Kembali

Operasi Ketenteraan Syaikh Faruq Ramadan di Nablus

Jul 27, 2026

Kisah Syaikh Faruq Ramadan Menumbangkan Dua Tentera Berpangkat Tinggi di Nablus

Pada hari Jumaat yang mulia, empat orang penduduk Palestin terkorban selepas ditembak tentera rejim Zionis. Dalam insiden yang sama, dua orang anggota tentera Zionis turut terbunuh menggunakan senjata mereka sendiri, manakala beberapa lagi dilaporkan cedera.

Segalanya bermula apabila berlaku pencerobohan di kawasan barat daya Nablus oleh sekumpulan pendatang haram Yahudi. Mereka bukanlah peneroka atau orang awam biasa, sebaliknya pendatang haram yang menyokong penjajahan dan merupakan anggota tentera Zionis yang berpakaian seperti orang awam di tanah milik rakyat Palestin.

Sekumpulan penduduk Palestin berjaya menghalau kumpulan tersebut sehingga mereka berundur. Namun, mereka kemudian kembali bersama anggota tentera rasmi Israel yang bertugas, lalu tercetus konfrontasi dengan penduduk Palestin di kawasan Tal, daerah Nablus.

Pada awalnya, pertembungan itu hanya melibatkan pertikaman lidah dan tolak-menolak. Namun apabila keadaan semakin tegang, salah seorang pendatang haram Yahudi menghampiri seorang penduduk Palestin bernama Faruq Ramadan. Dalam sekelip mata, Faruq berjaya merampas senapang automatik milik lelaki tersebut. Pada saat itu, beliau bertukar daripada mempertahankan diri kepada menyerang.

Faruq melepaskan tembakan ke arah dua individu di hadapannya. Tidak lama kemudian, anggota tentera Israel yang berada berhampiran membalas dengan tembakan bertubi-tubi sehingga mengorbankan Faruq bersama tiga lagi ahli keluarganya.

Mereka Askar, Bukan Sekadar Pendatang Haram


Walaupun berpakaian seperti orang awam, salah seorang yang terbunuh ialah Benyahu Mellet, 32 tahun. Beliau merupakan anggota Briged Jerusalem (Briged Infantri Ke-16) berpangkat Sarjan Pertama.

Mellet dikenali sebagai penyokong kuat projek perampasan tanah rakyat Palestin di Tebing Barat serta pembinaan penempatan haram. Beliau turut terlibat mengumpulkan maklumat dan mendokumentasikan aktiviti penduduk Palestin di Tebing Barat. Selain itu, beliau mengasaskan perhimpunan mingguan untuk solat di kawasan Jabal Eibal, Nablus, yang akhirnya menjadi asas kepada penubuhan sebuah penempatan haram di kawasan tersebut.

Beliau juga merupakan salah seorang anggota keselamatan penempatan haram Havat Gilad yang terletak berhampiran Nablus.

Seorang lagi yang terbunuh ialah Yuval Ezra, 27 tahun. Beliau merupakan komander sebuah bateri artileri dalam Batalion Ke-411, Rejimen Artileri Ke-282 Tentera Israel.

Siapakah Syaikh Faruq Ramadan?

Berita mengenai keberanian beliau merampas senjata seorang anggota tentera Zionis sebelum menggunakannya terhadap pemilik senjata tersebut tersebar luas ke seluruh dunia Islam.

Hakikatnya, beliau hanyalah seorang syaikh dan petani yang mempertahankan tanahnya daripada penceroboh. Namun tindakannya membawa mesej yang jelas bahawa rakyat Palestin tetap mempertahankan hak mereka terhadap tanah sendiri, walaupun terpaksa mengorbankan nyawa.

Kenyataan Abu Ubaidah

"Biarlah musuh penjenayah ini mengetahui bahawa al-Aqsa mempunyai para pejuang yang akan mempertahankannya, bahawa rakyat Palestin tidak akan berdiam diri menerima penghinaan, dan bahawa hati para pemuda kami sedang membara apabila melihat Masjid al-Aqsa dicemari, Tebing Barat terus diyahudikan, rumah-rumah dirobohkan, tanah-tanah dirampas, dan Gaza disembelih dari urat ke urat. Ketahuilah bahawa peningkatan pencerobohan mereka tidak akan membawa apa-apa kepada mereka selain kecelakaan terhadap mereka sendiri."

"Kami menyeru seluruh rakyat kami, kabilah-kabilah kami serta anggota pasukan keselamatan yang masih berpegang kepada maruah agar bangkit mempertahankan tempat-tempat suci, kehormatan dan tanah air mereka."

"Jangan sesekali membiarkan golongan perosak bermaharajalela tanpa sebarang tindakan. Ketahuilah bahawa medan sebenar perjuangan rakyat kami menentang penjajahan ialah di Tebing Barat yang dijajah, dan kami yakin medan itulah yang akan menjadi kunci kepada kemenangan mutlak ke atas penjajah."

Reaksi Pihak Israel

Kehilangan anggota tentera merupakan satu tamparan besar kepada pihak Israel. Sejurus selepas kejadian, Perdana Menteri Benjamin Netanyahu mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan tindakan susulan, termasuk mengeluarkan arahan untuk merobohkan rumah milik Faruq Ramadan.

Kawalan ketenteraan di sekitar Nablus turut diperketatkan. Selain itu, pentadbiran Israel mengeluarkan amaran kepada penduduk yang ingin menghadiri pengebumian beliau. Langkah-langkah ini dilihat sebagai usaha menunjukkan ketegasan kerajaan Israel terhadap insiden tersebut, walaupun Syaikh Faruq bersama tiga orang ahli keluarganya telah pun terkorban.

Semoga Allah Menerima Kesyahidan Syaikh

Syaikh Faruq meninggal dunia ketika mempertahankan maruah, agama dan tanah airnya.

Rasulullah SAW bersabda:

"Sesiapa yang terbunuh ketika mempertahankan hartanya, maka dia syahid. Sesiapa yang terbunuh ketika mempertahankan keluarganya, maka dia syahid. Sesiapa yang terbunuh ketika mempertahankan agamanya, maka dia syahid. Dan sesiapa yang terbunuh ketika mempertahankan darah (nyawanya), maka dia syahid."

(Hadis riwayat Abu Dawud, al-Tirmizi dan al-Nasa'i; dinilai sahih oleh sebahagian ulama hadis, antaranya Syeikh al-Albani.)

Islam memerintahkan umatnya menentang kezaliman mengikut tuntutan syariat, walaupun ia menuntut pengorbanan yang besar. Justeru, doa dipanjatkan agar Allah SWT menerima Syaikh Faruq Ramadan dan tiga ahli keluarganya sebagai syuhada serta mengurniakan kepada mereka ganjaran syurga di sisi-Nya.

Ustaz Megat Aiman Hakim Megat Shariffudin
Pegawai Penyelidik Aqsa Syarif