Kembali

Operasi di Zikim dedah kegagalan dan pengecut briged ‘elit’ tentera Zionis

Megat AIman Hakim bin Megat Shariffudin

May 6, 2025

Seperti yang dilaporkan pada 7 Oktober 2023 lalu, pihak pejuang telah melancarkan serangan daripada udara, bawah tanah, atas darat dan melalui air.

Pada serangan yang dilancarkan melalui air, pasukan komando al-Qassam telah menghantar sekumpulan pemuda dengan menaiki bot mereka dan senjata ringan untuk melumpuhkan kem tentera di Zikim, utara Gaza.

Setibanya mereka di kem tentera Zionis di Zikim, sepatutnya mereka bertempur dengan tentera yang telah siap sedia dengan kelengkapan senjata yang dimiliki mereka.

Namun hal itu langsung tidak berlaku.

Portal berita Ibrani Ynet menyebut apa yang berlaku ketika permulaan insiden 7 Oktober 2023 di kem tentera Zikim ialah “kegagalan moral dan profesional yang besar”.

Menurut Ynet juga, “Pasukan tentera Israel telah melarikan diri pada detik-detik awal serangan, bukannya mara untuk bertempur, yang mengakibatkan 14 anggota terbunuh di dalam bilik mandi dan tempat perlindungan di lokasi ketenteraan tersebut.”

Manakala seorang penganalisis Ron Ben-Yishai menyebutkan, “Operasi Zikim bukan sekadar kegagalan di medan perang, tetapi peristiwa yang mendedahkan runtuhnya doktrin kemampuan kekuatan ketenteraan dan pencegahan serangan musuh”.

Kata beliau lagi, “Siasatan mendedahkan bahawa tentera tidak bersedia baik dari segi mental mahupun operasi  untuk senario yang serupa dengan Perang Yom Kippur yang baharu.”

Bukan sekadar itu, laporan turut menyatakan apabila siren amaran dibunyikan pada 06:29 pagi, ketua pasukan bertanggungjawab memerintah agar anggota tentera menyelamatkan diri di tempat perlindungan.

Selepas 9 minit, anggota tentera yang sepatutnya mengendalikan komunikasi turut telah meninggalkan posnya. Keadaan ini menyebabkan 14 orang anggota tentera Zionis terbunuh di kem tentera.

Untuk pengetahuan pembaca juga, briged yang terlibat dalam operasi ini ialah Briged Golani. Ia merupakan briged elit, dikatakan antara yang terkuat dan banyak sejarahnya sejak penubuhan negara penjajah Zionis.

Dalam hal ini juga, menurut penganalisis politik, Akiva Eldar, tujuan pendedahan ini baru dibocorkan adalah untuk menekan pihak kerajaan agar bertanggungjawab atas kegagalan mereka menjaga keamanan negara dan mendesak mereka untuk meletakkan jawatan.

Kegagalan ketenteraan terus berlaku sehingga kini

Selepas sahaja kem tentera Zikim telah dilumpuhkan oleh para pejuang daripada Gaza, tiada satu pun pasukan tentera datang untuk membantu atau menyelamatkan mangsa kecuali selepas beberapa jam akibat terputusnya komunikasi.

Laporan menyebutkan selepas selesai operasi para pejuang telah pun pulang ke semenanjung Gazadengan menaiki kenderaan Briged Golani serta membawa kemenangan dan tawanan.

Kegagalan tentera Zionis bukan hanya pada 7 Oktober sahaja, tetapi ia berterusan sehingga hari ini.

Setelah lebih 17 bulan mereka beroperasi dalam Gaza mereka menghadapi dua kegagalan yang jelas. Pertama mereka tidak dapat mengalahkan pasukan pejuang yang dilihat semakin kuat dan mampu memberikan serangan hebat.

Pada hujung minggu lalu sahaja tiga serangan hendap yang mengorbankan dan mencederakan ramai anggota tentera Zionis di Rafah sahaja.

Kegagalan kedua pula mereka tidak mampu untuk mengembalikan para tawanan. Bukan sekadar itu, mereka turut mengebom para tawanan bersama-sama penduduk Palestin sehingga ada yang terbunuh dan cedera parah.

Tambahan daripada itu, sistem pertahanan udara juga tidak mampu menyelamatkan roket-roket daripada Gaza sendiri dan Yaman. Ahad lalu baru sahaja berlaku serangan yang disifatkan paling besar daripada Yaman dengan menggunakan senjata roket hipersonik menyasarkan lokasi paling strategik dan dilindungi oleh pertahanan udara, Lapangan Terbang Ben Gurion.

Kesimpulan

Semua ini memberi makna, negara penjajah tidaklah sekuat mana, mereka tidaklah terselamat sepenuhnya walaupun mendapat bantuan daripada Amerika dan sebahagian negara Eropah dan mereka ada banyak kelemahan yang boleh menyebabkan lebih kalah dan berpecah belah.

Ketika ini, mereka baru sahaja bertempur dengan dua entiti, Gaza dan Yaman, yang amat terbatas kekuatannya daripada sudut ketenteraan.

Sekiranya sebahagian negara Arab, dengan kekuatan ketenteraan yang hebat, bilangan anggota tentera yang ramai, bilangan pesawat udara yang banyak, tidak mustahil negara penjajah boleh dikalahkan dengan izin Allah dan pengorbanan yang berbaloi di dunia dan akhirat.

Hal ini menunjukkan fatwa kewajipan jihad tempoh hari yang dikeluarkan oleh Kesatuan Ulama Islam Sedunia dan disokong dengan fatwa mufti Pakistan, sebenarnya boleh diaplikasikan.

Semoga penulisan mampu memberikan kesedaran betapa lemahnya musuh Allah di atas bumi Palestin ini dan sebenarnya mereka boleh dikalahkan sekiranya umat Islam ada keberanian lebih.

Megat Aiman Hakim bin Megat Shariffudin