Kembali
Kesyahidan Izzudin al-Haddad, individu yang pernah digelar “The Ghost of al-Qassam”
Megat Aiman Hakim bin Megat Shariffudin
May 19, 2026

Kenapa Syaikh digelar sebagai “The Ghost of al-Qassam”?
Setelah 40 tahun diburu, akhirnya Syaikh Izzudin al-Hadad syahid akibat serangan udara rejim Zionis. Syaikh Izzudin bukan sekadar seorang syaikh, malah beliau turut digelar sebagai Shabah al-Qassam yang bermaksud “Hantu al-Qassam” oleh pihak penjajah. Gelaran tersebut bukan kerana beliau mengganggu keamanan orang lain, tetapi kerana kedudukannya sentiasa gagal dikesan musuh.
Bayangkan, selama 40 tahun beliau diburu dan menjadi sasaran serangan musuh. Bersama-sama Syaikh Ahmad Yasin dan Abd al-Aziz al-Rantisi sejak awal penubuhan Hamas, beliau masih berjaya menyelamatkan diri. Selepas Gaza dikepung pada tahun 2006, kediamannya berkali-kali dibedil oleh musuh pada tahun 2009, 2012 dan 2021, namun beliau tetap terselamat.
Memasuki fasa genosid dan pengeboman berterusan dari Oktober 2023 hingga Oktober 2025, kereta kebal musuh telah sampai ke rumahnya dan berlaku serangan serta pengeboman terhadap kubu tentera al-Qassam yang dikatakan berada di sana, namun beliau masih hidup.
Pentadbiran Netanyahu terlalu buntu untuk menjejaki lokasi beliau sehingga terpaksa menawarkan ganjaran sebanyak 750,000 dolar Amerika Syarikat kepada sesiapa yang membantu membunuhnya.
Antara tugas penting Syaikh Izzudin ialah merekrut penduduk untuk bersama-sama menyertai perjuangan bersenjata di medan tempur. Sehingga kini, walaupun ramai pejuang telah syahid, anggaran jumlah pejuang baharu yang direkrut adalah sekitar 25,000 orang. Jika dicampurkan dengan jumlah pejuang lama, keseluruhannya dianggarkan mencecah sekitar 40,000 orang.
Syaikh Izzudin mula menyertai gerakan sehingga menjadi antara penggerak utama Hamas dan al-Qassam sejak awal penubuhannya. Dalam penglibatan beliau, beliau turut bersama Yahya al-Sinwar dalam Unit al-Majd. Unit ini bertanggungjawab memburu individu yang bekerjasama dengan pihak penjajah.
Dengan pengalaman memburu para pembelot tersebut, Syaikh Izzudin turut terlibat memburu kumpulan pembelot bersenjata seperti kumpulan Yasir Abu Syabab ketika fasa genosid sehingga selepas berlakunya gencatan senjata.
Syaikh Izzudin mula memegang jawatan tinggi dalam gerakan al-Qassam selepas kesyahidan Basim Isa pada tahun 2021 ketika perang Saiful al-Quds. Jawatan yang disandang berkaitan dengan pembangunan senjata. Beliau juga merupakan komander dalam Briged Gaza sepanjang Taufan al-Aqsa daripada lima briged utama iaitu Briged Selatan, Khan Younis, Deir al-Balah, Gaza dan Utara.
Namun, selepas kesyahidan Muhammad al-Daif dan Yahya al-Sinwar, beliaulah yang menjadi komander paling senior dan mengetuai gerakan di lapangan. Sehingga kini, lebih 90% daripada nama buruan di Gaza yang diumumkan oleh IDF telah syahid.
Ribuan menyertai pengusungan jenazah
Walaupun Syaikh Izzudin diburu selama berpuluh tahun kerana pihak musuh mengetahui kemampuan beliau sebagai pejuang dalam gerakan pembebasan, suara dan wajah beliau hanya disiarkan sekitar tiga kali sahaja. Kali pertama suaranya disiarkan ketika menggantikan Basim Isa dan seterusnya ketika Taufan al-Aqsa.
Secara logiknya, beliau tidak dikenali oleh orang ramai. Namun begitu, kelihatan ribuan penduduk mengiringi jenazahnya ke tanah perkuburan. Bukan itu sahaja, banyak visual yang tersebar di media sosial menunjukkan kanak-kanak dan generasi muda turut terlibat dalam situasi tersebut.
Perlu difahami bahawa setiap hari di Gaza, walaupun gencatan senjata telah bermula, pembunuhan masih berlaku hampir setiap hari. Namun, apabila ribuan orang berkumpul dalam pengebumian Syaikh Izzudin, ia memberi isyarat bahawa rakyat benar-benar terkesan dengan kesyahidan beliau dan sudah tentu keadaan ini akan melahirkan generasi seterusnya untuk meneruskan perjuangan.
Reaksi rakyat Gaza ini turut mendapat perhatian para pengkaji Yahudi.
Pakar kajian Palestin di akhbar Yedioth Ahronoth, Michael Milshtein berkata:
“Israel telah belajar selama lebih setengah abad bahawa pembunuhan tokoh-tokoh tertentu dianggap sebagai satu pencapaian penting, namun ia sama sekali tidak membawa kepada keputusan yang muktamad. Malah, dalam beberapa keadaan, ia membawa kepada kemunculan pemimpin-pemimpin baharu yang tidak kurang keupayaannya daripada mereka yang telah dibunuh.”
Penganalisis ketenteraan di akhbar Haaretz, Amos Harel berkata:
“Kenyataan penuh retorik yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dan Menteri Pertahanan Israel Katz berhubung pembunuhan al-Haddad mencerminkan dilema kerajaan semasa, yang cuba meyakinkan masyarakat bahawa pencapaian ketenteraan taktikal di pelbagai medan bermakna mereka semakin menghampiri ‘kemenangan mutlak’ yang telah berulang kali dijanjikan.”
Bekas pegawai Shin Bet, Shalom Ben Hanan pula berkata:
“Pembunuhan bersasar itu merupakan satu pencapaian taktikal operasi dan risikan yang sangat mengagumkan, namun apabila berdepan organisasi seperti Hamas, kesannya adalah kecil dan sementara sahaja.”
Kesyahidan yang dijangka

Sudah tentu, kesyahidan al-Syahid telah dijangka. Para pejuang tidak memiliki sistem pertahanan udara. Sekiranya pembunuhan terhadap rakyat tidak dapat dihalang, begitu juga dengan pembunuhan para pemimpin. Rejim penindas ini masih ditaja dan dibela oleh Amerika Syarikat, Jerman, UK serta banyak lagi negara Eropah dan negara Islam sendiri dari pelbagai sudut.
Namun begitu, tidak mustahil para pejuang telah menyiapkan pemimpin seterusnya untuk mengekalkan struktur kepimpinan ketenteraan dan memastikan perjuangan terus berterusan. Seperti mana yang telah dilakukan sejak kesyahidan Syaikh Ahmad Yasin pada tahun 2003, pengasas utama Hamas, sehingga ke hari ini.
Mengulangi apa yang disebutkan oleh al-Syahid Abu Ubaidah, jurucakap al-Qassam:
“Kami terus berjuang dengan izin Allah dan bantuan-Nya. Di belakang seorang pemimpin ada penggantinya, di belakang seorang tentera ada sepuluh tentera, dan di belakang seorang syahid ada seribu pejuang.
Tanah ini melahirkan para mujahid sebagaimana ia menumbuhkan pohon zaitun, dan mewariskan kemuliaan serta keteguhan kepada generasi-generasi, sebagaimana ia mewarisinya daripada ribuan para nabi, sahabat dan orang-orang soleh.”
Ustaz Megat Aiman Hakim bin Megat Shariffudin
Pegawai Penyelidik Aqsa Syarif