Kembali

Krisis Hormuz: Mengapa Ego Washington dan Tehran Takkan Pernah Bertemu?

Nadia Amira Shamsul

Apr 24, 2026

Kegagalan rundingan selama 21 jam antara Iran dan Amerika Syarikat pada 12 April lalu bukanlah sekadar episod diplomatik yang buntu, tetapi cerminan jelas pertembungan dua pendekatan asas dalam hubungan antarabangsa moden: diplomasi berteraskan ketahanan intelektual menentang diplomasi berteraskan kuasa transaksional. Apa yang berlaku di Islamabad memperlihatkan bagaimana jurang falsafah, strategi, dan psikologi antara kedua-dua kuasa ini telah menjadi penghalang utama kepada sebarang kata sepakat.

 

Di pihak Tehran, pendekatan yang diambil jelas berakar pada tradisi teknokratik dan akademik. Delegasi mereka diketuai oleh Abbas Araghchi dan dibantu oleh Majid Takht-Ravanchi yang mana kedua-duanya bukan sahaja lulusan institusi tinggi dari Barat, tetapi juga merupakan arkitek penting kepada Joint Comprehensive Plan of Action (JCPOA) pada tahun 2015.

 

Bagi Iran, rundingan yang dilaksanakan bukan untuk mencapai kemenangan segera. Sebaliknya, ia adalah ruang bagi membina asas perjanjian yang mampu bertahan dalam jangka masa panjang. Dalam konteks ini, ketelitian teknikal menjadi senjata utama. Setiap perkataan dalam draf perjanjian dibedah dengan penuh teliti, mencerminkan pengalaman negara itu berdepan tekanan sekatan ekonomi selama lebih tiga dekad. Ketahanan ini membentuk satu budaya diplomasi yang berasaskan kesabaran, strategi pelbagai lapisan dan juga keutamaan terhadap kedaulatan negara.

 

Sebaliknya, pendekatan Washington di bawah kepimpinan Donald Trump mengekalkan ciri utama mereka iaitu diplomasi transaksional. Pemilihan wakil rundingan seperti JD Vance, Steve Witkoff dan Jared Kushner menandakan keutamaan kepada pendekatan yang berorientasikan hasil segera seperti strategi untuk menekan, menawarkan dan menyelesaikan konflik dalam kerangka masa singkat. Namun, strategi ini seringkali gagal apabila berdepan isu kompleks seperti program pembangunan nuklear Iran yang harus dilihat melalui lensa undang-undang, sejarah, keselamatan dan geopolitik.

 

Perbezaan pendekatan ini menjadi semakin ketara apabila kedua-dua pihak berdepan isu utama dalam membahas isu teknologi nuklear. Bagi Amerika Syarikat, tuntutannya jelas, Iran mesti mengehadkan atau menghentikan pengayaan uranium demi keselamatan global. Namun bagi Iran, isu ini melangkaui soal teknikal kerana ia adalah simbol maruah dan hak kedaulatan negara mereka. Tehran berpegang bahawa mereka mempunyai hak sah di bawah undang-undang antarabangsa untuk membangunkan teknologi nuklear bagi tujuan keselamatan. Apabila kedua-dua pihak menganggap pendirian masing-masing sebagai tidak boleh dirunding, ruang kompromi secara efektif tertutup sejak awal-awal lagi.

 

Ketegangan ini diburukkan lagi dengan krisis ketidakpercayaan antara satu sama lain. Iran menuntut agar semua sekatan ekonomi ditarik balik serta-merta sebagai syarat awal. Sebaliknya, Amerika Syarikat berkeras bahawa pematuhan penuh Iran perlu dibuktikan terlebih dahulu sebelum sebarang kelonggaran diberikan. Situasi ini mewujudkan kebuntuan apabila tidak ada pihak yang bersedia mengambil langkah pertama. Hasilnya, rundingan terbantut tanpa penyelesaian.

 

Selain itu, rundingan di Islamabad ini juga tidak hanya berkisar pada isu nuklear. Ia turut melibatkan percaturan kuasa di Asia Barat dan kepentingan strategik di Selat Hormuz yang merupakan laluan penting dan nadi kepada bekalan minyak global. Amerika Syarikat menuntut agar Iran mengurangkan pengaruh serantaunya dan menjamin keselamatan laluan tersebut. Namun bagi Iran, pengaruhnya di rantau itu dan kawalan strategiknya ke atas Selat Hormuz adalah ‘leverage’ utama mereka dalam menghadapi tekanan antarabangsa. Melepaskannya tanpa balasan setimpal dianggap sebagai tindakan yang melemahkan kedudukan strategik dan imej negara.

 

Rundingan ini akhirnya menemui kegagalan akibat percubaan untuk merungkai pelbagai kemelut yang kompleks secara serentak. Kegagalan ini juga berpunca daripada ketidakupayaan pihak terlibat untuk memisahkan isu nuklear daripada tekanan ekonomi dan krisis kepercayaan. Hal ini telah mengakibatkan satu kesan domino yang jelas. Apabila sebahagian fasa kecil dalam rundingan gagal, ia akhirnya menghentikan seluruh proses rundingan tersebut.

 

Kegagalan rundingan di Islamabad ini akhirnya membawa impak langsung kepada krisis di lapangan, sebagaimana yang didokumentasikan secara terperinci dalam laporan terbaharu Middle East Eye (MEE) mengenai situasi di Selat Hormuz. Apabila diplomasi berteraskan ketahanan intelektual Tehran bertembung dengan tekanan transaksional Washington tanpa jalan penyelesaian, 'bahasa' yang digunakan beralih daripada meja rundingan kepada tekanan fizikal melalui ketenteraan.

 

Drama 'Tutup-Buka-Tutup' Selat Hormuz yang terjadi hari ini merupakan manifestasi fizikal daripada kebuntuan diplomatik 21 jam yang gagal mencapai kata putus. Tindakan Iran menutup semula laluan perdagangan tersebut bukan sekadar tindak balas ketenteraan, tetapi merupakan penggunaan ‘leverage’ terakhir untuk membalas dasar tekanan maksima yang terus dikenakan oleh Washington walaupun selepas sesi rundingan berakhir.

 

Akhirnya, krisis di Selat Hormuz ini membuktikan kebenaran analisis Norman Finkelstein yang menyelar gaya pentadbiran Trump yang menganggap dasar luar boleh diuruskan seperti transaksi perniagaan hartanah. Beliau menegaskan bahawa strategi "the art of the deal" tidak akan berkesan terhadap Iran kerana Iran memiliki jati diri politik dan sejarah yang tidak boleh diselesaikan melalui rundingan kontrak semata-mata.

 

Tindakan AS juga hanya akan membawa kepada peningkatan ancaman terhadap keselamatan tenaga global. Selagi jurang paradigma antara Washington dan Tehran tidak dirapatkan, ketegangan di Selat Hormuz akan terus menghantui kestabilan ekonomi dunia.


Nadia Amira Shamsul

Penyelidik Aqsa Syarif