Kembali
Kemerdekaan Sebenar Adalah Bebasnya Dunia daripada Pemerintahan yang Zalim
Ustaz Megat Aiman Hakim bin Megat Shariffudin
Sep 2, 2026

𝐍𝐚𝐛𝐢 𝐌𝐮𝐡𝐚𝐦𝐦𝐚𝐝 𝐒𝐀𝐖 𝐦𝐞𝐧𝐠𝐢𝐬𝐲𝐭𝐢𝐡𝐚𝐫𝐤𝐚𝐧 𝐩𝐞𝐫𝐚𝐧𝐠 𝐚𝐭𝐚𝐬 𝐤𝐞𝐦𝐚𝐭𝐢𝐚𝐧 𝐬𝐚𝐭𝐮 𝐧𝐲𝐚𝐰𝐚
Ketika Rasulullah SAW bersama para sahabat sedang menunggu Sayyidina ‘Uthman RA berunding dengan pihak Musyrikin Mekah bagi membolehkan baginda dan seramai 1,400 orang sahabat menunaikan umrah di Mekah, sampailah kepada baginda sebuah berita yang menyebabkan baginda sangat marah.
Berita tersebut mengesahkan bahawa Sayyidina ‘Uthman RA telah dibunuh oleh pihak Musyrikin Mekah.
Nabi Muhammad SAW mengisytiharkan perang terhadap pihak Musyrikin sebagai tanda membalas kematian Sayyidina ‘Uthman RA.
Sabda Baginda SAW:
لن نبرح حتى نناجز القوم
“Kami tidak akan berganjak sehingga kami memerangi kaum itu (Musyrikin Quraisy).”
Sambung hadis berkaitan peristiwa ini lagi:
فدعا رسول الله صلى الله عليه وسلم الناس إلى البيعة
Lalu Rasulullah SAW menyeru orang ramai untuk melakukan bai‘ah (ikrar taat setia).
فكانت بيعة الرضوان تحت الشجرة، فكان الناس يقولون
Maka berlakulah Bai‘ah al-Ridhwan di bawah pokok. Ketika itu, orang ramai berkata:
بايعهم رسول الله صلى الله عليه وسلم على الموت
“Rasulullah SAW mengambil bai‘ah daripada mereka untuk mati (di jalan perjuangan).”
Bermakna, mereka berikrar kepada Rasulullah SAW untuk tidak berundur dan tetap teguh menghadapi musuh walaupun sehingga mengorbankan nyawa.
Allah SWT mengakui akan perjanjian ini dan memuliakannya.
Firman Allah SWT:
۞ لَّقَدْ رَضِىَ ٱللَّهُ عَنِ ٱلْمُؤْمِنِينَ إِذْ يُبَايِعُونَكَ تَحْتَ ٱلشَّجَرَةِ فَعَلِمَ مَا فِى قُلُوبِهِمْ فَأَنزَلَ ٱلسَّكِينَةَ عَلَيْهِمْ وَأَثَـٰبَهُمْ فَتْحًۭا قَرِيبًۭا
“Demi sesungguhnya! Allah reda akan orang-orang yang beriman, ketika mereka memberikan pengakuan taat setia kepadamu (wahai Muhammad) di bawah naungan pohon (yang termaklum di Hudaibiyah);
maka (dengan itu) ternyata apa yang sedia diketahui-Nya tentang (kebenaran iman dan taat setia) yang ada dalam hati mereka, lalu Ia menurunkan semangat tenang tenteram kepada mereka, dan membalas mereka dengan kemenangan yang dekat masa datangnya.”
(Surah al-Fath, ayat 18)
Itulah agungnya nyawa seorang Muslim di sisi Rasulullah SAW. Baginda sanggup mengambil ikrar taat setia daripada 1,400 orang sahabat untuk berperang demi nyawa seorang Muslim.
Sabda SAW dalam sebuah hadis yang lain:
لزوالُ الدنيا أهونُ على اللهِ مِنْ قتلِ رجلٍ مسلمٍ
“Sesungguhnya lenyapnya dunia lebih ringan di sisi Allah daripada membunuh seorang Muslim.”
(Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan disahihkan oleh al-Albani.)
Bermakna, segala apa yang ada di dunia ini, segala ciptaan Allah SWT daripada setinggi-tinggi langit sehinggalah sedalam-dalam bumi, nyawa seorang Muslim lebih tinggi nilainya di sisi Allah SWT.
𝐍𝐲𝐚𝐰𝐚 𝐒𝐞𝐨𝐫𝐚𝐧𝐠 𝐌𝐮𝐤𝐦𝐢𝐧 𝐋𝐞𝐛𝐢𝐡 𝐀𝐠𝐮𝐧𝐠 𝐝𝐚𝐫𝐢𝐩𝐚𝐝𝐚 𝐊𝐚𝐚𝐛𝐚𝐡
Malah, dalam sebuah hadis yang lain, Nabi Muhammad SAW mengakui keagungan Kaabah di sisi Allah SWT:
رأيتُ رسولَ اللهِ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ يطوفُ بالكعبةِ وهوَ يقولُ ما أطيبَكِ وأطيبَ ريحَكِ ما أعظمَكِ وأعظمَ حرمَتَكِ والذي نفسُ محمدٍ بيدِهِ لحُرمةُ المؤمنِ أعظمُ حُرمةً عِندَ اللهِ مِنكِ مالُهُ ودمُهُ وأنْ يُظنَّ بهِ إلا خيرًا
“Aku melihat Rasulullah ﷺ melakukan tawaf di Kaabah, lalu Baginda bersabda:
‘Alangkah baiknya engkau dan alangkah harumnya bau engkau. Alangkah agungnya engkau dan alangkah agungnya kehormatanmu.
Demi Tuhan yang jiwa Muhammad berada di tangan-Nya, sesungguhnya kehormatan seorang Mukmin di sisi Allah lebih besar daripada kehormatanmu; begitu juga harta dan darahnya.
Dan kita hendaklah tidak menyangka terhadapnya kecuali dengan sangkaan yang baik.”
(Dikeluarkan oleh Ibn Majah dan al-Tabarani serta dinilai sahih oleh al-Albani.)
Kaabah merupakan masjid pertama yang dibina di atas bumi Allah SWT. Ia menjadi kiblat kepada seluruh umat Islam yang berjumlah dua bilion orang dan menjadi pintu keberkatan serta hidayah bagi sekalian alam.
Firman Allah SWT:
إِنَّ أَوَّلَ بَيْتٍ وُضِعَ لِلنَّاسِ لَلَّذِي بِبَكَّةَ مُبَارَكًا وَهُدًى لِلْعَالَمِينَ
“Sesungguhnya Rumah Ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah yang di Makkah yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat manusia.”
Namun di sisi Allah SWT, nyawa seorang hamba yang beriman dan mengakui ketuhanan Allah SWT juga mempunyai nilai dan kehormatan yang sangat tinggi daripada rumah Allah, Kaabah.
Kaabah boleh runtuh akibat banjir, hujan lebat atau gempa bumi, dan selepas itu ia boleh dibina semula dengan binaan yang sama atau lebih baik.
Tetapi nyawa seorang Muslim di sisi Allah SWT berbeza.
Setiap roh yang ditiupkan sehingga menjadi seorang manusia yang beriman kepada Allah SWT diangkat kedudukannya tanpa mengira warna kulit, sama ada hitam atau putih, bangsa mahupun bahasa.
Firman Allah SWT:
وَلِلَّهِ ٱلْعِزَّةُ وَلِرَسُولِهِۦ وَلِلْمُؤْمِنِينَ وَلَـٰكِنَّ ٱلْمُنَـٰفِقِينَ لَا يَعْلَمُونَ
“Padahal bagi Allah jualah kemuliaan dan kekuatan itu dan bagi Rasul-Nya serta bagi orang-orang yang beriman; akan tetapi golongan yang munafik itu tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).”
(Surah al-Munafiqun, ayat 8)
𝐒𝐞𝐣𝐚𝐮𝐡 𝐌𝐚𝐧𝐚𝐤𝐚𝐡 𝐔𝐦𝐚𝐭 𝐈𝐬𝐥𝐚𝐦 𝐌𝐞𝐦𝐞𝐧𝐭𝐢𝐧𝐠𝐤𝐚𝐧 𝐍𝐲𝐚𝐰𝐚 𝐔𝐦𝐚𝐭 𝐈𝐬𝐥𝐚𝐦?
Daripada penerangan al-Quran dan al-Sunnah di atas, menyelamatkan dan membela nyawa umat Islam adalah suatu perkara yang tidak boleh ditinggalkan walau dalam apa keadaan sekalipun.
Ia merupakan kewajipan yang telah digalas oleh Rasulullah SAW sepanjang hayat baginda.
Apa yang berlaku di Palestin hari ini ialah penyembelihan penduduk Palestin yang berlaku setiap hari. Tanah yang diberkati dan disucikan, Baitul Maqdis, terus dirampas, manakala maruah Islam digadai dengan pencerobohan pendatang haram Yahudi terhadap Masjid al-Aqsa.
Dalam masa yang sama, sebahagian umat Islam dalam kalangan pemimpin terus mengadakan kerjasama dengan rejim penjajah.
Masyarakat Islam pula masih jahil tentang asas-asas ajaran Islam. Negara-negara Islam yang berjumlah 57 buah terus meninggalkan Gaza walaupun memiliki kekayaan ekonomi, kekuatan persenjataan dan jumlah penduduk yang mencecah dua bilion manusia.
𝐔𝐦𝐚𝐭 𝐈𝐬𝐥𝐚𝐦 𝐒𝐞𝐩𝐞𝐫𝐭𝐢 𝐁𝐮𝐢𝐡
Rasulullah SAW yang kita semua sayangi sebenarnya telah menggambarkan keadaan ini dalam sebuah hadis yang seakan-akan memberikan gambaran secara keseluruhan tentang apa yang berlaku:
Daripada Thawban RA, Rasulullah ﷺ bersabda:
يُوشِكُ الأُمَمُ أَنْ تَدَاعَى عَلَيْكُمْ كَمَا تَدَاعَى الأَكَلَةُ إِلَى قَصْعَتِهَا
“Hampir tiba masanya bangsa-bangsa akan menyerbu kamu sebagaimana orang-orang yang makan mengerumuni hidangan mereka.”
Para sahabat bertanya:
أَوَمِنْ قِلَّةٍ نَحْنُ يَوْمَئِذٍ؟
“Adakah kerana jumlah kami sedikit pada ketika itu?”
Baginda ﷺ menjawab:
بَلْ أَنْتُمْ يَوْمَئِذٍ كَثِيرٌ، وَلَكِنَّكُمْ غُثَاءٌ كَغُثَاءِ السَّيْلِ
“Bahkan kamu pada ketika itu ramai, tetapi kamu seperti ghuthā’ (buih/ampas) yang dibawa oleh arus banjir.”
Kemudian Rasulullah ﷺ bersabda:
وَلَيَقْذِفَنَّ اللَّهُ فِي قُلُوبِكُمُ الْوَهَنَ
“Dan Allah akan mencampakkan wahan ke dalam hati kamu.”
Mereka bertanya:
وَمَا الْوَهَنُ؟
“Apakah wahan itu?”
Baginda ﷺ menjawab:
حُبُّ الدُّنْيَا وَكَرَاهِيَةُ الْمَوْتِ
“Cinta kepada dunia dan benci kepada kematian.”
Hadis ini membenarkan realiti yang sedang berlaku:
𝟭. 𝗨𝗺𝗮𝘁 𝗜𝘀𝗹𝗮𝗺 𝘀𝗮𝗻𝗴𝗮𝘁 𝗿𝗮𝗺𝗮𝗶.
Sehingga para sahabat sukar untuk menggambarkan keadaan tersebut kerana ketika hadis ini disampaikan, umat Islam masih sangat sedikit.
𝟮. 𝗗𝗮𝗹𝗮𝗺 𝗸𝗲𝗮𝗱𝗮𝗮𝗻 𝗿𝗮𝗺𝗮𝗶 𝘀𝗲𝗽𝗲𝗿𝘁𝗶 𝗶𝘁𝘂 𝗽𝘂𝗻, 𝘂𝗺𝗮𝘁 𝗜𝘀𝗹𝗮𝗺 𝘁𝗶𝗮𝗱𝗮 𝗸𝗲𝗸𝘂𝗮𝘁𝗮𝗻 𝗱𝗮𝗻 𝗹𝗲𝗺𝗮𝗵 𝗱𝗶 𝗺𝗮𝘁𝗮 𝗺𝘂𝘀𝘂𝗵.
Sehingga digambarkan dalam hadis ini:
“Bangsa-bangsa akan menyerbu kamu sebagaimana orang-orang yang makan mengerumuni hidangan mereka.”
Seakan-akan umat Islam amat lemah sehingga diibaratkan hanya sebagai hidangan makanan. Apa sahaja yang musuh mahukan daripada umat Islam, semuanya telah terhidang.
Maksudnya, kelebihan dan kekuatan geografi, ekonomi, sumber alam dan sebagainya yang ada dalam negara-negara Islam dimanfaatkan oleh musuh Islam untuk kepentingan mereka dan bagi memerangi sebahagian umat Islam sendiri yang lemah.
𝟯. 𝗦𝗲𝗺𝘂𝗮 𝗶𝗻𝗶 𝗯𝗲𝗿𝗹𝗮𝗸𝘂 𝗱𝗶𝘀𝗲𝗯𝗮𝗯𝗸𝗮𝗻 𝘁𝗶𝗮𝗱𝗮𝗻𝘆𝗮 𝗽𝗲𝗴𝗮𝗻𝗴𝗮𝗻 𝗮𝗴𝗮𝗺𝗮 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝗸𝘂𝗮𝘁.
Maka syaitan memenuhi kekosongan dalam hati umat Islam dengan kecintaan terhadap dunia, termasuk harta, wanita, kuasa dan sebagainya.
Apabila hati seseorang manusia telah dikuasai oleh dunia, ia melahirkan ketakutan terhadap kematian.
Seakan-akan kematian merupakan penghujung kepada segala kehidupan yang sedang dinikmati sekarang. Tiada syurga, neraka, alam barzakh dan hari kiamat.
𝐊𝐞𝐦𝐞𝐫𝐝𝐞𝐤𝐚𝐚𝐧 𝐒𝐞𝐛𝐞𝐧𝐚𝐫 𝐀𝐝𝐚𝐥𝐚𝐡 𝐁𝐞𝐛𝐚𝐬𝐧𝐲𝐚 𝐃𝐮𝐧𝐢𝐚 𝐝𝐚𝐫𝐢𝐩𝐚𝐝𝐚 𝐏𝐞𝐦𝐞𝐫𝐢𝐧𝐭𝐚𝐡𝐚𝐧 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐙𝐚𝐥𝐢𝐦
Bersempena dengan Hari Kemerdekaan, amat wajar untuk kita memikirkan semula erti kemerdekaan tanah air dari sudut pandang Rasulullah SAW.
Sekiranya baginda hanya memikirkan kemerdekaan tanah airnya sendiri, cukuplah baginda memerdekakan Mekah daripada penguasaan Musyrikin Quraisy.
Tetapi selepas Mekah dan Madinah, baginda sendiri menghantar ramai sahabat ke utara, timur, barat dan selatan, keluar dari benua Arab untuk meluaskan Islam dan mengalahkan kuasa kezaliman.
Semua ini disebabkan kemerdekaan yang sebenar ialah apabila umat Islam bebas daripada pemerintahan yang zalim dan Islam dapat didakwahkan ke seluruh alam.
Firman Allah SWT:
وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ
“Tidaklah Kami mengutuskan engkau melainkan menjadi rahmat bagi seluruh alam.”
Ayat di atas menjadi isyarat kepada kewajipan Rasulullah SAW untuk menyebarkan rahmat kepada seluruh dunia. Bukan hanya untuk tanah airnya, yakni Mekah atau Madinah, tetapi seluruh dunia, termasuk orang Islam dan bukan Islam daripada pelbagai bahasa dan bangsa.
Seterusnya, Islam tidak akan dapat menyebarkan rahmatnya selagi masih ada penguasa yang zalim berkuasa. Dakwah tetap digunakan dalam situasi tertentu, namun penentangan secara keras dan tegas juga digunakan dalam keadaan yang sesuai.
Baginda SAW sendiri terlibat dalam berpuluh-puluh operasi bersenjata dalam menghadapi musuh sepanjang hidup baginda SAW.
Tiada masalah untuk meraikan Hari Kemerdekaan Malaysia dengan penuh semangat patriotik dan kecintaan kepada tanah air setelah bebas daripada penjajahan British.
Namun, dalam masa yang sama, perlu diingati bahawa tanggungjawab untuk membebaskan umat Islam di negara lain seperti Palestin masih perlu digalas sebagai tanda Muslim yang taat kepada perintah al-Quran dan al-Sunnah.
Semoga pada tahun-tahun akan datang, Malaysia dapat menyambut kemerdekaan bersama-sama dengan Palestin.