Kembali

Mengapa The Voice of Hind Rajab Wajar Ditonton?

Nadia Amira Shamsul

Jan 12, 2026

Dalam landskap hiburan hari ini, filem sering menjadi ruang untuk kita melarikan diri daripada realiti dan kehidupan semasa. Namun sesekali, ia hadir sebagai sebuah karya yang tidak menawarkan ‘eskapisme’, sebaliknya mengajak kita untuk berhenti sejenak dan merenung mesej yang ingin disampaikan. Inilah yang cuba diketengahkan melalui filem ‘The Voice of Hind Rajab’.

Filem ini membuka pintu kepada kefahaman yang sukar digambarkan melalui laporan berita semata-mata. Tragedi tragis yang menimpa kanak-kanak Palestin yang baru berusia 6 tahun ini tidak diangkat melalui imaginasi seorang penglipur lara, tetapi melalui audio asal berdurasi 70 minit yang dirakam oleh pasukan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS) ketika anak kecil ini melalui detik paling getir dalam kehidupannya. Ini menjadikan setiap babak terasa dekat dan sarat dengan emosi.

Filem ini turut mengangkat sisi kemanusiaan para petugas Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS). Watak Rana dan Omar mewakili petugas PRCS yang keletihan kerana terpaksa bekerja lebih masa sejak genosid meletus di Gaza. Biarpun keletihan, ketika panggilan Hind tiba, mereka telah memerah seluruh kekuatan dalam usaha untuk menyelamatkan anak kecil ini. Ia mengingatkan kita bahawa keperwiraan tidak sentiasa hadir dalam bentuk kekuatan, tetapi adakala lahir daripada keazaman untuk tidak berpaling walaupun diri sendiri hampir runtuh.

 

Selain daripada itu, filem ini juga mendedahkan dengan jelas realiti birokrasi penjajahan yang membelit dan menyukarkan usaha menyelamatkan nyawa di Gaza. Panggilan kecemasan yang diterima disambungkan ke pejabat PRCS di Tebing Barat (bukan di Gaza). Panggilan ini kemudian perlu diproses oleh PRCS untuk dimaklumkan kepada Coordinator of Government Activities in the Territories (COGAT), unit dalam tentera Israel yang menyelia aktiviti sivil di Tebing Barat dan Gaza.  COGAT pula akan berhubung dengan tentera Israel di Gaza untuk mendapatkan kelulusan pergerakan pasukan PRCS di lapangan. Proses ini memakan masa yang sangat lama dan mampu mencetuskan kemarahan sesiapa yang menonton apalagi pasukan PRCS yang menghadapinya pada setiap masa. Tanpa perlu babak yang menjerit atau berkhutbah, filem ini memperlihatkan bagaimana sistem penjajahan itu sendiri menjadi sebahagian daripada punca tragedi yang menimpa Hind Rajab.

 

Antara babak yang paling menyentuh perasaan penulis ialah saat Surah Al-Fatihah dibacakan melalui telefon oleh petugas PRCS untuk menenangkan Hind. Hanya Allah SWT sahaja yang tahu perasaan Hind pada ketika itu yang keseorangan, dikelilingi jasad 6 orang saudaranya yang telah pun syahid selepas kereta yang mereka naiki ditembak bertalu-talu oleh tentera Zionis laknatullah.

Pada akhir tayangan, penulis menyaksikan kebanyakan penonton terdiam dan termenung seketika. Ibu bapa yang membawa anak kecil cuba menjelaskan kepada mereka hakikat bahawa di dunia ini masih ada kanak-kanak sebaya mereka yang hidup tanpa sebarang perlindungan dan keamanan. The Voice of Hind Rajab telah meninggalkan ruang refleksi yang luas buat semua penonton.

The Voice of Hind Rajab bukan sebuah filem yang ditonton untuk berasa selesa. Ia juga bukan sebuah filem yang mudah ditonton. Tetapi filem ini mampu menyalakan semula semangat di kala kita mungkin sudah lesu dengan genosid yang masih berterusan di Gaza. 


Ayuh!


Luangkanlah masa anda untuk menonton filem ini sebagai tanda ingatan bahawa tragedi yang menimpa Hind Rajab adalah satu daripada ribuan lagi kisah anak-anak Gaza yang tidak sempat didendangkan. Mereka masih memerlukan perhatian kita semua.


Nadia Shamsul

Penyelidik Aqsa Syarif