Kembali
Kenapa HAMAS tidak akan melucutkan senjata?
Megat Aiman Hakim bin Megat Shariffudin
Feb 9, 2026

Baru-baru ini, tersebar berita bahawa seorang tentera IDF mengalami kecederaan di utara Gaza. Pihak IDF melaporkan bahawa Hamas telah melancarkan serangan terhadap mereka dan menyifatkannya sebagai satu bentuk “pelanggaran terang-terangan” terhadap perjanjian gencatan senjata yang telah dipersetujui.
Manakala, respons yang diberikan oleh Hamas pula menolak dakwaan tersebut. Menurut mereka, ia hanyalah “alasan yang rapuh untuk membenarkan penerusan pembunuhan dan pencerobohan terhadap rakyat kami.” Susulan itu, rejim Zionis dilaporkan telah melancarkan beberapa siri serangan di seluruh Gaza dua hari semalam sehingga menyebabkan 24 orang terbunuh.
Sehingga kini, rejim Zionis bukan sahaja tidak memberikan maklumat tentang siapa yang menyerang mereka, malah identiti mangsa juga tidak disebutkan. Satu-satunya sumber berita mengenai kejadian ini hanyalah daripada pihak rejim Zionis.
Barangkali, ini merupakan helah untuk meneruskan pembedilan ke atas Gaza. Mereka tidak mempunyai alasan yang benar-benar kukuh untuk membedil Gaza, maka mereka mencipta naratif dan alasan palsu untuk mewajarkan tindakan mereka. Walhal, tuntutan yang perlu dipenuhi oleh pihak Gaza telah dilaksanakan sepenuhnya, termasuk penyerahan mayat tebusan terakhir yang dijumpai minggu lalu.
Tambahan pula, penduduk Gaza, walaupun berhadapan dengan pembedilan tanpa henti sejak bermulanya gencatan senjata, mula meneruskan kehidupan mereka seperti sebelum berlakunya peperangan. Hospital, sekolah, universiti dan seumpamanya kembali beroperasi walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran dan kekurangan.
Hal ini merunsingkan rejim Zionis. Keadaan tersebut menggambarkan seolah-olah usaha mereka untuk melumpuhkan Gaza sejak dua tahun lalu gagal. Oleh itu, penganalisis melihat bahawa mereka akan terus melanggar perjanjian gencatan senjata walau apa pun yang berlaku, khususnya kerana perbuatan ini juga boleh dijadikan bahan kempen untuk mendapatkan undi penyokong aliran kanan atau Zionisme dalam pilihan raya akan datang.
Perlucutan senjata bermakna bunuh diri
Berbaki satu lagi alasan bagi rejim Zionis untuk terus membedil Gaza, iaitu dakwaan bahawa para pejuang tidak melucutkan senjata. Alasan ini dilihat tidak logik dan tidak mungkin dapat dipenuhi atas beberapa sebab.
Perlucutan senjata bukan sahaja tidak pernah dipersetujui, bahkan ia juga tidak pernah dibentangkan atau dibincangkan dengan pihak Hamas. Bukan itu sahaja, keputusan untuk melucutkan senjata juga tidak dipersetujui secara konsensus (keseluruhan) oleh semua pasukan pejuang di sana. Terdapat dua perkara yang tidak akan dikompromikan oleh pasukan pejuang Palestin kerana ia merupakan tunjang perjuangan mereka:
Senjata
Tanah air Palestin
Sekiranya perlucutan senjata berlaku, ia bermakna tiada lagi jaminan keselamatan untuk Gaza mempertahankan diri. Memang benar, serangan banyak berlaku melalui pesawat tentera udara, tentera laut, artileri dan seumpamanya. Namun, dengan adanya para pejuang bersenjata di darat, tidak mudah untuk pihak musuh menguasai Gaza tanpa menanggung korban nyawa, kecederaan serta kerosakan jentera dan kenderaan tentera yang tinggi di pihak mereka.
Seterusnya, walaupun Gaza telah musnah dan hancur, masih terdapat kira-kira dua juta penduduk di sana. Sudah tentu keadaan ini memerlukan kawalan keselamatan dalaman daripada pihak polis dan tentera. Sekiranya senjata diambil daripada tangan para pejuang tanpa ditawarkan sebarang alternatif, hal ini akan membuka ruang kepada mudarat yang lebih besar kepada masyarakat kerana mereka akan terdedah kepada bahaya seperti perompak, pencuri dan sebagainya.
Tambahan pula, berlaku peningkatan mendadak dalam jumlah anggota masyarakat yang menganggur, kehilangan tempat tinggal, kekurangan makanan dan sebagainya. Semua ini boleh mendorong sebilangan kecil individu untuk melanggar undang-undang tempatan demi kepentingan peribadi. Keadaan ini bukan sahaja berlaku di Gaza, malah di mana-mana tempat di dunia; tiada negara yang seluruh anggota masyarakatnya sempurna.
Kumpulan Abu Syabab dan al-Astal hanya menunggu masa menguasai Gaza
Kepentingan pasukan pejuang memiliki senjata juga adalah untuk melindungi Gaza daripada penguasaan dan serangan kumpulan penjenayah bersenjata yang didakwa ditaja oleh Netanyahu. Antaranya ialah kumpulan Yasir Abu Syabab, Husam al-Astal, Asyraf al-Mansi dan lain-lain.
Mereka didakwa bertanggungjawab membunuh wartawan Salih al-Jafarawi, menyebarkan maklumat penting kepada perisikan musuh, menerima perlindungan dan latihan ketenteraan daripada pihak musuh serta memburu para pejuang di Rafah. Mereka merupakan kumpulan penjenayah yang menunggu peluang untuk menguasai Gaza, namun tidak mampu berbuat demikian kerana ditolak oleh para pejuang dan rakyat sendiri.
Kesimpulan
Keputusan untuk melucutkan senjata seolah-olah akan mematikan isu Palestin, memadamkan mereka daripada peta, dan membantu rejim Zionis mengeluarkan penduduk Palestin dari tanah air mereka. Sekiranya rejim Zionis merupakan entiti yang boleh dipercayai atau boleh dirunding dengan baik, mungkin hal ini tidak menjadi masalah.
Namun, entiti ini dilihat tidak pernah menganggap orang Palestin sebagai manusia yang layak dihormati, apatah lagi untuk diiktiraf. Mereka hanya memahami bahasa kekerasan, dan perkara ini, menurut pandangan tertentu, telah terbukti sepanjang zaman. Berlembut dengan entiti ini diibaratkan seperti menyerahkan leher untuk disembelih.
Ustaz Megat Aiman Hakim bin Megat Shariffudin
Pegawai Penyelidik Aqsa Syarif