Kembali
Kenapa Negara-negara Teluk Arab Paling Rugi dan Terasa Dikhianati?
Megat Aiman Hakim
Mar 13, 2026

Amerika sehingga kini masih belum memuktamadkan objektif utamanya dalam perang yang tercetus. Ucapan Donald Trump ketika berbicara berkaitan objektif perang sering berubah-ubah: daripada mahu menamatkan program senjata nuklear dan menghapuskan roket balistik, kemudian bertukar kepada mahu menyelamatkan rakyat Amerika di Asia Barat, dan sekali lagi berubah kepada mahu menukar pentadbiran Iran.
Terkini, apabila harga minyak dunia telah melambung tinggi dan berbilion dolar telah dibelanjakan sedangkan keadaan Iran masih sama seperti sebelum perang, nada Donald Trump seakan-akan mahu menamatkan perang seawal mungkin.
Manakala Iran pula membalas dengan menyatakan bahawa perang tidak akan ditamatkan selagi segala tuntutan mereka belum dipenuhi.
Namun bagi perspektif penyokong Zionis di Amerika, Benjamin Netanyahu dan rakyatnya amat menghargai keputusan Trump. Sejak puluhan tahun, inilah kali pertama muncul seorang presiden Amerika yang sanggup mengebom musuh utama dan paling kuat rejim Zionis dengan menggunakan wang Amerika Syarikat sendiri serta seluruh kekuatan ketenteraan udara dan lautnya.
Pada Januari 2026, Amerika Syarikat meluluskan penjualan senjata bernilai $6.67 bilion kepada Israel, beberapa minggu sebelum melancarkan perang terhadap Iran.
Minggu lalu pula, pentadbiran Trump meluluskan kemungkinan penjualan senjata bernilai $151.8 juta kepada Israel dengan menggunakan kuasa “kecemasan” bagi mengetepikan keperluan semakan oleh Kongres.
Oleh itu, para penganalisis melihat perang ini tidak akan terhenti sehingga mendapat lampu hijau daripada pentadbiran Netanyahu.
Negara Teluk Tersepit di Tengah-tengah Konflik
Namun selain Iran dan seterunya Amerika bersama rejim Zionis, terdapat satu lagi pihak ketiga yang secara geografi berada di tengah-tengah antara dua pihak ini, iaitu negara-negara Teluk, Iraq dan Jordan. Negara-negara Arab ini turut menjadi sasaran serangan daripada Iran sepanjang 12 hari peperangan ini berlangsung.
Sehingga kini, Iran dilaporkan telah melancarkan sekitar 3095 dron dan roket balistik ke arah negara-negara Arab berkaitan. UAE sahaja dilaporkan menerima sekitar 1700 serangan daripada Iran.
Walhal, perang ini jelas berkaitan dua pihak: Iran mempertahankan kedaulatan negaranya daripada serangan Amerika dan rejim Zionis, dan secara langsung tidak berkaitan dengan kepentingan negara-negara Arab.
Namun di negara-negara Arab ini terdapat sekitar 19 pangkalan tentera Amerika, merangkumi tentera laut, udara, darat, sistem pertahanan udara, kemudahan perisikan dan sebagainya. Dengan kata lain, negara-negara Arab menjadi tuan rumah yang menempatkan aset ketenteraan, persenjataan dan perisikan Amerika Syarikat yang bernilai berbilion dolar.
Sepatutnya Amerika melindungi negara-negara Arab ini atas kerjasama yang diberikan.
Namun apa yang berlaku adalah sebaliknya. Segala aset tersebut tidak menjadikan negara-negara Arab selamat daripada serangan.
Bukan itu sahaja, sumber dari Arab Saudi sendiri menyebutkan bahawa sistem pertahanan udara Amerika hanya digunakan untuk mempertahankan rejim Zionis, bukannya Saudi. Ini bermakna serangan yang menyasarkan Saudi tidak diberikan perhatian sepenuhnya untuk ditangkis seperti serangan yang menyasarkan Tel Aviv dan kawasan sekitarnya.
Atas kekecewaan ini, Putera Turki Al-Faisal, seorang diplomat dan ahli politik kanan Arab Saudi, serta Khalaf Al-Habtoor, seorang bilionair dari UAE, telah mengkritik perang ini sebagai “perang Netanyahu.”
Banyak negara Arab juga mengkritik Amerika atas serangan terhadap Iran yang telah menyebabkan ketidakstabilan di rantau Arab. Malah terdapat laporan bahawa beberapa negara Teluk seperti Saudi, Kuwait, Bahrain dan Oman pernah mengadakan perbincangan untuk mempertimbangkan pemutusan hubungan ekonomi dengan Amerika.
Persenjataan dan Pertahanan Udara Lebih Canggih Tidak Diberikan kepada Negara Teluk
Pada tahun lalu, Donald Trump telah mengadakan lawatan diplomatik ke tiga negara Teluk: Saudi, UAE dan Qatar. Laporan mendedahkan jumlah pelaburan yang diberikan oleh negara-negara Teluk tersebut mencecah sekitar dua trilion dolar Amerika.
Sebagai timbal balas, Amerika akan memberikan akses dan perlindungan ketenteraan termasuk pembelian senjata Amerika, latihan tentera dan sistem pertahanan udara.
Namun baru-baru ini laporan daripada TRT World mendedahkan bahawa walaupun negara-negara Teluk telah memberikan sejumlah wang yang besar kepada Amerika demi keselamatan mereka, masih wujud hierarki persenjataan yang bertujuan mengutamakan rejim Zionis berbanding negara lain.
Sehubungan itu, sistem pertahanan udara yang diberikan kepada negara-negara Teluk tidak secanggih yang diberikan kepada rejim Zionis.
Sebagai contoh, sistem Iron Dome, David’s Sling dan Arrow hanya boleh diakses oleh rejim Zionis, manakala negara-negara Teluk hanya diberikan sistem Patriot dan THAAD.
Itupun, seperti yang disebutkan sebelum ini, sistem tersebut sering digunakan untuk melindungi Israel daripada serangan roket.
Begitu juga dengan pesawat pejuang. Negara-negara Teluk mendapat akses penuh kepada pesawat F-15, manakala UAE mendapat F-16. Namun tiada negara Teluk yang diberikan akses penuh kepada pesawat pejuang F-35, iaitu pesawat paling maju dengan teknologi pengesanan yang sangat canggih.
Kenapa Hierarki Ini Wujud?
Tujuan hierarki ini adalah untuk memastikan rejim Zionis kekal lebih kuat daripada semua negara lain di rantau Asia Barat.
Negara-negara Islam, walaupun pemimpin mereka hari ini menunjukkan kesetiaan penuh kepada pentadbiran Amerika, tetap tidak dapat menjamin bahawa generasi pemimpin yang akan datang akan terus berada dalam arah dan sokongan yang sama.
Sebagai contoh, Mesir pernah diperintah oleh Hosni Mubarak selama hampir 30 tahun. Pemerintahannya mesra terhadap polisi rejim Zionis dan Amerika, namun akhirnya tumbang akibat desakan rakyat pada tahun 2011.
Perkara yang paling membimbangkan dunia Barat ketika itu ialah pengganti beliau ialah Dr Mohamed Mursi, seorang anggota Ikhwan Muslimin. Pada zaman beliau jugalah pintu sempadan Rafah dibuka sepenuhnya. Seolah-olah sebahagian daripada geografi Gaza telah bebas daripada sekatan selama 16 bulan di bawah pentadbiran beliau.
Contoh lain ialah Raja Faisal, yang juga menjadi kebimbangan dunia Barat kerana prinsip dan perjuangannya. Baginda pernah menyampaikan ucapan berbentuk seruan jihad kepada seluruh umat Islam untuk memerdekakan Palestin.
Baginda berkata:
مَاذَا نَنْتَظِرُ؟ هَلْ نَنْتَظِرُ الضَّمِيرَ الْعَالَمِيَّ؟ أَيْنَ هُوَ هَذَا الضَّمِيرُ؟ إِنَّ الْقُدْسَ الشَّرِيفَ يُنَادِيكُمْ وَيَسْتَغِيثُكُمْ لِتُنْقِذُوهُ مِنْ مِحْنَتِهِ وَمِمَّا ابْتُلِيَ بِهِ، فَمَاذَا يُخِيفُنَا؟ هَلْ نَخْشَى الْمَوْتَ؟ وَهَلْ هُنَاكَ مَوْتَةٌ أَفْضَلُ وَأَكْرَمُ مِنْ أَنْ يَمُوتَ الْإِنْسَانُ مُجَاهِدًا فِي سَبِيلِ اللَّهِ؟
“Apa yang kita tunggu lagi? Adakah kita menunggu hati nurani dunia? Di manakah hati nurani itu?
Sesungguhnya Al-Quds sedang memanggil kamu dan memohon pertolongan agar kamu menyelamatkannya daripada penderitaan yang menimpanya.
Apakah yang kita takutkan? Adakah kita takut kepada kematian? Dan adakah kematian yang lebih mulia daripada seseorang mati sebagai pejuang di jalan Allah?”
Baginda bukan sekadar bercakap, tetapi bertindak. Baginda telah melaksanakan embargo minyak terhadap dunia Barat sebagai tanda sokongan kepada perjuangan Palestin sehingga akhirnya baginda dibunuh.
Kesyahidan baginda juga merupakan sesuatu yang pernah beliau doakan dalam ucapannya:
فَإِنِّي أَدْعُو اللّٰهَ مُخْلِصًا إِذَا لَمْ يُكْتَبْ لَنَا الْجِهَادُ وَتَخْلِيصُ هَذِهِ الْمُقَدَّسَاتِ أَلَّا يُبْقِيَنِي لَحْظَةً وَاحِدَةً
“Sesungguhnya aku berdoa kepada Allah dengan penuh keikhlasan: jika tidak ditakdirkan bagi kami untuk berjihad dan membebaskan tempat-tempat suci ini, maka janganlah Engkau biarkan aku hidup walaupun sesaat.”
Semoga Allah menerima kesyahidan para pemimpin dunia Islam seperti Dr Mursi dan Raja Faisal yang telah membuktikan kepada umat ini erti perjuangan hingga ke akhir hayat.
Penutup
Sesungguhnya konflik perang yang sedang berlaku perlu dipelajari oleh umat Islam dari semua sudut.
Dari sudut akidah, pentadbiran Iran sememangnya mempunyai banyak perkara yang ditolak, dan sejarah hitamnya di Syria, Iraq dan Yaman juga tidak boleh dilupakan.
Namun kita juga perlu jujur bahawa Iran bukanlah satu-satunya sasaran. Selepas negara Farsi ini, negara-negara Sunni pula berpotensi menjadi sasaran seterusnya.
Perkara ini pernah disebut oleh Netanyahu sebulan sebelum tercetusnya peperangan dan hari ini disebutkan lagi bahawa musuh utama entiti penjajah adalah Sunni dan Syiah kedua-duanya. Wakil Amerika juga beberapa minggu sebelumnya memberi bayangan sokongan sekiranya Netanyahu mahu mengambil langkah seterusnya untuk menjayakan projek Israel Raya.
Kini adalah masa untuk bertindak secara menyeluruh demi perjuangan Al-Quds dan maruah agama.
Ustaz Megat Aiman Hakim bin Megat Shariffudin
Pegawai Penyelidik Aqsa Syarif