Kembali
Keangkuhan Ben-Gvir Bongkar Wajah Sebenar Siasah Zionis
Nadia Amira Shamsul
May 22, 2026

Siapa sangka pihak yang menyebarkan propaganda bahawa mereka mangsa anti-semitik menjadi pihak yang sama membuka pekung di dada mereka sendiri?
Inilah yang terjadi selepas Menteri Keselamatan Dalam Negeri Israel, Itamar Ben-Gvir memuat naik video memperlekeh dan mengejek aktivis-aktivis flotila tentera Israel culik dari perairan antarabangsa. Terdapat juga visual aktivis-aktivis ini dilayan seumpama haiwan apabila mereka dipaksa melutut menyembah bumi sambil dipaksa mendengar lagu kebangsaaan Israel.
Menteri Pengangkutan Israel, Miri Regev turut hadir untuk menyaksikan sendiri apa yang tentera Israel lakukan ke atas aktivis flotila yang mereka culik. Sambil berbangga beliau berkata “Mereka didengarkan lagu kebangsaan kita secara berulang-kali agar mereka pelajari inilah akibatnya jika mereka datang tanpa diundang,” (MEE 2026).
Bagi dunia, khususnya mereka yang mengikut rapat misi kemanusiaan ini, video tersebut adalah bukti nyata kepada pelanggaran hak asasi manusia. Namun bagi Ben-Gvir, ia hanyalah sebuah trofi digital untuk ditayangkan kepada pengundi sayap kanan beliau. Percanggahan ini sebenarnya meruntuhkan sendiri naratif yang telah disusun rapi oleh Tel Aviv selama ini.
Susulan penularan video keadaan aktivis flotila dalam tahanan, pelbagai negara mula mengecam tindakan tersebut. Duta-duta Israel telah dipanggil untuk memberikan penjelasan. Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni dan Menteri Luarnya, Antonio Tajani mengeluarkan kenyataan bersama yang menyifatkan apa yang terjadi kepada aktivis flotila sebagai tidak boleh diterima akal dan menuntut permohonan maaf secara rasmi daripada Israel. (Al Jazeera 2026).
Kejadian ini sebenarnya memperlihatkan satu dinamika domestik Israel yang jauh lebih menarik untuk dikupas. Akibat terlalu bangga dengan keistimewaan negaranya yang seringkali terlepas daripada sebarang hukuman antarabangsa, Ben-Gvir terlupa bahawa ‘kebanggaan’ yang dimuat naiknya di media sosial telah menyusahkan sekutu politiknya sendiri.
Ini terbukti apabila Menteri Luar Israel, Gideon Saar mengecam tindakan Ben-Gvir kerana telah memudaratkan imej negara. Pejabat Perdana Menteri Israel mempertahankan hak Israel untuk ‘menahan’ aktivis flotila namun mengakui layanan Ben-Gvir ke atas mereka tidak selari dengan ‘nilai-nilai dan norma’ Israel. Secara optiknya keadaan ini mendedahkan ‘pergeseran’ nyata sesama pimpinan tertinggi Israel. Namun, harus kita fahami bahawa kemarahan ini bukannya berpunca daripada kesedaran moral atau rasa simpati terhadap aktivis flotila. Sebaliknya, ia adalah kemarahan pragmatik (Newsday 2026).
Kerakusan Ben-Gvir merupakan kesalahan strategik yang amat besar apabila mendedahkan secara terang-terang ‘kerja kotor’ yang sepatutnya kekal sebagai rahsia dan terlindung daripada menjadi tatapan umum. Netanyahu dan Sa’ar serta pimpinan lain lebih gemar melakukannya secara senyap-senyap dan di sebalik hujah undang-undang yang kompleks.
Justeru itu, apabila Ben-Gvir memilih untuk menjadikan keganasan mereka ke atas aktivis flotila sebagai tontonan di media sosial demi meraih perhatian dan sokongan politik domestic, dia secara tidak langsung mematikan fungsi penafian munasabah (plausible deniability) yang sering menjadi tunggangan propaganda Israel.
Justeru, sejak video tersebut tular di media sosial, rejim Zionis telah cuba menangkis imej ‘rakus dan ganas’ ini dengan memusatkan kesemuanya hanya kepada Ben-Gvir seorang, seolah-olah dialah setitik nila yang mencemarkan sebelanga susu Israel yang suci lagi bersih. Efrat Rayten, salah seorang ahli Knesset melalui akaun media sosialnya bahkan cuba memberikan gambaran sekiranya Ben-Gvir disingkirkan, Israel akan kembali menjadi ‘damai’, ‘diplomatik’, ‘mesra’, dan ‘bertamadun’ seperti sebelum ini. (Efrat 2026).
Realitinya tidak sedemikan, kerana apa yang dipamerkan oleh Ben-Gvir adalah cerminan sebenar majoriti masyarakat Israel hari ini yang menyokong segala bentuk tindakan dan keganasan terhadap rakyat Palestin atau mana-mana pihak yang cuba membantu mereka. Operasi memintas dan menculik aktivis flotila di perairan antarabangsa bukannya operasi peribadi Ben-Gvir; ia adalah operasi rasmi yang dilulus dan dilaksanakan oleh tentera dan kerajaan Israel sendiri. Netanyahu berada dalam bilik operasi tentera laut ketika penculikan berlaku. (TOI 2026).
Hakikatnya, perbezaan antara Ben-Gvir dan kelompok arus perdana seperti Netanyahu, Gideon Sa'ar dan pemimpin pembangkang seperti Naftali Bennet hanyalah pada 'wajah' yang dipamerkan kepada luar, bukan pada dasar perjuangan mereka. Sentimen mereka tetap sama. Elit politik Israel tidak marah atas dasar kemanusiaan, mereka cuma berang apabila salah laku dan kekejaman institusi mereka bocor dan terdedah kepada kecaman masyarakat global.
Pada ketika ini, pasukan peguam gerakan flotila dari NGO Adalah sedang giat mendokumentasikan aduan aktivis-aktivis flotila. Ramai aktivis melaporkan mereka telah dipukul, dicucuh dengan perenjat elektrik dan ditembak dengan peluru getah ketika dipintas di tengah laut, dipindahkan ke kapal tentera dan Pelabuhan Ashdod dan sepanjang berada di dalam tahanan (QNN 2026). Sebahagian aktivis juga dilaporkan mengalami kesukaran bernafas disyaki akibat patah tulang rusuk.
Kezaliman yang menimpa aktivis flotila antarabangsa ini hanyalah sekilas daripada mimpi ngeri rakyat Palestin yang pasti jauh lebih besar. Jika warga asing yang dilindungi pasport antarabangsa pun boleh diperlakukan seumpama haiwan, bayangkanlah penderitaan lebih 9,400 warga Palestin yang tiada sebarang perlindungan di sebalik tirai besi Zionis.
Insiden ini menghantar isyarat jelas kepada dunia bahawa tiada sesiapa yang selamat daripada kezaliman rejim Zionis; baik rakyat Palestin yang mempertahankan tanah air mereka mahupun aktivis yang cuba membantu mereka atas dasar kemanusiaan.
Sudah tiba masanya dunia berhenti melayan Israel sebagai sebuah negara normal kerana keangkuhan yang melampaui batas ini hanya akan runtuh apabila masyarakat global bangkit menuntut keadilan.
Sepertimana pesan Saidina Ali bin Abi Talib ra. :
“Kezaliman akan terus ada, bukan kerana banyaknya orang jahat, tetapi kerana diamnya orang-orang baik.”
Nadia Amira Shamsul
Penyelidik Aqsa Syarif