Kembali
Lawatan Trump ke Asia Barat: Siapa yang Untung?
Nadia Amira Shamsul
May 23, 2025

Lawatan Trump ke Asia Barat: Siapa yang Untung?
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump baru sahaja selesai melakukan lawatan rasmi selama 5 hari ke negara-negara teluk - Arab Saudi, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE). Melalui lawatan ini, Trump telah meluruskan semula agenda utama Amerika Syarikat (AS) di Asia Barat dengan menggesa negara-negara Teluk supaya melabur secara langsung ke dalam ekonomi AS. Ini sesuai dengan agenda MAGA (Make America Great Again) yang dicanang-canang oleh Trump.
Arab Saudi menjadi negara pertama yang dilawati Trump. Negara penjaga Mekah dan Madinah itu menerima kehadiran Trump dengan tangan yang terbuka, penuh hormat dan senyuman. Putera Mahkotanya, Mohammed bin Salman (MBS) bahkan cuba mencuri perhatian dengan mengerahkan 6 buah pesawat F-15 untuk mengiringi Air Force One, kapal terbang rasmi Presiden AS sebelum mendarat di Arab Saudi (Washington Post 2025). Gimik ini mendapat kecaman dunia yang mempersoalkan bagaimana Arab Saudi mampu mengerahkan pesawat perangnya untuk memberikan perlindungan kepada Trump tetapi tidak melakukan apa-apa untuk melindungi ruang udara Gaza daripada pesawat perang rejim Zionis.
Pertemuan Trump dan MBS menyaksikan majlis tandatangan perjanjian kerjasama strategik yang bernilai hampir $600 bilion. Perjanjian tersebut merangkumi pembelian senjata daripada AS bernilai $142 bilion. Antara senjata yang telah dibeli termasuklah sistem pertahanan udara Patriot, bateri THAAD, dron bersenjata, serta akses kepada pesawat pejuang F-35. Selain ketenteraan, perjanjian tersebut turut merangkumi projek tenaga nuklear awam, penubuhan kilang pemasangan senjata Amerika di Arab Saudi, serta kerjasama teknologi dengan syarikat gergasi seperti Tesla, SpaceX dan BlackRock (Fox Business 2025).
Lawatan Trump ke Qatar pula menyaksikan Presiden AS itu berjaya menandatangani perjanjian yang boleh menjana keuntungan ekonomi mencecah AS$1.2 trillion. Termasuk dalam jumlah ini ialah pelaburan langsung berjumlah AS$243.5 bilion yang melibatkan pembelian terbesar pesawat Boeing dan enjin GE Aerospace oleh Qatar Airways (White House 2025).
Presiden UAE, Sheikh Mohamed bin Zayed kemudian melengkapkan ‘hadiah’ negara-negara Teluk kepada Trump dengan persetujuan untuk melabur sebanyak AS$1.4 trillion ke dalam ekonomi AS dalam tempoh 10 tahun. Sebahagian besar daripada pelaburan ini tertumpu kepada pelaburan dalam bidang teknologi khususnya dalam bidang kecerdasan buatan (AI). Ia merupakan sebahagian daripada usaha UAE mempelbagaikan ekonominya yang kini hanya bergantung kepada minyak.
Secara keseluruhan, Rumah Putih melaporkan lawatan ke Asia Barat Trump telah berjaya membawa pulang pelaburan lebih AS$2 trillion ke AS dalam tempoh singkat berbanding pentadbiran Biden yang memerlukan 4 tahun untuk menjana pelaburan dengan jumlah yang hampir sama. Namun, persoalannya di manakah Palestin di dalam urusan urus niaga ini? Tidakkah persoalan Palestin yang sedang menghantui dunia pada ketika ini wajar mendapat tempat dalam pertemuan Trump, penaja terbesar genosid di Palestin, dengan negara-negara Arab teluk ini?
Natijah lawatan ini jelas menunjukkan negara-negara Arab Teluk yang kaya ini lebih bersedia berlumba-lumba untuk memenangi hati Trump berbanding berlumba-lumba untuk menghentikan genosid yang sedang berlaku di Gaza. Tidak cukup $600 bilion daripada Arab Saudi, Qatar menggandakan pelaburan menjadi AS$1.2 trillion. UAE kemudian menambah lagi komitmen sehingga AS$1.4 trillion untuk 10 tahun yang akan datang. Semua kekayaan yang ada dicurahkan kepada AS tanpa pulangan yang lebih strategik di peringkat serantau khususnya yang melibatkan Palestin (Middle East Eyes 2025).
Pelaburan besar terhadap AS ini seharusnya dijadikan sebagai alat bahkan syarat utama untuk mendesak AS dengan lebih keras supaya menghentikan genosid di Gaza. (Megat Aiman 2025). Malangnya, kesempatan ini tidak digunakan sama sekali oleh negara-negara Teluk ini demi menjaga hati Trump. Tindakan ini ibarat memberikan lampu hijau kepada AS untuk terus membantu rejim Zionis Israel membedil Gaza. Walhal pada ketika ini, AS yang memerlukan negara-negara Teluk dan bukan sebaliknya. Ini khususnya ekoran kesilapan Trump mengumumkan tarif timbal balas yang telah memberi kesan negatif kepada ekonomi AS.
Lebih memalukan, dalam ucapan beliau di Doha, Trump tanpa berbasi-basi mengulangi sekali lagi hasratnya untuk mengambil alih Gaza dan menukarkan wilayah tersebut menjadi sebuah ‘Zon Bebas’ (Middle East Eyes 2025). Bahkan terdapat ura-ura yang mengatakan bahawa pentadbiran Trump kini merancang untuk memindahkan penduduk Gaza ke Libya pula untuk menjayakan hasrat Trump. Adakah kita mendengar sebarang kenyataan balas tegas daripada negara-negara Teluk ini? Tidak ada sama sekali.
Apa yang tinggal hanyalah retorik yang diulang berkali-kali tanpa sebarang tindakan konkrit. Terbaru, Persidangan Liga Arab di Baghdad sekadar menggesa agar genosid di Gaza segera dihentikan dan mengutuk operasi terbaru rejim Zionis Israel untuk mengusir keluar penduduk Palestin daripada wilayah tersebut dengan kempen pengeboman tanpa henti.
Negara-negara Teluk mempunyai peluang untuk menjadi ‘wira’ yang menghentikan genosid yang telah menelan hampir 60 ribu nyawa yang tidak berdosa. Malangnya, mereka lebih mengutamakan kepentingan nasional berbanding kesejahteraan yang berkekalan di rantau Asia Barat.