Kembali

Krisis Ceuta: Percaturan Geopolitik di Sepanyol

Nadia Amira Shamsul

Aug 7, 2026

Baru-baru ini dunia dikejutkan dengan pencerobohan lebih 60,000 pendatang yang menceroboh masuk ke Ceuta (CNN 2026), sebuah wilayah berdaulat Sepanyol yang terletak di pantai utara Afrika bersempadan dengan Maghribi dan Laut Mediterranean.

 

Mengapakah hal ini berlaku?

 

Terdapat beberapa sudut dan teori menarik yang mungkin boleh kita bedah apabila meneliti kejadian ini:

 

Kesan Riak Dasar Domestik Sepanyol

Pertama sekali kita boleh melihat daripada perspektif undang-undang. April baru-baru ini kerajaan Sepanyol meluluskan rang undang-undang yang memberikan status sah kepada kira-kira 500,000 pendatang asing tanpa izin (PATI) dengan syarat mereka boleh membuktikan mereka sudah tinggal di Sepanyol selama lebih 5 bulan sebelum 1 Januari 2026 dab tidak mempunyai rekod jenayah. Status ini membolehkan mereka memperoleh permit bekerja yang perlu diperbaharui pada setiap tahun.

 

 Rancangan ini ditentang keras oleh parti pembangkang seperti People’s Party yang mendakwa bahawa tindakan tersebut hanya akan menggalakan lebih ramai pendatang tanpa izin tiba di negara mereka (Hedgecoe 2026).

 

Oleh itu, apa yang terjadi kini di Ceuta berkemungkinan besar adalah kesan riak (ripple effects) kepada kelulusan undanng-undang tersebut.

 

 

Tuntutan Bertindih Sepanyol-Maghribi

Kedua, Ceuta adalah sebahagian daripada daripada wilayah yang mempunyai tuntutan bertindih antara Maghribi dan Sepanyol. Selain Ceuta, wilayah Melilla, tanjung Peñón de Vélez de la Gomera, dan beberapa buah pulau juga mempunyai tuntutan bertindih. Kawasan-kawasan ini adalah sebahagian kecil daripada wilayah tanah besar Arika yang masih berada di bawah penguasaan negara Eropah selepas tamat zaman colonial.

Penguasaan Sepanyol ke atas Ceuta dan wilayah-wilayah ini tidak pernah diiktiraf oleh Maghribi yang sehingga kini terus menuntut pemulangannya. Majoriti rakyat Maghribi menganggap kawasan tersebut sebagai milik Maghribi dan sewajarnya dipulangkan kepada mereka.

 

 

Percaturan Maghribi, AS dan Israel

Ketiga, wujud teori bahawa krisis yang tercetus ini merupakan sebuah operasi terancang Maghribi, Amerika Syarikat dan Israel untuk mengenakan tekanan politik ke atas Sepanyol.

 

Pendorong utama dalam percaturan politik negara ini ialah persaingan serantaunya dengan Algeria, terutamanya mengenai tuntutan kedaulatan ke atas Sahara Barat (Western Sahara). Apabila Sepanyol menyokong cadangan autonomi Maghribi ke atas Sahara Barat pada tahun 2022, Algeria telah membalas dengan membekukan hubungan perdagangan dan diplomatik dengan Madrid (Crisis Group 2024).

 

Baru-baru ini Madrid cuba mengimbangi semula hubungan dengan Algiers (bagi menjamin bekalan gas asli) (Abd-el 2026). Justeru, tindakan Maghribi berkemungkinan isyarat keras agar Sepanyol tidak "beralih arah" dalam isu Sahara Barat dengan Algeria yang menyokong perjuangan kumpulan Sahrawai di wilayah itu.

 

Seterusnya, apakah kepentingan strategik buat Trump dan Netanyahu? Umum mengetahui bahawa Sepanyol adalah antara negara dalam kalangan negara Kesatuan Eropah yang begitu kuat solidariti mereka bersama Palestin. Javier Bardem dalam satu temubual bersama Mehdi Hasan di Zeteo menggelar Perdana Menteri Sepanyol Pedro Sanchez sebagai contoh model Eropah yang berani untuk melawan Trump dan Netanyahu dan enggan untuk menjadi ‘pak turut’ (Zeteo 2026).

 

Sanchez secara konsisten menunjukkan sokongan terhadap Palestin dan menentang campur tangan ketenteraan AS-Israel di Asia Barat. Beliau mengecam sikap hipokrit NATO terhadap Gaza, mengenakan embargo senjata ke atas Israel, enggan membenarkan AS menggunakan pangkalan tenteranya di Sepanyol untuk melancarkan serangan ke atas Iran, serta menganugerahkan pingat Order of Civil Merit kepada Pelapor Khas PBB, Francesca Albanese (The Cradle 2026).

 

Pendirian berani dan tegas Sepanyol telah membangkitkan kemarahan Netanyahu. Pada April 2026, beliau secara terbuka menganggap Sepanyol sebagai sebuah negara yang anti-Israel. Beliau turut mengancam bahawa mana-mana negara yang menyerang Israel dan bukan Hamas tidak akan diiktiraf sebagai rakan strategik di rantau berkenaan. Menurut Netanyahu, beliau tidak akan bertolak ansur dengan sikap hipokrit tersebut, sambil memberi amaran bahawa negara yang melancarkan "perang diplomatik" terhadap Israel pasti akan menerima padahnya secara serta-merta (News24 2026).

 

Kita juga tidak boleh melupakan kenyataan provokatif daripada anak Netanyahu sendiri, Yair Netanyahu. Pada tahun 2019 lagi, beliau pernah secara terbuka menyeru orang Arab dan umat Islam untuk menguasai semula wilayah Ceuta dan Melilla daripada Sepanyol. Dalam satu hantaran di media sosial, beliau menulis mesej sinis yang mengajak umat Islam untuk “membebaskan tanah Arab yang dijajah” sambil menuding jari ke arah Ceuta dan Melilla sebagai lokasi permulaan yang terbaik.

 

Teori kerjasama Maghribi-AS-Israel ini semakin diperkukuh apabila kita melihat dari sudut kerjasama ketenteraan dan juga maritim antara Maghribi dan rejim Israel yang semakin jelas sejak kebelakangan ini. Maghribi bahkan kini bertindak sebagai hub transit bekalan senjata AS ke Israel!

 

Selepas Sepanyol secara rasmi menolak kemasukan kapal perang INS Komemiyut serta kapal kargo Maersk Denver yang membawa kargo bahan letupan dan peralatan ketenteraan ke Israel, kapal tersebut sebaliknya dibenarkan berlabuh di Pelabuhan Tanger Med di Maghribi. Laporan daripada pusat penyelidikan bebas seperti Business and Human Rights Cente serta liputan media antarabangsa termasuk Middle East Monitor (2024) dan The New Arab (2024) mengesahkan bahawa laluan Maghribi kini menjadi koridor logistik ketenteraan yang sangat penting buat Israel.

 

Selain itu, tindakan kumpulan Houthi menutup laluan Laut Merah kepada kapal-kapal yang berkaitan dengan Israel telah memaksa Israel bergantung sepenuhnya kepada laluan Mediterranean Barat menerusi Selat Gibraltar. Apabila Sepanyol menyekat pintu pelabuhannya, kerjasama rapat dengan Maghribi memberikan Israel dan AS tapak strategik untuk menguasai laluan maritim tersebut.

 

Kesimpulannya, tidak mustahil krisis di Ceuta ini bukanlah sekadar isu migrasi biasa, melainkan hasil percaturan strategi tiga kuasa untuk mengenakan tekanan diplomatik, mengganggu kestabilan politik domestik Sepanyol, serta menghukum kerajaan Pedro Sanchez atas pendirian berani beliau menyanggah agenda AS-Israel di pentas dunia.

Nadia Amira Shamsul
Penyelidik Aqsa Syarif