Kembali
Mā Khafiya A‘ẓam: Tiga Isyarat Penting daripada Dokumentari Mohammed al-Daif
Ustaz Megat Aiman Hakim bin Megat Shariffudin
Nov 16, 2026


Baru-baru ini, pimpinan pejuang di Gaza telah mendedahkan kepada saluran Al Jazeera pelbagai maklumat, rakaman dan naratif tentang seorang lagenda di Gaza. Namanya ialah Mohammed Diab Ibrahim al-Masri, atau lebih dikenali sebagai Muhammad al-Daif, dengan kunyah Abu Khalid. Beliau dilaporkan syahid pada 13 Julai 2024 dan kesyahidannya diumumkan secara rasmi pada Januari 2025. Hasil daripada pendedahan tersebut, sebuah dokumentari pendek bertajuk Mā Khafiya A‘ẓam (Apa yang Tersembunyi Lebih Agung) telah dihasilkan bagi menceritakan perjalanan hidup beliau.
Pendedahan ini bukan sekadar bertujuan untuk berkongsi maklumat dan sejarah, tetapi turut mengandungi isyarat politik kepada masyarakat antarabangsa, khususnya pihak penjajah sendiri.
Dokumentari Mā Khafiya A‘ẓam sekurang-kurangnya mengandungi tiga isyarat penting yang wajib difahami oleh umat Islam.
1. Perjalanan Hidup al-Daif
Pengakuan daripada para pengkaji dan pemerhati perkembangan Palestin sendiri menyatakan bahawa kewujudan al-Daif selama ini merupakan satu kegagalan besar perisikan dan ketenteraan bagi pihak rejim Zionis. Beliau telah terselamat daripada sekurang-kurangnya enam percubaan pembunuhan dan pernah berada dalam keadaan hampir syahid pada tahun 2006. Sebaliknya, al-Daif masih berada di Gaza dan beroperasi sebagai ketua sayap ketenteraan Hamas selama 22 tahun. Dalam tempoh tersebut, beliau juga pernah berkahwin dua kali dan mempunyai lebih daripada lima orang anak.

Bahkan, sebelum 7 Oktober 2023, laporan perisikan pihak penjajah menyatakan bahawa al-Daif berada dalam keadaan cacat sehingga terpaksa menggunakan kerusi roda. Namun, selepas kesyahidan beliau diumumkan, video-video yang disiarkan menunjukkan bahawa tubuh beliau masih dalam keadaan sihat. Beliau bahkan masih beroperasi di dalam terowong, bilik gerakan dan di kawasan terbuka ketika para pejuang menjalankan latihan simulasi serangan terhadap kereta kebal Merkava.
Beliau dilantik sebagai ketua struktur ketenteraan menggantikan Solah al-Syahadah selepas kesyahidannya pada tahun 2002. Sebelum itu, beliau juga merupakan antara individu yang bertanggungjawab dalam kerja-kerja perisikan, perancangan dan pelaksanaan operasi ketenteraan di Gaza, Tebing Barat dan Lod (Israel). Antara individu yang bersama-sama beliau ialah Adnan al-Ghoul, Yahya Ayyash dan ramai lagi.
Disebabkan keberadaan beliau di pelbagai tempat serta kebiasaannya menjadi tetamu di kediaman rakan-rakannya, beliau diberikan gelaran al-Daif yang bermaksud tetamu. Beliau mula menerima latihan dan pendedahan secara langsung daripada Solah al-Syahadah dan Zakariya al-Syurbaji ketika berada di penjara pihak penjajah pada tahun 1989.
Di dalam penjara, beliau bersama-sama pimpinan yang ada ketika itu telah merancang operasi-operasi seterusnya. Disebutkan bahawa beliau turut mempelajari cara meleraikan dan memasang senjata api melalui lukisan serta ilustrasi dalam sebuah buku nota ketika berada dalam tahanan.
2. Operasi Ketenteraan di Seluruh Palestin
Operasi al-Daif tidak hanya tertumpu di Gaza. Beliau dilaporkan berulang-alik antara Gaza dengan Tebing Barat bagi merancang dan melaksanakan operasi sebelum Gaza dikepung sepenuhnya pada tahun 2006. Berikut merupakan antara contoh operasi yang melibatkan beliau.
Operasi dalam Gaza (1992)
Antara operasi terawal yang dilakukan oleh al-Daif sejurus selepas dibebaskan daripada penjara ialah operasi menangkap seorang tentera IDF bernama Alon Karvani di Khan Younis. Operasi tersebut bukan bertujuan untuk membunuhnya, tetapi untuk merampas senjata yang dimilikinya. Senjata tersebut ialah M16, iaitu senapang pertama yang dirampas oleh para pejuang daripada pihak penjajah.
Operasi di Israel (1993)
Seterusnya, ketika berlakunya penangkapan terhadap 412 orang pimpinan Hamas dan Jihad al-Islami, mereka semua diusir secara zalim ke Marj al-Zuhur sebagai hukuman. Marj al-Zuhur yang terletak di selatan Lubnan merupakan kawasan berbukit, sejuk, berangin kencang dan dilitupi salji ketika musim sejuk. Di sana, kesemua mereka yang dihukum hanya tinggal di dalam khemah dengan serba kekurangan. Keadaan ini berterusan sehingga masyarakat antarabangsa menggesa pihak penjajah supaya mengembalikan mereka.

Manakala al-Daif pula telah melaksanakan operasi "Jany Tal" sebagai tindak balas terhadap pihak penjajah. Operasi ini bertujuan menunjukkan bahawa para pejuang masih kuat dan tidak terkesan dengan hukuman di Marj al-Zuhur. Jany Tal merupakan sebuah penempatan haram Yahudi yang terletak berhampiran al-Khalil (Hebron). Al-Daif bersama pasukannya menyusup masuk ke dalam penempatan tersebut lalu melepaskan tembakan ke arah tentera Yahudi yang sedang berkawal.
Seterusnya, senjata milik tentera Yahudi yang terlibat telah dirampas oleh para pejuang. Antaranya ialah senapang Galil (buatan negara haram penjajah). Dalam satu rakaman ketika al-Daif menceritakan operasi ini, beliau menyatakan bahawa sememangnya sebahagian besar senjata yang dimiliki oleh para pejuang merupakan senjata yang dirampas daripada tentera Yahudi.
Operasi di al-Quds (1994)
Sehubungan itu, satu lagi operasi di bawah penyeliaan al-Daif sebagai tindak balas terhadap pembunuhan 29 orang rakyat Palestin yang sedang menunaikan solat Subuh di Masjid al-Ibrahimi turut dirancang oleh al-Daif. Pembunuhan tersebut dilakukan oleh seorang pengganas Yahudi bernama Baruch Kopel Goldstein. Operasi balas dendam terbabit dilaksanakan oleh dua orang pejuang, iaitu Isam al-Jawhari yang berasal dari Mesir dan Hasan Abbas yang merupakan anak Palestin.

Operasi tersebut dilaksanakan di al-Quds. Kedua-dua pejuang terbabit melepaskan tembakan ke arah pendatang haram Yahudi sehingga menyebabkan dua orang terbunuh dan 16 orang lagi cedera. Kedua-duanya pula syahid akibat serangan balas pihak penjajah.
Operasi di Lapangan Terbang Ben Gurion (1994)
Dokumentari Mā Khafiya A‘ẓam turut mendedahkan salah satu operasi penculikan terhadap seorang tentera bernama Nachshon Mordechai Wachsman yang dipantau dan diketuai oleh al-Daif. Tujuan penculikan tersebut adalah untuk menuntut pembebasan Syaikh Ahmad Yasin dan beberapa lagi pimpinan Hamas yang masih dipenjarakan.
Operasi tersebut berlaku sejurus selepas Nachshon mendarat di lapangan terbang Ben Gurion. Dalam perjalanan, beliau ditahan oleh para pejuang di atas jalan raya. Kenderaannya berhenti dan beliau keluar daripada kenderaannya. Hanya dalam beberapa saat, salah seorang pejuang berjaya menjatuhkannya di atas tanah.
Para pejuang berkata kepadanya: "Kami tidak akan membunuh kamu. Kami hanya mahukan kamu sebagai tebusan dalam rundingan pertukaran tahanan."
Selepas itu, tiada lagi berita kedengaran suaranya dari Tel Aviv sehingga ke al-Quds.
Tebusan tersebut disimpan di al-Quds, sementara pengumuman mengenai penculikan itu dibuat di Gaza seolah-olah tahanan berkenaan berada di sana. Pihak pelaksana berkomunikasi dengan al-Daif melalui telefon menggunakan perkataan-perkataan samaran seperti kambing.
Ia bertujuan bagi mengelakkan daripada dikesan oleh pihak perisikan. Pada asalnya, tahanan tersebut sepatutnya dibawa ke Gaza. Namun, disebabkan sekatan di jalan raya semakin ketat, tahanan tersebut akhirnya disimpan di al-Quds.
Selepas beberapa hari, pihak perisikan berjaya menjejaki kedudukan rumah tempat tebusan tersebut disimpan. Pada 14 Oktober 1994, pasukan tentera penjajah menyerbu rumah berkenaan dan pertempuran sengit berlaku. Nachshon, ketua pasukan dan seorang lagi tentera IDF terbunuh, manakala 20 orang tentera IDF lain mengalami kecederaan.
Dalam kalangan para pejuang pula, tiga orang telah syahid dalam pertempuran tersebut, iaitu Solahuddin Jaddullah, Hasan al-Natsyah dan Abd al-Karim al-Muslimani. Seterusnya, dua orang lagi pejuang telah ditangkap.
Operasi Gilad Shalit Berdekatan Rafah (2006)
Akhir sekali, antara operasi paling cemerlang yang dilaksanakan oleh para pejuang ialah penangkapan seorang tentera IDF bernama Gilad Shalit daripada sebuah kereta kebal pada Jun 2006. Operasi ini dilakukan oleh al-Qassam bersama beberapa badan ketenteraan lain. Para anggotanya menggali terowong sepanjang 300 meter untuk menembusi sempadan negara haram sehingga memasuki Karem Abu Salim.
Pada permulaan operasi serangan dan penangkapan tersebut, para pejuang menyerang hendap pusat kawalan dan sebuah kenderaan pengangkut berperisai. Antara anggota tentera yang terbunuh dalam operasi tersebut ialah Leftenan Hanan Barak dan Sarjan Pavel Slutsker. Operasi itu turut menyebabkan empat orang anggota tentera IDF mengalami kecederaan. Para pejuang kemudiannya kembali ke Rafah dengan membawa tebusan, Gilad Shalit, yang ditangkap daripada sebuah kereta kebal.

Tebusan ini disimpan selama lima tahun di Gaza bagi mendapatkan tuntutan yang dikemukakan oleh para pejuang. Al-Daif, selaku ketua turus al-Qassam ketika itu, turut terlibat dalam operasi tersebut. Dokumentari Mā Khafiya A‘ẓam turut menyiarkan wajah beliau ketika menyemak nama-nama tahanan Palestin yang akan dibebaskan, seramai 1,027 orang, termasuk al-Syahid Yahya al-Sinwar. Antara yang turut dibebaskan ialah Jihad Yaghmour, individu yang terlibat dalam penangkapan Nachshon seperti yang diceritakan sebelum ini.

Selain operasi-operasi yang diceritakan di atas, antara peranan al-Daif yang lain ialah membina keupayaan persenjataan yang dimiliki oleh para pejuang. Sebelum berlakunya sekatan, para pejuang telah berjaya membawa masuk beberapa model senjata penting seperti RPG, Grad dan sebagainya. Senjata-senjata ini kemudiannya dibangunkan dan dibina semula oleh para pejuang.
Wasiat Syaikh Ahmad Yasin
Al-Daif menyebutkan dalam dokumentari tersebut:
"Saya bersama saudara Muhammad al-Sinwar telah pergi dan duduk bersama Syeikh Ahmad Yasin. Pertama sekali, saya mengucapkan tahniah kepada syeikh atas pembebasannya. Kemudian, kami menyatakan kesediaan untuk meningkatkan pembelian senjata, menambah bilangan anggota, memperbanyakkan kumpulan-kumpulan aktif serta merancang operasi-operasi khusus yang berkualiti. Operasi yang dijalankan juga tidak seharusnya semuanya serupa."
Syeikh Ahmad Yasin menegaskan kepada kami bahawa perlu diwujudkan kumpulan-kumpulan khusus dalam perkara ini yang tugasnya hanyalah menculik anggota tentera.

Beliau juga menyampaikan kepada saya satu ungkapan yang sangat penting:
"Kamu (sayap ketenteraan Hamas) merupakan keutamaan dalam kerja kita semua, dan perjuangan ketenteraan merupakan keutamaan gerakan ini."
3. Kepimpinan Lama Digantikan dengan Pimpinan Baharu
Dokumentari Mā Khafiya A‘ẓam turut memberikan isyarat bahawa pemergian kepimpinan terdahulu tidak bermakna kepimpinan yang ada sekarang sudah tiada. Hal ini kerana maklumat tersebut didedahkan sendiri oleh kepimpinan yang sedang mentadbir Gaza.

Mereka merupakan generasi lama yang masih berbaki, bersama-sama generasi muda yang membesar dalam kepungan dan menyaksikan sendiri ibu bapa, pasangan serta anak-anak mereka dibunuh oleh pihak penjajah. Tentunya hala tuju kepimpinan sekarang berbeza. Malah, pihak perisikan negara penjajah sendiri mengalami kesukaran untuk mengenali kepimpinan sedia ada, apatah lagi menjangkakan apa yang bakal berlaku pada masa akan datang.
Namun, satu sisi penting dalam dokumentari ini ialah paparan wajah-wajah para syuhada dalam kalangan pemimpin yang berada di bawah kepimpinan al-Daif. Mereka tidak berkumpul di hotel atau rumah mewah, sebaliknya di dalam terowong. Betapa panasnya terowong tersebut, berapakah gaji yang mereka terima dan berapa ramai ahli keluarga mereka yang telah syahid kerana jalan perjuangan ini? Hanya Allah SWT yang mampu membalas segala pengorbanan mereka. Tiada seorang pun dalam kalangan para syuhada tersebut yang meninggalkan dunia melainkan dibunuh oleh rejim Zionis. Itulah juga yang mereka harapkan dan doakan.



Mereka juga merupakan generasi pertama anak didik Syaikh Ahmad Yasin yang datang daripada pelbagai latar belakang bidang. Al-Daif sendiri mempunyai latar belakang dalam bidang teater, Yahya al-Sinwar pula dalam bidang bahasa Arab, manakala ramai lagi datang daripada bidang agama, kejuruteraan dan sebagainya. Ada dalam kalangan mereka yang pulang dari Kuwait, Arab Saudi dan negara-negara lain, meninggalkan negara tempat kelahiran mereka yang aman demi membebaskan tanah air mereka yang sebenar.
Kesemua mereka merupakan para pejuang yang bergerak dalam perjuangan berteraskan ajaran Islam dan tarbiah Islamiah yang dianjurkan oleh Ikhwan al-Muslimin. Dalam kalangan mereka, ada yang memberikan tumpuan kepada jalan politik seperti Ismail Haniyeh, ada yang memberikan tumpuan kepada jalan ketenteraan seperti al-Daif, dan ada juga yang menggabungkan kedua-duanya seperti Yahya al-Sinwar pada akhir hayatnya.
Jalan ketenteraan dan politik merupakan keutamaan gerakan Hamas. Moga-moga inilah antara tujuan rakaman video Ismail Haniyeh bersama-sama al-Daif yang duduk bersebelahan di dalam bilik operasi ketika membina roket-roket para pejuang disiarkan.
Kesimpulan
Tulisan yang agak panjang ini hanyalah ringkasan dan analisis daripada dokumentari Mā Khafiya A‘ẓam.
Rasulullah SAW dan para sahabat tidak pernah meninggalkan jalan ketenteraan selepas hijrah ke Madinah. Sehinggakan ketika Rasulullah SAW hampir wafat sekalipun, Baginda tetap menghantar Usamah bin Zaid ke Syam bagi menunjukkan kepada musuh di sana, iaitu tentera Byzantine, bahawa umat Muhammad SAW masih kuat dan memiliki kekuatan ketenteraan.
Operasi ke Syam tersebut akhirnya dilaksanakan selepas Rasulullah SAW wafat, di bawah pemerintahan Khalifah Abu Bakar, meskipun mendapat tentangan daripada sebahagian sahabat yang lain. Tindakan tersebut lebih besar dan berisiko apabila mengambil kira bahawa banyak kelompok dan kabilah di Semenanjung Arab telah murtad serta bersedia untuk memerangi dan memberontak terhadap umat Islam di Madinah. Namun, disebabkan kekuatan ketenteraan umat Islam di bawah pimpinan Khalifah Abu Bakar, kerajaan Islam yang diwariskan oleh Rasulullah SAW berjaya dipertahankan.
Begitu juga halnya di Palestin. Tanpa kekuatan ketenteraan dan persenjataan seperti yang ditunjukkan oleh al-Daif, pastinya akan berlaku Nakbah seperti tahun 1948 di Tebing Barat dan Gaza. Dengan kata lain, semua wilayah Palestin yang masih berbaki ini berkemungkinan akan menjadi seperti Tel Aviv, Yafa dan sebagainya.
Megat Aiman Hakim bin Megat Shariffudin
Pegawai Penyelidik Aqsa Syarif