Kembali
Lubnan Telah Dijual Kepada Amerika Syarikat dan Israel?
Ustaz Megat Aiman Hakim bin Megat Shariffudin
Jul 1, 2026

1. Lubnan Mengiktiraf Kedaulatan dan Keamanan Penjajahnya
Sebahagian penganalisis menyebutkan Perjanjian Israel-Lubnan yang telah ditandatangani pada Jumaat lalu di Washington sebagai langkah menyerah diri sepenuhnya kepada rejim Zionis. Sebahagian menyebutkan ini merupakan jenayah menjual maruah negara sendiri kepada musuh tanpa memikirkan masa hadapan negara dan rakyat.
Mana tidaknya, pada isi kandungan pertama telah menyebutkan, “Israel dan Lubnan mengesahkan hak setiap negara untuk wujud secara aman serta hasrat bersama mereka untuk hidup dengan selamat sebagai dua buah negara berdaulat yang berjiran.”
Dalam keadaan rejim Zionis telah membunuh lebih empat ribu penduduk pada tahun ini sahaja, menyebabkan 1.4 juta menjadi pelarian, masih menguasai 20% daripada negara Lubnan dan kawasan yang dijajah terbabit diratakan seperti Gaza, semua ini dilupakan dan tidak dipertanggungjawabkan demi memastikan rejim Zionis boleh wujud dalam keadaan aman.
Isi kandungan ini juga secara rasmi mengesahkan Lubnan bersedia untuk menjalinkan hubungan damai dengan rejim Zionis walaupun rejim itu sedang menjajah Lubnan. Ini mungkin mengulangi detik pengkhianatan pada tahun 1993 ketika Fatah bersetuju untuk menandatangani Perjanjian Oslo.
2. Keamanan Lubnan berlaku hanya apabila kumpulan pejuang telah lumpuh
Namun, seperti yang tertulis dalam perjanjian, untuk mendapatkan keamanan, pembinaan semula wilayah yang diratakan, pengunduran secara berperingkat tentera Zionis dan sebagainya, tidak akan berlaku selagi wujudnya senjata kumpulan pejuang Hizbullah.
Sedangkan punca masalah keamanan dan kestabilan yang berlaku di seluruh Lubnan adalah disebabkan pencerobohan, penjajahan dan serangan berterusan daripada tentera Zionis. Rejim Zionis adalah akar masalah kehancuran dan kemusnahan yang sedang berlaku, bukan Hizbullah. Malah, selepas perjanjian ini ditandatangani pun, sehingga hari ini masih berlaku serangan berskala besar terhadap tanah Lubnan.
Berkenaan pengunduran secara berperingkat, ia hanya berlaku di wilayah yang dipersetujui antara Lubnan dan rejim Zionis. Tetapi ia berlaku hanya selepas pasukan Hizbullah berjaya dilumpuhkan atau dilucutkan senjata.
Justeru, bagi menentukan hal terbabit berjaya atau gagal hanyalah di pihak rejim Zionis dan Amerika. Bermakna, pihak penjajah yang disabitkan jenayah genosid di mahkamah antarabangsa inilah yang boleh menentukan keamanan di Lubnan, bukannya mana-mana badan antarabangsa.
3. Lubnan akan bersama-sama IDF melumpuhkan kumpulan pejuang
Lebih teruk daripada itu, pada isi kandungan keempat mengukuhkan kerjasama ketenteraan negara Lubnan dan rejim Zionis, “kerajaan Lubnan akan berusaha membina semula monopoli negara terhadap penggunaan kekerasan, melaksanakan pelucutan senjata sepenuhnya yang boleh disahkan terhadap semua kumpulan bersenjata bukan negara (Hizbullah), serta memastikan kumpulan-kumpulan tersebut tidak lagi mempunyai sebarang peranan ketenteraan, keselamatan atau keupayaan bersenjata di mana-mana bahagian Lubnan.”
Bermakna Tentera Lubnan secara langsung akan melindungi tentera IDF dalam melawan tentera Hizbullah dan rakyat Lubnan sendiri. Bukan itu sahaja, Tentera Lubnan sendiri juga akan terlibat sama dalam usaha tersebut. Hal ini hakikatnya membantu tentera IDF mencapai objektifnya sejak puluhan tahun, iaitu melucutkan senjata pejuang. Tentera IDF menyedari mereka tidak akan mampu untuk bertempur seorang diri. Melalui perjanjian ini, tentera IDF telah mendapat sokongan ketenteraan daripada Lubnan sendiri untuk memerangi pejuang kemerdekaan Lubnan.
4. Mereka berjanji akan berundur tetapi dari kawasan yang tidak pernah masuk pun?!
Tidak dinafikan dua kawasan di Lubnan, iaitu Faroun dan Zawtar al-Gharbiyah di selatan Lubnan, dilaporkan akan berlaku pengunduran tentera IDF (dinakali sebagai pilot zone). Kononnya sebagai langkah permulaan dalam perjanjian ini, dalam masa yang sama untuk menguji Tentera Lubnan mengawal keselamatan dalam keadaan ketiadaan tentera IDF dan membina keyakinan kesemua pihak terhadap kejayaan yang diimpikan.
Akan tetapi, dua kawasan Faroun dan Zawtar al-Gharbiyah tidak pernah dijajah dan dikuasai pun oleh tentera IDF. Bagaimana mereka boleh berundur daripada kawasan yang mereka sendiri tidak pernah wujud?
Sungguhpun begitu, sebuah lagi perjanjian rahsia yang telah didedahkan oleh Saluran 12 Israel menyebutkan bahawa tentera IDF tidak akan mengundur diri secara wajib seperti yang dijadualkan. Sumber lain pula mengatakan tentera IDF, sekiranya telah berundur, tidak bermakna pergerakan mereka di daerah yang telah dikosongkan terhalang. Pada masa yang sama, Yisrael Katz, Menteri Pertahanan Israel, pernah dengan jelas menyatakan tentera IDF tidak akan berundur daripada zon selamat yang merujuk kepada selatan Lubnan.
5. Perjanjian Satu Hala, Senario Board of Peace Berulang
Bekas Presiden Parti Progresif Sosialis Lubnan, Walid Jumblatt: "Perjanjian tiga pihak ini (Amerika, Israel dan Lubnan) hanya bersifat tiga hala pada bentuknya, tetapi pada hakikatnya bersifat satu hala. Perjanjian ini juga langsung tidak menyentuh Perjanjian Gencatan Senjata." Seluruh 14 perkara yang termaktub dalam perjanjian tidak menyebutkan langsung tentang gencatan senjata atau keamanan kepada rakyat Lubnan tanpa syarat. Bermakna, serangan dan pembedilan kemungkinan akan berterusan, kematian secara harian akan terus berlaku dan lebih banyak daerah baharu Lubnan akan diceroboh untuk dijajah.
Secara umumnya, senario yang sama sedang berlaku di Gaza. Tiada satu beg simen atau apa-apa berkaitan bahan binaan masuk ke dalam Gaza atas alasan Hamas tidak melucutkan senjata. Jared Kushner, Trump, Mladenov dan sekumpulannya dalam Lembaga Keamanan (Board of Peace) menyebutkan beberapa kali bahawa syarat pertama untuk memulakan pembangunan semula, memastikan keamanan dan kemasukan bantuan secara total adalah Hamas mesti melucutkan senjata. Mereka sengaja meletakkan Hamas seakan-akan pihak yang menyebabkan Gaza terus dijajah dan dibakar oleh rejim Zionis.
Dalam Perjanjian Israel-Lubnan ini turut serupa. Syarat untuk berlakunya pengunduran, pembinaan semula selatan Lubnan, penempatan semula lebih 1.4 juta pelarian dan sebagainya ialah Hizbullah mesti meletakkan senjata terlebih dahulu. Ini juga merupakan helah untuk meletakkan Hizbullah sebagai punca masalah keamanan dan kemanusiaan di Gaza. Sedangkan pihak penjajah utama di sini adalah rejim Zionis yang dibantu oleh Amerika Syarikat.
6. Perjanjian yang Mengurangkan Kuasa Dan Mencabar Kedaulatan Lubnan
Sehubungan dengan itu, perjanjian ini juga bertujuan untuk mengurangkan peranan kerajaan Lubnan sebagai sebuah negara berdaulat dalam menyelesaikan masalah penjajahan di negaranya. Untuk itu, peranan mengembalikan keamanan diberikan kepada rejim Zionis dan Amerika Syarikat. Perkara ini sekali lagi merupakan hal yang tidak dapat diterima oleh rakyat Lubnan sendiri dan ramai penganalisis.
Rejim Zionis dan Amerika Syarikat tidak pernah dan tidak mampu pun membawa keamanan di mana-mana sepanjang masa. Sebaliknya, merekalah penyebab kepada penjajahan, kemusnahan dan pembunuhan.
7. Tiada Jaminan Tentera IDF akan Berundur
Selain itu, perjanjian ini juga, sekiranya berlaku, tiada jaminan untuk tentera Zionis berundur sepenuhnya. Hizbullah dan tentera Syria tiada di Bukit Golan dan Bukit al-Syaikh, bahkan tiada serangan balas daripada Syria sejak 8 Disember 2024. Sehingga kini IDF masih menguasai sebahagian wilayah Syria tersebut.
Begitu juga Hamas tidak menguasai Tebing Barat, namun rejim Zionis masih menjajah Tebing Barat tersebut. Penjajahan secara fizikal masih termaktub dalam fikiran pemimpin Zionis ini dan penguasaan geografi strategik adalah keutamaan mereka tanpa memikirkan pertimbangan undang-undang antarabangsa dan hubungan diplomatik dengan negara jiran.
Oleh itu, untuk rejim ini mengundurkan diri daripada wilayah yang telah dijajah walaupun seinci adalah sesuatu yang belum berlaku sama ada di Tebing Barat, Gaza mahupun Syria. Maka, tiada jaminan untuk perkara yang sama berlaku di selatan Lubnan.
8. Usaha Untuk Memisahkan Lubnan dalam Perjanjian Gencatan Senjata Amerika-Iran
Perjanjian ini juga hakikatnya bertujuan memisahkan MOU yang telah dicapai dan dipersetujui oleh Amerika dan Iran. Sejak awal peperangan pada Mac yang lalu, Netanyahu telah menegaskan Lubnan akan terus diserang walaupun telah tercapai gencatan senjata antara Amerika Syarikat dan Lubnan. Untuk itu, Amerika Syarikat cuba mengasingkan Lubnan daripada perjanjian gencatan senjata bersama Iran. Namun, Iran menolak hal tersebut dan menekankan bahawa keamanan Lubnan termasuk dalam perjanjian gencatan senjata.
Tidak cukup sekadar itu, Iran melancarkan serangan mengejut ke atas rejim Zionis selepas serangan Zionis ke atas Lubnan. Tidak pernah sepanjang konflik dua negara ini Iran memulakan serangan tanpa diserang terlebih dahulu. Dalam rundingan bersama Amerika, Iran meletakkan Selat Hormuz bersama-sama Lubnan. Sekiranya serangan terhadap Lubnan berterusan, selagi itulah Selat Hormuz boleh ditutup, bergantung pada pertimbangan Iran.
9. Sebuah Lagi Episod Pengkhianatan
Maka inilah sebuah lagi episod pengkhianatan sebuah negara Arab terhadap agama, bangsa dan maruah negara. Muhammad Ilahmi, cendekiawan sejarah dan agama dari Mesir menyebutkan tentang perjanjian ini:
هكذا إذن، ترى نموذجا مثاليا يخبرك كيف أن النظام المحلي الخائن هو أعظم خطرا وأشد ضررا من الاحتلال الأجنبي نفسه
"Begitulah hakikatnya. Di sini dapat dilihat satu contoh yang jelas bahawa rejim tempatan yang mengkhianati rakyatnya merupakan ancaman yang lebih besar dan membawa kemudaratan yang lebih parah daripada penjajahan asing itu sendiri."
10. Penjajah ini hanya Memahami Bahasa Kekerasan
Kesimpulannya, entiti penjajah ini tidak memahami bahasa apa paun kecuali dengan bahasa kekerasan. Undang-undangan antarabangsa, kecaman negara Islam, pemboikotan, bahkan tekanan daripada Amerika Syarikat pun belum tentu dapat mengubah entiti ini.
Benarlah yang disebutkan oleh Dr. Mustafa al-Barghouthi pada Januari yang lalu bahawa seluruh dunia akan menderita akibat membiarkan undang-undang antarabangsa terus dicabuli oleh rejim Zionis. Hari ini Lubnan, esok Syria dan tidak mustahil Iraq, Saudi serta Yaman akan menyusul sekiranya entiti penjajah ini tidak dicabar.
Ustaz Megat Aiman Hakim bin Megat Shariffudin
Pegawai Penyelidik Aqsa Syarif