Kembali

Kenapa Perang Amerika-Iran Berlaku dan Negara Arab Turut Terlibat Sama?

Ust Megat Aiman Hakim

Mar 4, 2026

Peperangan antara Amerika dan Iran bukanlah sesuatu yang tidak terjangka. Sebelum bermulanya serangan pertama, sejak dua bulan yang lalu Amerika telah memberi ancaman kepada pemimpin dan rakyat Iran untuk menyerah diri, mengumpulkan kekuatan ketenteraan laut dan udara di perairan berhampiran Iran serta menolak segala tawaran perdamaian oleh Iran yang berpotensi mengelakkan peperangan.

Sejak dua bulan lalu juga, nada Donald Trump berubah daripada “ingin menyelamatkan” rakyat Iran sejak bermulanya demonstrasi kepada mahu menukar kepimpinan Iran agar lebih mesra kepada mereka dan tidak menjadi ancaman kepada Amerika serta rejim Zionis.

Selain itu, Amerika juga menuntut Iran membatalkan program penghasilan senjata nuklear dan menyerahkan kekuatan roket balistik yang mampu sampai ke negara rejim Zionis.

Kesemua tuntutan Donald Trump tidak ada kena-mengena dengan kepentingan Amerika Syarikat dan rakyatnya. Bahkan, serangan terhadap Iran juga tidak sah dari segi undang-undang Amerika Syarikat kerana tidak mendapat kelulusan dan kebenaran daripada Kongres.

Justeru, para penganalisis berpendapat satu-satunya sebab Iran mesti dilumpuhkan adalah untuk memberikan keselamatan penuh kepada rakan sekutu utamanya, iaitu rejim Zionis.

Semalam, Setiausaha Amerika Syarikat, Mark Rubio menyebut:

“Kami tahu bahawa akan ada tindakan daripada Israel. Dan kami juga tahu bahawa jika kami tidak bertindak terlebih dahulu terhadap mereka sebelum mereka melancarkan serangan tersebut, kami akan mengalami lebih banyak korban dan mungkin juga jumlah kematian yang lebih tinggi.”

Maksud kata-kata Mark Rubio ini mudah sahaja:
“Kami memasuki perang ini untuk Israel.”

Sudut Pandang Rejim Zionis

Bagi rejim ini, naiknya Donald Trump sebagai presiden adalah peluang keemasan untuk menguatkan kedudukannya sebagai sebuah negara penjajah dan penguasa yang tidak boleh dicabar.

Rejim ini sentiasa berada dalam keadaan perlu menyerang atau akan diserang kerana merasakan dirinya ialah entiti yang dimusuhi oleh negara-negara Arab dan Islam, walaupun ada yang telah mengadakan hubungan diplomatik.

Sebab itu, sepanjang dua tahun yang lalu, rejim ini telah menyerang Syria lebih 1,000 kali selepas kejatuhan Bashar al-Assad; menyerang selatan Lubnan walaupun gencatan senjata telah berkuat kuasa sejak setahun lalu; menyerang Yaman sehingga menyebabkan seluruh ahli kabinet kerajaan terkorban dalam satu malam; menyerang Doha dalam usaha membunuh pimpinan gerakan pejuang; menyerang lautan Tunisia ketika gerakan kapal konvoi laut mula beroperasi; menyerang lautan Malta dengan menyasarkan kapal Freedom Flotilla Coalition; dan terus melakukan pengeboman di Gaza walaupun wilayah itu hampir musnah sepenuhnya.

Jika dengan entiti-entiti kecil seperti ini pun mereka berasa terancam, bagaimana pula dengan Iran yang mempunyai kepimpinan anti-Amerika, anti-Barat dan anti-rejim Zionis; yang memiliki puluhan ribu roket dan peluru berpandu balistik serta kekuatan ketenteraan yang besar?

Tambahan pula, semua ini berlaku ketika Iran berdepan lebih 4,000 sekatan dan hukuman antarabangsa yang dikenakan oleh Amerika.

Oleh itu, bagi rejim penjajah ini, Iran mesti dilumpuhkan. Hari ini Trump yang berusia 79 tahun sedang membantu melakukan perkara tersebut walaupun mengetepikan kepentingan Amerika sendiri. Kenaikan presiden Amerika yang baharu kelak belum tentu akan memberi peluang seperti ini lagi.

Sudut Pandang Iran

Iran pada awalnya bersikap positif dalam rundingan yang diketuai oleh Oman sejak dua bulan yang lalu. Iran menawarkan pelbagai cadangan termasuk membenarkan Amerika melabur dalam Iran serta pengurusan bahan uranium yang berpotensi menghasilkan senjata nuklear.

Bahkan, laporan rasmi daripada Pentagon semalam menyatakan tiada tanda yang menunjukkan Iran mempunyai rancangan untuk menyerang Amerika Syarikat, sekali gus menunjukkan Iran benar-benar menolak peperangan.

Sebaliknya, seperti yang disebutkan oleh Mahjub Alzuwairi, sikap Amerika Syarikat seakan-akan tidak memberi pilihan lain kepada Iran selain menyerah kalah.

Segala usaha yang dilakukan oleh negara-negara Teluk, terutamanya Oman, tidak dihargai. Amerika terus memberi amaran agar Iran menyerahkan roket balistik, membatalkan program senjata nuklear dan menukar kepimpinan kepada yang lebih mesra kepada mereka.

Reaksi Iran terhadap segala ancaman tersebut ialah memberi amaran bahawa perang besar akan berlaku. Ibaratnya, “Jika aku terbakar, semua akan terbakar,” seperti dialog dalam filem The Hunger Games: “If we burn, you burn with us.”

Ini bermakna Iran akan terlebih dahulu membedil rejim Zionis dan seterusnya pangkalan tentera Amerika di negara-negara Teluk.

Para penganalisis juga berpandangan bahawa sekiranya Iran tidak bertindak balas terhadap kekerasan yang berlaku, Amerika dan rejim Zionis tetap akan meneruskan serangan sehingga Iran menjadi “Gaza kedua”.

Oleh itu, apabila Iran membalas serangan terhadap rejim Zionis dan pangkalan tentera Amerika, ia dianggap sebagai mekanisme mempertahankan diri.

Maksudnya, musuh Iran perlu sedar bahawa semakin banyak Iran dibom, semakin banyak juga musuh akan dibom. Apabila kedua-dua pihak menerima balasan setimpal, perkiraan Amerika dan rejim Zionis mungkin berubah sekiranya mereka mengalami kerugian besar seperti yang dialami Iran.

Sejarah juga menunjukkan kedua-dua negara itu tidak mempunyai ketahanan yang tinggi seperti Iran.

Berbeza dengan situasi di Gaza dan selatan Lubnan, antara sebab pengeboman berterusan ke atas dua wilayah tersebut ialah kerana rejim Zionis tidak menerima serangan balas setara seperti yang dilakukan oleh Iran.

Walaupun serangan balas Iran tidak sekuat kekuatan bahan letupan Amerika dan rejim Zionis, laporan menyebut Iran setakat ini hanya menggunakan simpanan roket lama dan belum menggunakan roket terbaharu seperti Khorramshahr-4 yang mempunyai kepala peledak seberat satu tan.

Reaksi Serangan terhadap Negara Teluk

Negara-negara Teluk seperti Arab Saudi, Qatar, Bahrain, Kuwait, Oman dan UAE merupakan sekutu Amerika Syarikat dari segi ekonomi, sosial, politik dan ketenteraan sejak sekian lama.

Namun menjadi sekutu tidak bermakna Amerika wajib memenuhi kehendak mereka seperti mana Amerika memenuhi kemahuan rejim Zionis.

Walaupun negara-negara Teluk tidak mahu peperangan berlaku dan menjadi tuan rumah rundingan antara Iran dan Amerika bagi meredakan ketegangan, kehendak rejim Zionis untuk melihat konflik berlaku menjadi antara sebab peperangan ini sukar dielakkan.

Salah satu sebab Iran melancarkan serangan roket balistik dan dron terhadap negara-negara Teluk ialah hubungan ketenteraan mereka dengan Amerika Syarikat. Negara-negara ini mempunyai 19 pangkalan tentera Amerika yang merangkumi tentera darat, laut dan udara.

Pangkalan tersebut dilengkapi sistem pertahanan udara dan radar bagi mengesan serta menangkis serangan Iran.

Oleh itu, pangkalan tentera ini dianggap ancaman kepada keselamatan Iran, dan Iran melihat dirinya berhak menyerangnya sebagai langkah mempertahankan diri walaupun terpaksa melalui ruang udara negara jiran.

Namun, sekiranya benar laporan bahawa Iran menyerang hotel dan lapangan terbang di UAE tanpa pertimbangan strategik ketenteraan dan hubungan diplomatik, tindakan itu merupakan langkah yang silap kerana akan meningkatkan ketegangan antara negara-negara Teluk dan Iran.

Keadaan di Lapangan

Seperti yang diberi amaran oleh Iran, tindakan telah dilaksanakan. Selat Hormuz disekat sehingga terdapat kapal yang ditembak. Pangkalan tentera Amerika di negara-negara Teluk termasuk Iraq turut dibom. Tel Aviv juga kembali diserang.

Keadaan dalam negara penjajah menjadi huru-hara. Siren dibunyikan tanpa henti, jumlah kematian melebihi 20 orang dan ratusan lagi cedera. Letupan dan pengeboman berlaku di pelbagai lokasi termasuk pangkalan tentera.

Namun, kerugian sebenar jarang didedahkan kerana menjadi amalan mereka menyembunyikan kerugian dan menghukum individu yang menyebarkan visual kemusnahan akibat serangan Iran.

Manakala Iran mengalami kerugian besar dari sudut kepimpinan utama termasuk pemimpin tertinggi Ayatollah Khomeini, menteri pertahanan dan ketua angkatan tentera.

Penduduk awam juga terkesan, termasuk insiden letupan di sebuah sekolah kanak-kanak perempuan yang mengorbankan ramai mangsa serta kemusnahan rumah penduduk dan pejabat polis.

Tujuan serangan terhadap Iran dilihat bukan untuk menyelamatkan rakyatnya, tetapi untuk melumpuhkan keseluruhan negara seperti yang pernah berlaku di Iraq dan Afghanistan.

Penutup

Peperangan sentiasa merugikan semua pihak. Namun kali ini, pihak musuh juga mengalami kerugian besar. Semoga peperangan ini berakhir dengan terhentinya kezaliman terhadap rakyat Palestin.

Beberapa poin penting lain seperti reaksi negara Barat, peranan Mossad dalam memarakkan kemarahan negara-negara Teluk terhadap Iran, perubahan sikap Trump dan reaksi umat Islam akan dibincangkan dalam tulisan akan datang, insya-Allah.

Ustaz Megat Aiman Hakim bin Megat Shariffudin
Pegawai Penyelidik Aqsa Syarif