambil menantikan arahan seterusnya.

Tidak lama kemudian, kelihatan Abu al-Majd Zam-Zam keluar dari sebuah kereta dan mendekati pintu rumahnya. Arahan segera diberikan untuk melepaskan tembakan ke arah sasaran. Sebanyak 14 das tembakan dilepaskan, dengan pemilik kamera melepaskan lapan das daripadanya.

Pada mulanya tembakan dilepaskan dari jarak agak jauh, kemudian disusuli tembakan dari jarak dekat bagi memastikan sasaran benar-benar gugur. Pistol dan telefon bimbit milik Abu al-Majd turut diambil oleh mereka.

Cubaan menyelamatkan diri selepas operasi

Bunyi tembakan yang banyak itu disedari oleh jiran tetangga. Mereka diminta oleh penduduk sekitar untuk berhenti dan menyerah diri, namun mereka melarikan diri sepantas mungkin.

Kejutan berlaku apabila pegawai tentera rejim Zionis memutuskan talian komunikasi dengannya. Beliau menjadi tidak tentu arah selepas itu, kelam-kabut melarikan diri. Nafasnya yang sangat laju dapat didengari dalam rakaman tersebut.

Akhirnya beliau berjaya ditahan oleh penduduk setempat. Beliau cuba mengancam mereka dengan pistol yang dimilikinya, tetapi tidak diendahkan.

Beliau cuba sekali lagi melarikan diri, namun gagal kerana telah diberkas oleh penduduk, manakala rakannya dalam operasi tersebut berjaya melarikan diri ke wilayah kuning dalam peta Gaza.

Penutup

Pihak keselamatan Gaza akhirnya berjaya menahan pemuda ini dan menggodam sistem kamera pada tubuhnya. Daripada situlah terhasilnya pendedahan yang sedang anda baca dalam penulisan ini. Mengapa pihak musuh tidak membedil sahaja lokasi sasaran dengan pesawat udara dan apa sebenarnya kepentingan operasi melalui kumpulan pembelot daripada penduduk tempatan?

Akan disambung pada tulisan akan datang, insya Allah.

Ustaz Megat Aiman Hakim bin Megat Shariffudin

Pegawai Penyelidik Aqsa Syarif