Kembali

Kenapa undang-undang hukuman mati lebih berat daripada penutupan Masjid Al-Aqsa?

Megat Aiman Hakim bin Megat Shariffudin

Apr 7, 2026

Seluruh dunia hari ini terkesan dengan penutupan Selat Hormuz yang merupakan antara laluan utama bagi minyak. Namun, sejak tercetusnya perang, Masjid al-Aqsa, masjid ketiga paling suci dan mulia dalam Islam, turut ditutup sepenuhnya lebih sebulan. Tiada seorang pun warga Palestin dibenarkan untuk memasukinya walaupun pada Hari Raya Aidilfitri.

Masjid al-Aqsa ini tiada beza dengan Masjid al-Haram dan Masjid Nabawi di sisi Allah. Ia adalah rumah Allah yang kedua dibina di atas bumi ini, selepas 40 tahun Masjid al-Haram di Mekah dibina oleh Nabi Ibrahim.

Sabda Rasulullah SAW:


سَألتُ رَسولَ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم عن أوَّلِ مَسجِدٍ وُضِعَ في الأرضِ؟ قال: المَسجِدُ الحَرامُ، قُلتُ: ثُمَّ أيٌّ؟ قال: المَسجِدُ الأقصى، قُلتُ: كَم بينَهما؟ قال: أربَعونَ عامًا، ثُمَّ الأرضُ لك مَسجِدٌ، فحَيثُما أدرَكَتك الصَّلاةُ فصَلِّ

“Aku bertanya kepada Nabi Muhammad ﷺ tentang masjid pertama yang dibina di muka bumi.

Baginda bersabda: Masjidil Haram.

Aku bertanya: kemudian yang mana?

Baginda bersabda: Masjid al-Aqsa.

Aku bertanya: berapa jarak (tempoh) antara keduanya?

Baginda bersabda: empat puluh tahun.

Kemudian baginda bersabda: Bumi ini dijadikan untukmu sebagai masjid, maka di mana sahaja kamu didatangi waktu solat, maka dirikanlah solat.”

Masjid al-Aqsa juga merupakan kiblat pertama umat Muhammad untuk tempoh sekitar 17 bulan pada awal sejarah Islam sebelum diturunkan wahyu Allah SWT yang memerintahkan kiblat solat bertukar kepada Masjid al-Haram.

Di manakah suara umat Islam ketika ini?

Namun, umat Islam yang seramai dua bilion ini, daripada sekitar 60 negara Islam, tiada satu pun yang berani mengambil langkah untuk membuka Masjid al-Aqsa. Jangankan kuasa ketenteraan, saluran politik atau ekonomi pun tidak digunakan untuk menekan pentadbiran rejim penjajah.

Bahkan, sebahagian negara Islam terus melindungi keselamatan negara Zionis ini di ruang udara mereka dengan menangkis serangan daripada Iran. Seakan-akan negara Islam ini sedang melindungi pihak yang menutup rumah Allah ketiga paling suci di atas bumi.

Kalaulah sebahagian negara Islam masih melindungi dan membela rejim penjajah ini ketika Masjid al-Aqsa ditutup dan terus dicemari dengan pencerobohan pendatang haram Yahudi, tidak pelik jika pendirian negara Islam masih sama walaupun selepas Masjid al-Aqsa dirobohkan.

Antara harga nyawa seorang Muslim dan harga sebuah masjid serta dunia seluruhnya

Daripada penulisan di atas menjelaskan bahawa Masjid al-Aqsa sememangnya mulia di sisi Allah SWT sebagai rumah Allah kedua yang dibina di atas muka bumi, kiblat pertama umat Muhammad dan seumpamanya.

Namun, masjid ini jika runtuh, boleh dibina semula dan perkara itu pernah berlaku. Masjid ini pernah menjadi gereja untuk tempoh 88 tahun; selepas ia dibebaskan oleh Sultan Solahuddin, semuanya kembali menjadi masjid seperti asalnya.

Tetapi nyawa seorang mukmin yang dibunuh tanpa hak, siapa yang boleh mengembalikannya bernyawa?

Rasulullah SAW bahkan pernah menyebutkan bahawa nyawa seorang mukmin lebih agung di sisi Allah daripada Kaabah. Teliti hadis di bawah:

رأيتُ رسولَ اللهِ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ يَطوفُ بالكعبةِ وهوَ يقولُ ما أطيبَكِ وأطيبَ ريحَكِ ما أعظمَكِ وأعظمَ حرمَتكِ والذي نفسُ محمدٍ بيدِهِ لحُرمةُ المؤمنِ أعظمُ حُرمةً عِندَ اللهِ مِنكِ مالُهُ ودمُهُ وأنْ يُظنَّ بهِ إلا خيرًا

Abdullah bin Umar: Aku melihat Rasulullah ﷺ tawaf di Kaabah sambil bersabda:

“Alangkah baiknya engkau dan alangkah harum baumu.
Alangkah agungnya engkau dan alangkah besarnya kehormatanmu.
Demi Tuhan yang jiwa Muhammad berada di tangan-Nya,
sesungguhnya kehormatan seorang mukmin itu lebih besar di sisi Allah daripada kehormatanmu:

iaitu hartanya, darahnya, dan bahawa tidak disangka terhadapnya melainkan yang baik.”

Hadis ini menjelaskan bahawa Rasulullah SAW bersabda di hadapan Kaabah bahawa nyawa seorang mukmin di sisi Allah lebih agung daripada Kaabah itu sendiri. Kaabah atau Masjid al-Haram yang solat di dalamnya mendapat ganjaran 100,000 kali ganda pahala solat dan merupakan asjid pertama yang dibina di atas bumi, namun di sisi Allah, nyawa seorang mukmin lebih mulia.

Terdapat sebuah hadis yang lebih kuat kedudukannya di sisi ahli hadis yang mempunyai makna yang serupa:

لزوالُ الدنيا أهونُ على اللهِ مِنْ قتلِ رجلٍ مسلمٍ

“Sesungguhnya lenyapnya dunia ini lebih ringan di sisi Allah daripada terbunuhnya seorang lelaki Muslim.”

Hadis ini menggambarkan bahawa jika hancurnya dunia dan segala yang ada di atasnya, di sisi Allah ia lebih ringan berbanding terbunuhnya nyawa seorang mukmin tanpa hak.

Dunia adalah ujian semata-mata dan sifatnya sementara, sedangkan seorang mukmin adalah hamba Allah yang mengorbankan dirinya demi perjuangan agama Allah dan mengabdikan diri dalam setiap masa untuk menegakkan agama-Nya.

Hukuman mati terhadap tahanan Palestin adalah cubaan mematikan perjuangan

Hukuman mati baru-baru ini hampir menjadi undang-undang sah kerana mendapat sokongan majoriti ahli parlimen dan bakal dilaksanakan tidak lama lagi. Ia disambut dengan sorakan serta minuman arak sejurus selepas keputusan undian diumumkan.

Mereka bergembira kerana hukuman mati ini akan memberi kemudahan untuk menamatkan nyawa dengan hukuman gantung terhadap semua individu yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam menamatkan nyawa anggota tentera IDF atau orang awam (pendatang haram Yahudi). Hukuman ini juga hanya dikenakan kepada orang yang berbangsa Palestin sahaja.

Manakala jika pendatang haram Yahudi atau tentera IDF melakukan perkara yang sama terhadap penduduk Palestin, mereka tidak akan dikenakan hukuman yang sama. Hukuman ini juga memudahkan para pejuang, pimpinan gerakan dan rakyat awam Palestin yang berani, yang berada dalam tahanan ketika ini, untuk dikenakan hukuman gantung serta-merta atau dalam tempoh 90 hari selepas diputuskan oleh mahkamah.

Termasuk yang menjadi sasaran hukuman ini kemungkinan wanita dan kanak-kanak yang tidak bersalah serta ribuan penduduk awam yang ditahan tanpa dibicarakan dengan adil. Tidak cukup lebih 100,000 penduduk Palestin di Gaza telah dibunuh dalam tempoh dua tahun, kini mereka menambahkan lagi bilangan korban dari dalam penjara.

Hukuman ini juga sebenarnya bertujuan mematikan semangat rakyat Palestin untuk memperjuangkan kemerdekaan negara mereka, bahkan nyawa mereka sendiri. Sekiranya berlaku pencerobohan atau cubaan membunuh seorang rakyat Palestin oleh pendatang haram Yahudi, tiada apa yang boleh dilakukan kerana undang-undang negara haram ini melindungi sepenuhnya pendatang haram Yahudi tersebut.

Hakikatnya, hukuman ini adalah amaran keras kepada seluruh masyarakat Palestin agar tiada siapa berani menyentuh pendatang haram Yahudi atau IDF walaupun mereka sedang membunuh anak-anak Palestin, merampas tanah dan rumah rakyat Palestin serta melakukan pencerobohan berterusan terhadap Masjid al-Aqsa.

Jangkaan pihak penjajah daripada hukuman ini adalah terbengkalainya perjuangan rakyat Palestin untuk mendapatkan hak kemerdekaan mereka dan membela kesucian Masjid al-Aqsa. Mereka mahu rakyat Palestin melupakan perjuangan dan meninggalkan tanah air mereka demi jaminan kehidupan yang lebih aman dan selamat.

Adakah ini penamat perjuangan Palestin

Palestin telah berjuang lebih 100 tahun bermula daripada penjajahan British. Hukuman mati ini, walaupun jika tidak diluluskan pun, pembunuhan tetap berlaku di tangan tentera IDF dan pendatang haram Yahudi tanpa dipersalahkan oleh mahkamah negara. Hukuman ini cuma menghalalkan pembunuhan terhadap para pejuang dengan lebih cepat dan mudah seperti yang diharapkan oleh golongan ekstrem seperti Ben Gvir.

Namun, perjuangan Palestin telah pun dijaminkan oleh Rasulullah SAW melalui beberapa hadis sahih. Selain itu, sejarah turut membuktikan bahawa generasi baharu yang lahir sejak awal penjajahan semakin kuat, berani dan mampu bertahan untuk meneruskan perjuangan hingga ke generasi seterusnya.

Namun, tidak bermakna perjuangan rakyat Palestin ini ditinggalkan sepenuhnya kepada mereka sahaja. Sedangkan kesucian bumi tersebut adalah milik seluruh umat Islam, maka perjuangan untuk membebaskannya juga merupakan tanggungjawab bersama. Umat Islam sewajarnya berusaha untuk membatalkan hukuman ini sama ada melalui tekanan politik, ekonomi atau ketenteraan dengan lebih berkesan.

Ustaz Megat Aiman Hakim bin Megat Shariffudin

Pegawai Penyelidik Aqsa Syarif