Kembali
Kesyahidan Ahmad Khamis Abu Yunus
Ustaz Megat Aiman Hakim bin Megat Shariifudin
Jun 15, 2026

Sebelum berkongsi tentang pejuang Briged al-Qassam paling senior, penulis teringat akan seorang pemimpin tentera dalam Khilafah Umawiyyah sekitar 1,000 tahun dahulu. Beliaulah individu yang membuka wilayah Islam di Eropah sehingga sampai ke sebahagian wilayah Perancis pada hari ini. Hasil jasa beliau dan Tariq bin Ziyad, Islam bertapak di sana selama sekitar 800 tahun hijrah, sehingga kejatuhan al-Andalus pada tahun 897 Hijrah (1492 Masihi).
Beliaulah Musa bin Nusair. Kisah beliau tidak bermula di Eropah, tetapi di utara Afrika. Beliau merupakan pemimpin ketumbukan ketenteraan yang berjaya membuka wilayah Maghribi di utara Afrika. Bukan itu sahaja, beliau juga berjaya mengekalkan wilayah tersebut sebagai wilayah Islam sehingga dapat merekrut penduduk tempatan untuk menjadi tentera Islam, antaranya daripada etnik Amazigh seperti Tariq bin Ziyad.
Sebelum beliau, wilayah Maghribi telah dibuka beberapa kali, namun penduduknya kembali kepada agama asal mereka dan berjaya mengalahkan semula ketumbukan tentera Islam selepas pembukaan tersebut. Hal ini demikian kerana operasi pembukaan Maghribi sebelum Musa bin Nusair yang diketuai oleh 'Uqbah bin Nafi' dilaksanakan dengan begitu pantas sehingga tidak sempat memastikan keamanan wilayah yang telah dibuka daripada ancaman serangan balas.
Sebaliknya, Musa bin Nusair membuka wilayah di utara Afrika dengan lebih cermat dan mengambil masa yang lebih lama. Untuk membuka wilayah Maghribi, 'Uqbah bin Nafi' hanya mengambil masa beberapa bulan, manakala Musa bin Nusair mengambil masa sekitar enam hingga tujuh tahun.

Selepas itu, bagi memastikan penduduk Maghribi kekal berpegang teguh dengan Islam, Musa bin Nusair melaburkan lebih banyak usaha dan masa untuk mengajarkan agama Islam kepada mereka. Hal ini membuka peluang kepada lebih ramai penduduk untuk memeluk Islam. Bukan itu sahaja, mereka yang baru memeluk Islam ini secara sukarela menyertai ketenteraan untuk membantu usaha pembukaan wilayah Islam.
Operasi pembukaan wilayah Islam dan dakwah ini bukanlah sesuatu yang mudah, dan apa yang dikongsikan ini hanyalah ringkasan kisah Musa bin Nusair pada mukadimah pembukaan Islam di Eropah sebelah barat. Ketika itu, usia beliau telah melebihi 60 tahun.
Sekitar belasan tahun kemudian, usaha Musa bin Nusair dan Tariq bin Ziyad berjaya membuka tapak baharu Khilafah Islamiah Andalus yang merangkumi hampir seluruh wilayah Sepanyol dan Portugal, termasuk sebahagian barat Perancis, iaitu kawasan yang hampir dengan Paris.
Tidak cukup sekadar itu, cita-cita Musa bin Nusair sebenarnya adalah untuk membuka wilayah Islam di Eropah dari sebelah barat sehingga ke Konstantinopel. Hal ini bermaksud beliau bercita-cita membuka Perancis, Itali, Greece atau Romania, Turki, dan akhirnya kembali ke pusat pemerintahan Khilafah Umawiyyah di Damsyik, Syria.
Surat dari Damsyik membawa khabar sedih
Tiba-tiba, Khalifah Walid bin Abdul Malik menghantar surat kepada Musa bin Nusair agar pulang ke Damsyik dan menghentikan operasi pembukaan wilayah. Cukuplah sekadar wilayah yang telah berjaya dibuka, bermakna tidak perlu lagi menambah wilayah baharu, sebaliknya mempertahankan wilayah sedia ada.
Perintah khalifah ini disebabkan oleh beberapa faktor.
Pertama, timbul kebimbangan bahawa pembukaan wilayah di barat Eropah berlaku terlalu pantas. Wilayah Islam semakin luas, namun kekuatan umat Islam semakin mengecil jika dibandingkan dengan keluasan wilayah yang dibuka. Keadaan ini membuka ruang kepada pihak Kristian untuk melancarkan serangan pada bila-bila masa yang boleh melumpuhkan pertahanan umat Islam di sana.
Kedua, khalifah mengetahui hasrat Musa bin Nusair untuk membuka wilayah Eropah sehingga ke Konstantinopel sebelum kembali ke Damsyik. Perkara ini juga merisaukan khalifah kerana kekuatan umat Islam ketika itu masih belum cukup kukuh untuk mencapai cita-cita tersebut.
Paling utama, usia Musa bin Nusair ketika itu telah mencapai 75 tahun. Lelaki berusia 75 tahun ini masih berperang di atas kuda, memegang senjata, mempertahankan serta mengislamkan wilayah-wilayah di utara Afrika sebelum membuka pula wilayah Islam di Sepanyol dan Portugal.
Dr. Raghib al-Sirjani menulis bahawa Musa bin Nusair berasa amat sedih setelah membaca perintah khalifah tersebut. Pertama, kerana beliau terpaksa meninggalkan medan perjuangan yang amat dicintainya. Kedua, beliau masih belum berjaya membuka Sakhrā', iaitu wilayah tengah benua Afrika. Akhir sekali, beliau tidak berjaya membuka wilayah Islam dari barat Eropah sehingga ke Damsyik sebagaimana yang diimpikannya.
"Matikan aku sebagai syahid di medan jihad atau tanamkan aku di bumi Madinah"
Musa bin Nusair akhirnya tiba di Damsyik ketika Khalifah Walid bin Abdul Malik sedang nazak sebelum mangkat. Pemerintahan Khilafah kemudiannya diteruskan oleh adinda baginda, Sulaiman bin Abdul Malik. Khalifah baharu meminta Musa bin Nusair untuk menemani rombongan khalifah menunaikan ibadah haji di Mekah.
Musa bin Nusair tidak pernah menunaikan haji sebelum ini kecuali pada kesempatan tersebut, itupun kerana menemani khalifah. Seluruh kehidupannya telah digunakan untuk berjihad di jalan Allah, membuka seluas-luasnya wilayah Islam sambil mengalahkan musuh-musuh Allah yang melakukan kezaliman terhadap manusia.
Dalam perjalanan itu, hati Musa bin Nusair masih merindui suasana perjuangan. Lalu beliau mengangkat tangan berdoa kepada Allah:
اللهم إن كنت تريد لي الحياة فاقعدني إلى أرض الجهاد، وأمتني على الشهادة، وإن كنت تريد لي غير ذلك فأمتني في مدينة رسول الله ﷺ
"Ya Allah, jika Engkau menghendaki kehidupan untukku, maka hantarkanlah aku ke bumi jihad dan wafatkanlah aku dalam keadaan syahid. Namun, jika Engkau menghendaki selain daripada itu untukku, maka wafatkanlah aku di kota Rasulullah ﷺ."
Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Doa Musa bin Nusair dimakbulkan. Selepas menunaikan haji, beliau bersama rombongannya tiba di Madinah. Di sanalah beliau meninggal dunia, dan di bumi haram itulah panglima perang Musa bin Nusair dikebumikan bersama para sahabat رضي الله عنهم أجمعين.
Ini hanyalah salah satu daripada banyak kisah pejuang yang meneruskan perjuangan sehingga ke akhir hayat mereka walaupun telah lanjut usia. Jumlah mereka terlalu ramai untuk diceritakan dalam penulisan ini.
Abu Ayyub al-Ansari berjuang pada usia 80 tahun
Antara tokoh yang terkenal dalam kalangan sahabat Rasulullah SAW yang tetap meneruskan perjuangan walaupun telah lanjut usia ialah Abu Ayyub al-Ansari RA. Beliau merupakan salah seorang sahabat Rasulullah SAW yang masih hidup sehingga zaman Khilafah Umawiyyah.
Ketika itu, usia beliau telah mencecah 80 tahun. Namun, usia yang lanjut tidak menghalangnya daripada terus terlibat secara aktif dalam peperangan bagi membuka Konstantinopel. Akhirnya, beliau dimuliakan dengan kesyahidan, dan jasadnya dikebumikan di Istanbul.
Singa Padang Pasir yang digantung pada usia 73 tahun
Begitu juga dengan Syaikh al-Mujahidin, yang turut dikenali dengan gelaran Asad al-Sahra' (Singa Padang Pasir), iaitu Syaikh Umar al-Mukhtar. Beliau merupakan seorang alim, pengajar al-Quran dan tokoh yang dikenali ramai kerana keluasan ilmu agamanya.
Namun, dua dekad terakhir kehidupannya dipenuhi dengan perjuangan bersenjata menentang penjajahan. Sehingga saat beliau digantung oleh penjajah Itali pada usia 73 tahun, beliau telah mengungkapkan kata-kata yang masyhur:
"Kami tidak akan menyerah. Kami akan menang atau mati. Ini bukanlah pengakhiran; bahkan kamu akan terpaksa memerangi generasi akan datang dan generasi-generasi selepasnya."
Ahmad Khamis Abu Yunus syahid pada usia 66 tahun
Kembali kepada kisah utama dalam penulisan ini, iaitu Ahmad Khamis Abu Yunus yang syahid pada usia 66 tahun. Briged Izzudin al-Qassam telah menyiarkan sebuah video khas tentang beliau sebagai penghargaan dan penghormataan.

Beliau sebenarnya merupakan seorang jurutera yang cukup dikenali kerana akhlaknya yang baik dalam kalangan rakan sekerja di Rafah. Beliau juga merupakan individu yang sentiasa melazimi masjid, dikenali sebagai seorang pendakwah dan gemar menyebarkan kebaikan dalam masyarakat.
Video penghargaan yang disiarkan selepas pemergiannya menunjukkan beliau terlibat bersama-sama golongan muda dalam memegang senjata dan menjalani latihan ketenteraan. Usia yang lanjut tidak menghalang Briged Izzuddin al-Qassam untuk memberikan latihan ketenteraan kepadanya sebagaimana yang diberikan kepada para pemuda lain.
Sebelum tercetusnya peperangan, Briged Izzuddin al-Qassam tidak membenarkan sesiapa sahaja untuk menyertainya. Sebaliknya, briged ini memilih anggotanya daripada mereka yang mempunyai syakhsiah yang baik, keilmuan yang memadai serta tubuh badan yang sihat.

Walaupun Ahmad Khamis Abu Yunus telah berusia lanjut berbanding anggota lain, kedudukan beliau masih sebagai seorang "mujahid". Hal ini bermakna beliau bukanlah seorang komander atau pemimpin unit tertentu. Perkara ini menunjukkan disiplin beliau dalam sebuah organisasi ketenteraan yang dipimpin oleh generasi yang lebih muda daripada usianya.
Sehubungan itu, melihat janggut dan rambut beliau yang telah memutih disebabkan faktor usia mengingatkan kita kepada hadis Rasulullah SAW:
من شاب شيبة في الإسلام كانت له نوراً يوم القيامة
"Sesiapa yang tumbuh uban dalam Islam, maka uban itu akan menjadi cahaya baginya pada hari kiamat."
Maksud hadis ini ialah sesiapa yang menggunakan usianya sejak muda sehingga tua dalam perjuangan membela agama Islam, mentaati perintah Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya, maka rambut dan janggut yang telah beruban itu akan menjadi cahaya baginya pada hari kiamat.

Setelah pelbagai carian dilakukan, tidak banyak maklumat tentang Ahmad Khamis Abu Yunus dapat ditemui. Beliau bukanlah pemimpin tertinggi dalam briged tersebut. Moga-moga kedudukannya di sisi Allah mendapat tempat yang tinggi dan namanya turut didoakan oleh mereka yang berada di langit.

Kisah Umar RA menangisi tentera yang tidak dikenali
Dikenali dan diingati oleh manusia tidak semestinya menjadi ukuran kemuliaan di sisi Allah SWT. Bahkan, terdapat para rasul dan nabi yang tidak disebutkan oleh Allah SWT sama ada dalam al-Quran mahupun hadis.
Firman Allah SWT:
وَرُسُلًا قَدْ قَصَصْنَاهُمْ عَلَيْكَ مِن قَبْلُ وَرُسُلًا لَّمْ نَقْصُصْهُمْ عَلَيْكَ ۚ وَكَلَّمَ اللَّهُ مُوسَىٰ تَكْلِيمًا
Terjemahan: "Dan (Kami telah mengutus) beberapa orang rasul yang telah Kami ceritakan kepadamu sebelum ini, dan beberapa orang rasul yang tidak Kami ceritakan kepadamu. Dan Allah telah berfirman kepada Musa dengan percakapan secara langsung."
(Surah al-Nisa', ayat 164)
Sehubungan dengan itu, ketika berakhirnya Perang Nahavand, umat Islam berjaya membuka wilayah tersebut di bawah pimpinan panglima al-Nu'man ibn Muqarrin. Khalifah Umar al-Khattab RA pula menunggu perkembangan daripada ketumbukan tentera yang terlibat dalam peperangan tersebut.
Kemudian datang seorang utusan yang dihantar oleh Huzaifah bin al-Yaman RA untuk menyampaikan berita gembira kepada khalifah.
Utusan itu berkata:
"Bergembiralah wahai Amirul Mukminin, dengan satu pembukaan (kemenangan) yang dengannya Allah memuliakan Islam dan penganutnya, serta menghinakan kesyirikan dan para pendukungnya."
Lalu Khalifah Umar bertanya:
"Adakah al-Nu'man yang mengutusmu?"
Utusan itu menjawab:
"Anggaplah al-Nu'man telah memperoleh ganjaran di sisi Allah, wahai Amirul Mukminin."
Mendengar berita tersebut, Khalifah Umar menangis dan kemudiannya beliau bertanya lagi:
"Siapa lagi?"
Utusan itu menjawab:
"Si fulan, si fulan dan si fulan."
Lalu beliau menyebut ramai lagi nama para syuhada.
Kemudian utusan itu berkata:
"Dan ada juga yang lain-lain yang tidak engkau kenali, wahai Amirul Mukminin."
Lalu Umar menangis sambil berkata:
"Apakah mudarat bagi mereka jika Umar tidak mengenali mereka? Tetapi Allah mengenali mereka, dan Allah telah memuliakan mereka dengan syahid. Apalah ertinya pengenalan Umar terhadap mereka?"
Daripada kisah ini serta ayat al-Quran yang dikongsikan, ketahuilah bahawa kemuliaan seseorang bukanlah terletak pada kedudukannya di sisi manusia, hatta di sisi seorang khalifah sekalipun. Sebaliknya, yang lebih penting ialah kedudukannya di sisi Allah SWT.
Ustaz Megat Aiman Hakim bin Megat Shariffudin
Pegawai Penyelidik Aqsa Syarif
