Kembali
Operasi Bait Hanun: Bukti Kegagalan Ketenteraan dan Kelemahan Penjajah yang Semakin Parah
Megat Aiman Hakim bin Megat Shariffudin
Jul 9, 2025

Operasi Bait Hanun: Bukti Kegagalan Ketenteraan dan Kelemahan Penjajah yang Semakin Parah
“Pejuang di Gaza semakin berani menyerang tentera kami sejak beberapa hari lalu,” menurut pengakuan Perbadanan Penyiaran Awam Israel sendiri.
Semalam, tentera Zionis dikejutkan dengan berita kematian lima orang askar Yahudi, manakala 19 lagi dilaporkan cedera.
Kesemua mereka menjadi mangsa dalam operasi serangan oleh pejuang di Bait Hanun, sebuah daerah yang telah musnah sepenuhnya dan hanya terletak satu kilometer dari sempadan negara penjajah.
Ia juga merupakan kawasan terawal yang diceroboh oleh tentera Zionis secara darat pada 27 Oktober 2023.
Kesemua yang terkorban dan cedera adalah golongan penganut ekstrem Yahudi dari komuniti Haridim. Mereka merupakan tentera sukarelawan yang berkhidmat dalam Batalion 97 “Netzah Yehuda” di bawah Briged “Kfir”.
Sebelum Operasi
Sebelum operasi dijalankan, rejim Zionis telah terlebih dahulu membedil kawasan tersebut selama beberapa hari menggunakan pesawat tempur dan peluru artileri. Ini merupakan modus operandi lazim mereka sebelum menghantar pasukan darat.
Mereka turut menggunakan jentolak berat D9 untuk “membersihkan” jalan-jalan daripada bom yang telah ditanam oleh para pejuang.
Sebelum ini, rejim Zionis mendakwa bahawa Bait Hanun telah berjaya dibersihkan sepenuhnya daripada kehadiran pejuang Gaza, kekuatan mereka telah dilumpuhkan, dan ketua Briged pejuang Bait Hanun, Hasan Fayyadh, telah dibunuh.
Namun, dakwaan ini ternyata hanyalah retorik kosong.
Hasan Fayyadh masih hidup, dan para pejuang masih mampu melancarkan operasi serangan gerila berhampiran kubu tentera penjajah. Mereka sentiasa meninjau pergerakan musuh siang dan malam serta merancang strategi dengan penuh ketelitian, seperti yang dapat dilihat dalam operasi terdahulu, termasuk Operasi Pemecah Pedang.
Keunikan Operasi
Rejim Zionis mula memasuki Bait Hanun pada waktu malam dengan jangkaan bahawa pejuang Gaza tidak mampu beroperasi kerana kekurangan peralatan penglihatan malam. Namun, mereka sekali lagi tersilap.
Kali ini, pasukan tentera penjajah melangkah masuk ke dalam kawasan yang telah dipasang perangkap. Empat bahan letupan IED meletup berturut-turut, menyebabkan kekecohan dalam kalangan tentera mereka.
Menariknya, pasukan pejuang kekal di posisi asal kerana mereka menjangka pasukan keselamatan penjajah akan datang untuk mengambil mangsa serangan.
Apabila pasukan keselamatan memasuki kawasan tersebut, mereka pula menjadi sasaran serangan dan pertempuran berlaku. Tentera Zionis kemudiannya menghantar satu lagi pasukan tambahan bagi menghadapi pejuang.
Sehingga kini, kronologi penuh operasi ini masih belum didedahkan kerana pihak pejuang al-Qass@m belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenainya.
Reaksi Abu Ubaid@h
Jurucakap al-Qass@m, Abu Ubaidah, mengeluarkan kenyataan pada malam 8 Julai, selepas pihak penjajah mengakui kerugian mereka:
"Operasi kompleks di Beit Hanoun adalah satu lagi tamparan hebat yang diberikan oleh para mujahidin kami yang gagah terhadap maruah tentera penjajah yang rapuh serta unit-unitnya yang paling ekstrem (Batalion 97 'Netzah Yehuda'), di medan yang mereka sangka telah selamat setelah dihancurkan hingga tidak meninggalkan apa-apa."
"Perang kehancuran total yang sedang dilancarkan oleh para pejuang kami terhadap musuh dari utara ke selatan Gaza akan menyebabkan mereka mengalami kerugian anggota setiap hari. Jika sebelum ini mereka berjaya menyelamatkan tenteranya secara ajaib, selepas ini mungkin mereka akan gagal dan lebih ramai akan jatuh sebagai tawanan ke tangan kami."
"Ketabahan rakyat dan keberanian para pejuang kitalah yang akan menentukan keseimbangan kuasa dan mencorakkan fasa seterusnya. Keputusan paling bodoh yang boleh diambil oleh Netanyahu adalah untuk terus mengekalkan tenteranya di dalam Gaza."
Tekanan terhadap Gencatan Senjata
Melihat kepada perkembangan ketenteraan terkini, pihak pejuang dilihat berjaya menguasai pertempuran di Gaza. Meskipun ramai penduduk Gaza yang terkorban, jumlah kematian rakyat awam bukanlah kayu ukur kepada kemenangan ketenteraan.
Sebaliknya, pihak pejuang berjaya membunuh ramai tentera Zionis serta memusnahkan dan merosakkan jentera serta kenderaan berperisai seperti Namer dan Merkava, sesuatu yang turut diakui oleh media berbahasa Ibrani.
Secara keseluruhan, tentera Zionis kebelakangan ini memperlihatkan pelbagai kelemahan:
Pertama, mereka gagal mengumpul maklumat perisikan yang tepat di medan.
Dalam operasi Bait Hanun, mereka tidak dapat mengesan pergerakan pejuang atau lokasi kubu pertahanan, lalu melancarkan operasi malam dengan andaian bahawa pejuang tidak mampu memantau gerakan mereka. Akibatnya, lima askar terbunuh dan 19 lagi cedera.
Situasi sama turut berlaku dalam operasi di Khan Younis, Syujaiah, dan kawasan lain. Masalah utama mereka bukan pada kekurangan senjata, tetapi pada kegagalan mendapatkan maklumat medan secara efektif.
Kedua, jumlah anggota tentera Yahudi yang bersedia untuk berkhidmat semakin berkurang. Bahkan, menurut laporan Haaretz, rejim penjajah kini terpaksa merekrut semula bekas tentera yang pernah berkhidmat, walaupun mereka masih mengalami trauma dan masalah mental, demi mengisi kekosongan barisan hadapan.
Dengan dua kelemahan ini, walaupun tentera Zionis memiliki kelebihan dari segi teknologi seperti dron, pesawat tempur, robot, anjing pengesan, kenderaan berperisai dan senjata moden, mereka tetap rentan terhadap serangan gerila dan perangkap yang dipasang oleh pejuang.
Maka, mereka tidak akan berjaya menguasai Gaza sepenuhnya dan tidak akan mencapai sebarang objektif ketenteraan. Dengan izin Allah, kelemahan mereka akan mendekatkan lagi kepada persetujuan gencatan senjata yang kini sedang dirundingkan di Amerika Syarikat.
Seperti yang diakui sendiri oleh Yair Golan, tokoh politik dan bekas Leftenan Jeneral tentera Zionis:
"Selepas kematian askar-askar kami, kami terpaksa hari ini mencapai satu perjanjian dan menamatkan perang."
Doa dan Terus Bersuara untuk Palestin
Sekalipun gencatan senjata berlaku dalam masa terdekat, masih banyak tanggungjawab yang perlu kita pikul demi saudara kita di sana. Musuh yang licik dan penuh tipu daya ini tidak boleh dipercayai sepenuhnya.
Para pejuang telah memberikan segalanya dalam pusingan ini, maka sewajarnya kita sebagai umat Islam terus menyokong mereka dalam segala aspek. Mengaku kalah bukanlah satu pilihan, malah ia diharamkan dalam Islam.
Nantikan perkembangan lanjut berkenaan Operasi Bait Hanun. Moga Allah mempermudahkan segala urusan dan mengurniakan kemenangan kepada mereka yang berjuang di jalan-Nya.
Semoga penulisan ini memberi manfaat dan kesedaran kepada para pembaca.
Ustaz Megat Aiman Hakim bin Megat Shariffudin
Pegawai Penyelidik, Aqsa Syarif