Kembali
Kisah Keberanian Anas al-Syarif
Megat Aiman Hakim bin Megat Shariffudin
Aug 13, 2025

Anas, anak kelahiran Jabalia, merupakan ikon dan suara penduduk Gaza. Selama 23 bulan, beliau bertugas sebagai wartawan Aljazeera di utara Semenanjung Gaza. Pemuda berusia 28 tahun ini berdiri di hadapan kamera sambil memegang mikrofon, menceritakan kepada dunia apa yang berlaku, dalam keadaan dirinya sendiri turut menjadi mangsa.

Beliau sedar bahawa wartawan adalah antara sasaran utama serangan rejim Zionis. Ramai rakan setugasnya di Aljazeera telah gugur syahid akibat bedilan udara. Sejak awal peperangan, beliau beberapa kali menerima amaran melalui panggilan telefon daripada tentera penjajah supaya menghentikan liputannya.
Ayahnya yang berusia 65 tahun turut terkorban akibat serangan udara musuh. Serangan itu berlaku selepas beliau diugut untuk berhenti melaporkan keadaan di Gaza, namun ugutan itu gagal menghentikannya daripada terus berjuang.
Anas juga tahu bahawa jika beliau bukan sasaran, anak perempuannya, Syam, atau anak lelakinya, Solah, mungkin menjadi mangsa. Malah, isterinya berisiko menjadi ibu tunggal sekiranya beliau gugur syahid. Namun, semua cabaran itu tidak menghalangnya untuk terus berjuang, siang dan malam dengan apa sahaja kekuatan yang beliau miliki.
"Aku Tidak Akan Keluar Melainkan ke Syurga Allah"
Tersebar sebuah tangkap layar perbualan beliau dengan seorang rakan. Ketika ditanya bilakah beliau akan meninggalkan bumi Gaza untuk menyelamatkan diri, beliau menjawab:
لن اخرج من غزة الا الى الجنة
Terjemahan harfiah: "Aku tidak akan keluar dari Gaza melainkan ke syurga Allah."

Bagi yang tidak mahir bahasa Arab, perkataan لن bermaksud “tidak akan selama-lamanya”. Bermakna, Anas bertegas bahawa beliau tidak akan meninggalkan bumi ribat ini selagi ia belum dibebaskan daripada penjajah.
Ramai yang tersentuh dengan kesyahidan beliau semalam, barangkali kerana keikhlasan liputannya tentang perkembangan di Gaza. Bagi penonton saluran Aljazeera bahasa Arab, wajah beliau sentiasa muncul, di pusat perkhemahan, lorong sempit, bawah runtuhan, bersama penduduk setempat, pelarian, dan kanak-kanak, sepanjang 23 bulan ini.
Liputan terakhirnya pada 10 Ogos 2025 di Hospital Asdiqa al-Maridh melaporkan keadaan kelaparan teruk dalam kalangan bayi dan kanak-kanak. Menurut beliau, sehingga kini seramai 217 orang telah syahid akibat kelaparan, termasuk sekitar 100 kanak-kanak yang meninggal dunia kerana malnutrisi.
Gugur di Jalan Allah
Pada hari yang sama, beliau bersama Muhammad Quraiqa’ dari Aljazeera dan empat lagi wartawan serta jurugambar dibedil serangan udara sehingga kesemuanya gugur syahid. Sehingga kini, jumlah wartawan yang syahid mencecah 232 orang sejak 7 Oktober 2023.
Satu-satunya “kesalahan” mereka di mata penjajah ialah keberanian menyuarakan kebenaran kepada dunia, bukan sekadar untuk melaporkan berita, tetapi untuk menyedarkan dan memberi kefahaman yang sepatutnya.
Kita mendoakan agar kesyahidan mereka diterima Allah, berkat keimanan yang teguh dan keberanian yang tidak gentar menghadapi penguasa zalim.
Hanya Takut Kepada Azab Allah
Anas al-Syarif tutut pernah berkongsi sepotong ayat al-Quran melalui akaun media sosialnya yang mencerminkan kekuatan iman penduduk sana:
قَالُوا۟ لَن نُّؤۡثِرَكَ عَلَىٰ مَا جَاۤءَنَا مِنَ ٱلۡبَیِّنَـٰتِ وَٱلَّذِی فَطَرَنَاۖ فَٱقۡضِ مَاۤ أَنتَ قَاضٍۖ إِنَّمَا تَقۡضِی هَـٰذِهِ ٱلۡحَیَوٰةَ ٱلدُّنۡیَاۤ
"Kami tidak sekali-kali akan mengutamakanmu daripada apa yang telah datang kepada kami dari mukjizat-mukjizat yang jelas, dan (tidak akan mengutamakanmu daripada) Tuhan yang telah menjadikan kami semua. Oleh itu, hukumkanlah apa sahaja yang engkau mahu, kerana sesungguhnya engkau hanya mampu menghukum dalam kehidupan dunia ini sahaja."
(Surah Ṭā-Hā: 72)
Inilah jawapan yang berlandaskan keberanian iman yang kuat. Jawapan ini merupakan reaksi kepada ancaman Firaun yang murka kerana ahli sihirnya. Mereka sepatutnya mengalahkan Nabi Musa AS, tetapi apa yang berlaku ialah mereka pula yang memasuki agama Nabi Musa AS dan langsung tidak takut akan apa-apa acaman daripadanya.
Ancaman Firaun kepada mereka bukan sahaja zalim, bahkan sangat kejam dan menakutkan, lihat ayat sebelumnya:
فَلَأُقَطِّعَنَّ أَيْدِيَكُمْ وَأَرْجُلَكُم مِّنْ خِلَافٍ وَلَأُصَلِّبَنَّكُمْ فِي جُذُوعِ النَّخْلِ وَلَتَعْلَمُنَّ أَيُّنَا أَشَدُّ عَذَابًا وَأَبْقَىٰ
"Aku akan memotong tangan dan kaki kamu dengan bersilang, dan aku akan memalang kamu pada batang-batang pohon tamar; dan demi sesungguhnya kamu akan mengetahui kelak siapakah di antara kita yang lebih keras azab seksanya dan lebih kekal". (Surah Ṭā-Hā: 73)
Ditambah pula firaun-firaun ini jugalah yang melakukan kekejaman selama beratus tahun ke atas penduduk Bani Israel seperti membunuh semua bayi lelaki setiap selang setahun.
مِّنۡ ءَالِ فِرۡعَوۡنَ یَسُومُونَكُمۡ سُوۤءَ ٱلۡعَذَابِ یُذَبِّحُونَ أَبۡنَاۤءَكُمۡ وَیَسۡتَحۡیُونَ نِسَاۤءَكُمۡۚ
"Firaun dan orang-orangnya, yang sentiasa menyeksa kamu dengan seksa yang seburuk-buruknya; mereka menyembelih anak-anak lelaki kamu" [Surah Al-Baqarah: 49]
Namun semua ini langsung tidak berjaya menundukkan iman ahli sihir yang telah meninggalkan kesyirikan dan beriman sepenuhnya dengan Allah SWT.
فَأُلۡقِیَ ٱلسَّحَرَةُ سُجَّدا قَالُوۤا۟ ءَامَنَّا بِرَبِّ هَـٰرُونَ وَمُوسَىٰ
(Nabi Musa pun mencampakkan tongkatnya yang terus menelan segala benda sihir mereka), maka keadaan yang demikian menjadikan ahli-ahli sihir itu segera merebahkan diri sujud sambil berkata: "Kami beriman kepada Tuhan yang mengutus Nabi Harun dan Nabi Musa". [Surah Ṭā-Hā: 70]
Dari Firaun ke Netanyahu
Apa yang kita saksikan hari ini, Netanyahu tidak jauh bezanya dengan Firaun dari sudut kezaliman dan kekejaman. Namun, seperti pada zaman Firaun, kita juga melihat orang-orang beriman yang tetap sabar dan berjuang walau berdepan penderitaan.
Maksud yang ingin disampaikan oleh Anas al-Syarif melalui ayat ini jelas: apa pun hukuman musuh terhadap penduduk Gaza, sekuat mana pun serangan yang musuh berikan, sebesar mana pun ancaman yang dinyatakan, penduduk Gaza tidak akan tunduk atau menyerah kalah, kerana mereka lebih takutkan azab Allah di akhirat daripada seksaan musuh di dunia.
إِنَّمَا تَقۡضِی هَـٰذِهِ ٱلۡحَیَوٰةَ ٱلدُّنۡیَاۤ
"Sesungguhnya engkau hanya mampu menghukum dalam kehidupan dunia ini sahaja." (Surah Ṭā-Hā: 72)

Pesan Terakhir
Semoga perkongsian ini bukan sekadar mengajak kita mendoakan Anas al-Syarif dan rakan-rakannya. Mereka telah “keluar” daripada bumi Gaza dengan penuh kemuliaan. Kita wajar menghargai usaha mereka yang tidak ternilai dan pengorbanan mereka yang bukan hanya jiwa mereka, tetapi termasuk ahli keluarga demi meneruskan perjuangan.
Kita di sini, sama ada di Malaysia atau di mana sahaja, wajib meneruskan perjuangan seperti beliau dan rakan-rakan, mengikuti perkembangan Palestin dan mengambil tindakan sewajarnya.