Kembali

Lawatan Trump dedah kelesuan Dunia Islam, lemahnya negara Arab

Megat Aiman Hakim bin Megat Shariffudin

May 21, 2025

Sebahagian umat Islam hari ini termasuk dalam kalangan agamawan sekali pun mula merasa bahawa saudara seagama di Gaza kini berada dalam keadaan paling lemah, diikuti pula negara-negara Arab dan Islam di sekelilingnya yang tampak tidak berdaya.

Akibatnya, timbul anggapan bahawa mengangkat “bendera putih” adalah satu pilihan yang wajar sama ada daripada pihak Gaza dan negara-negara Arab dan Islam sekelilingnya untuk menghentikan perjuangan kemerdekaan Masjid al-Aqsa dan Baitul Maqdis. Dengan kata lain, wujud usaha membudayakan sikap pasif dan menerima dominasi rejim Zionis dan sekutunya sama ada daripada aspek politik, ekonomi dan budaya.

“Tidak mengapa meneruskan hubungan perniagaan dengan Israel, jika tidak, negara kita akan miskin dan mundur”

“Menormalkan hubungan dengan Israel dan sekutunya mampu menarik pelaburan dan menaikkan kualiti negara”

“Tidak mengapa menepis roket yang sedang menyasarkan Tel Aviv demi menjaga hubungan baik dengan Israel”

Ini antara naratif yang dibawa oleh segelintir penganalisis geopolitik tanah air yang cuba membiasakan kandungan-kandungan analisis yang berkiblatkan kepentingan politik semata-mata tanpa mengambil kira ibrah sejarah Islam dan nas-nas agama daripada al-Quran dan al-Sunnah.

Sedangkan firman Allah SWT dengan jelas menyebutkan:

“Berkata pula orang-orang yang yakin bahawa mereka akan menemui Allah: “Berapa banyak, golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah; dan Allah (sentiasa) bersama-sama orang-orang yang sabar” al-Baqarah: 249

Apa yang digambarkan oleh ayat ini telah terbukti sejak zaman Rasulullah SAW sehingga ke zaman sekarang. Hampir semua peperangan yang disertai Nabi Muhammad SAW bersama para sahabat, mereka dalam pihak yang sedikit bilangan tentera dan tahap kekuatan persenjataan yang lebih lemah berbanding musuh. Dengan izin Allah SWT, kebanyakannya kemenangan di pihak Rasulullah SAW.

Begitu juga selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW, Abu Bakar sebagai khalifah pertama berhadapan hampir seluruh benua Arab yang telah menyertai golongan murtad, kumpulan nabi palsu dan penolak kewajipan membayar zakat. Namun, dengan semangat jihad dan keimanan yang tinggi, pasukan Abu Bakar tetap mencapai kemenangan walaupun terpaksa melalui pertempuran yang sengit.

Tidak cukup sekadar itu, di zaman Umawiyyah pun sama berlaku hal yang sama. Salah satunya pembukaan negeri Andalus oleh Thariq bin Ziyad, mereka berhadapan dengan pasukan musuh beragama Kristian yang diketuai oleh Roderic. Pasukan Thariq hanya berjumlah 12,000 orang manakala pasukan musuh pula berjumlah 100,000 orang.

Pertempuran ini berakhir dengan kemenangan besar di pihak umat Islam yang menyebabkan pembukaan lebih banyak daerah dan kota dalam Andalus selepas itu sehingga terjadinya sebuah lagi kerajaan Islam yang bertapak sekitar 800 tahun lamanya.

Hal yang sama turut berlaku dalam zaman moden, pejuang Islam Algeria mengalahkan Perancis, Vietnam mengalahkan Amerika Syarikat, Afghanistan turut mengalahkan Amerika Syarikat selepas 20 tahun penjajahan dan banyak lagi.

Hakikatnya, dalam peperangan sepanjang zaman Islam, perkiraan utama ialah bukan kepada bilangan tentera dan kekuatan persenjataan, tetapi kekuatan iman dan kesanggupan untuk berjuang demi Allah melebihi segala-galanya.

Pertempuran di Gaza amat sengit

Sehubungan dengan itu, ini sedang dibuktikan ketika ini oleh pejuang Islam dalam Gaza setelah 19 bulan bertempur dalam keadaan serba kekurangan dari aspek bilangan tentera mahupun kelengkapan senjata. Mereka tiada kekuatan serangan udara, sistem pertahanan serangan udara, tiada askar sukarelawan dari luar, tiada askar upahan dan mereka tidak mempunyai perbelanjaan ketenteraan bernilai berbilion dolar Amerika seperti yang dimiliki oleh pihak penjajah.

Dalam keadaan serba kekurangan itu, kekuatan yang ditonjolkan oleh pejuang Gaza diakui sendiri oleh pihak musuh bahawa penentangan dalam Gaza tidak boleh dikalahkan. Bekas Jurucakap IOF, Daniel Hagari sendiri pernah sebut pada 27 Jun 2024, “Idea untuk melenyapkan Hamas sebenarnya hanyalah ilusi yang menipu, satu taktik untuk mengalih perhatian dan memperdaya masyarakat umum.”

Bekas Setiausaha Amerika Syarikat di zaman Biden, Anthony Blinken juga pernah sebut pada 14 January 2025, “Hamas tidak boleh ditewaskan melalui pendekatan ketenteraan semata-mata, dan apa yang berlaku di utara Gaza menjadi bukti nyata akan hal itu. Anggaran kami menunjukkan bahawa Hamas telah merekrut anggota baharu sebanyak mana yang telah gugur atau hilang.”

Kenyataan terbaru daripada bekas pegawai tentera IOF, Yisrael Ziv pada 10 Mei 2025, menyebutkan “Pergerakan Perjuangan Islam (Hamas) telah membangunkan taktik pertempurannya”, sambil menegaskan bahawa penghantaran sejumlah besar tentera ke Semenanjung Gaza meningkatkan risiko mereka terdedah kepada kecederaan.

Kenyataan ini dibuat ketika pejuang Islam di Gaza sedang giat melaksanakan operasi ketenteraan terhadap musuh daripada utara Gaza di al-Syujaiah sehingga ke selatan Gaza di daerah al-Jenainah, Rafah. Helikopter tanpa henti mengambil mangsa-mangsa sasaran daripada seluruh Gaza untuk dibawa keluar. Ini semua berlaku selepas 19 bulan bertempur, tentera Zionis masih gagal di darat Gaza.

Hakikatnya, kekuatan ketenteraan Zionis tidaklah memiliki segala-galanya sehingga tidak boleh dikalahkan. Kalaulah ada gabungan ketenteraan seperti yang disebutkan dalam fatwa Kesatuan Ulama Islam Sedunia tempoh hari, ratusan ribu askar boleh dikumpulkan, ratusan pesawat udara dan kereta kebal boleh dipakai. Pasti pihak rejim Zionis boleh dikalahkan serta merta walaupun dibayar dengan pengorbanan yang besar daripada segi nyawa dan harta umat Islam.

Amerika dibebani hutang

Kalau mahu mengelak konfrontasi total pun, sekurang-kurangnya tunjuklah ancaman kepada musuh dan sekutunya. Apa yang berlaku hari ini di Saudi sebaliknya. Sampai sahaja Trump yang bertanggungjawab menaja berbilion dolar Amerika daripada segi persenjataan, bahan letupan dan ketenteraan rejim Zionis untuk meneruskan genosid ke atas Gaza, disambut pula dengan pengiring di langit dengan jet pesawat udara dan rundingan pelaburan bernilai 600 bilion dolar Amerika Syarikat untuk negara Amerika Syarikat daripada Saudi.

Sedangkan rundingan pelaburan tersebut boleh digunakan sebagai “leverage” atau syarat untuk mendesak gencatan senjata, keamanan dan nasib anak-anak di Gaza yang kini lebih 70,000 orang mengalami kelaparan. Amerika yang kini bukan lagi seperti Amerika yang dahulu. Mereka kini dibebani hutang berbilion dolar, dikalahkan dengan Cina dari aspek ekonomi dan mereka memerlukan sekutu ekonomi untuk membantu mereka.

Tambahan pula, Amerika yang kononnya ditakuti itu, gagal menghentikan serangan daripada Yaman yang jauh lebih miskin. Terbaru, pada 16 Mac 2025, Yaman melancarkan 18 peluru berpandu balistik dan peluru berpandu jelajah, serta satu dron terhadap USS Harry S. Truman. Manakala pada 28 April 2025 pula dilaporkan sebuah jet pejuang F/A-18E Super Hornet milik Amerika Syarikat bernilai $67.4 juta terjatuh ke dalam Laut Merah akibat serangan daripada Yaman ke atas kapal induk USS Harry S. Truman dan banyak lagi siri serangan Yaman ke atas aset ketenteraan Amerika di Laut Merah.

Dalam masa yang sama, Saudi dan negara-negara Arab yang lain pula kini jauh lebih maju daripada dahulu. Mereka telah capai kekayaan yang luar biasa dan daripada sudut ketenteraan pula tidak kurang hebatnya. Ditambah pula kelebihan geografi dan minat umat Islam terhadap perjuangan jihad yang sentiasa membara. Kononnya di belakang mereka ada Houthi, di kiri mereka ada Iran dan di depan mereka ada Turkiye, semua itu alasan yang hanya berlandaskan kepentingan geopolitik dan kuasa individu tertentu.

Sedangkan kita semua tahu bahawa sumber ancaman paling besar yang ada di atas dunia ini hanya rejim Zionis. Sepanjang 19 bulan ini mereka telah melancarkan serangan terhadap negara-negara Arab dan Islam melepasi sempadan dan undang-undang antarabangsa. Lebih teruk, rejim Zionis dengan secara terbuka mencemarkan Masjid al-Aqsa dan berniat meyahudikan Bait al-Maqdis, tanah suci dalam agama Islam.

Saat tulisan ini ditulis, kita tidak tahu akan masa hadapan hubungan negara Arab dengan pihak rejim Zionis. Boleh jadi mereka semua bersetuju untuk menyertai Perjanjian Abraham di bawah Trump dalam keadaan Gaza masih dikepung, dibantai dan dilakukan segala jenis jenayah kemanusiaan.

Semoga hal ini tidak menjadi kenyataan yang menambah luka kepada umat Islam seluruhnya.

Tuntutan agar negara-negara Arab bertindak lebih tegas terhadap Trump bukanlah sesuatu yang ekstrem atau melampau, tetapi ia adalah tuntutan syarak demi anak-anak di Gaza dan kesucian Masjid al-Aqsa.

Janji Allah akan kemenangan Palestin

Walau apa pun berlaku, tegapkanlah iman kita kepada janji Allah Rasulullah SAW bahawa perjuangan di bumi Bait al-Maqdis dan sekelilinya termasuk Gaza tetap akan ada walaupun mereka dikhianati oleh umat Islam sendiri:

Rasulullah SAW bersabda:

“Akan sentiasa ada satu golongan daripada umatku yang zahir (nyata) di atas kebenaran, mereka mengalahkan musuh-musuh mereka. Orang yang menentang mereka tidak akan mampu membahayakan mereka, melainkan kesusahan (ujian) yang menimpa mereka, sehingga datang keputusan Allah (kemenangan) dan mereka tetap dalam keadaan demikian.”

Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, di manakah mereka itu?”
 Baginda menjawab: “Di Baitul Maqdis dan di sekitar Baitul Maqdis.”

Megat Aiman Hakim bin Megat Shariffudin

Pegawai Penyelidik Aqsa Syarif