Kembali

Kenyataan Kontroversi Imam Misyari yang Mendapat Kecaman Dunia Arab dan Islam

Ustaz Megat Aiman Hakim bin Megat Shariffudin

Nov 19, 2026

Baru-baru ini, Mishary Rashid Alafasy telah mengeluarkan satu kenyataan yang agak kontroversi berkaitan sumbangan yang diberikan kepada penduduk Gaza. Kenyataan tersebut dibuat ketika Gaza sedang berhadapan dengan bencana banjir, selain sekatan pihak penjajah yang menghalang usaha membina semula sistem perparitan dan infrastruktur yang telah musnah.

Menurut beliau:

"Tragedi yang berterusan di Gaza menimbulkan satu persoalan yang wajar: Ke manakah perginya wang sumbangan? Para penderma dan mangsa berhak mendapat jawapan yang jelas."

Tidak lama kemudian, beliau turut menuduh Jemaah Ikhwan Muslimin (IM) menggunakan sumbangan yang dikutip atas nama Palestin untuk tujuan yang tidak sepatutnya. Menurut dakwaannya, sejak zaman Hasan al-Banna lagi, IM telah menggunakan dana sumbangan untuk Palestin bagi tujuan kempen pilihan raya, kepentingan organisasi sendiri, menentang individu tertentu, mengkafirkan pihak lain dan sebagainya.

Kenyataan tersebut mengundang kecaman daripada ramai pempengaruh Arab, termasuk mereka yang berasal dari Gaza sendiri, selain para pendakwah dan ulama yang aktif dalam media Arab. Mereka mengecam kenyataan Misyari kerana dianggap menggambarkan seolah-olah dana sumbangan tidak memberikan manfaat kepada penduduk Gaza, banyak sumbangan telah dicuri dan bantuan kemanusiaan tidak sampai kepada penerima yang sepatutnya.

Terdapat beberapa perkara yang perlu diperhalusi dalam isu ini.

1. Penyelewengan wang sumbangan memang berlaku

Tidak dinafikan bahawa terdapat sebilangan kecil badan kemanusiaan yang mengutip sumbangan untuk Palestin telah dilaporkan melakukan pecah amanah dan penyelewengan dana.

Identiti badan kemanusiaan yang terlibat juga telah didedahkan. Justeru, umat Islam sepatutnya menjauhi entiti yang terbukti bersalah, bukannya membuat kesimpulan bahawa semua badan kemanusiaan, sama ada NGO mahupun agensi kerajaan, melakukan perkara yang sama.

Kesalahan segelintir pihak tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk meragui keseluruhan usaha kemanusiaan yang sedang dijalankan.

2. Laporan aktiviti, kewangan dan audit mudah didapati

Seterusnya, sekiranya persoalan Misyari benar-benar bertujuan untuk mengetahui kedudukan dan hala tuju dana yang telah disumbangkan, beliau boleh sahaja melayari laman sesawang badan-badan kemanusiaan dan NGO yang terlibat.

Berdasarkan dokumen PBB dan OCHA, terdapat lebih daripada 170 organisasi kemanusiaan yang beroperasi di Gaza. Beliau boleh memilih mana-mana organisasi untuk diteliti. Jika mengambil kira organisasi yang beroperasi di luar Gaza, jumlahnya jauh lebih besar.

Melalui laman sesawang tersebut, beliau dan orang ramai boleh mendapatkan laporan aktiviti berkaitan projek kemanusiaan yang telah, sedang dan akan dilaksanakan.

Tidak dilupakan, laporan kewangan dan audit luar juga boleh didapati bagi meningkatkan keyakinan serta kepercayaan para penyumbang. Sekiranya terdapat badan yang gagal menyediakan laporan sedemikian, amat wajar untuk perkara tersebut dilaporkan dan identiti organisasi berkenaan didedahkan bagi mengelakkan ketirisan dana.

Maka, apabila Misyari bertanya, "Ke manakah perginya wang sumbangan?", persoalan yang timbul ialah sama ada beliau benar-benar mahu mendapatkan jawapan atau sedang membina persepsi bahawa sumbangan yang diberikan selama ini tidak sampai kepada rakyat Gaza.

3. Mengapa masalah kemanusiaan di Gaza masih belum selesai?

Walaupun terdapat lebih 1,000 NGO kemanusiaan sekalipun, ia belum tentu mampu menyelesaikan keseluruhan masalah kemanusiaan di Gaza. Hal ini kerana kuasa dan kemampuan NGO amat terhad untuk melaksanakan projek berskala besar. Mereka berhadapan dengan kekangan dari segi dana, tenaga kerja, akses kepada bahan binaan dan pelbagai faktor lain.

Sebagai contoh, sekiranya mana-mana NGO di Gaza mahu membina semula rumah yang telah musnah atau membaiki sistem perparitan, usaha tersebut tetap berhadapan dengan sekatan pihak penjajah. Sehingga hari ini, bahan binaan seperti simen, batu-bata dan pelbagai keperluan pembinaan masih berhadapan dengan sekatan untuk dibawa masuk ke Gaza.

Begitu juga dari sudut kewangan. NGO dan badan kemanusiaan bergantung kepada sumbangan serta dana orang ramai untuk melaksanakan projek kemanusiaan. Bagi mereka yang menyumbang, pulangannya adalah pahala daripada Allah SWT, bukannya produk atau perkhidmatan tertentu. Oleh itu, kemampuan dan skala operasi NGO di Gaza amat bergantung kepada jumlah dana yang berjaya dikumpulkan.

Sedangkan laporan menganggarkan bahawa dana yang diperlukan untuk membina semula Gaza adalah sebanyak USD71.4 bilion, bersamaan kira-kira RM292.3 bilion. Jumlah ini bersamaan lebih separuh daripada Belanjawan Malaysia bagi tahun 2026 yang berjumlah sekitar RM470 bilion.

Itu pun hanya untuk proses pembinaan semula. Bagi kerja-kerja membersihkan runtuhan akibat pembedilan berterusan, dianggarkan terdapat sekitar 68 juta tan runtuhan, bersamaan kira-kira 68 bilion kilogram.

Jumlah tersebut belum mengambil kira semua sekolah, hospital, universiti dan masjid yang telah dibedil oleh rejim penjajah serta memerlukan dana yang amat besar untuk dibina semula.

Justeru, dengan segala kekangan dan kemusnahan yang berlaku, tidak hairanlah mengapa masalah kemanusiaan di Gaza masih belum dapat diselesaikan sepenuhnya.

Sehubungan itu, berdasarkan analisis di atas, persoalan yang lebih wajar untuk kita kemukakan adalah:

1. Di manakah peranan sekitar 50 negara Islam?

Lebih memilukan, terdapat negara Islam yang turut terlibat dalam penahanan aktivis kemanusiaan yang cuba membantu Gaza.

Sebagai contoh, pada tahun lalu, Mesir dan Libya telah menahan lebih 200 peserta yang menyertai program Global March to Gaza. Antara individu yang ditahan terdiri daripada warga Algeria, Australia, Perancis, Maghribi, Belanda, Sepanyol dan Amerika Syarikat.

Mesir juga didakwa mengenakan pelbagai syarat yang menyusahkan serta bayaran yang tinggi terhadap trak-trak yang membawa bantuan kemanusiaan. Sedangkan bantuan tersebut sepatutnya disalurkan dengan segera kepada penduduk Gaza yang sedang dikepung dan dibedil.

Dalam keadaan genosid masih berterusan dan lebih 70,000 umat Islam telah dibunuh, hubungan baik antara sebahagian negara Islam dengan rejim penjajah masih dikekalkan. Antaranya Mesir, Jordan dan UAE. Malah, terdapat negara yang berhasrat untuk meningkatkan lagi hubungan dengan rejim penjajah seperti Maghribi.

Amat menyedihkan apabila tiada lagi negara Islam yang berani memutuskan hubungan diplomatik dengan rejim penjajah sejak 7 Oktober 2023 sehingga ke hari ini.

Persoalannya, mengapa perhatian begitu banyak diberikan kepada dana sumbangan rakyat, sedangkan peranan dan tanggungjawab negara-negara Islam yang mempunyai kuasa politik, ekonomi dan diplomatik jauh lebih besar masih belum dilaksanakan sepenuhnya?

2. Di manakah semangat persaudaraan dalam Islam?

Isu Gaza bukan sahaja berkaitan tanggungjawab negara dan pemimpin Islam, tetapi juga tanggungjawab setiap individu.

Setiap Muslim mempunyai tanggungjawab terhadap Muslim yang lain tanpa mengira negara, warna kulit, bahasa dan bangsa.

Sabda Rasulullah SAW:

عَنِ ابْنِ عُمَرَ رضي الله عنهما، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ ﷺ قَالَ:

الْمُسْلِمُ أَخُو الْمُسْلِمِ، لَا يَظْلِمُهُ وَلَا يُسْلِمُهُ

"Seorang Muslim itu saudara kepada Muslim yang lain. Dia tidak boleh menzaliminya dan tidak boleh membiarkannya (ketika dia dizalimi)."

Umat Islam bukanlah kelompok yang kecil. Dianggarkan terdapat sekitar 2.1 bilion umat Islam di seluruh dunia pada tahun 2026, bersamaan kira-kira 25% daripada keseluruhan penduduk dunia.

Namun, dalam keadaan ini, kita masih berkira-kira untuk menggembleng seluruh kekuatan dan usaha bagi menyelamatkan penduduk Gaza yang hanya berjumlah sekitar dua juta orang, tetapi terus dikepung, dibedil dan dilaparkan oleh rejim penjajah.

Penutup

Antara cabaran terbesar yang dihadapi oleh pekerja kemanusiaan di Gaza ialah keselamatan nyawa mereka sendiri yang sentiasa berada dalam risiko.

Laporan daripada agensi PBB sendiri menyatakan bahawa sekitar 600 pekerja kemanusiaan telah terbunuh dalam tempoh tiga tahun ini sahaja. Walaupun berhadapan dengan ancaman sedemikian, mereka tetap meneruskan tugas setiap hari, sedaya upaya menyantuni dan membantu golongan yang memerlukan.

Maka, menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memastikan NGO dan badan kemanusiaan yang masih beroperasi di Gaza terus mendapat sokongan agar mereka dapat meneruskan usaha membantu rakyat Palestin.

Merekalah, bersama-sama agensi kerajaan tempatan yang masih berfungsi, antara saluran bantuan yang masih ada untuk kita terus menyumbangkan wang dan tenaga yang dimiliki.

Akhirnya, kita perlu memahami bahawa usaha kemanusiaan bukan sekadar soal ke mana wang sumbangan dibelanjakan, tetapi juga soal bagaimana kita memastikan bantuan terus sampai kepada mereka yang memerlukan.

Jangan kerana kesalahan segelintir pihak, kita akhirnya meruntuhkan kepercayaan terhadap seluruh gerakan kemanusiaan. Jangan kerana mempertikaikan sumbangan orang ramai, kita terlupa bahawa jutaan manusia di Gaza masih memerlukan bantuan dan pembelaan kita.