Kembali

Melucutkan Senjata Bertentangan dengan Ajaran al-Quran, al-Sunnah dan Prinsip Perjuangan dalam Islam

Ustaz Megat Aiman Hakim bin Megat Shariffudin

Aug 19, 2026

Melucutkan Senjata Bertentangan dengan Ajaran al-Quran, al-Sunnah dan Prinsip Perjuangan dalam Islam

Hari ini sekali lagi umat Islam ditekan oleh Amerika Syarikat untuk meletakkan senjata. Terbaru, wakil Amerika Syarikat, Jared Kushner (menantu Donald Trump) menyebutkan:

“Kita tidak akan membenarkan Gaza dibina semula selagi Hamas tidak melucutkan senjatanya”.

Seperti biasa, Amerika Syarikat tampil sebagai pelindung dan pembela kepada rejim Zionis, di samping menekan pihak yang tertindas. Dalam tempoh tiga tahun ini, Amerika Syarikat telah memberikan jumlah bantuan ketenteraan sebanyak 25 bilion dolar Amerika Syarikat dan membela pentadbiran Netanyahu di peringkat masyarakat antarabangsa.

Justeru, tuntutan agar Hamas melucutkan senjata bukanlah sesuatu yang baharu, bahkan telah dikemukakan sejak awal gerakan perjuangan di bumi Palestin.

Kalaulah orang Palestin yang tidak bersenjata walaupun kanak-kanak sekalipun dianggap sebagai ancaman kepada kewujudan rejim Zionis, bagaimana pula dengan rakyat Palestin yang bersenjata?

Sehubungan itu, menurut majoriti sarjana dan penganalisis, pelucutan senjata daripada pihak Hamas merupakan sebuah langkah bunuh diri. Ia akan mendedahkan rakyat Gaza kepada serangan darat pula, dalam keadaan serangan udara masih tidak berhenti walaupun setelah perjanjian gencatan senjata berkuat kuasa. Rejim Zionis telah bunuh seramai 1265 orang sejak gencatan senjata menjadikan jumlah yang terkorban 73,399 dalam kalangan penduduk Gaza.

Sekurang-kurangnya lima kumpulan penjenayah bersenjata yang bertapak di sekitar Gaza, dari utara sehingga ke selatan, akan menguasai Gaza dengan pantas. Mereka boleh menggunakan alasan bahawa Hamas tidak lagi mempunyai kuasa untuk menjaga keselamatan dan keamanan kerana tidak lagi memiliki senjata.

Lebih teruk daripada itu, projek mengeluarkan penduduk Gaza akan berjalan seperti yang dirancang. Sama ada digunakan jalan darat, udara ataupun lautan, tiada masalah. Yang penting, Gaza bakal dikosongkan seperti yang berlaku pada Mei 1948, ketika hampir sejuta penduduk Palestin dihalau keluar dari Yafa, Nasirah, Lod dan sebagainya.

Atas faktor-faktor yang disebutkan dan banyak faktor lain, tiada dalam kamus dan falsafah para pejuang untuk melucutkan senjata. Ia selari dengan pendirian al-Quran yang memuliakan persenjataan dan mengangkatnya sebagai salah satu wasilah (cara) untuk menegakkan kalimah Allah dan keadilan di hadapan kerajaan dan pemimpin yang zalim serta kejam.

Para Nabi dan Rasul Tidak Hanya Diutuskan Kitab, Tetapi Juga Senjata Perang

Allah SWT dalam al-Quran beberapa kali menekankan peranan dan kepentingan berperang. Ia dibolehkan untuk berdakwah, membela diri daripada kezaliman dan menegakkan keadilan, dengan syarat tidak melakukan kezaliman serta melanggar etika dan undang-undang yang ditetapkan ketika berperang.

Begitu jugalah para rasul yang diutuskan kepada umat manusia sepanjang zaman. Mereka tidak hanya diberikan kitab wahyu untuk menegakkan keadilan, tetapi termasuk juga senjata perang.

Firman Allah SWT:

لَقَدْ أَرْسَلْنَا رُسُلَنَا بِالْبَيِّنَاتِ وَأَنزَلْنَا مَعَهُمُ الْكِتَابَ وَالْمِيزَانَ لِيَقُومَ النَّاسُ بِالْقِسْطِ ۖ وَأَنزَلْنَا الْحَدِيدَ فِيهِ بَأْسٌ شَدِيدٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ

“Demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti dan mukjizat yang jelas nyata, dan Kami telah menurunkan bersama-sama mereka Kitab Suci dan keterangan yang menjadi neraca keadilan, supaya manusia dapat menjalankan keadilan dan Kami telah menciptakan besi dengan keadaannya mengandungi kekuatan yang handal.”
(Surah al-Hadid: 25)

Ibn Kathir menafsirkan ayat “Kami telah menciptakan besi dengan keadaannya mengandungi kekuatan yang handal” dengan menyatakan:

“Dan Kami menjadikan kekuatan besi sebagai pencegah bagi mereka yang menolak dan memusuhi kebenaran setelah hujah ditegakkan ke atas mereka.”

Beliau turut menjelaskan:

“Oleh sebab itu, Rasulullah ﷺ tinggal di Makkah selepas kenabian selama tiga belas tahun. Dalam tempoh tersebut, diturunkan kepada Baginda surah-surah Makkiyyah, yang kesemuanya mengandungi perdebatan dengan orang-orang musyrik, penjelasan dan penerangan tentang tauhid, serta penghujahan dan bukti-bukti (yang menegakkannya). Setelah hujah telah ditegakkan ke atas mereka yang menentang, Allah mensyariatkan hijrah dan memerintahkan mereka berperang dengan pedang, memenggal leher dan kepala orang-orang yang menentang al-Quran, mendustakannya dan melawannya.”

Kata Imam Ibn Kathir juga, makna “Kami telah menciptakan besi dengan keadaannya mengandungi kekuatan yang handal” adalah:

“Senjata seperti pedang, tombak, mata tombak, mata panah, perisai dan seumpamanya.”

Bermakna, jika diterjemahkan pada zaman sekarang, ia termasuk senapang, pistol, kekuatan persenjataan dan perisikan, keupayaan menyerang dari jarak jauh dengan teknologi yang tinggi dan sebagainya.

Pendapat ini selari dengan pandangan mufassirin yang lain. Firman Allah, “Kami telah menciptakan besi dengan keadaannya mengandungi kekuatan yang handal” menandakan Allah telah mensyariatkan para rasul sebagai pemimpin dan qudwah (ikutan) untuk turut menggunakan senjata sebagai pencegah kepada kuasa kezaliman dan kebatilan.

Pembukaan Islam di Syam (Futuh al-Syam), bumi Farsi dan Afrika juga sebahagiannya terpaksa menggunakan kekerasan dengan kekuatan persenjataan dan ketenteraan bagi menjaga para pendakwah, golongan yang menerima dakwah dan memerangi kerajaan yang ganas serta zalim.

Contoh lapangan daripada prinsip al-Quran boleh dilihat dalam perang al-Ahzab. Ketika umat Islam dikepung sepenuhnya oleh gabungan musuh musyrikin dan kabilah Yahudi untuk memerangi Nabi Muhammad SAW dan seluruh umat Islam, senjata masih berada di tangan orang mukmin dan tiada langsung istilah meletakkan senjata serta menyerah kalah.

Begitu juga dengan perang Hunain. Nabi Muhammad SAW sendiri dan para sahabat dikenakan serangan mengejut oleh pihak lawan sehingga menyebabkan sebahagian para tentera mukmin melarikan diri dan menjadikan pasukan tentera Islam sangat sedikit. Ada pendapat yang menyatakan, tentera mukmin daripada 12,000 orang, yang tinggal 10 orang sahaja. Nabi Muhammad SAW memanggil para sahabat untuk kembali ke saf perang dan melancarkan serangan. Tiada pun dalam situasi terbabit Nabi Muhammad SAW menyerah kalah dan melucutkan senjata.

Dalam keadaan sedikit, dikepung, diserang, dikhianati dan sebagainya, tiada dalam falsafah perjuangan Islam meletakkan senjata. Justeru, menolak pelucutan senjata dalam keadaan diperangi seperti yang berlaku di Gaza bukan sahaja tidak strategik, malah bertentangan dengan ajaran al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW.

Ketika Solat Pun Disyariatkan Memegang Senjata dan Berjaga-jaga

Seterusnya, antara dalil yang menunjukkan betapa pentingnya senjata dalam memerangi musuh adalah dibolehkan untuk memegang senjata walaupun dalam keadaan solat berjemaah. Hal ini diceritakan dalam al-Quran pada Surah al-Nisa’, ayat 102.

Dalam ayat tersebut, Allah SWT memerintahkan Nabi Muhammad SAW untuk mengimamkan solat bersama para sahabat yang sedang berada dalam keadaan berperang.

Allah SWT membolehkan solat berjemaah secara bergilir antara dua kumpulan. Kumpulan pertama solat terlebih dahulu bersama imam sambil memegang senjata (bermakna solat sambil memegang senjata!), manakala kumpulan kedua berada dalam posisi bersedia.

Setelah selesai solat kumpulan pertama, mereka bergilir dengan kumpulan kedua. Dalam ayat tersebut, Allah SWT menekankan kepentingan senjata walaupun tema ayat tersebut adalah sekitar solat dalam keadaan perang.

Firman Allah SWT:

وَدَّ الَّذِينَ كَفَرُوا لَوْ تَغْفُلُونَ عَنْ أَسْلِحَتِكُمْ وَأَمْتِعَتِكُمْ فَيَمِيلُونَ عَلَيْكُم مَّيْلَةً وَاحِدَةً

“Orang-orang kafir memang suka kalau kamu cuai lalai akan senjata dan harta benda kamu, supaya dengan jalan itu mereka dapat menyerbu kamu beramai-ramai dengan serentak.”

Kata Syaikh Tantawi dalam Tafsir al-Wasit ketika menafsirkan potongan ayat di atas:

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu sentiasa berada pada tahap yang paling tinggi dalam keadaan berjaga-jaga, waspada dan berhati-hati. Sesungguhnya musuh-musuh kamu daripada kalangan orang kafir sangat menginginkan dan menyukai keadaan kamu lalai serta tidak memberi perhatian terhadap senjata dan peralatan yang kamu gunakan dalam peperangan melawan mereka.”

Beliau menyambung:

“Dalam keadaan itu, mereka akan melancarkan satu serangan yang kuat dan dahsyat terhadap kamu, lalu membunuh sesiapa sahaja daripada kalangan kamu yang mampu mereka bunuh.”

Ayat ini memperakui satu perkara, iaitu pentingnya umat Islam untuk sentiasa berada dalam posisi berjaga-jaga daripada dua sudut: sudut fizikal, iaitu sentiasa berpegang kepada senjata walaupun dalam keadaan solat; dan kedua, daripada sudut minda, iaitu sentiasa berwaspada dan peka.

Sekuat mana pun senjata yang dimiliki oleh umat Islam tidak memberi manfaat sekiranya minda umat Islam leka. Namun, jika minda sahaja peka dan berwaspada, ia juga tidak memberi manfaat sekiranya tidak mempunyai senjata yang kuat. Kedua-duanya saling memerlukan dalam pertempuran.

Kalaulah dalam solat pun diperintahkan untuk memegang senjata dan sentiasa berada dalam keadaan bersedia, dalam keadaan di luar solat, dikepung oleh musuh, dilakukan pengkhianatan dan sebagainya, lebih-lebih lagi perlu memegang senjata sebagai alat untuk mempertahankan diri daripada serangan musuh.

Barangkali umat Islam di Gaza amat memahami ayat ini. Bersesuaian pula dengan musuh yang tidak henti-henti meminta para pejuang melucutkan senjata mereka. Benarlah apa yang difirmankan dalam ayat ini:

“Orang-orang kafir memang suka kalau kamu cuai lalai akan senjata dan harta benda kamu, supaya dengan jalan itu mereka dapat menyerbu kamu beramai-ramai dengan serentak.”

Seakan-akan isyarat yang hendak disampaikan, wallahu a‘lam, serangan beramai-ramai dengan serentak pasti akan berlaku terhadap orang Islam sekiranya para pejuang meletakkan senjata mereka. Sejarah moden telah membuktikan perkara ini, sama ada di Bosnia (Pembunuhan Srebrenica), Lubnan (Pembunuhan Sabra Shatilla), Tebing Barat dan seumpamanya.

Solatlah dalam Keadaan Berdiri, Berjalan dan Berperang

Terakhir, sebagai sambungan daripada perkara yang dibincangkan di atas, Allah SWT turut mensyariatkan hamba-Nya untuk tetap menunaikan solat walaupun dalam keadaan bersendirian ketika perang, sama ada dengan berjalan atau menaiki kenderaan.

Firman Allah SWT:

فَإِنْ خِفْتُمْ فَرِجَالًا أَوْ رُكْبَانًا

“Dan jika kamu takuti (sesuatu bahaya) maka sembahyanglah sambil berjalan atau berkenderaan.”

Bermakna, dibolehkan untuk melakukan aktiviti perang dan pada masa yang sama menunaikan solat. Walaupun tidak menghadap kiblat, tidak melakukan rukuk dan sujud dan sebagainya, solat tetap dilaksanakan sambil menyerang musuh atau bersembunyi.

Kisah Sahabat Menunaikan Solat dalam Kem Tentera Musuh

Ketika Rasulullah SAW menghantar Abdullah bin Unais seorang diri untuk menumbangkan Sufyan bin Khalid bin Nubaih bin al-Hudzali, ia merupakan operasi ketenteraan yang amat sukar, berisiko dan berbahaya.

Abdullah bin Unais perlu menyusup masuk seorang diri ke dalam kem tentera Sufyan al-Hudzali yang mempunyai ratusan tentera dan sedang bersedia untuk memerangi Nabi Muhammad SAW.

Dipendekkan cerita, setelah Abdullah bin Unais melakukan intipan, beliau menjumpai Sufyan al-Hudzali dari jauh di dalam kem tentera. Namun, Abdullah bin Unais mempunyai masalah, iaitu waktu solat Asar telah masuk. Jika tidak ditunaikan solat sebelum berjumpa sasaran, kemungkinan tiada lagi masa dan peluang untuk menunaikan solat dengan selamat.

Allah SWT menurunkan ilham untuk beliau menunaikan solat dalam perjalanan menuju kepada Sufyan al-Hudzali. Dalam keadaan berjalan, beliau mengangkat takbir, membaca al-Fatihah, menundukkan kepala sedikit sebagai isyarat rukuk dan sujud sehingga selesai.

Kata beliau daripada matan hadis asal:

فصليت وأنا أُومئُ برأسي الركوعَ والسجودَ

“Lalu aku pun solat dalam keadaan aku mengisyaratkan dengan kepalaku untuk rukuk dan sujud.”

Solat, Senjata Perang dan Minda yang Peka

Daripada perkongsian di atas, dapat difahami beberapa perkara utama.

Pertama, solat adalah akidah, prinsip dan kewajipan yang tidak boleh ditinggalkan dalam semua keadaan. Meninggalkannya secara sengaja boleh dijatuhkan hukuman kafir.

Seterusnya, tidak ada dalam kamus perjuangan Islam menyerah diri. Untuk itu, tidak dibenarkan untuk meletakkan senjata walau apa pun keadaan. Ia telah diterjemahkan sendiri oleh Rasulullah SAW sepanjang hayat Baginda.

Sekiranya dalam solat pun tidak boleh meninggalkan senjata dan persediaan untuk menerima serangan mengejut daripada musuh, di luar solat semestinya dalam keadaan yang sama.

Senjata di sini termasuk senjata perang yang boleh digunakan untuk mempertahankan diri daripada serangan musuh, serta minda yang peka dan berwaspada.

Kata Syaikh Tantawi ketika menafsirkan ayat 102 daripada Surah al-Nisa’:

وأن الإسلام بجانب هذا الاهتمام الشديد بشأن الصلاة فإنه يهتم أيضا بأن يأمر أتباعه بالحذر من مكر أعدائهم ومن مباغتتهم لهم، بأن يكون المؤمنون مستعدين لصدهم وردهم على أعقابهم، وأن لا يغفلوا عن حمل أسلحتهم حتى ولو كانوا قائمين للصلاة

“Dan sesungguhnya Islam, di samping memberikan perhatian yang sangat besar terhadap urusan solat, turut memberi perhatian dengan memerintahkan para pengikutnya supaya berhati-hati terhadap tipu muslihat musuh-musuh mereka dan serangan mengejut mereka.

Hendaklah orang-orang beriman sentiasa bersedia untuk menahan dan menangkis serangan mereka serta memaksa mereka berundur, dan janganlah mereka lalai daripada membawa senjata mereka, walaupun ketika mereka sedang berdiri untuk menunaikan solat.”

Semoga penulisan ini mampu mengukuhkan akidah dan kefahaman umat Islam akan kepentingan serta hubungan antara senjata dan solat.

Ustaz Megat Aiman Hakim bin Megat Shariffudin
Pegawai Penyelidik Aqsa Syarif