Kembali

Kesyahidan Muhammad Odeh, Perancang Taktik yang menewaskan Iron Dome

Ustaz Megat Aiman Hakim bin Megat Shariffudin

Jun 4, 2026

Setelah 12 hari Syaikh Izzudin al-Haddad syahid, Briged Izzudin al-Qassam kehilangan seorang lagi pemimpin utama iaitu Muhammad Odeh (Abu Amru). Abu Amru merupakan individu utama dalam sayap perisikan Gaza dan dilaporkan juga sebagai individu yang menggantikan Syaikh Izzudin al-Haddad.

Serangan yang bertujuan membunuh beliau itu menyebabkan beberapa lagi individu syahid, termasuk isteri dan dua orang anaknya, manakala lebih 20 penduduk mengalami kecederaan. Serangan tersebut juga merupakan arahan langsung daripada Netanyahu bagi mengosongkan sepenuhnya struktur ketenteraan Briged Izzudin al-Qassam di Gaza dan Abu Amru merupakan individu terakhir berdasarkan maklumat yang dimiliki mereka.

Sumbangan Abu Amru dalam ketenteraan, persenjataan dan pembangunan jiwa

Hakikatnya, Abu Amru pernah beberapa kali terselamat daripada cubaan pembunuhan oleh rejim penindas. Rumah ayahnya di Jabalia telah dibom sehingga menyebabkan kesyahidan anaknya. Sepanjang peperangan Taufan al-Aqsa, beliau merupakan komander Briged Izzudin al-Qassam di utara. Namun, penyertaan beliau dalam al-Qassam telah bermula sejak penubuhannya pada tahun 1987 dan beliau telah banyak menyumbang, khususnya dari sudut ketenteraan dan keselamatan.

Abu Amru melibatkan dirinya dalam Unit Majd, sebuah unit di bawah Briged Izzudin al-Qassam yang ditubuhkan oleh Yahya al-Sinwar untuk memerangi dan memburu golongan pembelot yang bekerjasama dengan rejim penindas. Barangkali, disebabkan pengalaman inilah Abu Amru menjadi pemimpin tertinggi unit perisikan dalam Briged Izzudin al-Qassam.

Abu Amru juga bertanggungjawab ke atas operasi menahan kemaraan tentera IDF ke dalam Gaza dalam peperangan pada tahun 2014. Dalam operasi tersebut, beliau dilaporkan berjaya menunjukkan keberanian dan kemahiran pertempuran jarak dekat serta pertempungan secara langsung dengan tentera penjajah.

Selain itu, beliau turut mencipta taktik-taktik tempur yang membolehkan pihak pejuang melaksanakan (الدفاع المتحرك), iaitu pertahanan bergerak, suatu pendekatan yang mengambil kira keupayaan untuk terus bertahan dan berjuang dalam tempoh yang panjang, di samping mengatasi kelebihan musuh dari segi kemampuan serta kelengkapan ketenteraan.

Selepas pertempuran tersebut, beliau telah diberi tanggungjawab untuk memimpin Briged Utara. Ketika memegang jawatan itu, beliau buat pertama kalinya melaksanakan taktik (الزخم الصاروخي) iaitu “gelombang serangan roket” yang dibangunkan oleh briged tersebut, bertujuan mengalih perhatian dan mengelirukan sistem pertahanan Iron Dome yang digunakan untuk memintas peluru berpandu jarak dekat.

Taktik gelombang serangan roket ini bermaksud tembakan dilepaskan secara bertubi-tubi dan sejumlah roket awal yang dilepaskan itu tidak mempunyai daya letupan yang tinggi. Dengan bahasa mudahnya, roket tersebut merupakan umpan untuk menghabiskan peluru penangkis Iron Dome atau sistem pertahanan serangan udara yang lain.

Taktik yang sama digunakan selepas itu oleh Hizbullah dan Iran sehingga ke peperangan yang sedang berlaku sekarang di rantau Asia Barat. Walaupun kos penggunaan sistem pertahanan udara ini amat tinggi dan teknologinya sangat canggih, ia tetap menghadapi kesukaran untuk menangkis peluru roket atau dron yang dilepaskan dalam jumlah yang besar di ruang udara.

Abu Amru juga merupakan individu yang bertanggungjawab berkaitan komunikasi, bantuan logistik dan penyediaan senjata. Semua ini bukanlah mudah memandangkan Gaza dikepung sepenuhnya, diawasi sepanjang masa dari udara dan tanpa henti dibedil oleh pesawat tentera udara serta dron.

Namun, dalam keadaan itu, peperangan Taufan al-Aqsa yang berlangsung selama dua tahun menunjukkan para pejuang sentiasa mempunyai kemampuan untuk berkomunikasi secara rahsia, merancang serangan hendap, melakukan perancangan dengan cemerlang dan sentiasa mempunyai senjata yang mencukupi untuk melumpuhkan musuh di darat.

Semua ini tidak cukup dengan kemampuan material sahaja, bahkan memerlukan satu lagi elemen penting iaitu kekuatan jiwa, semangat dan iman yang tinggi. Laporan menunjukkan Abu Amru juga merupakan individu yang terlibat dalam memastikan semangat dan iman para pejuang sentiasa tinggi bagi mendepani musuh Allah.

Adakah al-Qassam kehabisan barisan pemimpin?

Bermula dengan kesyahidan Syaikh Ahmad Yassin sehinggalah kepada kesyahidan pemimpin al-Qassam yang terkini, para pejuang tidak pernah mengalami kekosongan pemimpin. Bukan itu sahaja, bahkan generasi baharu yang akan menggantikan barisan perjuangan ini tidak akan sama dengan generasi lama. Generasi baharu ini ialah generasi yang dibesarkan dalam suasana peperangan dan perjuangan yang sebenar.

Seperti yang disebutkan oleh Abu Ubaidah dua hari yang lalu:

يعلمَ العدوُ الجبان، أن استشهادَ زيدٍ وجعفرَ وبنِ رواحةَ رضي الله عنهم، لم يَكُن إيذاناً بفناءِ قادةِ المسلمين أو اندثارِ دعوتهم، ولكنْ على العكسِ من ذلك، لقد كانَ ميلادَ سيفِ اللهِ المسلول، فأبشِرُوا بِما يَسوؤُكم يا أعداءَ الله، ما صنعتُم شيئا، لقد بَقِيَ مِنّا قادةٌ يَجمَعُون لكم، نَهَلوا من معينِ القرآنِ والسنة، وتربَّوْا على أيدي قادتِهِمُ الشهداءِ الكبار، فتشرّبُوا عِلمَهُم وحِكمَتَهُم، نَشَؤوا في ميادينِ الرباطِ والإعداد، حنّكتهُمُ التجاربُ وصقلتهُمُ الحروب، حتى بَرَزوا لكُمُ اليومَ سيوفًا بتارة، أقسَمَتْ ألّا تُخالِفَ دربَ مَنْ قَبْلَها، لن تَجِدُوا لهُم بإذنِ اللهِ تحويلا، ولن يُبَدِّلوا تبديلا.

“Musuh yang pengecut itu perlu mengetahui bahawa syahidnya Zaid bin Harithah, Ja'far bin Abi Talib dan Abdullah bin Rawahah رضي الله عنهم bukanlah petanda lenyapnya para pemimpin umat Islam atau pupusnya dakwah mereka.

Sebaliknya, ia merupakan kelahiran Khalid al-Walid, ‘Pedang Allah yang Terhunus’. Maka bergembiralah dengan apa yang akan menyakitkan hati kamu wahai musuh-musuh Allah. Apa yang kamu lakukan itu tidak memberi kesan apa-apa.

Masih ada dalam kalangan kami para pemimpin yang akan berhimpun menghadapi kamu. Mereka menimba daripada sumber al-Quran dan sunnah serta dididik di tangan para pemimpin mereka yang syahid. Lalu mereka menimba ilmu dan hikmah generasi terdahulu, dibesarkan di medan perjuangan dan pembinaan, ditempa oleh pengalaman serta dimatangkan oleh peperangan.

Sehingga hari ini mereka tampil sebagai pedang-pedang yang tajam, yang berjanji tidak akan menyimpang daripada jalan generasi sebelum mereka. Kamu tidak akan mendapati perubahan pada mereka dengan izin Allah dan mereka tidak akan berubah sama sekali.”

Lapangan ketika ini mengesahkan kata-kata Abu Ubaidah. Kalaulah benar bahawa Briged Izzudin al-Qassam sudah tiada lagi di Gaza, sudah lama kumpulan pembelot seperti Kumpulan Yasir Abu Syabab menguasai Gaza. Namun, laporan terkini menunjukkan sekitar 10 orang dalam kalangan anggota mereka telah menyerah diri kepada para pejuang. Soalan yang lebih penting ialah, jika benar Briged Izzudin al-Qassam telah lumpuh, mengapa IDF sendiri tidak masuk ke dalam Gaza tanpa memerlukan kumpulan pembelot?

Jenazah diusung dengan laungan perjuangan

Seperti jenazah Izzudin al-Haddad diusung sebelum ini, demikian jugalah jenazah Abu Amru diusung oleh ribuan penduduk. Gambarnya diangkat setinggi-tingginya. Slogan semangat dan perjuangan dilaungkan sekuat-kuatnya, antaranya:

الطريق إلى القدس لا يُفتح بالكلمات، بل بالرجال وبالصبر وبالدم

"Jalan ke Al-Quds tidak terbentang dengan ucapan, tetapi dengan insan-insan yang berjuang, dengan kesabaran yang teguh dan dengan darah pengorbanan."

لا إله إلا الله، والشهيد حبيب الله

“Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, dan syahid itu ialah kekasih Allah.”

Sekali lagi, hal ini menunjukkan bahawa para penduduk masih bersama perjuangan. Hakikatnya, para pejuang ini juga datang daripada kalangan penduduk dan para penduduk inilah yang melahirkan para pejuang serta membesarkan mereka dalam era peperangan.

Semoga Allah merahmati al-Syahid, Muhammad Odeh, isteri dan anak-anaknya.

Ustaz Megat Aiman Hakim bin Megat Shariffudin

Pegawai Penyelidik Aqsa Syarif