Kembali
Kurang daripada satu saat 7 orang askar Yahudi gugur di Gaza
Megat Aiman Hakim bin Megat Shariffudin
Jun 26, 2025

Kurang daripada satu saat 7 orang askar Yahudi gugur di selatan Khan Younis
Di selatan Khan Younis, berdekatan Masjid Ali bin Abi Talib, beberapa pemuda menjalankan sebuah operasi ketenteraan yang sangat cemerlang dan kita bertuah operasi ini dirakam.
Seorang pemuda berlari menuju ke sebuah kenderaan pengangkut berperisai bernama Namer sambil membawa bom Syuaz. Sampai sahaja berdekatan Namer, beliau menyedari bahawa terdapat pintu terbuka di bahagian atas, beliau terus panjat ke atas dan memasukkan bom Syuaz ke dalam dan terus pulang ke kubu sambil bom terbabit meletup hanya selepas beberapa detik.

Dalam masa yang sama juga, seorang lagi pejuang melakukan operasi yang sama untuk meletupkan sebuah lagi Namer yang terletak di belakang. Tetapi operasinya tidak dirakam.
Akhir video operasi menunjukkan kebakaran besar daripada kedua-dua Namer yang disasarkan. Boleh jadi, kebakaran ini disebabkan senjata dan bahan letupan yang dibawa sekali turut terbakar. Selepas daripada itu, kelihatan helikopter di langit untuk menyelamatkan mangsa.

Keberkesanan operasi ini diiktiraf oleh musuh dan diumumkan seramai tujuh orang tentera gugur. Netanyahu menyebutkan hari terbabit merupakan hari yang susah untuk mereka.
Namun, apa yang berlaku dalam operasi ini lebih daripada itu.
Strategi musuh diketahui oleh pejuang
Pihak pejuang menyedari bahawa rejim Zionis tidak akan menguasai sesuatu kawasan kecuali selepas ia dibom oleh pesawat-pesawat udara. Selepas itu, barulah mereka mara ke kawasan sasaran secara darat.
Itu pun dengan menaiki kenderaan berat dan berperisai seperti Kenderaan Pengangkut Namer, Kereta Kebal Merkava dan Jentolak D9. Keadaan ini memudahkan kenderaan terbabit untuk disasarkan kerana runtuhan bangunan di sekeliling akibat serangan pesawat udara menyebabkan mereka tidak mampu melihat pergerakan pejuang Gaza.
Lebih daripada itu, terowong yang berada di bawah tanah juga lebih susah untuk dijumpai kerana batu-batu runtuhan menutup ruang masuk dan keluar terowong.

Di awal video tersebut juga menunjukkan para pejuang merakam pergerakan musuh di kawasan sasaran. Mereka mengenal pasti dan menganalisis strategi yang digunakan oleh musuh.
Oleh sebab itu, apabila berhenti sahaja Namer di hadapan mereka, mereka mampu untuk melaksanakan operasi hanya beberapa saat sahaja yang mengakibatkan dua Namer terbakar dan musnah sepenuhnya.
Setiap langkah telah dikaji dan diteliti segala risiko yang mungkin akan berlaku.
Allah beri rezeki depan mata
Secara praktikalnya, senjata bom al-Syuaz ini diletakkan di bawah atau di tepi kenderaan sasaran untuk menjaga nyawa tentera pejuang yang melaksanakan operasi. Kekuatan letupannya mampu melepasi besi setebal sehingga 65 sentimeter. Di Jabalia dan banyak lagi lokasi, dengan meletup sahaja bom ini di bawah kereta kebal Merkava, mampu mengorbankan tentera Yahudi di dalamnya.
Bagaimana pula sekiranya bom al-Syuaz ini meletup secara terus di hadapan tubuh dan wajah tentera Yahudi di dalam Namer?

Sudah tentu serangan kali ini yang amat berkesan untuk menumbangkan para tentera yang berada di dalam dan melumpuhkan sepenuhnya kenderaan Namer yang berharga tiga juta dolar Amerika sehingga sepuluh juta dolar Amerika.
Mangsa sasaran pasukan elit bukan tentera simpanan
Entiti Zionis mengalami kegagalan yang besar dalam operasi kali ini. Mereka bukan sahaja kehilangan dua Namer, tetapi paling maksimum 24 orang tentera sama ada cedera atau gugur. Ini kerana sebuah Namer mampu memuatkan 12 orang penumpang yang terdiri daripada pemandu, komander, dan penembak dan diikuti 9 tentera infantri.

Laporan turut menyebutkan bahawa anggota tentera yang terlibat dalam serangan ini ialah Briged 605 yang dikhususkan dalam bidang kejuruteraan ketenteraan. Mereka bukan tentera simpanan atau askar upahan, tetapi pasukan elit yang sepatutnya melaksanakan tugas dengan baik.
Hal ini sekali lagi menunjukkan kelemahan mereka yang hanya mengharapkan kekuatan teknologi. Mereka gagal mengesani pergerakan pejuang, gagal untuk mengejar pejuang selepas dikenakan serangan hendap dan gagal untuk menyelamatkan diri selepas diserang.
Sedangkan mereka memiliki kelebihan dron, pesawat udara, kelengkapan senjata yang mahal dan berkualiti tinggi. Tapi semuanya takut dan pengecut. Hanya mampu berlindung di sebalik Namer. Sekiranya salah seorang daripada penumpang Namer ini keluar untuk melihat keadaan pun sudah mampu menyelamatkan mereka, tetapi perkara terbabit tidak berlaku.
Inilah keadaan pasukan elit, bagaimana pula dengan pasukan simpanan yang merangkumi majoriti tentera yang terlibat dalam operasi di Gaza?
Sebab itu, dua minggu sahaja dalam operasi Hijaratu Daud, hampir setiap hari dilaporkan ada sahaja askar yang gugur dan cedera akibat serangan pejuang. Tetapi perkembangan ini terselindung di balik berita-berita berkenaan perang Iran-Israel.
Minda orang yang tidak boleh dikalahkan walau apa pun
Banyak perkara yang kita boleh pelajari dari operasi ini. Senjata yang murah dan kecil ini seperti bom al-Syuaz yang dibina 20 tahun dahulu ini, sekiranya digunakan dengan cara betul dan niat yang suci mampu menumbangkan ramai tentera Yahudi dalam hanya beberapa saat sahaja.
Allah memilih dalam kalangan hambaNya untuk menjadi tenteraNya. Allah juga berikan kekuatan yang cukup untuk menumbangkan musuhNya walaupun ia dilihat lemah daripada kekuatan musuh.
Keadaan ini menunjukkan kekuatan Allah yang Maha Kuat. Tiada siapa yang mampu untuk mengalahkan hamba-hambaNya yang telah dipilih walaupun sekuat mana pun musuh.
Kemenangan dan kekalahan hanya ditentukan oleh Allah dan sekiranya Allah telah tentukan kemenangan, pasti akan berlaku kemenangan.
إِن يَنصُرْكُمُ اللَّهُ فَلَا غَالِبَ لَكُمْ ۖ وَإِن يَخْذُلْكُمْ فَمَن ذَا الَّذِي يَنصُرُكُم مِّن بَعْدِهِ ۗ وَعَلَى اللَّهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُؤْمِنُونَ
"Jika Allah menolong kamu, maka tidak ada sesiapa pun yang dapat mengalahkan kamu; dan jika Dia membiarkan kamu (tidak memberi pertolongan), maka siapakah lagi yang dapat menolong kamu sesudah itu? Dan (ingatlah), kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman itu berserah diri." (Surah Ali Imran: 60)

Dalam video ini juga para pejuang mendoakan sebuah doa yang kita boleh hargai dan amalkan sepanjang masa.
اللَّهُمَّ اسْتَعْمِلْنَا وَلَا تَسْتَبْدِلْنَا
“Ya Allah, gunalah kami, janganlah gantikan kami”
Mereka tetap yakin dengan keimanan yang penuh Allah akan membantu mereka selepas 17 tahun dikepung dan lebih 600 hari menjadi mangsa genosid. Bukan itu sahaja, mereka meyakini bahawa Allah memilih mereka untuk menjadi tenteraNya untuk memenangi peperangan ini.
Mereka mempunyai senjata yang terhad, makanan dan minuman pun terhad, tetapi itu semua tidak dijadikan alasan untuk terus berjuang dengan iman yang tinggi.
Kita juga seharusnya beriman dengan cara yang sama seperti mereka. Allah tidak meninggalkan dalam kesusahan tanpa sebab, sebaliknya Allah memilih kita dengan ujian supaya kita lebih kuat untuk meneruskan kehidupan di dunia demi mencapai reda Allah.
Semoga tulisan ini memberi manfaat kepada pembaca. Jangan lupa komen dan kongsikan supaya lebih ramai mendapat manfaat.
Ustaz Megat Aiman Hakim bin Megat Shariffudin