Kembali
Kekuatan Iran, Hizbullah di luar jangkaan musuh
Megat Aiman Hakim bin Megat Shariffudin
Apr 3, 2026

Kini perang antara Amerika terhadap Iran telah pun memasuki minggu kelima sejak tercetusnya perang pada 28 Febuari lalu. Peperangan ini benar-benar merupakan pertempuran dua kuasa besar di rantau Asia Barat sejak bermulanya Taufan al-Aqsa pada 7 Oktober 2023. Ia bukan lagi perangan entiti kecil seperti al-Qassam (Gaza), Hizbullah (Selatan Lubnan) dan Ansarullah (Yaman), tetapi sebuah negara yang mempunyai kelebihan geografi, persenjataan, ketenteraan, ekonomi dan rakyat yang ramai.
Kekuatan Iran di luar jangkaan
Jelas bahawa Donald Trump memulakan peperangan ini dengan anggapan bahawa Amerika bersama sekutunya rejim Zionis akan menang dengan mudah. Ini mengambil kira kemenangan Amerika melumpuhkan Venenzula dengan operasi yang mengambil 30 minit sahaja dan Amerika pula satu-satunya negara yang mempunyai bajet ketenteraan dan pertahanan paling besar di dunia iaitu sekitar 900 bilion dolar Amerika.
Namun, sehingga ke saat ini, Iran masih mampu melepaskan ribuan roket balistik dan drone, bukan sahaja menyasarkan negara haram Zionis, tetapi tujuh buah negara Islam berdekatannya yang masih membenarkan kepentingan ketenteraan, perisikan dan persenjataan Amerika Syarikat bertapak di tanah air mereka.
Dron Shahed, Mimpi Ngeri Musuh Iran
Memasuki minggu kelima, Iran telah melancarkan lebih 90 gelombang serangan, walaupun jumlah roket dan dron Iran semakin berkurangan, namun ketepatan sasaran semakin tinggi. Hal ini kerana jumlah peluru yang boleh menangkis serangan seperti THAAD (Terminal High Altitude Area Defense), PATRIOT, David’s Sling, Arrow dan Iron Drone turut kehausan.
Ia disebabkan jumlah roket dan dron dari Iran ditembak secara bertubi-tubi dalam tempoh yang sama, manakala peluru roket untuk menangkis serangan Iran pula terlalu mahal dan jumlahnya turut terhad. Sebagai contoh, untuk menangkis sebuah dron Syahid sahaja memerlukan dua atau tiga roket penangkis daripada sistem pertahanan THAAD. Sedangkan dron Syahid hanya bernilai 50, 000 dolar Amerika Syarikat manakala sebuah peluru roket penangkis bernilai lebih satu juta dolar Amerika Syarikat.
Bermakna, untuk menangkis serangan bernilah 50,000 dolar Amerika Syarikat memerlukan lebih tiga juta dolar Amerika Syarikat, itu pun belum tentu berjaya. Malah pada 2 March lalu, radar sistem pertahanan THAAD itu sendiri yang bertapak di UAE (Emeriah Arab Bersatu) diletupkan oleh Dron Syahid.
Iran menumbangkan Jet Pejuang Amerika Syarikat berteknologi tinggi
Termasuk antara kejayaan besar Iran adalah dengan menyasarkan serangan terhadap jet pejuang yang paling digeruni dan direbutkan iaitu F-35. Jet pejuang ini bukan sekadar jet pejuang biasa, Saudi jika mahu jet ini pun mesti mengadakan hubungan diplomatik dengan rejim Zionis dan tiada satu pun negara Arab lagi yang dapat penguasaan penuh terhadap jet pejuang F-35 ini.
Jet pejuang ini bahkan digelar “Sky Gost” dan kononnya tidak terlihat di langit kerana terlalu laju dan tiada teknologi musuh yang boleh mengesaninya dengan mudah. Namun, perang kali ini menunjukkan ia tumbang juga dengan sebuah negara yang lumpuh ekonominya, disekat dan dihukum oleh Amerika Syarikat dan masyarakat antarabangsa selama 50 tahun lamanya.
Sehingga hari ini belum jelas bagaimana Iran melakukan perkara tersebut, ada yang berpendapat dengan menggunakan sistem pertahanan yang dibantu oleh China. Namun, baru-baru sebuah lagi jet pejuang Amerika Syarikat F-18 turut diserang oleh sistem pertahanan udara Iran membuktikan negara ini benar-benar boleh mempertahankan udaranya walaupun tidak sempurna.
Sebuah roket menghasil 80 roket kecil di atas langit
Iran turut menggunakan roket yang tidak pernah digunakan seperti roket Insyitari, Khaibar, Sijjil dan pelbagai lagi. Roket-roket ini mampu untuk melalui ruangan udara sejauh 1500 sehingga 2000 kilometer dengan laju tanpa ditangkis oleh sistem pertahanan udara dan panjangnya pula sekitar 10-20 meter.
Visual yang biasa dilihat sebilangan besar roket kecil (submunisi) sedang menyasarkan Tel Aviv dan lokasi-lokasi lain, itu adalah roket Insyitari yang dikatakan mampu menghasil sekitar 24 sehingga 80 buah roket kecil pula.
Selat Hormuz, senjata paling menyengat Iran
Barang kali serangan Iran paling kuat dan memberi kesan adalah Selat Hormuz. Iran telah beri amaran bahawa selat ini akan ditutup jika berlaku serangan ke atas tanah airnya diserang dan amaran tersebut telah dilaksanakan. Selat ini merupakan laluan kepada kepada 30% minyak di seluruh dunia. Tambahan, banyak negara mempunyai kebergantungan yang tinggi terhadap minyak yang melalui Selat Hormuz, sebagai contoh Pakistan (81%), Jepun (57%), Thailand (56%), Korea Selatan (55%), India (50%) dan Malaysia turut 50%.
Sekatan ini bertujuan memberikan tekanan di perinhgkat global untuk menghentikan Amerika Syarikat daripada menyerang Iran. Sebab itu, negara yang masih memihak kepada Amerika Syarikat tidak mendapat kebenaran untuk melalui lautan Hormuz, manakala negara yang menyokong pendirian Iran mempertahankan dirinya mendapat kebenaran dan Malaysia termasuk antara negara dibenarkan tersebut.
Namun kesan sekatan Hormuz ini secara umumnya telah memberikan tekanan ekonomi di peringkat global. Harga minyak melonjak naik sehingga 120$ setong, harga petrol di banyak negara meningkat secara mendadak dan begitu juga kos elektrik, logistik dan seumpamanya. Serangan ini amat efektif sehingga dunia terpaksa memihak kepada Iran, termasuk sekutu Amerika Syarikat di Eropah sekalipun dengan tidak menyahut seruan Trump untuk menyelamatkan selat Hormuz daripada sekatan Iran.
Namun semua ini kerana hanya disebabkan nilai ekonomi dunia terjejas. Bahkan Amerika Syarikat pun seakan-akan memahukan perang ini berakhir tanpa berunding pun Iran akibat tekanan global. Sekiranya Iran tidak menggunakan selat Hormuz ini untuk menekan seluruh dunia, kemungkinan Iran akan ditinggalkan seorang diri seperti saudara-saudara kita Gaza sehingga hari ini masih dibedil tanpa henti. Jelas bahawa nilai kemanusiaan, kebebasan dan hak wanita yang dicanangkan oleh dunia barat selama ini hanya berkait kepentingan mereka, jika tidak, maka sedikit pun tidak dibela.
100 serangan setiap hari Hizbullah
Selama 15 bulan sejak termeterainya gencatan senjata antara Hizbullah dan kerajaan haram Zionis, selatan Lubnan tidak pernah berhenti dibom setiap hari. Serangan turut berlaku di kawasan Beirut yang tiada kaitan dengan kegiatan Hizbullah. Ramai penganalisis berpendapat Hizbullah telah kalah dan kehabisan tenaga untuk bertempur sama ada jarak dekat atau jauh dengan rejim Zionis.
Namun, apabila tercetus peperangan pada 28 Febuari, Hizbullah telah menunjukkan kejutan di luar jangkaan rejim Zionis dan Amerika Syarikat. Mereka mampu untuk menyasarkan serangan secara bertubi-tubi menyasarkan penempatan haram Yahudi dan kem-kem tentera IDF di kawasan utara.
Serangan mereka juga membantu sasaran serangan Iran kerana ia dilepaskan pada waktu yang sama, ini menyukarkan sistem pertahanan udara untuk berfungsi secara efektif kerana serangan dilancarkan secara bertubi-tubi dari dua arah berbeza pada masa yang sama. Serangan darat juga dilakukan termasuk menyasarkan serangan terhadap kereta kebal mengakibatkan sekarang ini lebih 10 kereta kebal merkava telah dimusnahkan dan radar tentera IDF berdekatan turut menjadi sasaran.
Pada 26 Mac, dilaporkan Hizbullah berjaya menyasarkan sebanyak 600 serangan termasuk dengan menggunakan roket, dron dan mortar menyasarkan tentera IDF yang cuba menceroboh selatan Lubnan. Sekiranya tentera IDF telah menguasai sepenuh selatan Lubnan, amat mustahil untuk mereka berundur semula dan pentabiran Netanyahu juga telah memaklumkan bahawa perang di Lubnan tidak akan berakhir walaupun telah berlaku gencatan senjata bersama Iran dan Amerika.
Hal ini memberi isyarat bahawa perang terhadap Lubnan adalah kekal dan ia akan berakhir sebagai bentuk penjajahan baru seperti yang sedang berlaku pada 52% tanah Gaza yang kini dikuasai oleh IDF dan kumpulan pembelot penjenayah seperti kumpulan Yasir Abu Syabab. Minda penjajah rejim Zionis sejak tertubuhnya ia pada tahun 1948 tidak akan bermudah-mudah untuk berundur dari tanah jajahan melainkan dengan cara ketenteraan, tekanan antarabangsa atau kuasa besar.
Apa Kesudahan?
Trump berulang kali menyatakan wakil Iran sedang berunding untuk mendapatkan gencatan senjata, walhal, ribuan tentera Amerika kini sedang bersiap untuk melakukan operasi di darat. Sasaran pertama untuk memulakan operasi ini di atas pulau Kharg yang merupakan sumber kepada 90% minyak Iran yang dieksport ke negara sekutunya. Insya Allah kemungkinan operasi darat akan dihurai dalam tulisan yang berikutnya.
Tambahan daripada itu, serangan terhadap rakyat Iran secara umumnya juga tidak terhenti termasuk sekolah, hospital dan sebagainya menyebabkan hampir 2,000 orang syahid dan 24,800 orang alami kecederaan. Sebab itu, Iran meletakkan lima syarat untuk menghentikan peperangan yang sedang berlaku:
1) Penghentian penuh "Pencerobohan dan Pembunuhan" daripada Amerika.
2) Perlu dipastikan adanya jaminan di masa hadapan untuk tidak berlaku lagi serangan terhadap Iran.
3) Bayaran ganti rugi perang bagi membaiki kerosakan infrastruktur yang dialami Iran.
4) Peperangan mesti dihentikan di semua medan tempur melibatkan semua kumpulan pejuang di seluruh rantau Timur Tengah.
5) Pengiktirafan antarabangsa dan jaminan mengenai hak berdaulat Iran untuk melaksanakan kuasa serta kawalan sepenuhnya ke atas Selat Hormuz sebagai prasyarat pelaksanaan komitmen keamanan.
Semoga apa sahaja yang pada episod yang akan datang memberikan kebaikan dan hikmah yang lebih buat ummah.
Ustaz Megat Aiman Hakim bin Megat Shariffudin
Pegawai Penyelidik Aqsa Syarif