Kembali
Keistimewaan Palestin Dalam Islam
Asiyah Hanisah
Jul 30, 2025

Bumi Palestin bukan sekadar wilayah bergolak dalam peta dunia moden, tetapi ia merupakan tanah yang sangat istimewa dalam hati umat Islam. Faktor utama yang menjadikan Palestin, khususnya Baitulmaqdis, sebagai tanah yang diberkati dan agung menurut perspektif Islam adalah:
Masjid Al-Aqsa Terletak di Palestin
Masjid al-Aqsa yang terletak di Palestin ialah masjid ketiga paling suci dalam Islam selepas Masjidil Haram dan Masjid Nabawi. Ia menjadi kiblat pertama umat Islam sebelum arah kiblat dipindahkan ke Kaabah di Mekah. Kewujudan Masjid al-Aqsa di bumi Palestin menjadikan tanah ini memiliki kedudukan yang sangat tinggi.
Disebut Secara Jelas dalam Al-Quran
Al-Quran menyebut dengan jelas keberkatan bumi Palestin dalam Surah al-Isra’, ayat 1: "Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram (Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya." Ayat ini menunjukkan keistimewaan Palestin sebagai titik penting dalam perjalanan malam Rasulullah SAW.
Palestin Adalah Bumi yang Suci
Allah SWT merujuk Palestin sebagai al-ard al-muqaddasah (bumi yang disucikan) dalam Surah al-Ma’idah ayat 21, Allah SWT berfirman melalui lisan Nabi Musa AS: "Wahai kaumku, masuklah kamu ke bumi suci yang telah Allah tetapkan untuk kamu". Menurut al-Zajjaj, istilah al-muqaddasah bermaksud "suci" atau "bersih".
Tempat Kelahiran dan Penempatan Para Nabi
Palestin merupakan bumi para nabi. Antara nabi-nabi yang hidup atau lahir di sini ialah Nabi Ibrahim, Ismail, Ishaq, Ya‘qub, Yusuf, Luth, Daud, Sulaiman, Zakaria, Yahya dan Isa AS. Nabi Muhammad SAW juga pernah tiba di bumi ini dalam peristiwa Isra’ dan Mi’raj. Ini menjadikan Palestin sebagai pentas sejarah kenabian yang sangat penting dalam Islam.
Peristiwa Isra’ dan Mi’raj
Allah SWT telah memilih Masjid al-Aqsa sebagai tempat perjalanan malam Rasulullah SAW dari Masjidil Haram ke Masjid al-Aqsa (Isra’), dan dari situlah Baginda diangkat ke langit (Mi‘raj). Melalui peristiwa ini, Allah SWT telah mengangkat martabat Masjid al-Aqsa dan bumi Palestin dengan kemuliaan yang besar.
Para Malaikat Menghamparkan Sayap di Syam
Dalam sebuah hadis sahih, Rasulullah SAW menyebut bahawa para malaikat menghamparkan sayap mereka di atas bumi Syam, yang merangkumi Palestin. Ini menunjukkan kemuliaan wilayah ini di sisi Allah SWT.
Tempat Berkumpul pada Hari Kiamat
Rasulullah SAW menyatakan bahawa bumi Palestin akan menjadi tempat perhimpunan manusia pada Hari Kiamat. Diriwayatkan oleh Imam Ahmad dengan sanadnya daripada Maimunah binti Sa‘d, bekas hamba Nabi SAW, yang berkata: “Aku bertanya: Wahai Nabi Allah, beritahulah kami tentang Baitulmaqdis.” Lalu Baginda bersabda: “Ia adalah bumi Mahsyar dan Mansyar”. Dalam Islam, Mahsyar bermaksud tempat pengumpulan, manakala Mansyar bermaksud tempat kebangkitan manusia pada Hari Kiamat.
Ibu Kota Islam Ketika Zaman Fitnah
Perkataan fitnah dalam bahasa Arab membawa maksud yang luas seperti ujian, kekacauan, peperangan, dan perpecahan. Menurut Kamus Al-Ma'ani, fitnah boleh merujuk kepada ujian iman, kekacauan dalam masyarakat atau peperangan yang memecahbelahkan umat.
Dalam hadis Nabi SAW, Baginda menyebut bahawa apabila berlaku fitnah besar, pusat kekuatan Islam akan berada di Syam. Menariknya, Palestin merupakan sebahagian daripada wilayah Syam. Ini menunjukkan bahawa segala kekejaman dan penindasan yang berlaku di Palestin hari ini bukan sekadar isu kemanusiaan, tetapi adalah satu bentuk fitnah besar yang menguji keimanan, kesedaran dan keprihatinan kita sebagai umat Islam. Maka benarlah sabda Nabi SAW: “Apabila berlaku fitnah, iman berada di Syam.”
Setiap Penghuni Syam Seperti Mujahid dan Murabit
Sesiapa yang bermukim di bumi Syam dengan penuh keikhlasan dan mengharapkan ganjaran daripada Allah SWT, maka kedudukannya adalah seperti seorang mujahid (pejuang) dan murabitin (pengawal).
Golongan Yang Mendapat Pertolongan Allah SWT Berada di Syam
Beberapa hadis menunjukkan bahawa golongan yang sentiasa dibantu Allah SWT, yang berpegang teguh pada kebenaran, berada di bumi Syam khususnya di Baitulmaqdis dan kawasan sekitarnya. Ini memberi harapan dan kekuatan kepada mereka yang mempertahankan Palestin.
Kesimpulannya, Palestin bukan hanya simbol perjuangan politik dan kemanusiaan, tetapi juga merupakan tanah yang diberkati dan dimuliakan dalam agama Islam. Ia merupakan sejarah para nabi, lokasi peristiwa agung Isra’ dan Mi’raj. Sebagai umat Islam, mengenali dan memahami keistimewaan bumi ini merupakan sebahagian daripada usaha untuk mengukuhkan kefahaman kita berkenaan sejarah Palestin berlandaskan ajaran Islam.
Asiyah Hanisah
Pembantu Pegawai Penyelidik Aqsa Syarif