Kembali

Operasi ketenteraan di seluruh Semenanjung Gaza demi halang penjajahan penuh

Megat Aiman Hakim bin Megat Shariffudin

Aug 21, 2025

Seiring dengan keputusan yang diumumkan oleh Perdana Menteri Netanyahu mahu menjajah seluruh bumi Gaza, pihak pejuang telah melancarkan serangan ke atas tentera musuh yang telah pun memulakan operasi secara berperingkat di daerah yang belum dikuasai.

Pihak pejuang tahu bahawa mereka telah berperang sehabis baik selama 23 bulan dalam keadaan terkepung dan disekat makanan dan minuman. Dalam masa yang sama, keluarga mereka dan diri mereka menjadi sasaran kelaparan dan pembedilan.

Manakala pihak musuh pula, entiti penjajah ini sentiasa mendapat bantuan ketenteraan dan ekonomi daripada Amerika, Eropah dan sebahagian negara Arab.

Tetapi di sebalik semua cabaran dan kesusahan yang disebutkan, penulis ingin kongsikan apa yang disebut sendiri oleh salah seorang pejuang dan ia baru disiarkan tidak sampai 24 jam lalu.

Kata beliau:

“Sebahagian tanggungjawab hanya diberikan kepada hamba yang dipilih oleh Allah,

Allah tidak memilih hamba-hamba yang berjuang dijalanNya kecuali yang masih teguh,

Ketahuilah bahawa medan juang ini susah wahai Rijal,

Medan juang susah ini tidak diberikan kepada Rijal yang kuat,

Maralah ke hadapan dengan keberkatan daripada Allah.”

Laporan yang sampai kepada umat Islam hari ini menunjukkan para pejuang benar-benar memaknai apa yang disebutkan dalam kata-kata di atas. Mereka menyambut ketibaan tentera musuh yang telah menceroboh tanah air mereka dengan bahan letupan al-Syuaz, RPG Yasin 105, tembakan Sniper al-Ghoul dan sebagainya.

Tetapi semua senjata yang disebutkan adalah sampingan, senjata utama yang paling ditakuti musuh ialah kebijaksanaan mereka dalam mengubah dan mengubah strategi baru untuk melancarkan serangan setiap kali musuh mara ke dalam Gaza.

Setelah 23 bulan pihak penjajah memusnah hampir seluruh infrastruktur di atas bumi Gaza, dan mereka mendakwa telah melumpuhkan briged pejuang di daerah sasaran dengan meruntuhkan terowong bawah tanah dan membunuh ketua-ketua briged yang terlibat, minggu ini sahaja para pejuang melakukan operasi di Hay al-Zaytun, Jabalia, Khan Younis dan Rafah.

Malah ketua Saraya al-Quds melaporkan selepas sahaja pihak tentera Zionis berundur secara berperingkat daripada Syujiah, Tufah dan Zaytun (utara Gaza), mereka mendapati jumlah aset kenderaan yang telah menjadi sasaran serangan dengan bahan letupan dan peluru RPG adalah sebanyak 52 buah aset.

Kita masih belum mendapat kepastian sejauh manakah kerosakan yang berlaku terhadap 52 aset kenderaan yang diserang itu. Namun daripada video yang telah disiarkan oleh pihak pejuang dan penduduk tempatan menunjukkan sebahagian jentera dan aset kenderaan yang diserang telah rosak secara total.

Oleh itu, tidak hairan juga banyak laporan yang didapati sebelum ini, serangan dengan menggunakan RPG Yasin 105 dan bahan letupan al-Syuaz mampu menggugurkan hampir semua penumpang yang berada di dalam aset kenderaan tentera.

Operasi Khan Younis – 4 Aset kenderaan tentera diserang

Tempoh sebulan yang lalu sehingga kini, Khan Younis merupakan lokasi sengit antara pejuang dan tentera penjajah. Operasi yang terbaru disiarkan oleh pihak pejuang baru-baru ini menunjukkan sekali lagi kejayaan mereka menghalang kemaraan musuh.

Operasi terbabit berjaya melumpuhkan dua kereta kebal Merkava dan dua kereta pengangkut berperisai Namer dengan senjata Yasin 105.

Keistimewaan operasi ini ialah berlaku di berdekatan laluan Morag, Timur Khan Younis. Ia merupakan satu kawasan panjang yang memisahkan  Khan Younis dan Rafah. Laluan Morag berbeza ini berbeza dengan laluan Nitzarim kerana ia padat dengan bangunan dan infrastruktur. Hal ini menjadikan kemasukan aset kenderaan tentera seperti Kereta Kebal Merkava dan Kereta Pengangkut Namer merupakan sasaran mudah bagi pejuang.

Para pejuang pula dengan mampu menyusup masuk dari satu lokasi ke lokasi baru untuk melepaskan peluru RPG Yasin. Tetapi tidak mudah, keadaan mereka adalah seperti penduduk awam di sana. Mereka juga kemungkinan besar tidak makan dan minum selama berhari-hari dan alami kecederaan akibat pembedilan oleh serangan musuh.

Kedudukan mereka juga mudah untuk diketahui oleh musuh kerana drone peninjau sentiasa terbang di langit Gaza.

Operasi Jabalia

Bahagian satu: Jentera D9 hancur sepenuhnya

Operasi bermula dengan proses pembuatan bahan letupan al-Syuaz oleh para pejuang dalam sebuah bangunan dengan menggunakan bahan dan peralatan yang amat terhad.

Para pemuda kemudiannya membawa bahan letupan tersebut di luar bangunan, di bawah langit terbuka dan menanamnya di dalam tanah sebagai perangkap pada laluan yang akan dilalui oleh aset kenderaan tentera penjajah.

Ketika mereka melalukan proses penanaman itu, sebenarnya mereka boleh menjadi mereka sasaran mudah drone penyerang Spike Firefly atau Quadcopters. Namun tidak semua perkara dikuasai oleh musuh, barangkali para pejuang mempunyai kebolehan tersendiri untuk membaca dan meramal pergerakan musuh di langit Gaza.

Selain itu, para pejuang juga memakai kain besar berwarna kelabu di belakang mereka untuk mengelirukan mata-mata di langit setiap kali bergerak di bawah langit terbuka.

Dengan izin Allah, perangkap yang dipasang berjaya meletup tepat pada sasaran yang merupakan sebuah Jentera D9. Video yang disiarkan menunjukkan sasaran tersebut musnah sepenuhnya dan sebahagian daripada tubuhnya tercabut dan musnah.

Bahagian dua: al-Syuaz dibaling ke arah musuh

Pada bahagian kedua yang disiarkan pula para pejuang berjaya menyasarkan tiga orang tentera penjajah dengan serangan al-Syuaz. Kali ini bukan dengan perangkap yang ditanam seperti bahagian satu, tetapi seorang pejuang berada di dalamnya bersedia untuk tentera masuk.

Apabila masuk sahaja ketiga-tiga orang tentera ke dalam rumah terbabit, pemuda pejuang itu membaling bahan letupan al-Syuaz terhadap mereka.

Belum mendapat kepastian sehingga kini keadaan ketiga-tiga orang tentera penjajah tersebut. Harapnya semua kena pada sasaran.

Operasi Hay al-Zaytun

Hay al-Zaytun merupakan daerah paling besar di utara Gaza, paling hampir dengan Nitzarim yang telah dikuasai oleh penjajah. Daerah ini merupakan kubu kuat para pejuang dan pihak penjajah pula telah gagal beberapa kali dalam cubaannya menjajah daerah ini.

Operasi terbaru berlaku pada hari rabu yang lalu, para pejuang berjaya meletupkan sebuah bangunan yang sedang digunakan oleh beberapa anggota tentera dengan serangan peluru RPG dan diikuti dengan peluru raifal. Selepas itu, dua bahan letupan al-Syuaz berjaya diletupkan di dalam dua kokpit Kereta Pengakut Namer dengan cara yang sangat berani oleh para pejuang.

Dalam perjalanan pulang dari lokasi serangan hendap, para pejuang menyerang pula sebuah Kereta Pengangkut Namer dan dua bangunan yang didiami oleh tentera penjajah dengan dengan RPG 105 dan peluru Tandom.

Kali ini para pejuang mengesahkan ada dalam kalangan tentera penjajah yang gugur dan alami kecederaan.

Penutup

Bagi para pejuang, mereka mampu untuk terus berjuang walaupun serba kekurangan, mungkin disebabkan mereka sedang merasai kenikmatan ibadah jihad. Daripada ibadah ini, turunnya hidayah dan ketenangan daripada Allah SWT.

"Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya”. Surah al-Ankabut: 69.

Mereka mungkin akan gugur juga nanti, nasib mereka tidak berbeza dengan penduduk awam di sana, malah lebih berisiko tinggi untuk menjadi sasaran serangan. Tetapi mereka juga boleh mencapai kemenangan hakiki dengan memerdekakan tanah air mereka dengan izin Allah dan bantuanNya.

Kedua-dua natijah ini hanya ditentukan oleh Allah dan kedua-duanya adalah kemenangan besar buat mereka. Persoalannya di sini, kalau mereka masih boleh terus berjuang atas dasar iman dan tawakal yang tinggi, kita pula bagaimana?

Ustaz Megat Aiman Hakim bin Megat Shariffudin

Pegawai Penyelidik Aqsa Syarif