Kembali

Kisah Karim Nabil Abu 'Arjah

Ustaz Megat Aiman Hakim bin Megat Shariffudin

May 5, 2026


Sekiranya diikuti perkembangan di Selatan Lubnan, hampir setiap hari pasukan tentera Hizbullah menyiarkan video dron mereka dengan mudah memusnahkan kereta-kereta berperisai IDF seperti Merkava, Namer, D9 dan kubu musuh.

Penggunaan dron amat berkesan kerana mampu melakukan serangan tepat, memberi kerosakan yang tinggi pada sasaran dan mampu menyerang dari jauh.

Bahkan, dron antara senjata yang paling kerap digunakan dalam perang Rusia-Ukraine dan Amerika-Iran sama ada untuk menyerang, melakukan pengintipan dan pertahanan.

Di era pembebasan Syria daripada rejim Bashar al-Assad, para pejuang Haiah al-Tahrir al-Syam (HTS) dan gabungannya dilihat banyak menggunakan senjata dron untuk memusnahkan kenderaan berperisai Bashar al-Assad dan kubu-kubu tentera, khususnya di awal pertempuran di Idlib dan Aleppo.

Namun, sepanjang perang di darat Gaza (Oktober 2023 - Oktober 2025), disebabkan para pejuang tidak mempunyai sumber yang mencukupi untuk memiliki dron, mereka hanya mampu menggunakannya pada awal peperangan untuk menyerang musuh. Namun, dron untuk melakukan pengintipan masih digunakan oleh para pejuang sehingga ke akhir peperangan.

Oleh itu, untuk menyekat kemaraan kereta berperisai seperti kereta kebal dan kenderaan pengangkut, para pejuang sama ada daripada al-Qassam, Jihad Islami dan sebagainya telah menggunakan pelbagai senjata lain.

Antaranya Improvised Explosive Device (IED) yang dibina khas oleh al-Qassam sejak 20 tahun lalu yang diberi nama al-Syuaz. Bom ini dibina dan dimajukan tahun demi tahun untuk memastikan sasaran lumpuh sepenuhnya apabila diserang.

al-Syuaz yang mampu menembusi perisai besi setebal 40 cm

Pada sekitar tahun 2006, al-Qassam telah melakukan satu pendedahan kepada media Al Jazeera berkenaan kemampuan dan kekuatan letupan senjata IED al-Syuaz terhadap beberapa kepingan besi setebal 60 cm.

Pendedahan tersebut menunjukkan serangan senjata al-Syuaz mampu menembusi besi setebal sekitar 40 cm. Kapasiti serangan sekuat ini sebenarnya mampu untuk melumpuhkan kenderaan tentera berperisai seperti kereta kebal dan kenderaan pengangkut berperisai sekiranya ia meletup dari luar.

Tambahan pula, jika ia meletup di titik lemah sasaran, seperti dari bahagian belakang atau di bawah kereta kebal, kerosakan pada sasaran kemungkinan lebih tinggi, malah boleh mengakibatkan tentera di dalamnya terkorban. Contohnya, telah gugurnya seorang tentera IDF bernama Ehsan Daxa di Jabalia akibat letupan IED al-Syuaz di bawah kereta kebal yang dinaikinya.

Perlu difahami, beliau menaiki kenderaan “kebal”, namun kekebalan kereta kebal itu tidak mampu menandingi IED al-Syuaz buatan Gaza yang dikepung sejak 20 tahun lalu. Ini adalah contoh senario IED al-Syuaz meletup di luar kenderaan tentera dan mampu menembusi besi kenderaan berperisai.

Banyak kali juga para pejuang dengan beraninya memanjat naik kereta kebal lalu memasukkan IED al-Syuaz ke dalam kereta kebal tersebut. Sudah tentu, maksimum lapan orang tentera IDF boleh menjadi “kebab hancur” akibat letupan tersebut.

Kisah al-Syahid meletupkan Merkava dengan IED al-Syuaz

Cara tradisi yang digunakan oleh para pejuang menggunakan IED al-Syuaz adalah dengan meletakkannya di laluan kenderaan tentera, sama ada di tepi atau di bawah, bergantung kepada pertimbangan medan perang.

Apabila sasaran melalui kawasan perang, IED al-Syuaz diletupkan, seterusnya disusuli dengan tembakan serang hendap kepada sasaran bagi memaksimumkan kerugian musuh atau mengambil kesempatan untuk menyelamatkan diri kerana tentera udara kebiasaannya akan mengebom kawasan pertempuran sekiranya situasi memihak kepada para pejuang dan tentera IDF serta jentera perangnya tiada harapan untuk diselamatkan.

Namun, apa yang dilakukan oleh seorang pemuda yang berumur 25 tahun agak berbeza dengan cara tradisi tersebut apabila beliau melihat sasaran berada di hadapannya dalam keadaan tidak bergerak.

Sasaran itu merupakan sebuah kereta kebal musuh yang bertanggungjawab memusnahkan tanah airnya, membunuh penduduk awam dan berusaha menguasai darat Gaza.

Kemungkinan pemandu dalam kereta kebal musuh tidak bergerak disebabkan menunggu arahan atau merancang pergerakan seterusnya.

Tanpa membuang masa, pemuda bernama Karim Nabil Abu ‘Arjah daripada Briged Gaza (utara) mengangkat IED al-Syuaz yang dikatakan seberat 3 kg, lalu berlari menuju kereta kebal di hadapannya itu.

Sampai sahaja pada kereta kebal tersebut, Karim meletakkan IED al-Syuaz di bahagian belakang, yang dikatakan titik lemah bagi kenderaan tersebut. Tiga saat berlalu, IED al-Syuaz itu terus meletup dengan letupan yang amat kuat.

Dalam operasi ini, Karim dengan mudah boleh menjadi sasaran tembakan sniper atau serangan hendap daripada musuh.

Namun, dalam hal ini beliau mengutamakan elemen pengorbanan dan keberanian demi membela maruah tanah air dan agama. Daripada keberanian ini, lahirlah tindakan berani seterusnya oleh para pejuang lain dengan memanjat kereta kebal untuk memasukkan IED al-Syuaz melalui pintu atas.

Sebelum beliau syahid pada 30 Januari 2024, beliau juga telah mengebom beberapa kereta kebal musuh dengan RPG Yasin 105. Tiga daripadanya sempat dirakam dan ada yang hangus terbakar akibat tembakan beliau.

Ini bermakna keterlibatan pemuda ini sahaja telah menyebabkan musuh mengalami kerugian sekurang-kurangnya berbelas juta dolar Amerika Syarikat kerana sebuah kereta kebal Merkava berharga sekitar tiga hingga empat juta dolar Amerika Syarikat.

Untuk menghargai usaha yang dilakukan oleh al-Syahid, pada hari Ahad yang lalu pihak pejuang menyiarkan video khas tentang beliau dalam siri Aqmar al-Tufan bersama ratusan pejuang yang lain. Mereka telah mengorbankan jiwa, harta dan diri mereka demi membela agama suci ini.

Kalau tiada mereka, seluruh dunia Islam berdosa

Sebelum 7 Oktober 2023, peperangan besar telah dirancang lebih awal untuk mengosongkan Gaza daripada penduduknya, rundingan diplomasi antara dunia Arab, khususnya Arab Saudi, bersama negara haram Zionis semakin ke penghujungnya dan seluruh dunia seakan-akan meninggalkan isu Palestin.

Maka, Operasi 7 Oktober adalah usaha Gaza untuk membela dirinya daripada perancangan jahat musuh.

Peperangan sepanjang dua tahun ini telah memecahkan persepsi bahawa tentera IDF adalah paling kuat dan tidak boleh dicabar di atas muka bumi ini. Walaupun keadaan di lapangan sekarang masih belum memihak kepada natijah yang dimahukan, seluruh dunia hari ini sedang menuju ke arah usaha memulaukan rejim penjajah dari sudut politik, ekonomi dan sosial.

Bahkan ada negara yang telah memutuskan hubungan perdagangan berkaitan persenjataan dan ketenteraan seperti Sepanyol.

Bersyukurlah kepada Allah kerana kita dipilih untuk menyaksikan kekuatan dan keberanian para pejuang di Gaza. Mereka berada di barisan paling hadapan dalam mendepani musuh Allah. Kata Syaikh Tariq Suwaidan:

لولا حمـ ـاس وما فعلته لتأثم كل الأمة، حمـ ـاس والقـ ـسام هم شرف الأمة ورأس حربة الأمة

“Tanpa Hamas dan apa yang sedang dilakukan Hamas, seluruh umat akan berdosa. Hamas dan al-Qassam adalah kehormatan umat dan menjadi barisan hadapan perjuangan umat.”

Hal ini tidak pernah berlaku sepanjang 78 tahun penjajahan ke atas Filistin dan umat seluruhnya. Sekarang adalah masa untuk bertindak dan bergerak ke hadapan. Seperti mana penduduk Filistin tidak memilih untuk mengalah, musuh juga memilih untuk terus menjajah dan mengganas di atas muka bumi.

Untuk membaca lebih banyak operasi heroik dan berani dalam memerangi IDF seperti yang dilakukan oleh Karim Nabil Abu ‘Arjah, boleh mendapatkan karya penulis sendiri berjudul Taufan al-Aqsa dan Legasi Yahya al-Sinwar.

Ustaz Megat Aiman Hakim bin Megat Shariffudin
Pegawai Penyelidik Aqsa Syarif