Kembali
Operasi cemerlang di Bait Hanun dan al-Syujaiah: Bukti Kebenaraan Kenyataan Abu Ubaidah
Megat Aiman Hakim bin Megat Shariffudin
May 2, 2025

Operasi cemerlang di Bait Hanun dan al-Syujaiah: Bukti Kebenaraan Kenyataan Abu Ubaidah
Kata Abu Ubaidah pada 25 April lalu, “para pejuang kami masih terus berjuang dalam pertempuran yang penuh keberanian, melaksanakan serangan hendap yang rapi, dan meninjau pasukan musuh untuk menjatuhkan mereka ke dalam perangkap maut yang pasti – pada tempat, masa, dan cara yang mereka sendiri pilih.”
Ayat beliau berikutnya lagi, “Keberanian para pejuang kita di medan perang, dari Bait Hanun hingga Rafah, adalah satu kebanggaan, keajaiban ketenteraan, dan hujah (bukti kekuatan) terhadap seluruh syabab (orang muda) dan umat ini.”
Operasi Bait Hanun, 26 April 2025
Keesokan harinya, satu video disebarkan menunjukkan operasi penembak tepat yang menyasarkan empat tentera Zionis di Bait Hanun. Ini adalah kawasan yang sama berlakunya serangan hendap sebelum ini yang menyebabkan sebuah kereta jip musuh terbalik. Operasi kali ini, manusia pula yang “terbalik” – kedua-dua kaki menghala ke langit manakala kepalanya menghala ke tanah.
Operasi dimulakan dengan mengenal pasti keempat-empat anggota tentera dan setiap seorang ditembak oleh penembak tepat yang berbeza.
Dua peluru dilepaskan secara serentak, menumbangkan dua tentera serta-merta. Seorang lagi tentera yang datang untuk membantu turut ditembak, lalu terjatuh dari kubunya dan kelihatan dalam keadaan terbalik.
Penembakan keempat juga berjaya, namun tidak sempat dirakam.
Kata penganalisis Faiz al-Duwairi, Bait Hanun sentiasa menjadi lokasi strategik yang mencabar buat rejim Zionis. Ia merupakan lokasi pertama yang diceroboh pada 27 Oktober 2023 dan ia juga lokasi terakhir berlakunya operasi para pejuang sebelum bermulanya gencatan senjata pada Januari lalu.
Pada minggu ini, berlaku lagi dua operasi cemerlang yang sempat dirakam oleh pihak pejuang dan operasi terbabit juga berlaku pada jarak 300 meter sahaja daripada sempadan.
Hal ini menunjukkan dua perkara; pertama, ini menunjukkan betapa dekatnya kehadiran pejuang dengan musuh dan kedua, terowong yang telah dikesani oleh musuh atau yang telah dimusnahkan oleh musuh, boleh dibina semula untuk melakukan serangan hendap.
Operasi al-Syujaiah, 27 April 2025
Operasi ini dilaporkan memberi tamparan besar kepada tentera Zionis. Akhbar Ibrani Yedioth Ahronoth menyifatkannya sebagai “pertempuran paling sengit sejak perang disambung semula.” Mereka juga mengakui bahawa “Hamas telah melakukan persiapan lengkap walaupun tentera mendakwa telah membunuh ketua Briged al-Syujaiah”
Berikut ialah perincian operasi tersebut seperti yang dilaporkan sendiri oleh media Yahudi (bukan pihak rasmi kerajaan Zionis).
Seperti biasa, operasi bermula setelah selesai pengeboman di kawasan sasaran, rejim Zionis mengerahkan tentera darat untuk memasuki kawasan terbabit. Pasukan yang terlibat ialah Unit Yamas yang terdiri daripada tentera Musta’ribin.
Anggota tentera Musta’ribin ialah tentera yang memahami bahasa dan budaya orang Arab. Tujuan mereka diwujudkan adalah supaya boleh menyamar menjadi orang Arab agar mudah bergaul dengan penduduk, melakukan perisikan dan tangkapan dengan mudah.
Apabila unit terbabit telah sampai dalam sebuah bangunan, mereka diserang dengan serangan hendap oleh pihak pejuang. Mereka sangkakan selepas pengeboman dilakukan para pejuang telah dilumpuhkan, tetapi mereka silap.
Pertempuran Dua Jam dan lima serangan peluru RPG
Pada ketika itu, dilaporkan berlaku pertempuran semselama dua jam penuh antara kedua-dua belah pihak. Dalam pertempuran tersebut, pasukan penyelamat musuh turut datang untuk meningkatkan kekuatan tentera. Namun mereka semua dikenakan serangan RPG Yasin 105 sebanyak 5 kali daripada pihak pejuang.
Pada serangan pertama, serangan dilepaskan ke atas sebuah kenderaan berperisai yang sepatutnya datang untuk menyelamatkan mangsa sasaran daripada pihak pejuang. Kesan serangan tersebut seorang tentera Zionis mengalami kecederaan ringan.
Pada serangan berikutnya, dua peluru RPG dilepaskan ke arah sebuah kereta kebal tetapi tidak berlaku sebarang kecederaan.
Selepas sejam pertempuran antara kedua-dua pihak, dilepaskan sebuah peluru RPG lagi menyasarkan sebuah kereta kebal daripada Briged 46. Kali ini serangan kena pada sasaran menyebabkan seorang pegawai tentera terbunuh dan kecederaan seorang anggota tentera lain.
Setengah jam kemudiannya, sebuah lagi peluru RPG dilepaskan ke arah sebuah pasukan tentera Zionis dan dilepaskan juga peluru-peluru senjata ringan. Kesan serangan menyebabkan dua anggota tentera Zionis alami kecederaan.
Apa disebalik dua operasi ini?
Hakikatnya jumlah kematian dan kecederaan secara sahih sukar untuk disahkan. Tetapi kedua-dua operasi ini sekali lagi memberikan tekanan masyarakat awam dalam negara Zionis kerana ia mendapat liputan luas dalam media ibrani dalam negara penjajah.
Dalam masa yang sama, rakyat awam terus marah kerana anak-anak mereka terbunuh dalam operasi secara sia-sia. Mereka yang terselamat pun mungkin alami kecederaan fizikal atau mental. Ini juga merencatkan perjalanan kehidupan mereka.
Pada sudut kedua, dua operasi ini dan operasi lain yang diceritakan pada penulisan sebelum ini menunjukkan benarlah apa yang disebutkan oleh Abu Ubaidah. Para pejuang masih aktif melancarkan serangan secara efektif ke atas musuh dari kawasan paling utara Gaza sehinggalah ke selatan.
Sehingga kini, kelaparan dan pengeboman masih tidak mampu melumpuhkan pihak pejuang dan semangat para penduduk. Lebih mengejutkan, apabila dibuka peluang untuk menyertai pasukan pejuang, terdapat lebih 30,000 penduduk masih mahu menyertai peperangan. Ini selepas 500 hari dan 17 bulan pembedilan ke atas Gaza.
Benar apa yang disebutkan oleh musuh sendiri bahawa perjuangan di Gaza tidak boleh dikalahkan kerana ia berpaksikan ideologi. Tumbangnya seorang pejuang, digantikan oleh ribuan lagi pemuda.
Allah Bersama Mereka
Didoakan agar pejuang terus mendapat kekuatan dan ketabahan daripada Allah SWT untuk terus melawan musuh Allah di bumi suci Gaza ini. Cabaran mereka amat kuat. Kelaparan, senjata terbatas, tiada negara yang menolong mereka sama ada dari sudut ketenteraan mahupun politik, ahli keluarga mereka diancam pembunuhan dan pembantaian dan sebagainya.
Namun sesiapa pun bersama Allah, tiada siapa yang mampu mengalahkannya.
Firman Allah SWT:
إِن يَنصُرْكُمُ اللَّهُ فَلَا غَالِبَ لَكُمْ ۖ وَإِن يَخْذُلْكُمْ فَمَن ذَا الَّذِي يَنصُرُكُم مِّن بَعْدِهِ ۗ وَعَلَى اللَّهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُؤْمِنُونَ
“Jika Allah menolong kamu mencapai kemenangan maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat mengalahkan kamu; dan jika Ia mengalahkan kamu, maka siapakah yang akan dapat menolong kamu sesudah Allah (menetapkan yang demikian)? Dan (ingatlah), kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman itu berserah diri.” (Ali Imran: 160)
Pejuang di Gaza bukan sahaja menghafal dan membaca ayat ini, tetapi mereka memaknainya dengan perjuangan yang mereka lakukan hari ini berhadapan dengan tentera penjajah.
Abu Maryam