Kembali

Misi Penculikan Pimpinan Hamas di Gaza

Ustaz Megat Aiman Hakim bin Megat Shariffudin

Sep 3, 2026

Operasi Menculik Pemimpin di Katibah Menggunakan Teknik Penyamaran

Baru-baru ini berlaku lagi sebuah misi sulit rejim penjajah untuk menculik pimpinan keselamatan Hamas, Muin Arabid, di wilayah Katibah, Bandar Gaza. Misi tersebut menggunakan sebuah van putih (seperti dalam gambar di bawah) yang kononnya bertujuan menghantar bantuan kepada penduduk awam. Sebaik sahaja van tersebut tiba di lokasi sasaran, beberapa anggota tentera keluar dengan membawa senjata yang dipasang alat penyenyap.

Ahli misi tersebut menembak dua orang anggota keselamatan Gaza dan seterusnya menculik Muin Arabid. Ketika operasi sedang berjalan, isteri mangsa sebenarnya turut berjuang dengan senjata sehingga ke akhir hayat. Keberanian ibu pejuang ini akan diceritakan dalam penulisan yang akan datang.

Selepas itu, sejumlah tentera al-Qassam tiba di lokasi untuk menggagalkan misi tersebut. Situasi terbabit menyebabkan beberapa anggota tentera rejim penjajah terkorban dan mereka terpaksa meninggalkan lokasi secara tergesa-gesa.

10 Pesawat Tentera Udara Digunakan untuk Menyelamatkan Ahli Misi

Untuk menyelamatkan ahli misi ini ketika berundur ke lokasi selamat, rejim Zionis menggunakan 10 pesawat tentera udara dan melancarkan sekitar 17 serangan terhadap rumah-rumah penduduk awam. Serangan tersebut menyebabkan sekurang-kurangnya tiga orang awam terbunuh, termasuk wanita dan kanak-kanak. Selain itu, beberapa penduduk turut dilaporkan mengalami kecederaan.

Ada yang menyatakan ahli misi ini ialah anggota kumpulan penjenayah bersenjata daripada kalangan penduduk Gaza sendiri dan ada pula yang menyatakan mereka ialah tentera Zionis. Dalam kedua-dua keadaan, walaupun Muin Arabid telah diculik, beberapa anggota misi daripada tentera IDF mereka telah terbunuh, iaitu seramai dua orang, manakala tiga orang pengkhianat berjaya ditangkap.

Bukan itu sahaja, para pejuang juga dilaporkan memperoleh senjata dan peluru yang ditinggalkan oleh musuh. Keadaan sama berulang kali berlaku di medan tempur yang ditinggalkan tentera rejim penjajah. Ini menunjukkan kegagalan tentera IDF dan sekutunya dalam menewaskan para pejuang di medan darat sepanjang pertempuran berlangsung.

Misi Gagal Walaupun Muin Telah Diculik

Dr Faiz Abu Syamalah, ahli akademik dan tokoh politik Palestin dari Khan Younis, Gaza, menyebutkan tentang misi ini:

فشل العملية العسكرية الإسرائيلية غرب غزة هذا اليوم يشير إلى ثلاثة:

الأول: أن غزة ما زالت في قبضة أهلها، وأن حراس غزة لهم جذور عميقة في تراب فلسطين.

الثاني: أن عملاء المخابرات الإسرائيلية أكثر خطورة وشراسة من الصهاينة أنفسهم.

الثالث: الحرب قائمة إلى يوم الدين.

Kegagalan operasi ketenteraan Israel di barat Gaza pada hari ini menunjukkan tiga perkara:

1. Gaza masih berada dalam genggaman penduduknya, dan para penjaga Gaza mempunyai akar yang mendalam di bumi Palestin.

2. Ejen-ejen perisikan Israel lebih berbahaya dan lebih ganas daripada golongan Zionis itu sendiri.

3. Peperangan ini akan berterusan sehingga Hari Kiamat.

Tambahan daripada penulis berkaitan operasi ini:

1. Genosid Masih Berterusan

Walaupun gencatan senjata telah diumumkan tahun lalu, lebih 1,300 individu telah syahid. Pembunuhan berlaku setiap hari terhadap kanak-kanak, wanita dan orang awam secara keseluruhannya. Ia berlaku melalui serangan udara, kelaparan, tekanan psikologi dan tembakan menggunakan dron.

2. Hamas Menjadi Sasaran Sama Ada Berkuasa atau Sebaliknya

Pada Julai lalu, Hamas telah bersetuju untuk menyerahkan pentadbiran kerajaan kepada Jawatankuasa Kebangsaan Pentadbiran Gaza (NCAG) seperti yang dipersetujui oleh Donald Trump serta negara penjamin, Qatar dan Mesir. Secara asasnya, Gaza tidak lagi ditadbir oleh Hamas kerana peletakan jawatan telah berlaku secara rasmi.

Namun begitu, nyawa anggota Hamas dan ahli keluarga mereka terus menjadi sasaran setiap hari. Dalam operasi ini, isteri Muin Arabid turut terkorban. Ini membuktikan bahawa rejim penjajah bukan sekadar mahu mengalahkan Hamas, tetapi mahu membunuh seluruh pimpinan serta ahli keluarga mereka.

Ia merupakan langkah politik untuk mendapatkan sokongan golongan ekstrem dalam kalangan rakyat Israel yang bersetuju dengan jenayah genosid dan usaha mengosongkan Gaza daripada penduduknya.

3. Kumpulan Penjenayah Bersenjata Masih Berkuasa

Kumpulan penjenayah bersenjata seperti kumpulan Yasir Abu Syabab, Asyraf al-Mansi dan lain-lain masih berkuasa di sekitar 70% kawasan Gaza yang telah dirampas. Kewujudan mereka bersama kelengkapan senjata, peluru dan latihan ketenteraan yang diperoleh daripada rejim penjajah membantu jenayah genosid, perampasan lebih banyak tanah serta usaha menghalau penduduk Palestin keluar dari tanah air mereka.

4. Kehilangan Pemimpin Boleh Diganti dengan Pemimpin Baharu

Walaupun Muin Arabid diculik, tradisi perjuangan Hamas sejak 1987 membuktikan gerakan ini tidak pernah mengalami masalah menggantikan pemimpin yang terkorban atau diculik. Setiap pemimpin yang dilantik telah disediakan penggantinya kerana mereka memahami sikap musuh yang sentiasa menyasarkan serangan terhadap pimpinan gerakan.

Sejak 7 Oktober 2023, pemimpin Hamas yang berada di Iran telah dibunuh iaitu al-Syahid Ismail Haniyeh, di Lubnan al-Syahid Saleh al-Aruri, manakala di Qatar terdapat cubaan membunuh Dr Khalil al-Hayyah. Sudah pasti pemimpin gerakan ini yang berada di Gaza menjadi sasaran yang lebih mudah untuk dibunuh pada bila-bila masa.

Semoga penulisan ini memberikan lebih banyak perkembangan terkini di Gaza. Mutakhir ini, usaha mendapatkan perkembangan dari Gaza semakin terbatas akibat lebih ramai wartawan tempatan yang terbunuh, manakala perkembangan konflik antara Amerika Syarikat dan Iran turut menenggelamkan berita-berita terkini dari wilayah tersebut.

Teruskan membantu mereka, jangan berhenti berdoa dan terus menyebarkan kesedaran.

Ustaz Megat Aiman Hakim bin Megat Shariffudin

Pegawai Penyelidik
Aqsa Syarif