Kembali
Lembaga Keamanan, keamanan untuk siapa?
Megat Aiman Hakim bin Megat Shariffudin
Jan 27, 2026

Baru-baru ini, Amerika Syarikat secara rasmi mengumumkan pelancaran Lembaga Keamanan (Board of Peace) di Switzerland bersempena dengan World Economic Forum (WEF). Kononnya, lembaga ini ditubuhkan untuk menyelesaikan isu keselamatan di Gaza dan dihadiri oleh wakil daripada 19 buah negara termasuk Argentina, Qatar, Azerbaijan, Indonesia, Hungary, Maghribi, Bahrain, Pakistan dan Arab Saudi. Namun, amat menghairankan apabila tiada seorang pun wakil daripada Palestin sendiri, sedangkan isu yang diketengahkan berkait secara langsung dengan Palestin.
Dalam perbincangan mengenai Gaza, mereka langsung tidak mempersalahkan Benjamin Netanyahu atas jenayah genosid, kemusnahan dan pembersihan etnik yang dilakukan terhadap Gaza.
Malah, Jared Kushner dalam ucapannya memuji Israel kerana kononnya memberikan kerjasama dalam menjayakan proses keamanan di Gaza. Mungkin ada yang tertanya-tanya mengapa tiada wakil Israel dalam pelancaran ini. Hakikatnya, Netanyahu telah disabitkan kesalahan oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa, menyebabkan beliau berisiko ditangkap sekiranya berada di Switzerland.
Kehancuran terus berlaku, keamanan apakah yang dibincangkan?
Sehubungan itu, pelancaran lembaga ini seakan-akan meraikan satu usaha yang tidak berpijak di bumi nyata. Dalam ucapannya, Jared Kushner menyatakan hasrat untuk menjadikan Gaza sebagai destinasi pelancongan, hab pelabuhan dan sebagainya.
Namun realitinya, Netanyahu tidak pernah menghormati gencatan senjata. Sehingga kini, entiti penjajah tersebut dilaporkan telah mencabuli sebanyak 1,280 perjanjian gencatan senjata dan tidak satu pun pencabulan itu dikenakan tindakan atau diiktiraf oleh dunia antarabangsa.
Bukan itu sahaja, data lapangan menunjukkan penguasaan tentera Zionis di daratan Gaza meningkat daripada 48% kepada 55%, dan terkini mencecah 61% daripada keseluruhan wilayah Semenanjung Gaza. Kawasan penjajahan, khususnya di zon kuning, terus bertambah. Bahkan, tentera Zionis juga dilaporkan membina lebih banyak kubu pertahanan di wilayah tersebut, membuktikan bahawa mereka langsung tidak berniat untuk berundur dari Gaza.
Tambahan pula, operasi ketenteraan tidak pernah terhenti sepanjang tempoh gencatan senjata, termasuk pembedilan, penembakan, letupan dan penculikan. Serangan dilakukan secara langsung terhadap bangunan dan individu, termasuk pemimpin gerakan pejuang serta rakyat awam yang tidak berdosa.
Ini jelas merupakan satu provokasi oleh entiti penjajah bagi memaksa pihak pejuang membatalkan gencatan senjata sepenuhnya. Namun usaha ini gagal kerana gerakan pejuang menyedari bahawa keruntuhan gencatan senjata hanya akan membuka ruang yang lebih luas kepada rejim Zionis untuk meneruskan jenayah genosid, pembersihan etnik dan pemusnahan Gaza.
Apa hubungan perlucutan senjata dan pembinaan semula Gaza?
Terakhir, pelancaran semalam turut menekankan tuntutan agar pihak pejuang melucutkan senjata. Jared Kushner memberi amaran bahawa projek keamanan tidak akan diteruskan selagi senjata masih berada di tangan pihak pejuang. Sekali lagi, ini jelas menunjukkan bahawa pelan Trump hanyalah usaha untuk membantu Netanyahu mencapai salah satu objektif utamanya sejak dua tahun lalu, iaitu melumpuhkan pasukan pejuang.
Hakikatnya, sepanjang dua tahun ini, ratusan ribu tentera Zionis telah dikerahkan. Ribuan kenderaan berperisai seperti kereta kebal Merkava, Namer dan jentera D9 digunakan untuk memusnahkan kekuatan pejuang, namun usaha tersebut tetap gagal. Malah, kegagalan ini mula memakan diri mereka sendiri apabila puluhan tentera dilaporkan membunuh diri, masyarakat kehilangan kepercayaan terhadap kemampuan kerajaan menjaga keselamatan, kerugian berbilion dolar Amerika Syarikat ditanggung tanpa mencapai sebarang objektif strategik, serta jutaan rakyat meninggalkan tanah air.
Maka, Netanyahu perlu “diselamatkan”, dan hari ini Donald Trump menawarkan cadangan keamanan kepada dunia dengan tujuan tersebut. Segala usaha pembinaan semula Gaza, termasuk kemasukan bantuan kemanusiaan, bahan binaan, petugas serta aktivis kemanusiaan, langsung tidak berkait dengan senjata yang berada di tangan para pejuang.
Namun, isu perlucutan senjata terus ditekankan berulang kali dalam pelancaran Lembaga Keamanan di Switzerland semalam, sekali gus mendedahkan niat sebenar di sebalik inisiatif ini.
Majlis Eksekutif Lembaga Keamanan (Board of Peace)
Untuk menyelesaikan masalah di Gaza, sepatutnya penduduk tempatan sendiri diberi keutamaan. Masyarakat Gaza bukanlah tidak layak, malah antara yang tertinggi memiliki kelulusan PhD dan sarjana dalam pelbagai bidang. Banyak universiti di Malaysia sendiri telah melahirkan graduan dari Gaza sebelum tercetusnya perang dan sepanjang tempoh konflik ini. Mereka juga telah mentadbir wilayah mereka sendiri selama 17 tahun dalam keadaan sekatan penuh serta ditinggalkan oleh masyarakat antarabangsa.
Namun demikian, anggota tertinggi yang dilantik untuk menguruskan operasi Lembaga Keamanan ini ialah Marco Rubio, Steve Witkoff, Jared Kushner, Tony Blair, Marc Rowan, Ajay Banga dan Robert Gabriel. Tidak seorang pun daripada mereka beragama Islam, apatah lagi rakyat Palestin. Bahkan, sebahagian besar daripada mereka merupakan penyokong tegar gerakan Zionis serta mempunyai pendirian yang anti-kemanusiaan dan anti-Islam. Pelantikan mereka sebagai badan eksekutif yang kononnya menguruskan keamanan Gaza merupakan satu penghinaan kepada umat Islam seluruh dunia.
Lebih membimbangkan, terdapat satu lagi nama yang belum disebut, iaitu Ariyeh Lightstone, seorang rahib Yahudi, penyokong Zionisme dan individu penting dalam memastikan hubungan strategik Amerika Syarikat–Israel terus kukuh. Ini bukan satu kebetulan, sebaliknya merupakan pelan terancang Donald Trump untuk memastikan Netanyahu “menang” dalam peperangan Gaza secara halus.
Wakil Antarabangsa “Yes-Man”
Dalam pelancaran semalam, kelihatan beberapa wakil negara, termasuk dalam kalangan negara Islam. Sama ada kehadiran mereka atas paksaan atau kerelaan, kewujudan mereka di sana, bertepuk tangan dan tersenyum bersama penjenayah terhadap dunia Islam, amat memilukan hati umat Islam dan rakyat Palestin khususnya.
Mereka secara tidak langsung telah memberikan keizinan kepada Trump untuk meneruskan projek penjajahan terhadap rakyat Palestin di Gaza. Tindakan ini bukan sahaja bercanggah dengan undang-undang antarabangsa, malah mengkhianati perintah agama yang mewajibkan mempertahankan walau seinci tanah umat Islam serta melarang penghalalan darah sesama Muslim.
Kehadiran mereka seolah-olah langsung tidak terkesan dengan perjuangan dan pengorbanan rakyat Palestin sepanjang dua tahun ini, sehingga sanggup menerima apa sahaja yang ditawarkan oleh musuh, walaupun tawaran tersebut berpotensi menjadi pintu baharu kepada penjajahan tanah air mereka.
Semoga penulisan ini menjadi isyarat kepada seluruh umat Islam dan pencinta kemerdekaan Palestin untuk bangkit semula seperti tahun-tahun sebelumnya, serta benar-benar menekan ahli politik di negara masing-masing agar melakukan sesuatu yang nyata dan berkesan demi Palestin.