Kembali

Kisah Samah al-Arabid, seorang Ibu bersama-sama anaknya menentang IDF

Ustaz Megat Aiman Hakim bin Megat Shariffudin

Sep 4, 2026

Seperti yang dilaporkan semalam, salah seorang pimpinan tinggi Hamas telah diculik oleh pasukan khas IDF. Mereka menyusup masuk dengan sebuah van dan keluar semula bersama mangsa yang diculik dalam keadaan tergesa-gesa selepas dua orang anggota mereka terbunuh dan tiga lagi ditangkap. Kelengkapan senjata dan peluru ditinggalkan begitu sahaja yang kemudiannya menjadi ghanīmah (rampasan perang) untuk para pejuang.

Namun, kisah ini tidak berlaku semudah itu sahaja. Sumber daripada rakyat tempatan turut menyatakan bahawa sebenarnya Samah al-Arabid (47 tahun), isteri kepada Muin al-Arabid yang kini telah diculik, berjuang sehingga ke akhir nyawanya. Bukan beliau seorang sahaja, bahkan dua orang anaknya turut bersama-sama pejuang al-Qassam bertembung dengan musuh yang berjumlah sekurang-kurangnya 10 anggota tentera.

Dalam keadaan musuh yang lengkap dengan persenjataan, persiapan dan latihan ketenteraan serta sebagainya, Samah al-Arabid hanyalah seorang ibu yang sedang mempersiapkan majlis perkahwinan anaknya pada keesokan hari. Setelah berlakunya penyerbuan terhadap rumahnya, Samah meninggalkan segala persiapan tersebut untuk bertempur dengan musuh demi menyelamatkan suaminya yang telah diculik.

Walaupun berlaku serangan udara berdekatan dan mengetahui pihak musuh lengkap dengan persenjataan, sumber menyebutkan bahawa Samah bersama dua orang anak lelakinya tidak berundur walaupun seinci. Mereka sanggup mengorbankan nyawa demi menyelamatkan ayah mereka dengan apa sahaja kekuatan yang mereka miliki.

Sehinggalah beliau sendiri syahid. Pada tangannya kelihatan kesan inai yang menandakan persiapan perkahwinan anaknya. Manakala, dua orang anaknya mengalami kecederaan. Salah seorang daripada mereka yang merupakan bakal pengantin kehilangan salah satu matanya, manakala seorang lagi mengalami kecederaan parah.

Inilah keluarga pejuang yang seharusnya menjadi contoh kepada seluruh umat Islam.

Kisah Ummu ‘Ammarah bersama keluarganya mempertahankan Rasulullah SAW ketika perang

Meneliti kisah Samah al-Arabid mengingatkan kita kepada kisah para sahabiah, iaitu sahabat dalam kalangan Wanita, yang pernah berjuang dengan senjata bersama-sama Rasulullah SAW. Salah seorang daripada mereka ialah Ummu ‘Ammarah (Nusaybah bint Ka‘ab) yang berada di samping perjuangan Rasulullah SAW sejak awal sehinggalah ke akhir hayatnya.

Ummu ‘Ammarah terlibat dalam Perang Uhud, Perjanjian al-Ridhwan (ketika Rasulullah SAW mengisytiharkan perang ke atas kematian Uthman bin Affan)), Perang Hunain dan Perang al-Yamamah.

Kita mengambil faedah daripada kisah keberanian beliau dalam Perang Uhud. Ummu ‘Ammarah bersama suami dan anak-anaknya berada di samping Rasulullah SAW. Bukan sekadar dalam peperangan, sama ada di barisan hadapan atau belakang, tetapi mereka berada di sekitar Rasulullah SAW ketika baginda berada dalam keadaan yang sangat genting setelah terjatuh ke dalam lubang yang telah digali oleh musuh untuk memerangkap baginda. Dalam peperangan tersebut, Rasulullah SAW mengalami kecederaan sehingga gigi kacip baginda yang mulia tercabut.

Keadaan ini sangat berisiko kerana nyawa baginda berada dalam bahaya sehingga tersebar berita yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW telah terbunuh. Namun, Allah SWT mengurniakan kepada baginda seorang ibu bersama keluarganya untuk mempertahankan Rasulullah SAW di hadapan musuh. Riwayat menyebutkan bahawa Ummu ‘Ammarah berada di setiap penjuru Rasulullah SAW.

Sabda Rasulullah SAW:

سمعتُ رسولَ اللَّهِ صلَّى اللَّهُ عليهِ وسلَّمَ يقولُ يومَ أُحُدٍ: ما التفتُّ يمينًا ولا شمالًا إلا وأنا أراها تقاتلُ دوني، يعني أمَّ عمارةَ


“Aku (Umar bin al-Khattab) mendengar Rasulullah SAW bersabda pada hari Uhud: ‘Aku tidak menoleh ke kanan atau ke kiri melainkan aku melihatnya sedang berperang mempertahankanku,’ iaitu Ummu ‘Ammarah.”

Doa Nabi Muhammad SAW kepada Ummu ‘Ammarah

Dalam keadaan itu, Nabi Muhammad SAW menghargai apa yang dilakukan oleh Ummu ‘Ammarah dan keluarganya. Baginda lantas mendoakan mereka sekeluarga:

بارك الله فيكم من أهل بيت

“Semoga Allah memberkati kalian, wahai Ahli Bait.”

Dalam riwayat yang lain, baginda menyebutkan:

رحمكم الله من أهل بيت
“Semoga Allah merahmati kalian, wahai Ahli Bait.”

Ummu ‘Ammarah kemudian meminta sesuatu daripada Rasulullah SAW selepas mendengar doa baginda. Kata beliau:

ادع الله أن نرافقك في الجنة


“Berdoalah kepada Allah agar kami dapat menemanimu di dalam syurga.”

Jawab Rasulullah SAW:

اللهم اجعلهم رفقائي في الجنة
“Ya Allah, jadikanlah mereka teman-temanku di dalam syurga.”

Kata Ummu ‘Ammarah selepas itu:

ما أبالي ما أصابني بعد ذلك في الدنيا
“Aku tidak lagi mempedulikan apa sahaja yang menimpaku selepas ini di dunia.”

Bermakna, pejuang yang berpangkat ibu ini mengorbankan seluruh keluarganya demi perjuangan Islam. Inilah salah satu hasil daripada iman yang kuat, sejajar dengan ajaran Baginda SAW.

Kedua-dua anaknya syahid di jalan Allah SWT. Manakala dirinya sendiri ditetak oleh musuh pada bahunya. Beliau mengalami kecederaan tersebut namun masih hidup selama beberapa tahun selepas itu, sehinggalah akhirnya bertemu dengan Allah SWT.

Kisah al-syahidah Samah al-Arabid tidak setaraf dengan sahabiah yang diceritakan dalam kisah ini. Ummu ‘Ammarah mendapat doa daripada Nabi Muhammad SAW untuk menjadi pendamping baginda di syurga. Namun, terdapat persamaan yang ketara antara mereka berdua.

Kedua-duanya ialah ibu yang terlibat dalam peperangan dan berperang dengan senjata di samping anak-anak mereka demi agama Allah SWT. Mereka berdua mengorbankan segala-galanya demi menegakkan agama.

Jelas bahawa peranan wanita amat penting dalam perjuangan ini. Di dalam rumah, mereka bertanggungjawab melahirkan dan membangunkan generasi baharu yang akan menggantikan generasi lama. Di luar, mereka juga diperlukan untuk membantu agama dan masyarakat dengan kemahiran dan kekuatan yang Allah SWT berikan kepada mereka.

Dalam Islam, orang pertama memeluk agama Islam ialah seorang wanita, iaitu Khadijah RA, dan orang pertama yang syahid juga ialah seorang wanita, iaitu Sumayyah RA. Begitulah hebatnya jasa para wanita sejak awal perjuangan Islam sehinggalah ke hari ini.

Semoga penulisan ini membantu memberikan inspirasi kepada para lelaki dan wanita khususnya untuk meneruskan perjuangan demi Islam. Lelaki dan perempuan, kedua-duanya mempunyai peranan yang berat dan mustahak untuk ditunaikan dalam perjuangan ini.