Kembali

Mengapa mereka terus memilih jalan Perjuangan? Lebih 21 bulan, masih ada harapan lagikah?

Megat Aiman Hakim bin Megat Shariffudin

Jul 4, 2025

Mengapa Mereka Terus Memilih Jalan Perjuangan? Lebih 21 bulan, masih ada harapan lagikah?

Setelah 600 hari para pejuang di Gaza masih meneruskan perjuangan mereka dengan cemerlang walaupun serba kekurangan.

Minggu lalu, tentera rejim Zionis dikejutkan dengan operasi para pejuang di Khan Younis yang berjaya membunuh lebih tujuh orang. Operasi ketenteraan tidak terhenti di situ sahaja, diteruskan lebih banyak operasi dari utara Gaza sehingga ke selatan.

Laporan turut menyebutkan jumlah kematian bulan lalu merupakan antara bulan yang paling ramai askar yang gugur. Mereka mengiktiraf jumlah askar yang gugur ialah 21 orang. Kebiasaannya, jumlah kematian digandakan dengan tiga untuk mendapatkan jumlah kecederaan.

Itupun jumlah yang diiktiraf, kita mengetahui bahawa jumlah ini tidak tepat kerana rejim Zionis amat sukar untuk mengumumkan kerugian mereka.

Bahkan ketika Iran membedil sehingga musnah satu pertiga Tel Aviv dan bandar utama lain seperti Haifa, Beer Saba’, Asdod dan seumpamanya, mereka mengharamkan media antarabangsa untuk merakam kemusnahan yang berlaku.

Rejim Zionis turut mengenakan denda kepada penduduk yang menyebarkan visual yang menunjukkan kehancuran akibat serangan roket balistik Iran.

Hal ini kerana mereka mengetahui penduduk dan tentera Zionis tidak mempunyai ketahanan dan kesabaran yang tinggi untuk berjuang demi negara mereka. Segala ancaman yang berbahaya kepada mereka menyebabkan mereka mudah berasa lemah dan panik.

Berbeza dengan penduduk Palestin di Gaza khususnya. Bekas pemimpin tertinggi HAMAS, al-Syahid Yahya Sinwar menghabiskan lebih 20 tahun hidupnya dalam penjara, bermakna sekitar satu pertiga hidupnya di dalam penjara.

Dalam pada itu, selepas sahaja beliau keluar daripada penjara, beliau menerima tugasan dari pimpinan atas untuk mengetuai ketenteraan. Sedangkan beliau boleh sahaja menghabiskan masa untuk berbulan madu, bercuti di luar negara dan meninggalkan perjuangan.

22 tahun dalam penjara, tidak cukupkah ini dikira sebagai perjuangan?

Tidak bagi Yahya Sinwar. Bahkan apa yang beliau sebut lebih memberi inspirasi:

أكبر هدية يمكن أن يقدمها لي العدو هي أن يغتالني، وأفضل أن أقتل شهيدا

“Hadiah paling besar yang boleh diberikan oleh musuh kepada aku ialah membunuhku, dan aku lebih suka mati sebagai syahid.”

Maha Suci Allah, beliau syahid selepas berperang seorang diri melawan satu briged tentera elit. Serangan yang membunuh beliau bukanlah daripada mana-mana askar, tetapi sebuah peluru meriam yang dilepaskan dari Kereta Kebal Merkava.

Ketika beliau syahid, umurnya melepasi 60 tahun dan laporan juga menunjukkan beliau tidak makan selama tiga hari sehingga beliau meninggal dunia.

Hakikatnya apa yang membezakan sebahagian besar daripada kita dengan mereka ialah pemikiran dan pendirian mereka. Hal inilah yang membezakan perkiraan kita dan mereka dalam erti perjuangan, kesyahidan dan kemenangan.

Mereka mengetahui dengan sepenuh keyakinan bahawa musuh memiliki kekuatan ketenteraan, sokongan politik, kemajuan ekonomi, maklumat dan teknologi.

Tetapi semua ini tidak mampu mematikan semangat dan perjuangan mereka kerana mereka juga yakin bahawa Allah sedang melihat mereka, melindungi mereka, memberikan pahala kepada mereka atas perjuangan mereka dan memberi jaminan kepada mereka bahawa kemenangan itu hampir dan ia hanya datang daripada Allah.

Firman Allah:

نَصْرٌۭ مِّنَ ٱللَّهِ وَفَتْحٌۭ قَرِيبٌۭ ۗ وَبَشِّرِ ٱلْمُؤْمِنِينَ

“Pertolongan dari Allah dan kemenangan yang dekat. Sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang beriman” Surah al-Saf ayat 13.

Allah Mengetahui apa yang berlaku di Gaza

Di akhir surah Yusuf, Nabi Yusuf menyebutkan Allah bersifat al-Latif (Yang Maha Lembut) kepada baginda. Untuk memahami apa yang berlaku di Gaza, kita wajib memahami apa maksud al-Latif yang merupakan salah satu nama Allah dan kenapa Nabi Yusuf sebutkan Allah bersifat al-Latif dalam perjalanan hidup baginda.

Mengikut Imam Abd Rahman al-Sa’di dalam bukunya Tafsir Asmaa al-Husna:

 الذي لَطُفَ علمه حتى أدرك الخفايا ، والخبايا ، وما احتوت عليه الصدور، وما في الأراضي من خفايا البذور

“Yang lembut ilmu-Nya hingga mengetahui segala yang tersembunyi, dan yang tersembunyi di balik rahsia, serta apa yang tersimpan di dalam dada, juga apa yang tersembunyi di bumi daripada benih-benih yang tersembunyi.”

Menurut Imam Ishaq al-Zujaj pula dalam Tafsir Asmaa al-Husna:


وَهُوَ فِي وصف الله يُفِيد أَنه المحسن إِلَى عباده فِي خَفَاء وَستر من حَيْثُ لَا يعلمُونَ ، ويسبب لَهُم أَسبَاب معيشتهم من حَيْثُ لَا يحتسبون

“Dia adalah Yang Maha Memberi Kebaikan kepada hamba-hamba-Nya secara tersembunyi dan dengan perlindungan, dari arah yang mereka tidak ketahui, dan Dia menyediakan bagi mereka sebab-sebab rezeki dan kehidupan dari arah yang tidak mereka sangkakan.”

Bagaimana pula dikaitkan kisah Nabi Yusuf dengan nama Allah Yang Maha Lembut?

Sedangkan baginda diuji dengan ujian amat berat. Beliau dicampakkan ke dalam perigi berseorangan, dipisahkan dengan ayahnya, Nabi Ya’qub, dibesarkan oleh keluarga asing, masuk ke dalam penjara.

Dari sinilah ulama menafsirkan bahawa, al-Latif yang dimaksudkan di sini ialah Allah mengetahui hikmah di sebalik ujian yang diberikan. Walaupun seberat mana pun ujian yang diberikan, semuanya dalam pengetahuan Allah dan ia akan memberi kebaikan yang tidak terjangka kepada hamba-hambaNya.

Sebab itulah, di akhir episod Nabi Yusuf, setelah menjadi menteri di Mesir dan berjumpa semula dengan keluarganya, ayah dan ibunya dan adik beradiknya, setelah semua ujian dan dugaan yang berlaku, Nabi Yusuf mengiktiraf Nama Allah al-Latif dengan firman Allah SWT:

إِنَّ رَبِّي لَطِيفٌ لِمَا يَشَاءُ إِنَّهُ هُوَ الْعَلِيمُ الْحَكِيمُ

“Sesungguhnya Tuhanku Maha Lembut terhadap apa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya Dia-lah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.” (Yusuf ayat 100)

Hal yang sama seharusnya kita melihat apa yang berlaku ke atas Gaza.

Pada pandangan manusia ia adalah kehancuran dan kematian, tetapi pandangan seorang mukmin, ia adalah perjuangan dan pengorbanan ke arah kemerdekaan Palestin.

Allah mengetahui setiap pengorbanan setiap roh yang bernyawa di Gaza dan bahkan kesyahidan seorang bayi pun sebenarnya disebut dalam al-Quran.

Firman Allah SWT:

وَإِذَا الْمَوْءُودَةُ سُئِلَتْ (8) بِأَيِّ ذَنبٍ قُتِلَتْ (9)

“Dan apabila bayi perempuan yang dikuburkan hidup-hidup ditanya, kerana dosa apakah dia dibunuh?”  (Surah al-Takwir ayat 8-9)

Dengan segala kesusahan dan penderitaan ini, penduduk Gaza percaya Allah bersama mereka dan Allah pastinya akan membalas pengorbanan mereka ini dengan syurg  a Allah yang kekal abadi.

Manakala penjenayah dan sekutunya pasti akan diberi azab seberat-berat azab di neraka selama-lamanya.

Dari keadaan ini, kita memahami mengapa penduduk Gaza melaungkan firman Allah selepas menghadapi kematian ahli keluarga, kehancuran rumah dan seumpamanya:

حَسْبُنَا اللَّهُ وَنِعْمَ الْوَكِيلُ

“Cukuplah Allah (menjadi penolong kami), dan Dialah sebaik-baik tempat berserah diri (tawakal).” (Surah Ali Imran ayat 173)

Mereka yakin bahawa Allah bersama mereka dalam musibah ini. Mereka turut yakin hikmah terbaik di sebalik ujian ini dan Allah pasti akan membalas dengan azab yang amat pedih kepada orang yang melakukan kezaliman.

Sabda Rasulullah SAW:

ما يُصيبُ المسلمَ من نَصَبٍ، ولا وَصَبٍ، ولا همٍّ، ولا حَزنٍ، ولا أذًى، ولا غمٍّ، حتّى الشوكةَ يُشاكُها، إلا كفَّرَ اللهُ بها من خطاياهُ

“Tiada sesuatu yang menimpa seorang Muslim sama ada keletihan, sakit, kebimbangan, kesedihan, gangguan atau kesusahan bahkan sehingga duri yang mencucuknya, melainkan Allah akan menghapuskan sebahagian dosa-dosanya dengannya.” (Sahihain Bukhari dan Muslim)

Kalau duri yang mencucuk sehingga berasa sakit, bagaimana pula dengan ujian dan musibah yang sedang dialami penduduk Gaza?

Semoga Allah mengampunkan dosa kita semua dan memberikan ganjaran sebesar-besarnya kepada penduduk Gaza yang sabar dan thabat.

-Tamat bahagian satu-

Ustaz Megat Aiman Hakim bin Megat Shariffudin

Pegawai Penyelidik Aqsa Syarif